13 November 2010

CARRICK YAKIN UNITED MAMPU RAIH MATA PENUH

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
ASTON VILLA lwn MANCHESTER UNITED
(Villa Park, 13 November 2010 jam 08.40 malam)



Krisis kecederaan yang menimpa sebilangan besar pemain tonggak Manchester United tidak sedikitpun menggusarkan Michael Carrick menjelang kunjungan skuad The Red Devils ke Villa Park malam ini. Walaupun dijangka bakal menghadapi halangan sukar dari Aston Villa, Carrick yakin United bakal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini. "Kami semakin bermotivasi untuk meraih kemenangan. Keyakinan diri setiap pemain juga meningkat selepas perlawanan kami dengan Manchester City kelmarin. Kami tahu betapa bagusnya permainan kami. Kami juga mempunyai barisan pertahanan yang unggul", ujar Carrick. Walaupun masih belum tewas setakat ini, United masih mengekori Chelsea yang berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas mencatat 6 keputusan seri. Khamis lalu, United sekali lagi diikat dengan keputusan seri oleh jiran mereka yang berbelanja besar, Manchester City.

United bakal kehilangan khidmat Paul Scholes akibat penggantungan kerana sudah mengumpul lima kad kuning. Nasib Rafael da Silva dan Patrice Evra masih belum diketahui selepas masing-masing dikeluarkan di separuh masa kedua semasa pertemuan dengan City akibat masalah kecederaan pangkal paha dan pergelangan kaki. Kecederaan kedua-duanya menyaksikan senarai kecederaan pemain yang menerima rawatan semakin panjang selepas Ryan Giggs, Owen Hargreaves, Michael Owen dan Wayne Rooney belum pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson masih menaruh harapan kecederaan Patrice Evra tidak seteruk yang disangka dan mampu diturunkan malam ini. United mesti mengelak dari terus mencatat keputusan seri jika mahu memberi tekanan kepada Chelsea yang selesa mendahului carta liga selain memastikan Arsenal yang berada di tangga ketiga tidak memintas mereka.

11 November 2010

FERGUSON AKUI CITY SUKAR DIKALAHKAN


Manchester City's Carlos Tevez (R) shoots at goal past Manchester United's Rio Ferdinand (2nd L) during their English Premier League soccer match at the City of Manchester Stadium in Manchester, northern England November 10, 2010.

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya menghadapi kesulitan menewaskan jiran mereka Manchester City dalam pertemuan dua jira setempat itu pagi tadi. United dan City terikat tanpa jaringan dalam perlawanan yang dilangsungkan di gelanggang City, City of Manchester Stadium. Walaupun pada awalnya ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung tegang namun hakikatnya baik United atau City gagal menunjukkan ketajaman penggempur masing-masing di depan gawang. Menurut Ferguson, City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka malah Chelsea yang kini mendahului carta liga pernah tersungkur di Eastlands. "City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka. Ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung dengan tegang namun saya puas hati dengan persembahan kami. Kami menguasai permainan dan menampilkan permainan yang bagus", kata Ferguson.

Sementara itu, Edwin Van der Sar menilai bahawa jiran mereka itu bermain dengan corak permainan negatif dan sekadar berminat mencatat keputusan seri. "Mereka bermain untuk mendapatkan satu mata, bukan memenangi perlawanan ini", ujar Van der Sar. Bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu hairan bagaimana City yang diperkuatkan sebilangan besar pemain bertaraf dunia memilih untuk bermain secara bertahan. Menurut Van der Sar dia tidak langsung merasa terancam sepanjang perlawanan ini kecuali sepakan percuma dari Carlos Tevez. "Jika perlawanan dilanjutkan beberapa belas minit lagi, kami akan mengalahkan City" tambah Van der Sar. Keputusan seri yang dicatatkan United membuka ruang buat Chelsea melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata selepas berjaya menewaskan Fulham 1-0 di Stamford Bridge.

09 November 2010

SCHOLES: MENGALAHKAN UNITED BUKAN TUGAS MUDAH


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UNITED
(City Of Manchester Stadium, 11 November 2010 jam 04.00 pagi

Manchester United's Paul Scholes celebrates his goal against Fulham during their English Premier League soccer match at Craven Cottage, London, Sunday, Aug. 22, 2010. 20 7864 9121 or EMAIL infofootball-dataco.com FOR DETAILS.
Manchester City berpeluang mengugat penguasaan jiran mereka Manchester United di tangga kedua Liga Perdana Inggeris tetapi dengan syarat skuad The Citizens itu harus mengakhiri episod kekalahan kepada United. United menguasai pertemuan antara jiran setempat itu musim lalu apabila memenangi kedua-dua pertemuan mereka disamping menyingkirkan City di peringkat separuh akhir Piala Carling. City memperolehi suntikan semangat selepas berjaya menundukkan West Bromwich Albion hujung minggu lalu di samping kembalinya Carlos Tevez ke dalam pasukan. Walau bagaimanapun lagenda United, Paul Scholes menegaskan usaha City itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana barisan bintang City bakal berdepan ujian sebenar mereka musim ini. "Kami ingin sentiasa berada di atas City, bahkan pemain-pemain muda yang baru menyertai pasukan juga mahukan perkara yang sama. Saya sentiasa ingin melihat kabinet piala City terus kosong", ujar Scholes.

Sementara itu bagi bintang pertahanan United, Patrice Evra pula menganggap kemenangan ke atas City bukanlah sasaran utama United kerana pasukannya mempunyai misi yang lebih besar iaitu merampas semula trofi Liga Perdana daripada Chelsea. Bagi Evra, tugas utama United musim ini ialah memenangi kejuaraan yang lebih besar berbanding kemenangan ke atas jiran mereka itu. "Jika kami menang perlawanan ini ia adalah keputusan yang bagus untuk United, kemenangan yang biasa dan tiada yang istimewanya", ujar Evra. Evra juga menegaskan dia tidak gentar dengan suasana yang bakal dihadapinya nanti di Eastlands. "Mereka selalu mengatakan mereka akan mengalahkan kami, tetapi hakikatnya tidak berlaku sedemikian. Kami tidak ambil peduli dengan apa yang mereka katakan", tambah Evra lagi. Musim lalu, United menang 1-0 di Eastlands hasil jaringan minit akhir Paul Scholes.

07 November 2010

JI SUNG MUNCUL WIRA UNITED


Park brace rescues United as Hargreaves is injured again
Park Ji Sung muncul wira Manchester United apabila dua gol jaringannya berjaya memastikan skuad The Red Devils meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Pertembungan United dan Wolverhampton Wanderers ini adalah yang kedua dalam tempoh sepuluh hari di Old Trafford selepas United berjaya menyingkirkan anak-anak buah Mick McCarthy 3-2 dalam kempen Piala Liga 27 Oktober lalu. Perlawanan ini juga menyaksikan Owen Hargreaves tampil buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun akibat kecederaan namun kelibat bekas pemain Bayern Munich itu hanya bertahan selama enam minit akibat masalah hamstring. Hargreaves kemudiannya digantikan pemain muda Portugal Bebe. Wolves yang mengejutkan Manchester City minggu lalu berjaya memberikan masalah kepada barisan United dan mereka hampir mendahului namun rembatan Kevin Doyle yang ditampan Nemanja Vidic sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol. Di penghujung separuh masa pertama, Ji Sung akhirnya berjaya meletakkan United di depan selepas berjaya menyempurnakan lorongan cantik Darren Fletcher untuk menewaskan Marcus Hahnemann.

Di separuh masa kedua, Sir Alex Ferguson mengubah formasi permainan dari 4-4-2 kepada 4-5-1 untuk memastikan United menguasai bahagian tengah. Perubahan itu ternyata memberikan United kelebihan apabila mereka mula menguasai permainan. Walau bagaimanapun United gagal menambah jaringan dan kesempatan itu diambil lawan untuk menyamakan kedudukan melalui pemain gantian Sylvan Ebanks Blake di minit ke-67. Menyedari pasukannya memerlukan jaringan, Ferguson memasukkan Paul Scholes dan Federico Macheda dengan menarik keluar John O'Shea dan Bebe bagi menambah variasi serangan United. Kehadiran Scholes ternyata membawa perubahan kepada United apabila mereka mula melakukan serangan bertali arus ke kawasan lawan untuk mencari gol kemenangan. Diminit ke-82, Javier Hernandez dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Phil Dowd kerana sengaja merebahkan badan di kawasan petak penalti lawan. Ketika Mick McCarthy sudah berkira-kira akan membawa pulang satu mata dari Old Trafford, Ji Sung akhirnya menjaringkan gol kemenangan ketika masa kecederaan berbaki satu minit untuk ditamatkan sekaligus memberikan tiga mata penuh buat United.

06 November 2010

UNITED TANPA NANI DAN FLETCHER


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn WOLVERHAMPTON
(Old Trafford, 6 November 2010 jam 10.00 malam)

Manchester United's Darren Fletcher celebrates after he scored a goal against Bursaspor during their Group C Champions League soccer match at Ataturk Stadium in Bursa, Turkey, Tuesday, Nov. 2, 2010.
Wolverhampton Wanderers menghadapi misi berat untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata apabila mereka berkunjung ke Old Trafford malam ini. Skuad bimbingan Mick McCarthy itu yang disingkir United dari saingan Piala Liga 27 Oktober lalu dilihat bakal menempuh kesukaran selepas melihat barisan muda United mempamerkan aksi kemas ketika mereka menang ke atas Bursaspor dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah kelmarin. United yang bakal kehilangan Nani dan Darren Fletcher selepas kedua-duanya mengalami kecederaan di Turki pastinya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pengganti kedua-dua tonggak tengah itu. Ferguson juga dijangka menurunkan semula Rio Ferdinand di benteng selepas merehatkan kapten England itu ketika kunjungan mereka ke Turki.

Park Ji Sung mungkin digunakan Ferguson untuk menggantikan Nani di bahagian sayap manakala pemain berpengalaman John O'Shea akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fletcher. Skuad Alex Ferguson kini pastinya berada dalam situasi terbaik untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam liga selepas menundukkan Stoke City dan Tottenham Hotspurs ditambah kejayaan memberangsangkan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Rabu lalu. Selain dari faktor prestasi terkini United, Wolves dijangka menghadapi kesukaran menembusi benteng The Red Devils jika mengambil kira statistik perlawanan mereka musim lalu di mana mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua pertemuan mereka dengan United.

03 November 2010

FERGUSON GEMBIRA SKUADNYA RAIH TIGA MATA


Manchester United's players celebrate a goal against Bursaspor during their Champions League soccer match at Ataturk stadium in Bursa, western Turkey, November 2, 2010.
Sir Alex Ferguson melahirkan kegembiraan atas kejayaan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas juara Turki, Bursaspor awal pagi tadi. Meskipun terikat 0-0 di separuh masa pertama, skuad The Red Devils meledak tiga gol di babak kedua untuk meletakkan United sebagai peneraju Kumpulan C. Sebelum perlawanan, United dijangka berhadapan tugas sukar selepas Bursaspor berjaya memberikan tentangan sengit ketika mereka tewas 0-1 di Old Trafford, 22 Oktober lalu. United hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung melalui gol Darren Fletcher. Gol itu ternyata menyentap semangat tuan rumah yang gagal meraih kemenangan setakat ini dan menduduki tangga terbawah Kumpulan C. Gabriel Obertan terus mengukuhkan cengkaman United selepas menjaringkan gol kedua diminit ke-73 dan empat minit kemudian Ali Tandogan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan United selesa di hadapan.

"Kami telah berhasil mendapatkan gol awal di babak kedua. Gol itu ternyata merubah suasana perlawanan", kata Ferguson. "Dari situasi tersebut kami akhirnya berjaya mengawal permainan walaupun lawan memiliki beberapa peluang baik. Gol kedua pula telah menambahkan lagi kesukaran buat mereka", tambah Ferguson lagi. Walaupun mencatat kemenangan, United terpaksa membayar harga mahal berikutan kecederaan yang dialami Nani di separuh masa pertama. Nani yang dianggap sebagai pemain terbaik United ketika ini mengalami kecederaan pangkal paha dan masih belum dapat dipastikan setakat mana seriusnya kecederaan pemain antarabangsa Portugal itu. "Sukar untuk memastikan berapa lama kami bakal kehilangan Nani. Kami hanya akan memeriksa kecederaannya esok", kata Ferguson. Selain Nani, Darren Fletcher turut mengalami kecederaan dalam perlawanan itu dan Ferguson mengesahkan bahawa Fletcher mengalami masalah di pergelangan kaki.

02 November 2010

CARRICK: BURSASPOR BUKAN LAWAN MUDAH


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

BURSASPOR lwn MANCHESTER UNITED
(Bursa Ataturk Stadium, 3 November 2010 jam 03.40 pagi)

http://www.betshoot.com/wp-content/uploads/Michael-Carrick.jpg
Tonggak tengah Manchester United, Michael Carrick mengakui bahawa Bursaspor bukanlah lawan yang mudah sepertimana yang telah mereka buktikan ketika bertandang ke Old Trafford bulan lalu. United sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Turki itu di Old Trafford hasil jaringan Nani pada 21 Oktober lalu. Awal pagi nanti, United akan berdepan dengan Busaspor di Stadium Bursa Ataturk, Turki dalam perlawanan peringkat Kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah. Menurut Carrick selain terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, suasana bolasepak di Turki juga jauh berbeza dengan Eropah, dan ini pastinya menyukarkan lagi tugas United mencari tiga mata penuh di sana. "Ramai yang mengatakan bahawa rekod kami di gelanggang lawan sangat baik tetapi semua perlawanan Liga Juara-Juara memang sukar", kata Carrick. United ketika ini memimpin carta Kumpulan C selepas meraih tujuh mata, dua mata di hadapan Glasgow Rangers di tangga kedua, manakala Bursaspor pula masih gagal meraih sebarang mata dan berada di tangga terbawah kumpulan.