09 Februari 2012

CLEVERLEY BAKAL PERKUATKAN SEMULA UNITED


Kem Manchester United bakal mendapat suntikan semangat tambahan menjelang pertembungan dengan Liverpool, Sabtu ini selepas Tom Cleverley diberitakan cergas sepenuhnya dan sedia disenaraikan dalam kesebelasan utama.  Minggu lalu, pemain tengah berusia 22 tahun itu disenaraikan dalam skuad simpanan United yang akan berhadapan dengan Chelsea di Stamford Bridge namun perlawanan itu terpaksa ditangguh kerana cuaca buruk.  Kepulangan semula Cleverley yang  diketepikan sejak 29 Oktober lalu kerana kecederaan lutut bakal menyuntik tenaga tambahan di bahagian tengah United menjelang kunjungan seteru tradisi mereka itu di Old Trafford hujung minggu ini.  Prestasi baik Cleverley di awal musim turut mendorong bekas pengurus England, Fabio Capello menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan England.  Kembalinya semula Cleverley dalam skuad pastinya membuat Sir Alex Ferguson tersenyum lebar dalam usaha mereka terus memberi tekanan kepada pendahulu liga ketika ini, Manchester City.  Ferguson yang sebelumnya menghadapi krisis kecederaan pemain tengah kerana kehilangan khidmat Anderson dan Darren Fletcher sehingga akhir musim terpaksa memanggil Paul Scholes kembali semula dari persaraan.  Selamat kembali Cleverley! Glory Glory Manchester United!

SUBOTIC, PEMBELIAN MUSIM PANAS UNITED?



Pertahanan Borussia Dortmund dan Serbia, Neven Subotic dikhabarkan menjadi buruan Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.  Sir Alex Ferguson dikatakan sudah lama berminat membawa Subotic ke Old Trafford dan media Jerman melaporkan pengurus United itu bersedia menawarkan wang perpindahan sebanyak 17 juta Pound kepada Dortmund.  Subotic yang berusia 23 tahun masih mempunyai baki kontrak sehingga 2014 bersama Dortmund dan juara bertahan Bundesliga itu dikatakan sedia melepaskan pertahanan antarabangsa Serbia itu pada harga 20 juta Pound.  Subotic muncul antara pertahanan tengah paling dikehendaki di Eropah turut menjadi sasaran Chelsea, namun Ferguson yakin faktor kejayaan Nemanja Vidic (rakan senegara Subotic) yang berjaya membina karier gemilang di Old Trafford bakal mendorong beliau memilih Old Trafford sebagai destinasi baharunya.  Glory Glory Manchester United!!!

08 Februari 2012

ROONEY MULAKAN PERANG PSIKOLOGI


Pertembungan United/Liverpool akan hanya berlangsung pada hari Sabtu ini namun gendang perang sudahpun dipalu Wayne Rooney.  Kelmarin, Rooney melalui Twitter telah menyelar terjahan keras penyerang Liverpool yang baru kembali dari penggantungan lapan perlawanan, Luis Suarez ke atas Scott Parker.  Insiden diminit ke-70 pertembungan Liverpool dan Tottenham Hotspurs itu pantas menarik minat Rooney yang mengatakan bahawa Suarez sepatutnya dilayangkan kad merah.  Suarez dimasukkan sebagai pemain gantian diminit ke-66 tetapi empat minit kemudian melepaskan tendangan berbahaya yang terkena perut Parker.  Suarez bagaimanapun sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver.  "Jika pengadil melihat insiden itu, Suarez seharusnya dilayangkan kad merah", kata Rooney.  Menjawab pertanyaan pengikutnya dalam laman sosial itu tentang rekod disiplinnya, Rooney mengatakan dia masih belum menerima satu kad kuning pun dalam saingan liga musim ini.

Pendapat Rooney turut disokong bekas kapten United, Gary Neville dalam komentarnya di Sky Sports.  "Suarez beruntung pengadil melepaskannya kali ini", kata Neville.  Sementara itu, bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Graham Poll berpendapat penyerang Liverpool itu sepatutnya diperintah keluar padang atas kekasaran yang dilakukannya itu.  Menurut Poll, Suarez yang kembali dari penggantungan lapan perlawanan kerana insiden perkauman ke atas Patrice Evra sepatutnya diberi tambahan pengantungan tiga perlawanan lagi kerana menendang Parker.  "Anda perhatikan aksi Suarez.  Pada mulanya dia dilihat sedikit menolak Parker, dan dia pastinya tahu di mana posisi Parker namun dia tetap mengangkat kaki dan melakukan tendangan itu.  Ini kekasaran yang serius.  Saya sependapat dengan kenyataan Rooney di Twitter bahawa Suarez sepatutnya diperintah keluar padang oleh pengadil", kata Poll.

07 Februari 2012

PENAMPILAN KE-200 BUAT JI-SUNG


Park Ji-Sung meraih pencapaian istimewanya kelmarin ketika pertemuan menentang Chelsea di Stamford Bridge apabila merakamkan penampilan ke-200 bersama United.  Perlawanan Chelsea-United menjadi momen yang tidak akan dilupakan buat bekas pemain antarabangsa Korea Selatan itu yang diturunkan sebagai pemain gantian diminit ke-86 menggantikan Danny Welbeck.  Penampilan Ji-Sung bersama United dalam perlawanan itu menjadikan dia muncul pemain ke-92 dalam sejarah kelab yang berjaya melakukan penampilan sebanyak 200 perlawanan.  "Sesungguhnya sukar untuk mempercayainya.  Saya masih tidak percaya dapat bermain untuk United sebanyak 200 kali", kata Ji-Sung.  "Saya sungguh gembira berada di sini bersama rakan sepasukan, staf dan penyokong.  Saya sangat gembira bermain untuk United dan memiliki banyak kenangan manis di sini".  Ji-Sung yang dibawa ke Old Trafford oleh Sir Alex Ferguson dari PSV Eindhoven pada 2005 mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan Korea Selatan sebaik Pusingan Akhir Piala Asia 2011 berakhir untuk memberikan tumpuan terhadap kariernya di peringkat kelab.  Bersama skuad kebangsaan, Ji-Sung mempunyai 100 caps dan menjaringkan 13 gol sepanjang 11 tahun kerjaya antarabangsanya.  Glory Glory Manchester United!!!

FERDINAND: TERIMA KASIH PENYOKONG CHELSEA



Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menjawab cemuhan dan ejekan dari penyokong Chelsea yang diterimanya melalui akaun Twitter selepas pasukannya berjaya mengikat skuad The Blues itu di Stamford Bridge kelmarin.  United yang pada satu ketika ketinggalan 0-3 bangkit untuk memaksa Chelsea berkongsi mata melalui dua penalti Wayne Rooney dan tandukan Javier Hernandez di penghujung permainan.  Kontroversi yang berlaku antara Anton Ferdinand, adik kepada pertahanan United itu dengan John Terry mengundang cemuhan dan ejekan dari penyokong Chelsea terhadap Rio sepanjang perlawanan. Akhirnya Rio muncul pemain United paling gembira sebaik perlawanan berakhir sambil menyindir dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong lawan yang mengejeknya.  "Hari ini saya menerima ejekan dari penyokong CFC.  Terima kasih kerana telah memberikan inspirasi kepada saya dan pasukan.  Ejekan itu bagaikan suntikan tenaga tambahan", kata Rio melalui Twitter.  Cemuhan dan ejekan dari penyokong Chelsea yang ditujukan kepada Rio dipercayai sebagai sokongan mereka terhadap John Terry yang berdepan siasatan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Anton Ferdinand.  Glory Glory Manchester United!!!

FERGIE MENANG ANUGERAH COACH OF THE DECADE



Pencapaian hebat Sir Alex Ferguson bersama Manchester United sekali lagi diiktiraf selepas dia dipilih memenangi anugerah Coach of the Decade dari International Federation of Football History and Statistic (IFHS) semalam.  Organisasi ini bertanggungjawab mengumpulkan senarai pengurus/jurulatih serta pemain terbaik di setiap posisi setiap tahun dan  undian kemudiannya dibuat untuk memilih para pemenang.  Berikut adalah senarai 10 pengurus/jurulatih terbaik selepas undian dibuat oleh IFHS:

1.   Sir Alex Ferguson (166 mata).
2.   Arsene Wenger (165 mata).
3.   Jose Mourinho (154 mata).
4.   Fabio Capello (135 mata).
5.   Guus Hiddink (122 mata).
6.   Carlo Ancelotti (108 mata).
7.   Vincente del Bosque (104 mata).
8.   Marcelo Bielsa (101 mata).
9.   Luiz Felipe Scolari (101 mata).
10. Rafael Benitez (97 mata).

06 Februari 2012

ROONEY: KAMI TIDAK MUDAH MENGALAH


Wayne Rooney mengakui pasukannya memperolehi pengajaran berharga hasil kebangkitan hebat mereka mengikat Chelsea di gelanggang lawan selepas ketinggalan 0-3 malam tadi.  Rooney pantas menegaskan United bukanlah pasukan yang mudah menyerah kalah biarpun pada satu ketika ketinggalan dengan jurang gol yang besar.  United ketinggalan diminit ke-36 selepas Jonny Evans tertampan bola ke gawang sendiri dan Juan Mata kemudiannya meletakkan Chelsea selesa di depan melalui voli cantik diminit ke-46.  Tuan rumah dilihat bakal mengulangi rekod jaringan besar Manchester City ke atas United apabila empat minit kemudian David de Gea sekali lagi tertewas melalui tandukan David Luiz.  United bagaimanapun bangkit mengejar dari belakang selepas mereka dihadiahkan dua sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-58 dan 69.  Javier Hernandez kemudiannya memadamkan hasrat Chelsea untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan hasil hantaran Ryan Giggs di minit ke-84.  Sekalipun agak kecewa selepas menyaksikan pasukannya kehilangan dua mata, Rooney melaungkan amaran kepada Manchester City bahawa kebangkitan hebat pasukannya dalam perlawanan ini menandakan bahawa United tidak sekali-kali berhenti mengejar dan memberi tekanan kepada pendahulu liga itu.  "Kami kehilangan dua mata, tetapi selepas ketinggalan tiga gol, semua pemain Manchester City yang menyaksikan perlawanan ini harus waspada.  Banyak pasukan akan mengalah selepas ketinggalan dengan tiga gol tetapi kami tidak sekali-kali akan menundukkan kepala kami", kata Rooney.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui beliau kurang berpuashati biarpun pasukannya berjaya mencuri satu mata di gelanggang keramat Chelsea itu.  Biarpun dihadiahkan dua sepakan penalti oleh Howard Webb, Ferguson sebaliknya menegaskan Webb sepatutnya memberikan empat sepakan penalti kepada pasukannya.  Walaupun Andre Villas-Boas mempertikaikan keputusan Webb memberikan sepakan penalti kedua kepada United, Ferguson berpendapat keputusan pengadil berpengalaman itu adalah tepat. Ferguson juga berpendapat Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah selepas dia menjatuhkan Danny Welbeck di babak pertama.  "Kami mendapat dua sepakan penalti di babak kedua dan itu memang sudah sepatutnya, namun saya fikir kami sebenarnya layak mendapatkan empat penalti.  Gary Cahill sepatutnya dilayangkan kad merah tetapi saya tidak menyalahkan Howard Webb.  Saya hairan, penjaga garisan yang memberikan sepakan penalti di Old Trafford dua tahun lalu sebaliknya tidak melihat kekasaran yang dilakukan Cahill dari jarak 45 ela.  Ashley Young juga dikasari tetapi dia juga tidak memberikan penalti kepada kami", kata Ferguson.  Meskipun mengakui agak terkilan melihat pasukannya kehilangan dua mata, namun Ferguson tetap menghargai usaha keras anak-anak buahnya terutama selepas mereka ketinggalan 0-3.  "Bukan mudah untuk bangkit seperti tadi selepas ketinggalan dengan tiga gol, saya melihat kualiti pasukan kami jauh lebih baik".  Glory Glory Manchester United!