Awal pagi tadi,
Michael Carrick mengetuai barisan Manchester United di Istanbul berdepan Galatasaray
dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Carrick adalah antara pemain
Manchester United paling konsisten, namun kelibat pemain tengah itu seolah-olah
terpinggir dari penilaian pemerhati dan penyokong-penyokong United sendiri.
Sukar untuk mempercayai bagaimana seorang pemain yang sudah bermain untuk
kesebelasan utama United sejak 2006 kurang diberikan perhatian berbanding
pemain-pemain yang lain. Carrick sudah memenangi lapan kejuaraan utama bersama
United sejak tiba di Old Trafford dari White Hart Lane. Selain itu, Carrick
juga merupakan nama tetap dalam kesebelasan utama The Red Devils dalam tempoh 12 bulan terakhir, tetapi dia tetap
kekal tanpa sebarang publisiti dan kurang diberikan liputan. Carrick mewarisi
jersi nombor 16 dari senior sebelumnya, Roy Keane namun tidak adil untuk
membandingkan pencapaian bekas kapten United itu dengan dirinya. Carrick dan
Keane memainkan peranan yang sama dalam kesebelasan utama United, tetapi watak
di dalam dan luar padang serta corak permainan kedua-duanya cukup berbeza sama
sekali. Sir Alex Ferguson cukup menghargai sumbangan serta pengaruh yang
dimainkan Carrick dalam pasukannya dan menganggap bekas pemain Tottenham
Hotspurs itu akan memainkan peranan penting dalam kempen United musim ini.
“Dalam permainan bolasepak moden, anda tidak perlukan seorang pemain yang
mempunyai tackle keras dalam pasukan.
Ia lebih kepada tentang kepakaran seseorang pemain membaca permainan. Jika anda
lihat pemain tengah di Liga Perdana, Michael adalah antara pemain yang memiliki
kualiti itu”, kata Ferguson. Mungkin juga petikan kata-kata dari bekas pembantu
Ferguson di Old Trafford, Carlos Queiroz yang merujuk kepada keberkesanan
dimainkan Carrick cukup tepat untuk menggambarkan tentang kualiti milik pemain
itu. “Berikan saya sebuah pasukan yang boleh memenangi kejuaraan liga tanpa
pemain tengah bertahan yang kreatif. Pasukan tanpa pemain seperti itu ibarat
menghantar seseorang mendaki gunung Everest tanpa bekalan oksigen”, kata
Queiroz pada 2007 selepas United menang kejuaraan liga.
Carrick antara pemain
yang cukup low profile, tidak peduli
sama ada dia diberikan perhatian atau tidak. Dia sudah bermain 300 perlawanan
untuk United dalam semua kejohanan, memenangi kejuaraan liga domestik dan juga Eropah, tetapi jarang
diberikan peluang tampil dalam kolum-kolum di media. Di luar padang, bagi
seorang pemain yang sudah memenangi berbagai kejuaraan, Carrick masih lagi
seorang pemain yang suka menyendiri. Dia tiada akaun Twitter dan laman sesawang
peribadi, malah pakaiannya juga cukup sederhana jika dibandingkan dengan
bintang bolasepak yang lain. Di peringkat antarabangsa pula, peranan Carrick
bersama skuad kebangsaan England tidak sehebat apa yang dimainkannya ketika
bersama United. Bekas pemain antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann yang pernah
menabur bakti bersama Manchester City dan Liverpool meletakkan Carrick sebagai
pemain tengah bertahan terbaik pernah dilahirkan England. Beliau (Hamann) agak hairan
bagaimana sebuah pasukan kebangsaan boleh mengabaikan pemain yang mempunyai
kemahiran seperti Carrick. Menurut Hamann lagi, jika di Jerman pemain dengan
kemahiran seperti Carrick pastinya akan lebih dihargai. Apapun yang berlaku ke
atas dirinya baik di dalam mahupun luar padang nampaknya tidak langsung
dipedulikan Carrick. “Yang saya pedulikan ialah bermain untuk kelab ini dan
menang trofi. Saya hanya ingin dihargai oleh rakan-rakan dan pengurus. Jika
saya bermain dengan baik dan menang trofi, maka itu sesuatu yang hebat”, itulah
kata-kata Carrick selepas ditanya mengapa dia seolah-olah terpencil dari
sebarang liputan dan perhatian media. Nampaknya Carrick akan terus kekal begitu,
meskipun tanpa publisiti dari media atau menjadi perhatian ramai, tanpa
disangka Carrick sudah membantu United menang empat kejuaraan Liga Perdana,
satu trofi Liga Juara-Juara, satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia, satu trofi Piala
Liga dan empat trofi Perisai Komuniti. Memang ada benarnya apa yang dikatakan
(Dietmar) Hamann, “Michael Carrick ialah pemain tengah bertahan terbaik pernah
dilahirkan England”, Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan