20 November 2012

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: GALATASARAY lwn MANCHESTER UTD



Pengurus Galatasaray, Fatih Terim berharap pasukannya akan menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk memungut tiga mata penuh dengan mengalahkan Manchester United awal pagi esok. United yang sudahpun mengesahkan tempat mereka di pusingan kalah mati hasil empat kemenangan berturut-turut yang diraih mereka mungkin turun dengan barisan kedua. Galatasaray ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan H selepas menang ke atas CFR Cluj dan kemenangan ke atas United bakal menghidupkan peluang mereka untuk mengiringi The Red Devils ke pusingan seterusnya. Kekalahan United kepada Norwich City dalam aksi liga hujung minggu lalu menjadi inspirasi buat Terim dan pengendali itu merasakan bahawa beliau sudah mendapat ilham bagaimana mahu menamatkan rekod kemenangan 100% United dalam saingan Eropah musim ini. “Jika Norwich mampu mengalahkan mereka (United), kami juga mampu melakukannya”, kata Terim. Terim boleh menyandarkan harapan kepada kelibat Emmanuel Eboue dan Johan Elmander yang pernah merasai aksi Liga Perdana dan pengalaman mereka ketika berdepan United untuk cuba meraih mata penuh di Turk Telecom Arena. Kelibat bekas dua bintang yang pernah bermain untuk Arsenal dan Bolton Wanderers itu cukup berguna buat Terim dalam merangka strategi bagi menjinakkan United.

Bagi pemain sayap Galatasaray, Nordin Amrabat yang terlepas aksi pertemuan pertama di Old Trafford 20 September lalu berharap dia diturunkan dalam perlawanan ini. Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Galatasaray dari Kayserispor musim panas ini meletakkan sasaran membantu kelabnya layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, bermula dengan menewaskan United awal pagi esok. Sementara itu seperti yang dijangkakan Sir Alex Ferguson akan merehatkan sebahagian besar tonggak utamanya dalam perlawanan ini. Ferguson diberitakan tidak akan membawa Patrice Evra, Rio Ferdinand, Wayne Rooney, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Robin Van Persie ke Turki. Bagaimanapun pengendali itu akan menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman seperti Michael Carrick, Anderson dan Darren Fletcher untuk membimbing pemain-pemain muda yang bakal diturunkan nanti. Ketiadaan Rooney dan Van Persie bakal menyaksikan Danny Welbeck dan Javier Hernandez memikul tugas sebagai penggempur utama. Joshua King, Davide Petrucci, Tom Thorpe dan Ryan Tunnicliffe bakal merasai pengalaman pertama mereka di pentas Eropah selepas nama mereka disenaraikan Ferguson untuk kunjungan ke Turki kali ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

5 Perlawanan Terakhir Galatasaray:

17 Nov 2012: Galatasaray 1 – Kardemir Karabükspor 3 (Liga Super Turki)
11 Nov 2012: Mersin İY 1 – Galatasaray 1 (Liga Super Turki)
08 Nov 2012: CFR Cluj 1 – Galatasaray 3 (Liga Juara-Juara)
03 Nov 2012: İstanbul BB 1 – Galatasaray 3 (Liga Super Turki)
27 Okt 2012: Galatasaray 3 – Kayserispor 0 (Liga Super Turki)

5 Perlawanan Terakhir Manchester United :

18 Nov 2012: Norwich City 1 – Manchester United 0 (Liga Perdana)
11 Nov 2012: Aston Villa 2 – Manchester United 3 (Liga Perdana)
08 Nov 2012: Braga 1 – Manchester United 3 (Liga Juara-Juara)
03 Nov 2012: Manchester United 2 – Arsenal 1 (Liga Perdana)
01 Nov 2012: Chelsea 5 – Manchester United 4 (Capital One Cup)

Barisan Kemungkinan Galatasaray:

Néstor Muslera Micol, Hakan Balta, Semih Kaya, Emmanuel Eboue, Cris, Aydın Yılmaz, Selçuk İnan, Felipe Melo, Çağlar Birinci, Johan Elmander & Umut Bulut

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Phil Jones, Scott Wootton, Rafael da Silva, Anderson, Tom Cleverley, Darren Fletcher, Ashley Young, Danny Welbeck & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan