24 November 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn QUEENS PARK RANGERS



Manchester United akan menerima kunjungan kelab di tangga terbawah, Queens Park Rangers dengan misi mahu merampas semula kedudukan sebagai pendahulu liga. Selepas tewas di Carrow Road minggu lalu sekaligus kekalahan ketiga mereka dalam saingan liga setakat ini, barisan United berazam memungut tiga mata penuh dalam perlawanan ini sebagai hadiah buat Sir Alex Ferguson yang meraikan ulang tahun ke-26 sebagai pengurus Manchester United. Kunjungan QPR kali ini sebenarnya membawa nostalgia tersendiri buat Ferguson kerana kira-kira 26 tahun lalu (22 November 1986), United mencatat kemenangan pertama mereka di bawah kendaliannya (selepas Ferguson mengambil alih tugas dari Ron Atkinson) apabila berjaya menewaskan kelab kota London itu 1-0. Kunjungan QPR kali ini juga menyaksikan bekas pemain United, Park Ji-Sung kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali selepas berhijrah ke Loftus Road musim panas ini. Jika dilihat atas kertas, United tidak berdepan masalah untuk menang perlawanan ini terutamanya jika diambil kira rekod 10 pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan. QPR yang baru memecat pengurus mereka, Mark Hughes tidak pernah menang 10 perlawanan terakhir mereka ketika bertemu United dan satu-satunya keputusan terbaik yang diraih mereka ke atas The Red Devils ialah ketika mencatat keputusan seri pada Mac 1996. Kali terakhir mereka mencatatkan kemenangan ke atas United ialah pada Januari 1992 dimana mereka menang 4-1 ketika itu.

Rekod baik United ketika beraksi di gelanggang sendiri pastinya tambah menyukarkan misi QPR untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam perlawanan ini. United hanya tewas sekali daripada lima aksi terakhir di gelanggang sendiri musim ini (tewas 2-3 kepada Spurs) dan Arsenal menjadi mangsa teakhir yang berjaya ditewaskan United di Theatre of Dreams. Berbeza dengan QPR pula, mereka belum mencatat sebarang kemenangan dari lima perlawanan terakhir mereka di gelanggang lawan dan sekadar mengumpul empat mata setakat ini. Sementara itu United menerima khabar gembira apabila Wayne Rooney disahkan cergas untuk diturunkan pada perlawanan ini. Rooney terlepas dua aksi terakhir United (menentang Norwich City dan Galatasaray) kerana mengalami radang amandel dan sudah mula menjalani latihan minggu ini. Seorang lagi pemain yang dibelenggu kecederaan, Jonny Evans juga sudah mula menjalani latihan namun Ferguson belum pasti sama ada mahu menurunkan pemain pertahanan itu atau tidak. Jika Ferguson mahu terus merehatkan Evans, Chris Smalling dijangka berpasangan dengan Scott Wootton di benteng pertahanan manakala Phil Jones yang baru pulih dari kecederaan mungkin mengambil alih peranan Rafael dan Silva di sebelah kanan pertahanan. Dengan Manchester City yang akan hanya beraksi esok di Stamford Bridge, United boleh menggunakan peluang ini untuk merampas semula kedudukan pendahulu liga sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Lima Perlawanan Terakhir United/QPR:

08 Apr 2012: United (2) – QPR (0), Liga Perdana
18 Dis 2011: QPR (0) – United (2), Liga Perdana
11 Nov 2008: United (1) – QPR (0), Piala Liga
16 Mac 1996: QPR (1) – Unted (1), Liga Perdana
30 Dis 1995: United (2) – QPr (1), Liga Perdana

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Phil Jones, Chris Smalling, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Tom Cleverley, Michael Carrick, Ashley Young, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan QPR:

Robert Green, Fabio da Silva, Anton Ferdinand, Ryan Nelsen, Jose Bosingwa, Samba Diakite, Armand Traore, Esteban Granero, Junior Hoilett, Adel Taarabt & Djibril Cisse 

MUSIM DEPAN MOU DAN CR7 KE OLD TRAFFORD?


Media di Sepanyol, Mundo Deportivo melaporkan bahawa ada kemungkinan Cristiano Ronaldo dan Jose Mourinho menjadi milik Manchester United musim depan. Mundo Deportivo yang berpangkalan di Catalan itu yakin, kemungkinan untuk Mourinho dan Ronaldo kembali semula ke England adalah besar selepas mereka berdua diberitakan sudah melakukan persiapan ke arah itu (berpindah). Malahan pengurus Real Madrid itu dan keluarganya dikatakan sibuk mencari tempat tinggal baru mereka di England. Mourinho memang diketahui sejak akhir-akhir ini cuba mengelak dari memberikan sebarang komen tentang masa depannya di Santiago Bernabeu sementara Ronaldo pula sejak awal musim dilihat kurang gembira bersama gergasi Sepanyol itu. Bekas bintang Manchester United itu juga enggan menjawab sebarang pertanyaan wartawan tentang hubungannya dengan pihak pengurusan Real Madrid. Melihat kepada perkembangan kedua-dua individu itu, Mundo Deportivo yakin bahawa Mourinho dan Ronaldo secara serentak akan mengambil keputusan meninggalkan kota Madrid sebaik musim ini berakhir. Kedua-dua warga Portugal itu diyakini akan menuju ke Old Trafford memandangkan Mourinho sering dikaitkan sebagai calon pengganti Sir Alex Ferguson. Semasa kunjungan terakhirnya di kota Manchester beberapa minggu lalu, Mourinho juga dikhabarkan sempat minum petang bersama-sama Ferguson. Selepas majlis perasmian tugu Sir Alex Ferguson semalam, ramai pemerhati boalsepak meramalkan ini mungkin menjadi musim terakhir pengendali itu di Old Trafford dan mereka meletakkan Mourinho sebagai calon utama mengambil alih tempat Ferguson. Bagi Ronaldo pula yang menjadi bintang pujaan di Old Trafford sebelum berpindah ke Bernabeu pada 2009, tiada rahsia lagi tentang keinginannya selepas dia secara terbuka pernah meluahkan hasrat untuk menamatkan karier di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

23 November 2012

PENGHARGAAN BUAT SEORANG LAGENDA...


Eric Cantona dan Ruud Van Nistelrooy antara tetamu paling menonjol yang akan hadir pada majlis perasmian tugu Sir Alex Ferguson di Old Trafford hari ini. Pihak pengurusan memberikan tugas mengukir tugu tembaga sembilan kaki tersebut kepada Philip Jackson. Biarpun ramai yang berteka teki tentang rupa tugu tersebut, Ferguson baru-baru ini sudahpun diberikan penghormatan untuk memeriksa dan berpuashati dengan rekabentuk tugu yang dihasilkan Jackson. Selain Cantona yang ditandatangani Ferguson hampir 20 tahun lalu dan dianggap sebagai pembelian paling bijak pernah dilakukan pengendali itu, turut dijangka hadir ialah Van Nistelrooy. Nistelrooy menjaringkan 150 gol dalam lima musimnya bersama United, tidak pernah kembali semula ke Old Trafford selepas perpindahan sensasinya ke Real Madrid pada 2006. Kapten pertama Ferguson, Bryan Robson turut akan hadir bersama penjaring gol kemenangan final Liga Juara-Juara 1999, Ole Gunnar Solskjaer. Antara tetamu kenamaan yang sudah mengesahkan kehadiran mereka ialah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan paling mengejutkan tentunya kehadiran Arsene Wenger. Ferguson dan Wenger memang diketahui sudah melalui persengketaan yang cukup panjang namun hubungan kedua-duanya sejak kebelakangan ini sudah semakin baik. Menjelang kehadirannya ke majlis perasmian ini, Wenger sempat merakamkan kata-kata penghargaan buat seterunya itu. “Saya tidak ingat apakah ada orang lain yang berada di tahap tertinggi untuk tempoh yang lama. Dalam beberapa perkara agak menakutkan bila memikirkan jika dia (Ferguson) meninggalkan kelab satu hari nanti, kerana dia akan meninggalkan ruang yang besar untuk diisi. Apa yang saya kagum tentang dirinya ialah dia sentiasa berfikiran kehadapan, sentiasa sedia bergerak pada waktu yang tepat dan tidak pernah memikirkan apa yang sudah dilakukannya sebelum ini. Pekerjaan ini memerlukan anda mengabadikan seluruh hidup anda kepada bolasepak dan Ferguson sudah melakukannya, jadi dia memang layak untuk mendapatkan penghormatan seperti ini. Dia juga sudah memenangi hampir kesemuanya, dan itu tentunya sesuatu yang cukup luar biasa”, kata Wenger. Ferguson sudah memenangi 12 kejuaraan Liga Perdana sejak 1993 serta beberapa lagi trofi domestik seperti Piala FA, Piala Liga dan Perisai Komuniti. Ferguson juga sukses membawa United menang dua trofi Liga Juara-Juara serta satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia sepanjang tempoh 26 tahunnya di Old Trafford. Bekas wira di Old Trafford, David Beckham yang memenangi 6 kejuaraan Liga Perdana di bawah kendalian Ferguson sebelum berhijrah ke Santiago Bernabeu pada 2003 juga ada kata-kata penghargaan buat bekas bosnya itu. Biarpun pada satu ketika hubungan Ferguson/Beckham dingin selepas insiden `but terbang’ kini kedua-dua sudah lama berdamai dan mereka menghormati antara satu sama lain. Tidak sukar untuk menyelami apa yang dirasakan Beckham selama ini. Ferguson ialah individu yang menjadikan dirinya bintang dikenali ramai walaupun akhirnya dia meninggalkan Old Trafford secara terpaksa.

Beckham mengatakan, “Saya fikir Sir Alex begitu sukses kerana dia memang cintakan Manchester United dan dilahirkan sebagai pemenang. Dia tahu bagaimana caranya untuk menang perlawanan dan bagaimana untuk menangani tekanan. Bermain di bawah kendaliannya satu pengalaman yang cukup hebat. Dia seorang individu yang hebat dan seperti ayah saya. Ketika remaja, saya berpindah dari London ke Manchester dan dia selalu berkata kepada saya. `Jika kamu mempunyai sebarang masalah datang dan ketuk saja pintu saya, ia sentiasa terbuka’. Saya tidak pernah takut untuk pergi dan mengetuk pintunya kerana dia membuatkan saya seolah-olah sebahagian dari keluargannya dan itulah perasaan yang anda rasa ketika berada di Manchester United”, kata Beckham. Berada di kelab untuk satu tempoh yang begitu lama memang sesuatu yang cukup luar biasa apatah lagi selepas menyaksikan ramai pengurus atau jurulatih yang dipecat pada era bolasepak moden. Sir Matt Busby menerajui zaman kegemilangan United di era 50an dan 60an hingga kemuncaknya The Busby Babes menjulang trofi Eropah pada 1968 sekaligus kejuaraan sulung United di pentas Eropah. Selepas persaraan Sir Matt, kedudukan United sebagai kuasa bolasepak Inggeris terumbang ambing hingga menyaksikan mereka gagal memenangi kejuaraan liga selama 26 tahun. Pengurus selepas era Sir Matt datang silih berganti, daripada Wilf Mc Guiness hinggalah Ron Atkinson, pencapaian terbaik United hanyalah memenangi Piala FA di bawah kendalian Tommy Docherty (1977) dan Ron Atkinson (1983 dan 1985). Selepas Atkinson dipecat, tibalah giliran lelaki kelima sejak Sir Matt bersara bernama Alex Ferguson mengisi jawatan pengurus Manchester United. Kejayaan tidak datang bergolek dan Ferguson terpaksa berhempas pulas mengemudi United pada musim pertamanya di Old Trafford. Daripada tangga ke-11 (musim 1986/87), Ferguson berjaya membawa United menduduki tangga kedua liga musim berikutnya (1987/88). Ferguson bagaimanapun berdepan cabaran getir dua musim selepas itu dengan kebanyakan pemain baru yang dibawanya tidak mencapai jangkaan peminat. Ferguson kerap kali dilaporkan hampir dipecat ketika awal tahun 1990, tetapi gol Mark Robins yang memberikan kemenangan tipis kepada United dalam pusingan ketiga Piala FA mengatasi Nottingham Forest dianggap ramai pihak sebagai penyelamat kepada karier Ferguson. United berjaya mara ke perlawanan akhir dan memenangi Piala FA selepas mengalahkan Crystal Palace pada final ulangan. Selepas kejayaan memenangi Piala FA 1990, Ferguson tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya membawa United menang 36 trofi utama sepanjang 26 tahunnya kariernya sebagai pengurus di Old Trafford. Ramai pihak mengatakan Ferguson adalah replika kepada Sir Matt Busby, mengambilkira pencapaiannya membawa United menang banyak kejuaraan dan juga keupayaan untuk kekal dikerusi pengurus United bagi tempoh yang panjang. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan atas apa yang telah dilakukan Sir Alexander Chapman Ferguson selama ini untuk Manchester United...TERIMA KASIH SIR! Glory Glory Manchester United!!! – A.J

SPEKULASI PERPINDAHAN: STROOTMAN KE OLD TRAFFORD JANUARI INI?


Pemain tengah PSV Eindhoven, Kevin Strootman akan menuju ke Old Trafford Januari ini jika mengambilkira laporan dari media-media di Belanda. Spekulasi tentang perpindahan Strootman bertiup kencang selepas Eindhoven diberitakan sudah bersedia melepaskan pemain tengah berpengaruh mereka itu ketika jendela perpindahan pemain mula di buka Januari ini. Gergasi Belanda itu juga dikatakan sudah meletakkan sasaran mereka kepada pemain antarabangsa Sweden, Oscar Hiljemark dari Elfsborg sebagai pengganti Strootman. Ramai pihak percaya Sir Alex Ferguson tidak akan menunggu hingga musim panas akan datang untuk menambah pemain baru dalam skuadnya apatah lagi selepas menyaksikan The Red Devils tewas buat kali ketiga dalam aksi liga minggu lalu. Dengan kemungkinan Chelsea dan Manchester City juga akan membawa masuk nafas baru dalam skuad mereka, Ferguson tentunya tidak mahu ketinggalan ketika pasaran pemain mula dibuka. Agen pemain itu, Chiel Dekker bulan lalu mengesahkan bahawa kliennya sudah bersedia meninggalkan kancah Eredivisie untuk merasai saingan di liga yang lebih besar. Jika benar apa yang diperkatakan sebelum ini tentang minat Ferguson terhadap pemain tengah itu, United mungkin terpaksa mengeluarkan wang yang lebih memandangkan kelibat Strootman juga turut diintai beberapa gergasi Eropah yang lain. Selain United, antara gergasi Eropah yang turut dikaitkan dengan pemain itu ialah Real Madrid dan juga Juventus. United sejak beberapa musim lalu sering dikaitkan dengan kedatangan pemain tengah dari Belanda, terutamanya membabitkan Wesley Sneijder, tetapi berita perpindahan Strootman ke Old Trafford mungkin lebih realistik berbanding spekulasi yang pernah membabitkan United dan Sneijder. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

21 November 2012

CARRICK WIRA YANG TIDAK DIDENDANG


Awal pagi tadi, Michael Carrick mengetuai barisan Manchester United di Istanbul berdepan Galatasaray dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Carrick adalah antara pemain Manchester United paling konsisten, namun kelibat pemain tengah itu seolah-olah terpinggir dari penilaian pemerhati dan penyokong-penyokong United sendiri. Sukar untuk mempercayai bagaimana seorang pemain yang sudah bermain untuk kesebelasan utama United sejak 2006 kurang diberikan perhatian berbanding pemain-pemain yang lain. Carrick sudah memenangi lapan kejuaraan utama bersama United sejak tiba di Old Trafford dari White Hart Lane. Selain itu, Carrick juga merupakan nama tetap dalam kesebelasan utama The Red Devils dalam tempoh 12 bulan terakhir, tetapi dia tetap kekal tanpa sebarang publisiti dan kurang diberikan liputan. Carrick mewarisi jersi nombor 16 dari senior sebelumnya, Roy Keane namun tidak adil untuk membandingkan pencapaian bekas kapten United itu dengan dirinya. Carrick dan Keane memainkan peranan yang sama dalam kesebelasan utama United, tetapi watak di dalam dan luar padang serta corak permainan kedua-duanya cukup berbeza sama sekali. Sir Alex Ferguson cukup menghargai sumbangan serta pengaruh yang dimainkan Carrick dalam pasukannya dan menganggap bekas pemain Tottenham Hotspurs itu akan memainkan peranan penting dalam kempen United musim ini. “Dalam permainan bolasepak moden, anda tidak perlukan seorang pemain yang mempunyai tackle keras dalam pasukan. Ia lebih kepada tentang kepakaran seseorang pemain membaca permainan. Jika anda lihat pemain tengah di Liga Perdana, Michael adalah antara pemain yang memiliki kualiti itu”, kata Ferguson. Mungkin juga petikan kata-kata dari bekas pembantu Ferguson di Old Trafford, Carlos Queiroz yang merujuk kepada keberkesanan dimainkan Carrick cukup tepat untuk menggambarkan tentang kualiti milik pemain itu. “Berikan saya sebuah pasukan yang boleh memenangi kejuaraan liga tanpa pemain tengah bertahan yang kreatif. Pasukan tanpa pemain seperti itu ibarat menghantar seseorang mendaki gunung Everest tanpa bekalan oksigen”, kata Queiroz pada 2007 selepas United menang kejuaraan liga. 

Carrick antara pemain yang cukup low profile, tidak peduli sama ada dia diberikan perhatian atau tidak. Dia sudah bermain 300 perlawanan untuk United dalam semua kejohanan, memenangi kejuaraan liga domestik dan juga Eropah, tetapi jarang diberikan peluang tampil dalam kolum-kolum di media. Di luar padang, bagi seorang pemain yang sudah memenangi berbagai kejuaraan, Carrick masih lagi seorang pemain yang suka menyendiri. Dia tiada akaun Twitter dan laman sesawang peribadi, malah pakaiannya juga cukup sederhana jika dibandingkan dengan bintang bolasepak yang lain. Di peringkat antarabangsa pula, peranan Carrick bersama skuad kebangsaan England tidak sehebat apa yang dimainkannya ketika bersama United. Bekas pemain antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann yang pernah menabur bakti bersama Manchester City dan Liverpool meletakkan Carrick sebagai pemain tengah bertahan terbaik pernah dilahirkan England. Beliau (Hamann) agak hairan bagaimana sebuah pasukan kebangsaan boleh mengabaikan pemain yang mempunyai kemahiran seperti Carrick. Menurut Hamann lagi, jika di Jerman pemain dengan kemahiran seperti Carrick pastinya akan lebih dihargai. Apapun yang berlaku ke atas dirinya baik di dalam mahupun luar padang nampaknya tidak langsung dipedulikan Carrick. “Yang saya pedulikan ialah bermain untuk kelab ini dan menang trofi. Saya hanya ingin dihargai oleh rakan-rakan dan pengurus. Jika saya bermain dengan baik dan menang trofi, maka itu sesuatu yang hebat”, itulah kata-kata Carrick selepas ditanya mengapa dia seolah-olah terpencil dari sebarang liputan dan perhatian media. Nampaknya Carrick akan terus kekal begitu, meskipun tanpa publisiti dari media atau menjadi perhatian ramai, tanpa disangka Carrick sudah membantu United menang empat kejuaraan Liga Perdana, satu trofi Liga Juara-Juara, satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia, satu trofi Piala Liga dan empat trofi Perisai Komuniti. Memang ada benarnya apa yang dikatakan (Dietmar) Hamann, “Michael Carrick ialah pemain tengah bertahan terbaik pernah dilahirkan England”, Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: REKOD 100% LEBUR DI ISTANBUL


Galatasaray memberikan Manchester United kekalahan pertama mereka dalam saingan Eropah musim ini. Selepas mencatat rekod 100% dari empat perlawanan peringkat kumpulan, United akhir terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 di Istanbul awal pagi tadi. Seperti yang dijangkakan sebelum perlawanan, Sir Alex Ferguson menurunkan barisan keduanya dalam perlawanan ini selepas tempat mereka di pusingan kedua sudahpun terjamin. Menyedari mereka memerlukan tiga mata penuh dalam perlawanan ini, skuad kendalian Fatih Terim mengasak benteng pertahanan United sejak awal permainan dengan sokongan ribuan penyokong sendiri. Kesempatan terbaik tuan rumah hadir di minit ke-21, namun tandukan Burak Yilmaz sedikit tersasar di atas gawang United. Selepas itu giliran Hamit Altintop pula menguji gawang United, tetapi percubaan dari jarak 20 meternya berjaya di selamatkan Anders Lindegaard. Satu-satunya peluang terbaik United diperolehi menerusi pemain tengah Nick Powell dipenghujung babak pertama. Powell bagamianapun kurang bernasib baik apabila tandukannya hasil dari sepakan sudut Tom Cleverley sekadar singgah di tiang gol. Di babak kedua, Galatasaray terus memberikan tekanan kepada Uniited dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan diminit ke-54 menerusi Yilmaz. Terlepas beberapa peluang terbaik di separuh masa pertama, Yilmaz kali ini tidak melakukan kesilapan apabila berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Selcuk Inan dari sebelah kanan untuk menewaskan Lindegaard. Di minit ke-78, tuan rumah hampir menggandakan kelebihan mereka namun Altintop sekali lagi hampa apabila melihat percubaannya dari jarak 25 meter sekadar singgah di tiang gol. Kedudukan tidak berubah selepas tamat 90 minit permainan dan kemenangan ini mencerahkan peluang buat Galatasaray mengiringi United ke pusingan kedua kejohanan. Galatasaray kekal di tangga kedua berkongsi tujuh mata dengan wakil Romania, CFR Cluj yang berjaya menewaskan SC Braga 3-1. Bagi United pula, tewas perlawanan ini tidak menjejaskan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan H dengan kelebihan lima mata sambil tempat di pusingan kedua sudahpun terjamin sebagai juara kumpulan. Perlawanan terakhir bagi Kumpulan H akan berlangsung pada 6 Disember di mana United akan berdepan Cluj di Old Trafford manakala Braga pula akan menanti kunjungan Galatasaray. Perlawanan terakhir itu juga akan menjadi medan buat dua pasukan (Galatasaray dan Cluj) merebut satu tiket ke pusingan kedua kejohanan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Susunan Pemain Galatasaray:

Fernando Muslera, Nounkeu, Semih Kaya, Emmanuel Eboue, Hamit Altintop, Selcuk Inan, Felipe Melo, Albert Riera, Nordin Amrabat (Emre Colak 81’), Johan Elmander (Engin Baytar 63’), Burak Yilmaz (Umut Bulut 90’)

Susunan Pemain United:

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Phil Jones, Alexander Buttner, Anderson (Ashley Young 74’), Michael Carrick, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Nick Powell (Federico Macheda 74’), Javier Hernandez & Danny Welbeck (Joshua King 85’)

Statistik Perlawanan:

Gol: 0 – 1
Percubaan: 18 – 8
Percubaan Tepat: 13 – 5
Percubaan Tersasar: 5 – 3
Sepakan Sudut: 3 – 8
Kad Kuning: 2 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 53% - 47% 

20 November 2012

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: GALATASARAY lwn MANCHESTER UTD



Pengurus Galatasaray, Fatih Terim berharap pasukannya akan menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk memungut tiga mata penuh dengan mengalahkan Manchester United awal pagi esok. United yang sudahpun mengesahkan tempat mereka di pusingan kalah mati hasil empat kemenangan berturut-turut yang diraih mereka mungkin turun dengan barisan kedua. Galatasaray ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan H selepas menang ke atas CFR Cluj dan kemenangan ke atas United bakal menghidupkan peluang mereka untuk mengiringi The Red Devils ke pusingan seterusnya. Kekalahan United kepada Norwich City dalam aksi liga hujung minggu lalu menjadi inspirasi buat Terim dan pengendali itu merasakan bahawa beliau sudah mendapat ilham bagaimana mahu menamatkan rekod kemenangan 100% United dalam saingan Eropah musim ini. “Jika Norwich mampu mengalahkan mereka (United), kami juga mampu melakukannya”, kata Terim. Terim boleh menyandarkan harapan kepada kelibat Emmanuel Eboue dan Johan Elmander yang pernah merasai aksi Liga Perdana dan pengalaman mereka ketika berdepan United untuk cuba meraih mata penuh di Turk Telecom Arena. Kelibat bekas dua bintang yang pernah bermain untuk Arsenal dan Bolton Wanderers itu cukup berguna buat Terim dalam merangka strategi bagi menjinakkan United.

Bagi pemain sayap Galatasaray, Nordin Amrabat yang terlepas aksi pertemuan pertama di Old Trafford 20 September lalu berharap dia diturunkan dalam perlawanan ini. Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Galatasaray dari Kayserispor musim panas ini meletakkan sasaran membantu kelabnya layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, bermula dengan menewaskan United awal pagi esok. Sementara itu seperti yang dijangkakan Sir Alex Ferguson akan merehatkan sebahagian besar tonggak utamanya dalam perlawanan ini. Ferguson diberitakan tidak akan membawa Patrice Evra, Rio Ferdinand, Wayne Rooney, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Robin Van Persie ke Turki. Bagaimanapun pengendali itu akan menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman seperti Michael Carrick, Anderson dan Darren Fletcher untuk membimbing pemain-pemain muda yang bakal diturunkan nanti. Ketiadaan Rooney dan Van Persie bakal menyaksikan Danny Welbeck dan Javier Hernandez memikul tugas sebagai penggempur utama. Joshua King, Davide Petrucci, Tom Thorpe dan Ryan Tunnicliffe bakal merasai pengalaman pertama mereka di pentas Eropah selepas nama mereka disenaraikan Ferguson untuk kunjungan ke Turki kali ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

5 Perlawanan Terakhir Galatasaray:

17 Nov 2012: Galatasaray 1 – Kardemir Karabükspor 3 (Liga Super Turki)
11 Nov 2012: Mersin İY 1 – Galatasaray 1 (Liga Super Turki)
08 Nov 2012: CFR Cluj 1 – Galatasaray 3 (Liga Juara-Juara)
03 Nov 2012: İstanbul BB 1 – Galatasaray 3 (Liga Super Turki)
27 Okt 2012: Galatasaray 3 – Kayserispor 0 (Liga Super Turki)

5 Perlawanan Terakhir Manchester United :

18 Nov 2012: Norwich City 1 – Manchester United 0 (Liga Perdana)
11 Nov 2012: Aston Villa 2 – Manchester United 3 (Liga Perdana)
08 Nov 2012: Braga 1 – Manchester United 3 (Liga Juara-Juara)
03 Nov 2012: Manchester United 2 – Arsenal 1 (Liga Perdana)
01 Nov 2012: Chelsea 5 – Manchester United 4 (Capital One Cup)

Barisan Kemungkinan Galatasaray:

Néstor Muslera Micol, Hakan Balta, Semih Kaya, Emmanuel Eboue, Cris, Aydın Yılmaz, Selçuk İnan, Felipe Melo, Çağlar Birinci, Johan Elmander & Umut Bulut

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Phil Jones, Scott Wootton, Rafael da Silva, Anderson, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Ashley Young, Danny Welbeck & Javier Hernandez