13 November 2010

CARRICK YAKIN UNITED MAMPU RAIH MATA PENUH

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
ASTON VILLA lwn MANCHESTER UNITED
(Villa Park, 13 November 2010 jam 08.40 malam)



Krisis kecederaan yang menimpa sebilangan besar pemain tonggak Manchester United tidak sedikitpun menggusarkan Michael Carrick menjelang kunjungan skuad The Red Devils ke Villa Park malam ini. Walaupun dijangka bakal menghadapi halangan sukar dari Aston Villa, Carrick yakin United bakal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini. "Kami semakin bermotivasi untuk meraih kemenangan. Keyakinan diri setiap pemain juga meningkat selepas perlawanan kami dengan Manchester City kelmarin. Kami tahu betapa bagusnya permainan kami. Kami juga mempunyai barisan pertahanan yang unggul", ujar Carrick. Walaupun masih belum tewas setakat ini, United masih mengekori Chelsea yang berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas mencatat 6 keputusan seri. Khamis lalu, United sekali lagi diikat dengan keputusan seri oleh jiran mereka yang berbelanja besar, Manchester City.

United bakal kehilangan khidmat Paul Scholes akibat penggantungan kerana sudah mengumpul lima kad kuning. Nasib Rafael da Silva dan Patrice Evra masih belum diketahui selepas masing-masing dikeluarkan di separuh masa kedua semasa pertemuan dengan City akibat masalah kecederaan pangkal paha dan pergelangan kaki. Kecederaan kedua-duanya menyaksikan senarai kecederaan pemain yang menerima rawatan semakin panjang selepas Ryan Giggs, Owen Hargreaves, Michael Owen dan Wayne Rooney belum pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson masih menaruh harapan kecederaan Patrice Evra tidak seteruk yang disangka dan mampu diturunkan malam ini. United mesti mengelak dari terus mencatat keputusan seri jika mahu memberi tekanan kepada Chelsea yang selesa mendahului carta liga selain memastikan Arsenal yang berada di tangga ketiga tidak memintas mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan