Kunjungan ke Stadium Dr Constantin awal pagi esok menjadi antara perlawanan paling bermakna dalam sejarah penyertaan Manchester United pada saingan Liga Juara-Juara. Kunjungan United ke Romania menentang CFR Cluj berbekalkan misi memburu kemenangan ke-100 mereka dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Selepas mengutip mata penuh pada perlawanan pertama, United pastinya mahu mengukuhkan cengkaman mereka dengan meraih mata maksimum pada perlawanan kedua Kumpulan H ini. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson tidak membawa bersama Ryan Giggs, Paul Scholes, Antonio Valencia dan Michael Carrick ke Romania bagi memberi ruang rehat secukupnya buat kuartet itu sebelum berdepan tugas sukar aksi liga menentang Newcastle United di gelanggang lawan hujung minggu ini. Ferguson dijangka memberikan peluang penampilan pertama kepada Scott Wootton di peringkat Eropah manakala Darren Fletcher akan memikul tugas penggerak di bahagian tengah berikutan ketiadaan Carrick dan Scholes. Tuan rumah pula turun tanpa Ciprian Deac, Adam Vass, Bakary Sare dan Ronny yang mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun Cluj akan memperolehi semula khidmat pemain pertahanan mereka, Vasile Maftei yang bebas dari penggantungan satu perlawanan. Cluj awal-awal lagi sudah menjanjikan tentangan sengit buat United, apatah lagi mereka kini dibuai keyakinan selepas mencatat kemenangan ke atas wakil Portugal, SC Braga di gelanggang lawan pada perlawanan pertama. Prestasi mereka di peringkat domestik juga cukup menyakinkan apabila meraih mata maksimum dari semua enam perlawanan liga. Skuad bimbingan Ioan Andone itu yang kini mendahului saingan Kumpulan H berazam menjadikan United mangsa kedua mereka, malah pengendali itu sudah mula memasang impian untuk layak ke pusingan kedua. Biarpun ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan, Andone sebenarnya sudah berdepan Sir Alex Ferguson pada saingan Liga Juara-Juara musim 2004/05 ketika masih melatih Dinamo Bucuresti. Sementara itu, Wayne Rooney mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar waspada dengan ancaman yang bakal hadir dari Cluj. United bertandang ke Romania berbekalkan kekalahan kedua mereka dalam saingan liga musim ini selepas tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspurs, Sabtu lalu. Tidak mahu aib di peringkat Eropah musim lalu berulang, Rooney mengingatkan United agar tidak meremehkan skuad underdog jika mahu layak ke pusingan kedua. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan Cluj:
Mario Felguerias, Ivo Pinto, Cadu, Ionut Rada, Laszlo Sepsi, Gabriel Muresan, Luis Alberto, Moudou Sougou, Rafael Bastos, Camora, Pantelis Kapetanos
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Scott Wootton, Alexander Buttner, Darren Fletcher, Anderson, Tom Cleverley, Danny Welbeck, Javier Hernandez & Wayne Rooney
Tiada ulasan:
Catat Ulasan