06 Oktober 2012

PREVIEW: NEWCASTLE UNITED lwn MANCHESTER UNITED


Pertembungan Newcastle United dan Manchester United malam esok di Sports Direct Arena merupakan pertembungan ke-135 antara kedua-dua kelab. Hatem Ben Arfa akan kembali semula mengisi kesebelasan utama selepas sekadar diletakkan di bangku simpanan pada saingan Liga Europa menentang Bordeaux kelmarin. Selepas berjaya mencatat kemenangan memberangsangkan 3-0 ke atas Bordeaux dalam perlawanan itu, Alan Pardew pastinya akan terus mengukuhkan skuadnya dengan menyenaraikan semula Ben Arfa pada perlawanan liga menentang United. Walaupun Ben Arfa sudah menamatkan penggantungan tiga perlawanan di peringkat Eropah dan layak diturunkan ketika menentang Bordeaux kelmarin, Pardew sebaliknya memilih untuk merehatkan pemain itu sebagai persediaan menghadapi United esok. Prestasi Newcastle dalam saingan liga setakat ini agak kurang konsisten apabila mereka hanya mengutip sembilan mata dari enam perlawanan dan menghuni tangga kesepuluh liga. Walaupun berjaya menewaskan Tottenham Hotspurs pada perlawanan pertama liga, mereka hanya menang sekali selepas itu (ke atas Norwich City) dan bernasib baik berjaya mengikat Reading (2-2) minggu lalu selepas ketinggalan dua gol. Kunjungan ke Sports Direct Arena musim lalu berakhir dengan kekalahan 0-3 dan selepas tewas di gelanggang sendiri kepada Spurs minggu lalu, United perlu memperkemaskan benteng pertahanan mereka bagi mengelak nasib sama terus berulang. Meskipun berjaya menyingkirkan The Magpies pada pusingan kedua Piala Capital One, kunjungan ke gelanggang lawan bukanlah sesuatu yang mudah buat United tambahan pula tanpa kelibat kapten pasukan, Nemanja Vidic. United menerima khabar gembira menjelang perlawanan ini apabila Chris Smalling diberitakan sudah pulih dari kecederaan dan akan disenaraikan Sir Alex Ferguson dalam skuad yang akan dibawanya ke Sports Direct Arena nanti. Jika Pardew berkira-kira mahu mengambil kesempatan atas krisis kecederaan yang melanda benteng pertahanan United berikutan ketiadaan Vidic, pengendali itu perlu terlebih dahulu memperkemaskan benteng pertahanannya sendiri dan memikirkan cara bagaimana untuk mengekang kombinasi Wayne Rooney dan Robin Van Persie di bahagian hadapan. Kombinasi Rooney dan Van Persie membuktikan ketajaman mereka selepas gandingan itu memainkan peranan penting di sebalik kemenangan ke atas CFR Cluj pada saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu. Dua assist sumbangan Rooney membolehkan Van Persie menghasilkan dua gol di bumi Romania selepas United ketinggalan 0-1 pada perlawanan itu. Rooney dilihat sudah mula menemui prestasi terbaiknya apabila mempamerkan aksi tajam sejak kembali semula ke pangkuan skuad dari kecederaan paha. Bagaimanapun pasangan Rooney dan Van Persie perlu berada pada tahap terbaik dalam perlawanan ini jika mahu membantu United kembali ke landasan kemenangan selepas dikejutkan Spurs minggu lalu. Kekalahan kepada Spurs menyaksikan kedudukan United di tangga kedua dipintas Everton, manakala The Magpies berharap kemenangan ke atas United akan melonjakkan mereka ke kedudukan empat teratas. United tidak boleh tewas perlawanan ini dan perlu memastikan mereka tidak ditinggalkan terlalu jauh dari kedudukan tangga teratas liga yang ketika ini dihuni Chelsea. Glory Glory Manchester United!!!

Rekod Pertemuan:

- Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 134 kali sebelum ini dimana United unggul dengan rekod 65-36-33.

- Dari 67 kunjungan ke gelanggang lawan, United menang 25 perlawanan, seri 16 dan tewas 26 kali.

- Kali terakhir United menewaskan Newcastle di gelanggang lawan ialah pada 5 Mac 2009. Pada perlawanan itu United menang 2-1 hasil jaringan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selepas lawan mendahului menerusi jaringan penyerang Denmark, Peter Lovenkrands.

Barisan Kemungkinan Newcastle:

Tim Krull, Danny Simpson, Mike Williamson, Fabricio Coloccini, Steven Taylor, Jonas Gutierrez, Yohan Cabaye, Haris Vuckic, Hatem Ben Arfa, Demba Ba & Shola Ameobi

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Chris Smalling, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Ryan Giggs, Michael Carrick, Antonio Valencia, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan