Pertembungan United/Liverpool akan hanya berlangsung pada hari Sabtu ini namun gendang perang sudahpun dipalu Wayne Rooney. Kelmarin, Rooney melalui Twitter telah menyelar terjahan keras penyerang Liverpool yang baru kembali dari penggantungan lapan perlawanan, Luis Suarez ke atas Scott Parker. Insiden diminit ke-70 pertembungan Liverpool dan Tottenham Hotspurs itu pantas menarik minat Rooney yang mengatakan bahawa Suarez sepatutnya dilayangkan kad merah. Suarez dimasukkan sebagai pemain gantian diminit ke-66 tetapi empat minit kemudian melepaskan tendangan berbahaya yang terkena perut Parker. Suarez bagaimanapun sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver. "Jika pengadil melihat insiden itu, Suarez seharusnya dilayangkan kad merah", kata Rooney. Menjawab pertanyaan pengikutnya dalam laman sosial itu tentang rekod disiplinnya, Rooney mengatakan dia masih belum menerima satu kad kuning pun dalam saingan liga musim ini.
Pendapat Rooney turut disokong bekas kapten United, Gary Neville dalam komentarnya di Sky Sports. "Suarez beruntung pengadil melepaskannya kali ini", kata Neville. Sementara itu, bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Graham Poll berpendapat penyerang Liverpool itu sepatutnya diperintah keluar padang atas kekasaran yang dilakukannya itu. Menurut Poll, Suarez yang kembali dari penggantungan lapan perlawanan kerana insiden perkauman ke atas Patrice Evra sepatutnya diberi tambahan pengantungan tiga perlawanan lagi kerana menendang Parker. "Anda perhatikan aksi Suarez. Pada mulanya dia dilihat sedikit menolak Parker, dan dia pastinya tahu di mana posisi Parker namun dia tetap mengangkat kaki dan melakukan tendangan itu. Ini kekasaran yang serius. Saya sependapat dengan kenyataan Rooney di Twitter bahawa Suarez sepatutnya diperintah keluar padang oleh pengadil", kata Poll.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan