Sir Alex Ferguson masih berharap untuk menandatangani penyerang Arsenal, Robin van Persie selepas pemain antarabangsa Belanda itu enggan menandatangani lanjutan kontrak baru bersama skuad The Gunners. Spekulasi tentang masa depan dan kelab mana yang bakal disertai van Persie terus mencetuskan tandatanya di kalangan pemerhati dan peminat bolasepak sejak seminggu lalu. Di sebalik ketidak tentuan yang menyelubungi masa depan pemain itu, Ferguson memasang impian mahu membentuk gandingan menggerunkan antara Wayne Rooney dan van Persie musim hadapan. Biarpun menyedari van Persie turut menjadi sasaran Manchester City yang sudahpun menyelesaikan perpindahan Emmanuel Adebayor ke Tottenham Hotspurs, Ferguson tetap berharap beliau mampu membawa penjaring terbanyak Liga Perdana England musim lalu itu ke Old Trafford. Ramai pemerhati menjangkakan dasar penggiliran penyerang yang diamalkan Roberto Mancini akan mempengaruhi keputusan van Persie memilih kelab mana yang sesuai untuk disertainya. Meskipun setinggi mana minat yang ditunjukkan Ferguson ke atas penyerang itu, beliau sepertimana yang diketahui tetap enggan membayar sehingga 30 juta Pound untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 29 tahun. Glory Glory Manchester United - AJ
12 Julai 2012
10 Julai 2012
VIDIC AKAN SERTAI UNITED DI JELAJAH SCANDINAVIA
Nemanja Vidic diberitakan akan kembali menyertai pasukan dalam jelajah pra-musim di Scandinavia Ogos ini. Vidic terlepas aksi bersama United sejak Disember lalu kerana kecederaan teruk ligamen lutut ketika perlawanan menentang FC Basel di Liga Juara-Juara. Kapten United berusia 30 tahun itu kini hampir pulih selepas menjalani rawatan intensif dan sudahpun mula menjalani latihan tetapi dia tidak akan menyertai skuad United ke jelajah pra-musim di Afrika dan Asia, Julai ini. Vidic sebaliknya akan meneruskan program pemulihan di kompleks latihan United, di Carrington. Vidic dijangka akan hanya menyertai jelajah pra-musim United di Norway dan Sweden pada awal Ogos, ketika United dijadualkan menentang kelab Norway, Valerenga pada 5 Ogos di Oslo dan juara empat kali Liga Juara-Juara, Barcelona di Gothenburg pada 8 Ogos. Berita ini tentunya menggembirakan penyokong-penyokong United selepas kehilangan pertahanan berpengaruh itu sejak Disember lalu, dan ketiadaannya dikatakan menjadi penyebab utama United gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England kepada Manchester City menerusi perbezaan gol. Jonny Evans yang menggantikan Vidic berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik namun gandingan (Vidic) bersama Ro Ferdinand di bahagian tengah pertahanan tetap dirindui dan dinanti penyokong-penyokong United pada permulaan musim baru. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
09 Julai 2012
GIGGS KETUAI SKUAD GREAT BRITAIN
Veteran Manchester United, Ryan Giggs dinamakan sebagai ketua pasukan skuad bolasepak Great Britain di Sukan Olimpik London 2012. Giggs adalah antara tiga pemain lebih umur dalam skuad kendalian Stuart Pearce, bersama seorang lagi pemain Wales, Craig Bellamy dan Micah Richards. Giggs dalam kenyataanya selepas pemilihan tersebut mengatakan pengalaman adalah faktor utama mengapa dia dipilih mengetuai skuad bola sepak Great Britain yang beraksi buat pertama kali di sukan Olimpik sebagai satu pasukan. Giggs mempunyai 64 caps bersama skuad Wales dalam berbagai kejohanan sebelum mengambil keputusan bersara dari peringkat antarabangsa pada tahun 2007. Selain itu Giggs juga diiktiraf sebagai lagenda hidup di Old Trafford selepas berjaya membantu United memenangi 12 gelaran Liga Perdana England, lima Piala FA, dua mahkota Liga Juara-Juara dan sudahpun bermain lebih 900 perlawanan bersama skuad The Red Devils. Giggs dijangka akan mengetuai skuad Great Britain buat pertama kali dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Brazil di Stadium Riverside pada 20 Julai ini. Meskipun memiliki beberapa pemain berpengalaman dalam pasukannya seperti Micah Richards yang pernah mengetuai Manchester City, Aaron Ramsey (kapten Wales) dan Craig Bellamy, Stuart Pearce menganggap Giggs adalah pilihan tepat dan lebih menonjol berbanding yang lain sebagai pemimpin di tengah padang. Menurut Pearce, Giggs memang layak memimpin skuad Great Britain dalam temasya sukan terbesar di dunia itu dan dia sendiri sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan lagenda United itu. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
07 Julai 2012
MOUTINHO SESUAI UNTUK RED DEVILS?
Joao Moutinho menambah satu lagi nama dalam senarai pemain yang hangat diperkatakan media akan menyertai Manchester United musim panas ini. Jika benarlah apa yang digembar-gemburkan media dan perpindahan Moutinho dari FC Porto ke United menjadi kenyataan, pemain antarabangsa Portugal itu akan menambahkan lagi sejumlah besar bakat dan pengalaman di bahagian tengah The Red Devils musim hadapan. Media-media di England mencanangkan bahawa United dan Porto sudah mengadakan perbincangan untuk membawa pemain berusia 25 tahun itu ke Old Trafford dengan tawaran sebanyak 25 juta Pound. Mengambil kira umurnya, Moutinho bolehlah dianggap pemain yang agak muda tetapi sudahpun mengaut pengalaman luas di peringkat kelab dan juga antarabangsa bersama skuad kebangsaan. Moutinho memenangi kejuaraan Primiera Liga bersama Porto dua musim berturut-turut (2010/11 dan 2011/12) serta Liga Europa musim 2010/11. Jika perpindahannya ke Old Trafford menjadi kenyataan, dia diramalkan akan memainkan peranan penting bersama kesebelasan Sir Alex Ferguson dalam misi merampas semula mahkota kejuaraan Liga Perdana dari Manchester City. Moutinho mempamerkan prestasi baik di Euro 2012 hingga menyaksikan Portugal berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir. Prestasi baik Moutinho di Euro dikatakan menjadi punca mengapa Ferguson begitu berminat membawanya ke Old Trafford bagi memperkuatkan jentera tengahnya. Sepanjang kempen Euro 2012, Moutinho dilihat begitu serasi bergandingan dengan Nani, dan keserasian ini diharapkan akan dapat diteruskan jika dia menyertai United (dan Nani pula tidak berhijrah ke pasukan lain sepertimana yang digembar-gemburkan). Bukan sahaja dianggap perancang yang berkemahiran, Moutinho juga merupakan pemain yang bagus ketika menyerang sepertimana dibuktikannya ketika bersama Porto dan Portugal. Dengan kualiti menyerang yang turut dimiliki United menerusi Nani, Antonio Valencia, Wayne Rooney dan pemain yang baru dibeli, Shinji Kagawa, penyertaan Moutinho bakal menambah lagi sengat dan variasi The Red Devils ketika melancarkan serangan. Di Porto, Moutinho adalah antara pemain yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan kelab itu memenangi kejuaraan Primiera Liga dua kali berturut-turut serta Liga Europa, dan gandingannya bersama pemain Brazil (Hulk) juga diiktiraf sebagai yang terbaik di Primiera Liga. Moutinho memiliki pengalaman dan bakat untuk menjadikan dia pemain yang ideal buat The Red Devils, dia juga adalah seorang pemenang dan pemain yang mampu menjadikan United lebih digeruni musim hadapan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
JI-SUNG BAKAL SERTAI QPR
Penyokong-penyokong Manchester United sudah boleh bersedia untuk menyaksikan pemergian pemain tengah Korea Selatan, Park Ji-Sung selepas Queens Park Rangers mengemukakan tawaran sebanyak 5 juta Pound untuk mendapatkan pemain itu. United dijangka menerima tawaran QPR itu sekaligus menyaksikan karier Ji-Sung selama 7 tahun di Old Trafford bakal berakhir. Sumber terkini juga mengesahkan, Ji-Sung sudah menyatakan persetujuannya untuk menyertai kelab dari Loftus Road itu tetapi dengan nilai perpindahan 2 juta Pound. Ji-Sung sepanjang kariernya di Old Trafford antara pemain utama yang menjadi sandaran Sir Alex Ferguson terutamanya ketika berdepan perlawanan-perlawanan penting. Walau bagaimanapun sejak 18 bulan terakhir, kelibat Ji-Sung dalam skuad utama United jarang kelihatan dan musim ini juga menyaksikan dia lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan. Selepas kerap disisihkan dari skuad utama, menyertai QPR adalah jalan terbaik buat Ji-Sung meneruskan kariernya di England. United dan QPR dikatakan memiliki hubungan yang akrab terutamanya selepas Mark Hughes dilantik sebagai pengurus mereka, hingga menyaksikan kelab Barat London itu turut berjaya mendapatkan seorang lagi bintang United iaitu Fabio da Silva sebagai pemain pinjaman. Ji-Sung menyertai United pada musim panas 2005 dari PSV Eindhoven dan sepanjang kariernya di Old Trafford, Ji-Sung sudah bermain sebanyak 203 kali dan menjaringkan 27 gol untuk United. Sepanjang tempoh 7 tahun, Ji-Sung juga berjaya membantu United memenangi 4 trofi Liga Perdana dan 1 trofi Liga Juara-Juara. Terima kasih Ji-Sung atas sumbangan anda selama 7 tahun di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
06 Julai 2012
VAN PERSIE ATAU MOURA
Kejayaan disenaraikan dalam bursa saham New York dan beban hutang yang ditanggung disebabkan pengambilalihan oleh keluarga Glazer pada 2005 menjadi antara fokus utama sejak beberapa hari lalu. Hutang yang masih ditanggung sebanyak 423 juta Pound menyebabkan ramai penyokong-penyokong United bimbang tentang kemampuan kelab bersaing bagi mendapatkan pemain terbaik pada pasaran perpindahan pemain musim panas ini. United menerima tamparan awal apabila mereka terlepas Eden Hazard kepada Chelsea, senario hampir sama yang mereka alami musim lalu apabila Samir Nasri akhirnya memilih Manchester City, walaupun pada awalnya pemain antarabangsa Perancis itu dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford. Kekecewaan penyokong-penyokong selepas United gagal mendapatkan khidmat Hazard sedikit terubat apabila kelab berjaya membawa masuk bekas perancang berpengaruh Borussia Dortmund, Shinji Kagawa dan pemain muda yang dilabel sebagai bintang masa hadapan England dari Crewe Alexandra, Nick Powell. Selepas Kagawa dan Powell, Ferguson beberapa hari lalu mengumumkan akan membawa masuk beberapa pemain lagi sekaligus menjanjikan ini adalah musim panas yang sibuk buat United. Semalam, media-media di England hangat mengatakan bahawa United akan turut bersaing dengan jiran mereka Manchester City dalam usaha mendapatkan penyerang Arsenal yang juga merupakan penjaring terbanyak musim lalu, Robin van Persie. Sebelumnya van Persie telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berminat menyambung kontrak baru di Emirates, sekaligus membuka peluang buat United dan City memancing khidmat kapten Arsenal itu. Diberitakan bahawa bos United, Sir Alex Ferguson kali ini bertekad tidak mahu kegagalan mendapatkan tandatangan Nasri musim lalu berulang lagi dan mahu menyingkirkan City dalam perlumbaan mengejar kelibat van Persie.
Walau bagaimanapun masih timbul beberapa keraguan tentang usaha mendapatkan van Persie memandangkan usia pemain itu yang sudah menjangkau 29 tahun. Selepas menandatangani Dimitar Berbatov dengan harga 30 juta Pound pada 2008, United mengeluarkan polisi untuk tidak menawarkan kontrak lumayan kepada pemain berumur lebih dari 26 tahun. Timbul juga kebimbangan kelab mewah seperti City akan menggunakan kekuatan wang yang mereka miliki untuk mengumpan van Persie, sekaligus mengagalkan usaha Ferguson mendapatkan penyerang yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia ketika ini. Jadi, penyokong-penyokong United mungkin boleh melupakan impian menyaksikan kelibat van Persie bergandingan dengan Wayne Rooney jika diambilkira kedua-dua faktor di atas. Untuk lebih realistik, lupakan sahaja van Persie sebaliknya tumpukan kepada kelibat pemain muda Sao Paulo, Lucas Moura yang dikatakan turut menarik minat United. Terdapat berita di England mengatakan bahawa United sudah menghantar delegasi mereka ke Sao Paulo bagi mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pemain muda berusia 19 tahun itu. Bukan itu sahaja, United juga dikhabarkan sedia membayar sebanyak 30 juta Pound kepada Sao Paulo bagi merealisasikan perpindahan Moura ke Old Trafford. Jika Liga Perdana England mempunyai Theo Walcott, Brazil pula mempunyai Moura yang dilihat pemerhati dianugerahkan dengan skil individu dan bakat semulajadi mengagumkan. Moura diramalkan bakal muncul pemain yang digeruni satu hari nanti kerana selain bakat dan skil individu yang dimilikinya, pemain itu juga mengagumkan penyokong dan pemerhati dengan segala tipu helah ketika bola berada dikakinya. Ferguson sepertimana diketahui memang sudah lama meminati bakat serta gaya permainan Moura dan pemain muda ini menambahkan lagi senarai pemain yang disebut-sebut akan menyertai United musim panas ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
04 Julai 2012
UNITED DAN CHELSEA BERSAING DAPATKAN WITSEL
Manchester United meneruskan persaingan mereka dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain Belgium selepas tewas kepada kelab London itu dalam perebutan mendapatkan Eden Hazard. Kali ini giliran Axel Witsel pula menjadi sasaran dua gergasi England itu selepas kelab pemain itu, Benfica mengeluarkan kenyataan mereka sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk khidmat pemain tengah itu. Witsel yang menyertai Benfica dari Standard Liege musim lalu mengharungi tempoh hebatnya di Portugal apabila berjaya membantu kelab itu layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Benfica bagaimanapun hanya sedia melepaskan Witsel dengan harga permulaan 20 juta Pound, tiga kali ganda dari harga yang dibayar mereka kepada Standard Liege. Chelsea mungkin boleh menewaskan United sekali lagi dalam perebutan ini kerana mereka sudahpun memiliki empat pemain Belgium dalam skuad (Eden Hazard, Thibaut Courtois, Romelu Lukaku dan Kevin Bruyne), faktor yang mungkin boleh mendorong Witsel memilih Stamford Bridge sebagai destinasi seterusnya. Bagaimanapun kesungguhan Sir Alex Ferguson memperkuatkan barisan tengahnya bagi menghadapi musim depan boleh menjadi faktor utama untuk United memenangi saingan mendapatkan tandatangan pemain berusia 23 tahun itu. Glory Glory Manchester United!!!! - AJ
BERITA-BERITA LAIN:
FERGUSON AKUI AKAN TAMBAH PEMAIN BARU
Bos Manchester United, Sir AlexFerguson mengesahkan bahawa beliau akan menambah seorang atau dua lagi pemain baru pada pasaran perpindahan musim panas ini untuk memperkuatkan pasukannya. Sebelum ini The Red Devils sudahpun menandatangani Nick Powell dari Crewe Alexandra dan Shinji Kagawa dari Borussia Dortmund. Kini beberapa pemain baru dikaitkan dengan naib juara Liga Perdana England itu, antaranya ialah Leighton Baines (Everton) dan Joao Moutinho (FC Porto). Ferguson pada dasarnya gembira dengan aktiviti kelabnya dalam pasaran perpindahan musim panas ini, namun menegaskan untuk mendapatkan pemain baru adalah proses yang cukup rumit dan memerlukan tempoh waktu yang panjang. United terpaksa menghabiskan masa yang banyak ketika mengadakan rundingan dengan Borussia Dortmund bagi mendapatkan mendapatkan Kagawa, manakala Powell pula setuju menyertai United sebelum berlangsungnya perlawanan play-off League One antara Crewe dan Cheltenham di Wembley.
FERGUSON BERANG CARA POGBA TINGGALKAN UNITED
Dia dilabelkan sebagai bintang masa hadapan Manchester United selepas berpindah ke Old Trafford dari kelab Perancis, Le Havre pada 2009. Bagaimanapun jodoh Paul Pogba bersama United hanya bertahan selama 3 tahun sahaja selepas dia secara rasmi menyertai Juventus, keputusan yang nyata menimbulkan kemarahan Sir Alex Ferguson. United sudahpun mengumumkan secara rasmi, pemain berusia 19 tahun ini akan menyertai juara Serie A, Juventus musim depan dan Ferguson tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melepaskan kemarahannya melalui kenyataan yang dibuat di MUTV. Ferguson nyata kecewa dengan keputusan Pogba menyertai Juventus yang dianggapnya tidak menghormati kelab. Dengan nada sinis, Ferguson mengatakan bahawa beliau `gembira' melihat pemain muda itu keluar dari Old Trafford. Keputusan Pogba menyertai Juventus mungkin dipengaruhi rasa kecewa pemain itu kerana jarang diturunkan dalam skuad utama United. Sepanjang musim 2011/12, Pogba hanya membuat 7 penampilan dalam saingan Liga Perdana England.
NOMBOR 7 UNTUK VALENCIA
Langgan:
Catatan (Atom)









