Penyokong-penyokong Manchester United sudah boleh bersedia untuk menyaksikan pemergian pemain tengah Korea Selatan, Park Ji-Sung selepas Queens Park Rangers mengemukakan tawaran sebanyak 5 juta Pound untuk mendapatkan pemain itu. United dijangka menerima tawaran QPR itu sekaligus menyaksikan karier Ji-Sung selama 7 tahun di Old Trafford bakal berakhir. Sumber terkini juga mengesahkan, Ji-Sung sudah menyatakan persetujuannya untuk menyertai kelab dari Loftus Road itu tetapi dengan nilai perpindahan 2 juta Pound. Ji-Sung sepanjang kariernya di Old Trafford antara pemain utama yang menjadi sandaran Sir Alex Ferguson terutamanya ketika berdepan perlawanan-perlawanan penting. Walau bagaimanapun sejak 18 bulan terakhir, kelibat Ji-Sung dalam skuad utama United jarang kelihatan dan musim ini juga menyaksikan dia lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan. Selepas kerap disisihkan dari skuad utama, menyertai QPR adalah jalan terbaik buat Ji-Sung meneruskan kariernya di England. United dan QPR dikatakan memiliki hubungan yang akrab terutamanya selepas Mark Hughes dilantik sebagai pengurus mereka, hingga menyaksikan kelab Barat London itu turut berjaya mendapatkan seorang lagi bintang United iaitu Fabio da Silva sebagai pemain pinjaman. Ji-Sung menyertai United pada musim panas 2005 dari PSV Eindhoven dan sepanjang kariernya di Old Trafford, Ji-Sung sudah bermain sebanyak 203 kali dan menjaringkan 27 gol untuk United. Sepanjang tempoh 7 tahun, Ji-Sung juga berjaya membantu United memenangi 4 trofi Liga Perdana dan 1 trofi Liga Juara-Juara. Terima kasih Ji-Sung atas sumbangan anda selama 7 tahun di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan