03 Januari 2010

SEJARAH HANGATKAN PERTEMBUNGAN UNITED/LEEDS

http://images.encarta.msn.com/xrefmedia/sharemed/targets/images/pho/t242/T242520A.jpg
Pertembungan pusingan ketiga Piala FA antara Manchester United dan Leeds United di Old Trafford malam ini, kembali menghangatkan perseteruan lama antara kedua-dua pasukan. Hampir setiap dekad United dan Leeds bersaing sengit tetapi walaupun kini lawan berada dalam kelas berbeza, Sir Alex Ferguson tetap berwaspada dan tidak mahu memandang rendah keupayaan semasa lawan. Leeds kini beraksi di Liga Satu (Divisyen 3) selepas dilanda masalah kewangan serius manakala United kekal sebagai antara kelab elit dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Saingan antara United dan Leeds mula tercetus pada tahun 1960 an yang mana turut membabitkan dua pemain bersaudara mewakili dua pasukan berbeza, Bobby Charlton untuk United manakala Jack Charlton mewakili Leeds. Antara bintang silam yang turut terbabit dalam perseteruan ketika itu ialah George Best, Dennis Law (United), Billy Bremner dan John Giles (Leeds). Persaingan United-Leeds terus berlanjutan hingga ke era 1980 an yang menyaksikan generasi baru mengambil alih saingan. United ketika itu ditunjangi pula oleh pemain-pemain seperti Mark Hughes, Brian McClair, Steve Bruce dan Brian Robson, manakala Leeds pula berbangga dengan kelibat Lee Chapman.

Era 1990 an merupakan kemuncak kepada perseteruan antara kedua-dua pasukan. United yang ketika itu melahirkan pemain dari "Class of 92", seperti Paul Scholes, David Beckham, Nicky Butt dan adik beradik Neville berhadapan pula dengan pemain yang menjadi lagenda di Old Trafford selepas itu, Eric Cantona, Jimmy Floyd Hasselbaink, Lee Bowyer, Jonathan Woodgate dan Rio Ferdinand. Dengan sejarah pertembungan yang panjang, Sir Alex Ferguson tentunya punya kenangan tersendiri terhadap persaingan antara kedua-dua pasukan dan mahukan agar United tidak memandang rendah keupayaan lawan. "Saya tidak perlu menyebut betapa pentingnya perlawanan dengan Leeds nanti. Saya mahu menikmatinya kerana mereka merupakan pasukan yang cukup fantastik, selalu memberikan saingan sengit dan kami harus bermain dengan sebaik mungkin", kata Ferguson. "Saya ada mengingatkan kepada pemain agar bersikap profesional dan tidak melakukan provokasi ke atas penyokong lawan. Ketika kami bersaing di Liga Perdana, perlawanan antara kedua-dua pasukan sangat kompetitif tetapi keadaan sekarang sudah berbeza. Walau bagaimanapun pemain harus bermain seperti biasa", tambah Ferguson lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan