06 Oktober 2012

PREVIEW: NEWCASTLE UNITED lwn MANCHESTER UNITED


Pertembungan Newcastle United dan Manchester United malam esok di Sports Direct Arena merupakan pertembungan ke-135 antara kedua-dua kelab. Hatem Ben Arfa akan kembali semula mengisi kesebelasan utama selepas sekadar diletakkan di bangku simpanan pada saingan Liga Europa menentang Bordeaux kelmarin. Selepas berjaya mencatat kemenangan memberangsangkan 3-0 ke atas Bordeaux dalam perlawanan itu, Alan Pardew pastinya akan terus mengukuhkan skuadnya dengan menyenaraikan semula Ben Arfa pada perlawanan liga menentang United. Walaupun Ben Arfa sudah menamatkan penggantungan tiga perlawanan di peringkat Eropah dan layak diturunkan ketika menentang Bordeaux kelmarin, Pardew sebaliknya memilih untuk merehatkan pemain itu sebagai persediaan menghadapi United esok. Prestasi Newcastle dalam saingan liga setakat ini agak kurang konsisten apabila mereka hanya mengutip sembilan mata dari enam perlawanan dan menghuni tangga kesepuluh liga. Walaupun berjaya menewaskan Tottenham Hotspurs pada perlawanan pertama liga, mereka hanya menang sekali selepas itu (ke atas Norwich City) dan bernasib baik berjaya mengikat Reading (2-2) minggu lalu selepas ketinggalan dua gol. Kunjungan ke Sports Direct Arena musim lalu berakhir dengan kekalahan 0-3 dan selepas tewas di gelanggang sendiri kepada Spurs minggu lalu, United perlu memperkemaskan benteng pertahanan mereka bagi mengelak nasib sama terus berulang. Meskipun berjaya menyingkirkan The Magpies pada pusingan kedua Piala Capital One, kunjungan ke gelanggang lawan bukanlah sesuatu yang mudah buat United tambahan pula tanpa kelibat kapten pasukan, Nemanja Vidic. United menerima khabar gembira menjelang perlawanan ini apabila Chris Smalling diberitakan sudah pulih dari kecederaan dan akan disenaraikan Sir Alex Ferguson dalam skuad yang akan dibawanya ke Sports Direct Arena nanti. Jika Pardew berkira-kira mahu mengambil kesempatan atas krisis kecederaan yang melanda benteng pertahanan United berikutan ketiadaan Vidic, pengendali itu perlu terlebih dahulu memperkemaskan benteng pertahanannya sendiri dan memikirkan cara bagaimana untuk mengekang kombinasi Wayne Rooney dan Robin Van Persie di bahagian hadapan. Kombinasi Rooney dan Van Persie membuktikan ketajaman mereka selepas gandingan itu memainkan peranan penting di sebalik kemenangan ke atas CFR Cluj pada saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu. Dua assist sumbangan Rooney membolehkan Van Persie menghasilkan dua gol di bumi Romania selepas United ketinggalan 0-1 pada perlawanan itu. Rooney dilihat sudah mula menemui prestasi terbaiknya apabila mempamerkan aksi tajam sejak kembali semula ke pangkuan skuad dari kecederaan paha. Bagaimanapun pasangan Rooney dan Van Persie perlu berada pada tahap terbaik dalam perlawanan ini jika mahu membantu United kembali ke landasan kemenangan selepas dikejutkan Spurs minggu lalu. Kekalahan kepada Spurs menyaksikan kedudukan United di tangga kedua dipintas Everton, manakala The Magpies berharap kemenangan ke atas United akan melonjakkan mereka ke kedudukan empat teratas. United tidak boleh tewas perlawanan ini dan perlu memastikan mereka tidak ditinggalkan terlalu jauh dari kedudukan tangga teratas liga yang ketika ini dihuni Chelsea. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 134 kali sebelum ini dimana United unggul dengan rekod 65-36-33.

- Dari 67 kunjungan ke gelanggang lawan, United menang 25 perlawanan, seri 16 dan tewas 26 kali.

- Kali terakhir United menewaskan Newcastle di gelanggang lawan ialah pada 5 Mac 2009. Pada perlawanan itu United menang 2-1 hasil jaringan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selepas lawan mendahului menerusi jaringan penyerang Denmark, Peter Lovenkrands.

Barisan Kemungkinan Newcastle:

Tim Krull, Danny Simpson, Mike Williamson, Fabricio Coloccini, Steven Taylor, Jonas Gutierrez, Yohan Cabaye, Haris Vuckic, Hatem Ben Arfa, Demba Ba & Shola Ameobi

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Chris Smalling, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Ryan Giggs, Michael Carrick, Antonio Valencia, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie 

04 Oktober 2012

JANGAN LUPAKAN SUMBANGAN ROONEY


Robin Van Persie sekali lagi menjadi tumpuan penyokong-penyokong United selepas penyerang itu menjaringkan dua gol untuk membolehkan United mengutip tiga mata penuh ke atas CFR Cluj di gelanggang lawan pada saingan Liga Juara-Juara kelmarin. Van Persie sebelumnya pantas menjadi tumpuan apabila menghasilkan hatrik ketika berdepan Southampton pada perlawanan liga dan penalti lewatnya membolehkan United menewaskan Liverpool di Anfield buat pertama kali dalam tempoh lima tahun. Prestasi cemerlang Van Persie menyebabkan seorang lagi bintang yang sebelumnya cukup disanjung tinggi di Old Trafford, iaitu Wayne Rooney seolah-olah mula dilupakan peminat. Rooney memulakan aksi musim ini dengan langkah kiri apabila prestasinya ketika United tewas kepada Everton di Goodison Park dipertikaikan dan tambah malang apabila dia mengalami kecederaan yang agak serius ketika berdepan Fulham pada perlawanan kedua. Rooney hanya kembali semula kedalam kesebelasan utama United ketika skuad The Red Devils itu menyingkirkan Newcastle United di pusingan ketiga Piala Capital One minggu lalu. Prestasi Rooney ketika berdepan The Magpies mula membuka semula mata penyokong-penyokong United dan dua assist yang dilakukan Rooney di Stadium Dr Constantin membolehkan Van Persie merakamkan dua gol ke atas Cluj. Mengkritik memang mudah dan sekarang ramai yang lebih gemar bercakap tentang prestasi Van Persie dari hal-hal lain. Van Persie memang seorang penyerang yang menakjubkan dan berkelas dunia namun jangan lupakan apa yang Rooney telah sumbangkan untuk kelab selama ini. Rooney bukan saja tonggak utama United sejak beberapa musim lalu malah seorang pemain bertaraf bintang dan dia pantas menolak segala kritikan yang dilemparkan keatasnya dengan aksi `tajam' di bumi Romania. Memang lumrah bagi semua manusia, akan timbul perasaan teruja pada sesuatu yang baru dan begitulah yang berlaku dalam situasi Van Persie. Memetik kata-kata Patrice Evra, "Apabila seseorang pemain baru datang, semua orang akan teruja dan lupa pada yang lama. Tetapi Wazza akan menunjukkan kepada semua orang mereka sebenarnya silap jika melupakannya", kata Evra. Persembahan Rooney di Stadium Dr Constantin turut mengundang pujian Van Persie sendiri apabila penyerang itu menyifatkan Rooney kini `sudah kembali'. Gandingan Van Persie dan Rooney kini tentunya dinantikan penuh teruja oleh penyokong-penyokong United dan semoga gandingan mereka akan meneruskan momentum ketika berkunjung ke Sports Direct Arena hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!!

UNITED PERLU KELUARKAN DANA BESAR JIKA BERHASRAT PANCING THOMAS INCE


Prestasi cemerlang Thomas Ince bersama Blackpool musim ini menarik minat Manchester United untuk memancing bintang muda itu. Bekas pelatih Akademi Liverpool yang juga anak kepada Paul Ince (Ince pernah beraksi bersama United, Inter Milan dan Liverpool) itu muncul penjaring terbanyak kelab bergelar The Seasiders dengan koleksi enam gol setakat ini di Liga Kejuaraan. Prestasi terkini pemain berusia 20 tahun itu bersama Blackpool turut membolehkannya disenaraikan dalam skuad U-21 England. Walaupun tawaran United ke atas Thomas belum dibuat, pengurus Blackpool, Ian Holloway sudah membayangkan bahawa gergasi Liga Perdana itu perlu mengeluarkan dana yang besar jika berhasrat memancing bintang mudanya itu. Holloway sedar beliau memang tidak berupaya menghalang mana-mana pemainnya dari menyertai kelab lain apatah lagi jika tawaran dari kelab besar seperti United hadir. Bukan mudah untuk menolak godaan dari kelab gergasi dan buat bintang muda seperti Thomas, berhijrah ke Old Trafford memang menjadi impian mana-mana pemain muda. "Saya memang tidak mampu menghalang mana-mana pemain dari berhijrah. Namun kami rasa kami boleh mendapatkan keuntungan hasil penjualannya (Thomas)", kata Holloway. Melihat kepada kelibat Thomas, Holloway yakin pemain muda itu mampu mengatasi pencapaian ayahnya yang muncul antara bintang utama di bahagian tengah England ketika zamannya sebagai pemain. Glory Glory Manchester United!!!

03 Oktober 2012

REVIEW LIGA JUARA-JUARA: UNITED RAMPAS TANGGA TERATAS KUMPULAN H


Manchester United mencatat kemenangan penting di gelanggang lawan selepas berjaya menewaskan CFR Cluj 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.  Meskipun ketinggalan terlebih dahulu hasil jaringan Pantelis Kapetanos diminit ke-14, United bangkit hasil dua jaringan Robin Van Persie sekaligus merampas kedudukan pendahulu Kumpulan H dengan enam mata. Bagi Van Persie, dua gol ini adalah gol pertamanya untuk United dalam saingan Liga Juara-Juara sejak berpindah dari Arsenal sekaligus membantu United meraih kemenangan ke-100 dalam sejarah penyertaan mereka di saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. United hadir dengan reputasi menang semua empat perlawanan mereka ketika berdepan kelab-kelab Romania sebelum ini, menjaringkan sembilan gol dan hanya dibolosi sekali. Bagaimanapun Cluj menghadirkan cabaran berbeza buat barisan The Red Devils kali ini apabila taktik bertahan dan serang balas pantas mereka kerap kali mencemaskan benteng United. Tuan rumah hanya memerlukan 14 minit untuk membolosi gawang United yang dikawal David de Gea apabila Kapetanos memanfaatkan umpanan rendah Moudou Sougou dari sebelah kanan. Biarpun ketinggalan, barisan United yang cukup berpengalaman di pentas Eropah tidak panik malah Rooney hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian namun percubaannya berjaya diselamatkan Mario Felgueiras. Gol penyamaan United akhirnya hadir apabila umpanan Rooney ditanduk masuk Van Persie sekaligus mengikat kedudukan sebelum rehat. Bersambung di babak kedua, United terus  memberikan tekanan kepada barisan tuan rumah dan Van Persie hanya memerlukan empat minit sebaik babak kedua bersambung untuk menjaringkan gol keduanya. Van Persie membuktikan reputasinya sebagai penyerang kelas dunia apabila sekali lagi memanfaatkan hantaran Rooney untuk merembat masuk gol kedua United. Cluj hampir menyamakan kedudukan di penghujung permainan namun David de Gea bertindak cemerlang menyelamatkan bola tandukan Rafael Bastos. Percaturan Ferguson untuk menggandingkan Rooney dan Van Persie dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini berhasil apabila kombinasi kedua-dua penyerang itu memainkan peranan utama disebalik kemenangan United. Ini juga merupakan kekalahan pertama Cluj dalam semua kejohanan musim ini selepas aksi cemerlang mereka yang menang semua enam perlawanan liga domestik disamping meraih tiga mata ke atas Braga di gelanggang lawan pada perlawanan pertama. Untuk rekod, kemenangan ini juga meletakkan United menyamai pencapaian kemenangan Real Madrid apabila masing-masing berkongsi 100 kemenangan di pentas Liga Juara-Juara. Selepas ini United akan menerima kunjungan Braga di Old Trafford pada 24 Oktober manakala Cluj berdepan Galatasaray di gelanggang lawan. Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan:

Penguasaan Permainan: 33% - 67%
Percubaan Tepat: 7 - 7
Percubaan Tersasar: 5 - 7
Sepakan Sudut: 7 - 5
Kad Kuning: 0 - 1
Kad Merah: 0 - 0
Gol: 1 - 2

02 Oktober 2012

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: CFR CLUJ lwn MANCHESTER UTD


Kunjungan ke Stadium Dr Constantin awal pagi esok menjadi antara perlawanan paling bermakna dalam sejarah penyertaan Manchester United pada saingan Liga Juara-Juara. Kunjungan United ke Romania menentang CFR Cluj berbekalkan misi memburu kemenangan ke-100 mereka dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Selepas mengutip mata penuh pada perlawanan pertama, United pastinya mahu mengukuhkan cengkaman mereka dengan meraih mata maksimum pada perlawanan kedua Kumpulan H ini. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson tidak membawa bersama Ryan Giggs, Paul Scholes, Antonio Valencia dan Michael Carrick ke Romania bagi memberi ruang rehat secukupnya buat kuartet itu sebelum berdepan tugas sukar aksi liga menentang Newcastle United di gelanggang lawan hujung minggu ini. Ferguson dijangka memberikan peluang penampilan pertama kepada  Scott Wootton di peringkat Eropah manakala Darren Fletcher akan memikul tugas penggerak di bahagian tengah berikutan ketiadaan Carrick dan Scholes. Tuan rumah pula turun tanpa Ciprian Deac, Adam Vass, Bakary Sare dan Ronny yang mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun Cluj akan memperolehi semula khidmat pemain pertahanan mereka, Vasile Maftei yang bebas dari penggantungan satu perlawanan. Cluj awal-awal lagi sudah menjanjikan tentangan sengit buat United, apatah lagi mereka kini dibuai keyakinan selepas mencatat kemenangan ke atas wakil Portugal, SC Braga di gelanggang lawan pada perlawanan pertama. Prestasi mereka di peringkat domestik juga cukup menyakinkan apabila meraih mata maksimum dari semua enam perlawanan liga. Skuad bimbingan Ioan Andone itu yang kini mendahului saingan Kumpulan H berazam menjadikan United mangsa kedua mereka, malah pengendali itu sudah mula memasang impian untuk layak ke pusingan kedua. Biarpun ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan, Andone sebenarnya sudah berdepan Sir Alex Ferguson pada saingan Liga Juara-Juara musim 2004/05 ketika masih melatih Dinamo Bucuresti. Sementara itu, Wayne Rooney mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar waspada dengan ancaman yang bakal hadir dari Cluj. United bertandang ke Romania berbekalkan kekalahan kedua mereka dalam saingan liga musim ini selepas tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs, Sabtu lalu. Tidak mahu aib di peringkat Eropah musim lalu berulang, Rooney mengingatkan United agar tidak meremehkan skuad underdog jika mahu layak ke pusingan kedua. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Cluj:

Mario Felguerias, Ivo Pinto, Cadu, Ionut Rada, Laszlo Sepsi, Gabriel Muresan, Luis Alberto, Moudou Sougou, Rafael Bastos, Camora, Pantelis Kapetanos

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Scott Wootton, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Anderson, Tom Cleverley, Danny Welbeck, Javier Hernandez & Wayne Rooney

01 Oktober 2012

PELUANG UNITED TERJEJAS TANPA VIDIC?


Masih terlalu awal untuk meramalkan atau meletakkan kelab mana bakal menjuarai  gelaran Liga Perdana England (BPL) musim ini. Selepas enam perlawanan, Chelsea masih mendahului kedudukan liga dengan 16 mata serta masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Ketika ini memang diakui Chelsea dilihat agak kebal apatah lagi selepas mereka berjaya membenam Arsenal di gelanggang lawan (Stadium Emirates) Sabtu lalu. Prestasi United di awal musim seperti biasa, sama seperti musim-musim sebelumnya agak tidak konsisten. Jadi tidak hairanlah jika The Red Devils sering dilabel sebagai `pasukan yang lambat panas'. Selepas mengalami kekalahan di Goodison Park pada perlawanan pertama, United dikejutkan dengan kekalahan terbaru mereka, kali ini di gelanggang sendiri kepada Tottenham Hotspurs. Andre Villas-Boas memang patut bergembira dan meraikan kemenangan ini selepas berjaya membawa Spurs keluar dari `badi Old Trafford' yang membelenggu mereka selama 23 tahun. Selepas kali terakhir menang di Old Trafford pada 1989, Spurs memberikan pengajaran paling bermakna kepada barisan United terutamanya benteng pertahanan mereka. Ketiadaan Nemanja Vidic yang menjalani pembedahan lutut dan dijangka akan berehat selama empat bulan (atau mungkin terlepas aksi keseluruhan musim) menjadikan krisis kecederaan yang melanda kem United semakin parah. Sir Alex Ferguson sudahpun kehilangan Chris Smalling serta Phil Jones di barisan pertahanan dan ketiadaan Vidic menambahkan lagi derita bos United itu di awal musim. Vidic adalah kapten pasukan dan pemain tonggak di barisan pertahanan, ketiadaannya tentu saja memberikan impak besar kepada barisan United keseluruhannya. Malah Alan Shearer, bekas bintang England yang pernah beraksi bersama Southampton, Blackburn Rovers dan Newcastle United sudah berani meramalkan tanpa Vidic, United mungkin boleh melupakan hasrat mereka menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. "Kehilangan Vidic akan membuatkan United melihat kejuaraan liga berada di tempat lain, mungkin saja di Stamford Bridge", kata Shearer dalam kolumnya di akhbar The Sun. Mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Shearer apabila melihat kepada prestasi benteng United ketika berdepan Spurs. Pertahanan United yang diterajui Rio Ferdinand dan Jonny Evans tiada jawapan dalam usaha mengekang kepantasan Gareth Bale, Aaron Lennon dan Kyle Walker terutamanya. Memang diakui, Evans seorang pertahanan tengah yang cukup bagus namun dia dilihat masih belum bersedia menggantikan tempat Vidic sepenuhnya. Prestasi Ferdinand pula jauh dari apa yang dipamerkannya berbanding lima tahun yang lalu sehingga meletakkannya antara pemain pertahanan tengah terbaik di dunia ketika itu. Apapun itu hanyalah ramalan Shearer dan perjalanan liga musim ini masih panjang dengan baki 32 perlawanan lagi perlu diharungi. Seperti yang dinyatakan di atas, United memang terkenal sebagai pasukan yang `lambat panas' dan diharap kekalahan kepada Spurs di gelanggang sendiri akan memberi pengajaran berguna buat barisan The Red Devils. United bukanlah pasukan yang bergantung kepada seorang pemain. Semoga mana-mana pemain pun yang diturunkan menggantikan tempat Vidic nanti mampu menggalas tugas yang diberikan. Buat masa ini, mereka (yang menggantikan Vidic) mungkin tidak sebaik captain marvel  itu tapi untuk muncul pemain sebaik Vidic perlukan proses yang panjang. Berikan masa, peluang dan sokongan kepada Evans kerana ketika ini dia merupakan pemain paling sesuai bermain di sebelah Ferdinand semasa ketiadaan Vidic. Glory Glory Manchester United!!!

SPEKULASI PERPINDAHAN: NANI AKAN DITUKAR DENGAN SNEIJDER?


Karier Nani di Old Trafford semakin berada di penghujung selepas Manchester United diberitakan sedia meletakkan pemain itu dalam pasaran perpindahan Januari ini. Nani yang mencetuskan kemarahan Ferguson selepas bergaduh dengan pemain muda, Davide Petrucci semasa sesi latihan mungkin dijadikan `bahan pertukaran' dengan playmaker Inter Milan, Wesley Sneijder. Insiden perkelahian itu akan memendekkan lagi tempoh hayat karier Nani bersama United apatah lagi sejak beberapa bulan lalu spekulasi tentang masa depan pemain antarabangsa Portugal itu di Old Trafford hangat diperkatakan. Sebelum itu, Juventus muncul kelab disenarai paling atas berminat membawa Nani beraksi ke Serie A, namun khabar terkini mengatakan Inter kini muncul kelab terbaru berminat mendapatkan khidmat pemain sayap berusia 25 tahun itu. Menurut laporan media-media di Itali, United sudahpun mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Inter berkaitan prospek pertukaran antara kedua-dua pemain (Nani dan Sneijder) itu. Sejak musim lalu, United masih belum menemui lagi pengganti Paul Scholes sebagai penggerak di bahagian tengah biarpun Sir Alex Ferguson menandatangani Shinji Kagawa dari Borussia Dortmund, Julai lalu. Kehadiran Sneijder mungkin menjadi penyelesaian kepada masalah di bahagian tengah United dan perancang berpengaruh Belanda itu memang diketahui menjadi sasaran Ferguson sejak awal musim lalu lagi. Glory Glory Manchester United!!!