Kejayaan disenaraikan dalam bursa saham New York dan beban hutang yang ditanggung disebabkan pengambilalihan oleh keluarga Glazer pada 2005 menjadi antara fokus utama sejak beberapa hari lalu. Hutang yang masih ditanggung sebanyak 423 juta Pound menyebabkan ramai penyokong-penyokong United bimbang tentang kemampuan kelab bersaing bagi mendapatkan pemain terbaik pada pasaran perpindahan pemain musim panas ini. United menerima tamparan awal apabila mereka terlepas Eden Hazard kepada Chelsea, senario hampir sama yang mereka alami musim lalu apabila Samir Nasri akhirnya memilih Manchester City, walaupun pada awalnya pemain antarabangsa Perancis itu dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford. Kekecewaan penyokong-penyokong selepas United gagal mendapatkan khidmat Hazard sedikit terubat apabila kelab berjaya membawa masuk bekas perancang berpengaruh Borussia Dortmund, Shinji Kagawa dan pemain muda yang dilabel sebagai bintang masa hadapan England dari Crewe Alexandra, Nick Powell. Selepas Kagawa dan Powell, Ferguson beberapa hari lalu mengumumkan akan membawa masuk beberapa pemain lagi sekaligus menjanjikan ini adalah musim panas yang sibuk buat United. Semalam, media-media di England hangat mengatakan bahawa United akan turut bersaing dengan jiran mereka Manchester City dalam usaha mendapatkan penyerang Arsenal yang juga merupakan penjaring terbanyak musim lalu, Robin van Persie. Sebelumnya van Persie telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berminat menyambung kontrak baru di Emirates, sekaligus membuka peluang buat United dan City memancing khidmat kapten Arsenal itu. Diberitakan bahawa bos United, Sir Alex Ferguson kali ini bertekad tidak mahu kegagalan mendapatkan tandatangan Nasri musim lalu berulang lagi dan mahu menyingkirkan City dalam perlumbaan mengejar kelibat van Persie.
Walau bagaimanapun masih timbul beberapa keraguan tentang usaha mendapatkan van Persie memandangkan usia pemain itu yang sudah menjangkau 29 tahun. Selepas menandatangani Dimitar Berbatov dengan harga 30 juta Pound pada 2008, United mengeluarkan polisi untuk tidak menawarkan kontrak lumayan kepada pemain berumur lebih dari 26 tahun. Timbul juga kebimbangan kelab mewah seperti City akan menggunakan kekuatan wang yang mereka miliki untuk mengumpan van Persie, sekaligus mengagalkan usaha Ferguson mendapatkan penyerang yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia ketika ini. Jadi, penyokong-penyokong United mungkin boleh melupakan impian menyaksikan kelibat van Persie bergandingan dengan Wayne Rooney jika diambilkira kedua-dua faktor di atas. Untuk lebih realistik, lupakan sahaja van Persie sebaliknya tumpukan kepada kelibat pemain muda Sao Paulo, Lucas Moura yang dikatakan turut menarik minat United. Terdapat berita di England mengatakan bahawa United sudah menghantar delegasi mereka ke Sao Paulo bagi mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pemain muda berusia 19 tahun itu. Bukan itu sahaja, United juga dikhabarkan sedia membayar sebanyak 30 juta Pound kepada Sao Paulo bagi merealisasikan perpindahan Moura ke Old Trafford. Jika Liga Perdana England mempunyai Theo Walcott, Brazil pula mempunyai Moura yang dilihat pemerhati dianugerahkan dengan skil individu dan bakat semulajadi mengagumkan. Moura diramalkan bakal muncul pemain yang digeruni satu hari nanti kerana selain bakat dan skil individu yang dimilikinya, pemain itu juga mengagumkan penyokong dan pemerhati dengan segala tipu helah ketika bola berada dikakinya. Ferguson sepertimana diketahui memang sudah lama meminati bakat serta gaya permainan Moura dan pemain muda ini menambahkan lagi senarai pemain yang disebut-sebut akan menyertai United musim panas ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan