Masih terlalu awal untuk meramalkan atau meletakkan kelab mana bakal menjuarai gelaran Liga Perdana England (BPL) musim ini. Selepas enam perlawanan, Chelsea masih mendahului kedudukan liga dengan 16 mata serta masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Ketika ini memang diakui Chelsea dilihat agak kebal apatah lagi selepas mereka berjaya membenam Arsenal di gelanggang lawan (Stadium Emirates) Sabtu lalu. Prestasi United di awal musim seperti biasa, sama seperti musim-musim sebelumnya agak tidak konsisten. Jadi tidak hairanlah jika The Red Devils sering dilabel sebagai `pasukan yang lambat panas'. Selepas mengalami kekalahan di Goodison Park pada perlawanan pertama, United dikejutkan dengan kekalahan terbaru mereka, kali ini di gelanggang sendiri kepada Tottenham Hotspurs. Andre Villas-Boas memang patut bergembira dan meraikan kemenangan ini selepas berjaya membawa Spurs keluar dari `badi Old Trafford' yang membelenggu mereka selama 23 tahun. Selepas kali terakhir menang di Old Trafford pada 1989, Spurs memberikan pengajaran paling bermakna kepada barisan United terutamanya benteng pertahanan mereka. Ketiadaan Nemanja Vidic yang menjalani pembedahan lutut dan dijangka akan berehat selama empat bulan (atau mungkin terlepas aksi keseluruhan musim) menjadikan krisis kecederaan yang melanda kem United semakin parah. Sir Alex Ferguson sudahpun kehilangan Chris Smalling serta Phil Jones di barisan pertahanan dan ketiadaan Vidic menambahkan lagi derita bos United itu di awal musim. Vidic adalah kapten pasukan dan pemain tonggak di barisan pertahanan, ketiadaannya tentu saja memberikan impak besar kepada barisan United keseluruhannya. Malah Alan Shearer, bekas bintang England yang pernah beraksi bersama Southampton, Blackburn Rovers dan Newcastle United sudah berani meramalkan tanpa Vidic, United mungkin boleh melupakan hasrat mereka menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. "Kehilangan Vidic akan membuatkan United melihat kejuaraan liga berada di tempat lain, mungkin saja di Stamford Bridge", kata Shearer dalam kolumnya di akhbar The Sun. Mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Shearer apabila melihat kepada prestasi benteng United ketika berdepan Spurs. Pertahanan United yang diterajui Rio Ferdinand dan Jonny Evans tiada jawapan dalam usaha mengekang kepantasan Gareth Bale, Aaron Lennon dan Kyle Walker terutamanya. Memang diakui, Evans seorang pertahanan tengah yang cukup bagus namun dia dilihat masih belum bersedia menggantikan tempat Vidic sepenuhnya. Prestasi Ferdinand pula jauh dari apa yang dipamerkannya berbanding lima tahun yang lalu sehingga meletakkannya antara pemain pertahanan tengah terbaik di dunia ketika itu. Apapun itu hanyalah ramalan Shearer dan perjalanan liga musim ini masih panjang dengan baki 32 perlawanan lagi perlu diharungi. Seperti yang dinyatakan di atas, United memang terkenal sebagai pasukan yang `lambat panas' dan diharap kekalahan kepada Spurs di gelanggang sendiri akan memberi pengajaran berguna buat barisan The Red Devils. United bukanlah pasukan yang bergantung kepada seorang pemain. Semoga mana-mana pemain pun yang diturunkan menggantikan tempat Vidic nanti mampu menggalas tugas yang diberikan. Buat masa ini, mereka (yang menggantikan Vidic) mungkin tidak sebaik captain marvel itu tapi untuk muncul pemain sebaik Vidic perlukan proses yang panjang. Berikan masa, peluang dan sokongan kepada Evans kerana ketika ini dia merupakan pemain paling sesuai bermain di sebelah Ferdinand semasa ketiadaan Vidic. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan