Sir Alex Ferguson melahirkan kegembiraan atas kejayaan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas juara Turki, Bursaspor awal pagi tadi. Meskipun terikat 0-0 di separuh masa pertama, skuad The Red Devils meledak tiga gol di babak kedua untuk meletakkan United sebagai peneraju Kumpulan C. Sebelum perlawanan, United dijangka berhadapan tugas sukar selepas Bursaspor berjaya memberikan tentangan sengit ketika mereka tewas 0-1 di Old Trafford, 22 Oktober lalu. United hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung melalui gol Darren Fletcher. Gol itu ternyata menyentap semangat tuan rumah yang gagal meraih kemenangan setakat ini dan menduduki tangga terbawah Kumpulan C. Gabriel Obertan terus mengukuhkan cengkaman United selepas menjaringkan gol kedua diminit ke-73 dan empat minit kemudian Ali Tandogan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan United selesa di hadapan.
"Kami telah berhasil mendapatkan gol awal di babak kedua. Gol itu ternyata merubah suasana perlawanan", kata Ferguson. "Dari situasi tersebut kami akhirnya berjaya mengawal permainan walaupun lawan memiliki beberapa peluang baik. Gol kedua pula telah menambahkan lagi kesukaran buat mereka", tambah Ferguson lagi. Walaupun mencatat kemenangan, United terpaksa membayar harga mahal berikutan kecederaan yang dialami Nani di separuh masa pertama. Nani yang dianggap sebagai pemain terbaik United ketika ini mengalami kecederaan pangkal paha dan masih belum dapat dipastikan setakat mana seriusnya kecederaan pemain antarabangsa Portugal itu. "Sukar untuk memastikan berapa lama kami bakal kehilangan Nani. Kami hanya akan memeriksa kecederaannya esok", kata Ferguson. Selain Nani, Darren Fletcher turut mengalami kecederaan dalam perlawanan itu dan Ferguson mengesahkan bahawa Fletcher mengalami masalah di pergelangan kaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan