Manchester United meneruskan persaingan mereka dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain Belgium selepas tewas kepada kelab London itu dalam perebutan mendapatkan Eden Hazard. Kali ini giliran Axel Witsel pula menjadi sasaran dua gergasi England itu selepas kelab pemain itu, Benfica mengeluarkan kenyataan mereka sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk khidmat pemain tengah itu. Witsel yang menyertai Benfica dari Standard Liege musim lalu mengharungi tempoh hebatnya di Portugal apabila berjaya membantu kelab itu layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Benfica bagaimanapun hanya sedia melepaskan Witsel dengan harga permulaan 20 juta Pound, tiga kali ganda dari harga yang dibayar mereka kepada Standard Liege. Chelsea mungkin boleh menewaskan United sekali lagi dalam perebutan ini kerana mereka sudahpun memiliki empat pemain Belgium dalam skuad (Eden Hazard, Thibaut Courtois, Romelu Lukaku dan Kevin Bruyne), faktor yang mungkin boleh mendorong Witsel memilih Stamford Bridge sebagai destinasi seterusnya. Bagaimanapun kesungguhan Sir Alex Ferguson memperkuatkan barisan tengahnya bagi menghadapi musim depan boleh menjadi faktor utama untuk United memenangi saingan mendapatkan tandatangan pemain berusia 23 tahun itu. Glory Glory Manchester United!!!! - AJ
BERITA-BERITA LAIN:
FERGUSON AKUI AKAN TAMBAH PEMAIN BARU
Bos Manchester United, Sir AlexFerguson mengesahkan bahawa beliau akan menambah seorang atau dua lagi pemain baru pada pasaran perpindahan musim panas ini untuk memperkuatkan pasukannya. Sebelum ini The Red Devils sudahpun menandatangani Nick Powell dari Crewe Alexandra dan Shinji Kagawa dari Borussia Dortmund. Kini beberapa pemain baru dikaitkan dengan naib juara Liga Perdana England itu, antaranya ialah Leighton Baines (Everton) dan Joao Moutinho (FC Porto). Ferguson pada dasarnya gembira dengan aktiviti kelabnya dalam pasaran perpindahan musim panas ini, namun menegaskan untuk mendapatkan pemain baru adalah proses yang cukup rumit dan memerlukan tempoh waktu yang panjang. United terpaksa menghabiskan masa yang banyak ketika mengadakan rundingan dengan Borussia Dortmund bagi mendapatkan mendapatkan Kagawa, manakala Powell pula setuju menyertai United sebelum berlangsungnya perlawanan play-off League One antara Crewe dan Cheltenham di Wembley.
FERGUSON BERANG CARA POGBA TINGGALKAN UNITED
Dia dilabelkan sebagai bintang masa hadapan Manchester United selepas berpindah ke Old Trafford dari kelab Perancis, Le Havre pada 2009. Bagaimanapun jodoh Paul Pogba bersama United hanya bertahan selama 3 tahun sahaja selepas dia secara rasmi menyertai Juventus, keputusan yang nyata menimbulkan kemarahan Sir Alex Ferguson. United sudahpun mengumumkan secara rasmi, pemain berusia 19 tahun ini akan menyertai juara Serie A, Juventus musim depan dan Ferguson tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melepaskan kemarahannya melalui kenyataan yang dibuat di MUTV. Ferguson nyata kecewa dengan keputusan Pogba menyertai Juventus yang dianggapnya tidak menghormati kelab. Dengan nada sinis, Ferguson mengatakan bahawa beliau `gembira' melihat pemain muda itu keluar dari Old Trafford. Keputusan Pogba menyertai Juventus mungkin dipengaruhi rasa kecewa pemain itu kerana jarang diturunkan dalam skuad utama United. Sepanjang musim 2011/12, Pogba hanya membuat 7 penampilan dalam saingan Liga Perdana England.
NOMBOR 7 UNTUK VALENCIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan