Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya menghadapi kesulitan menewaskan jiran mereka Manchester City dalam pertemuan dua jira setempat itu pagi tadi. United dan City terikat tanpa jaringan dalam perlawanan yang dilangsungkan di gelanggang City, City of Manchester Stadium. Walaupun pada awalnya ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung tegang namun hakikatnya baik United atau City gagal menunjukkan ketajaman penggempur masing-masing di depan gawang. Menurut Ferguson, City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka malah Chelsea yang kini mendahului carta liga pernah tersungkur di Eastlands. "City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka. Ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung dengan tegang namun saya puas hati dengan persembahan kami. Kami menguasai permainan dan menampilkan permainan yang bagus", kata Ferguson.
Sementara itu, Edwin Van der Sar menilai bahawa jiran mereka itu bermain dengan corak permainan negatif dan sekadar berminat mencatat keputusan seri. "Mereka bermain untuk mendapatkan satu mata, bukan memenangi perlawanan ini", ujar Van der Sar. Bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu hairan bagaimana City yang diperkuatkan sebilangan besar pemain bertaraf dunia memilih untuk bermain secara bertahan. Menurut Van der Sar dia tidak langsung merasa terancam sepanjang perlawanan ini kecuali sepakan percuma dari Carlos Tevez. "Jika perlawanan dilanjutkan beberapa belas minit lagi, kami akan mengalahkan City" tambah Van der Sar. Keputusan seri yang dicatatkan United membuka ruang buat Chelsea melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata selepas berjaya menewaskan Fulham 1-0 di Stamford Bridge.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan