23 November 2012

PENGHARGAAN BUAT SEORANG LAGENDA...


Eric Cantona dan Ruud Van Nistelrooy antara tetamu paling menonjol yang akan hadir pada majlis perasmian tugu Sir Alex Ferguson di Old Trafford hari ini. Pihak pengurusan memberikan tugas mengukir tugu tembaga sembilan kaki tersebut kepada Philip Jackson. Biarpun ramai yang berteka teki tentang rupa tugu tersebut, Ferguson baru-baru ini sudahpun diberikan penghormatan untuk memeriksa dan berpuashati dengan rekabentuk tugu yang dihasilkan Jackson. Selain Cantona yang ditandatangani Ferguson hampir 20 tahun lalu dan dianggap sebagai pembelian paling bijak pernah dilakukan pengendali itu, turut dijangka hadir ialah Van Nistelrooy. Nistelrooy menjaringkan 150 gol dalam lima musimnya bersama United, tidak pernah kembali semula ke Old Trafford selepas perpindahan sensasinya ke Real Madrid pada 2006. Kapten pertama Ferguson, Bryan Robson turut akan hadir bersama penjaring gol kemenangan final Liga Juara-Juara 1999, Ole Gunnar Solskjaer. Antara tetamu kenamaan yang sudah mengesahkan kehadiran mereka ialah bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan paling mengejutkan tentunya kehadiran Arsene Wenger. Ferguson dan Wenger memang diketahui sudah melalui persengketaan yang cukup panjang namun hubungan kedua-duanya sejak kebelakangan ini sudah semakin baik. Menjelang kehadirannya ke majlis perasmian ini, Wenger sempat merakamkan kata-kata penghargaan buat seterunya itu. “Saya tidak ingat apakah ada orang lain yang berada di tahap tertinggi untuk tempoh yang lama. Dalam beberapa perkara agak menakutkan bila memikirkan jika dia (Ferguson) meninggalkan kelab satu hari nanti, kerana dia akan meninggalkan ruang yang besar untuk diisi. Apa yang saya kagum tentang dirinya ialah dia sentiasa berfikiran kehadapan, sentiasa sedia bergerak pada waktu yang tepat dan tidak pernah memikirkan apa yang sudah dilakukannya sebelum ini. Pekerjaan ini memerlukan anda mengabadikan seluruh hidup anda kepada bolasepak dan Ferguson sudah melakukannya, jadi dia memang layak untuk mendapatkan penghormatan seperti ini. Dia juga sudah memenangi hampir kesemuanya, dan itu tentunya sesuatu yang cukup luar biasa”, kata Wenger. Ferguson sudah memenangi 12 kejuaraan Liga Perdana sejak 1993 serta beberapa lagi trofi domestik seperti Piala FA, Piala Liga dan Perisai Komuniti. Ferguson juga sukses membawa United menang dua trofi Liga Juara-Juara serta satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia sepanjang tempoh 26 tahunnya di Old Trafford. Bekas wira di Old Trafford, David Beckham yang memenangi 6 kejuaraan Liga Perdana di bawah kendalian Ferguson sebelum berhijrah ke Santiago Bernabeu pada 2003 juga ada kata-kata penghargaan buat bekas bosnya itu. Biarpun pada satu ketika hubungan Ferguson/Beckham dingin selepas insiden `but terbang’ kini kedua-dua sudah lama berdamai dan mereka menghormati antara satu sama lain. Tidak sukar untuk menyelami apa yang dirasakan Beckham selama ini. Ferguson ialah individu yang menjadikan dirinya bintang dikenali ramai walaupun akhirnya dia meninggalkan Old Trafford secara terpaksa.

Beckham mengatakan, “Saya fikir Sir Alex begitu sukses kerana dia memang cintakan Manchester United dan dilahirkan sebagai pemenang. Dia tahu bagaimana caranya untuk menang perlawanan dan bagaimana untuk menangani tekanan. Bermain di bawah kendaliannya satu pengalaman yang cukup hebat. Dia seorang individu yang hebat dan seperti ayah saya. Ketika remaja, saya berpindah dari London ke Manchester dan dia selalu berkata kepada saya. `Jika kamu mempunyai sebarang masalah datang dan ketuk saja pintu saya, ia sentiasa terbuka’. Saya tidak pernah takut untuk pergi dan mengetuk pintunya kerana dia membuatkan saya seolah-olah sebahagian dari keluargannya dan itulah perasaan yang anda rasa ketika berada di Manchester United”, kata Beckham. Berada di kelab untuk satu tempoh yang begitu lama memang sesuatu yang cukup luar biasa apatah lagi selepas menyaksikan ramai pengurus atau jurulatih yang dipecat pada era bolasepak moden. Sir Matt Busby menerajui zaman kegemilangan United di era 50an dan 60an hingga kemuncaknya The Busby Babes menjulang trofi Eropah pada 1968 sekaligus kejuaraan sulung United di pentas Eropah. Selepas persaraan Sir Matt, kedudukan United sebagai kuasa bolasepak Inggeris terumbang ambing hingga menyaksikan mereka gagal memenangi kejuaraan liga selama 26 tahun. Pengurus selepas era Sir Matt datang silih berganti, daripada Wilf Mc Guiness hinggalah Ron Atkinson, pencapaian terbaik United hanyalah memenangi Piala FA di bawah kendalian Tommy Docherty (1977) dan Ron Atkinson (1983 dan 1985). Selepas Atkinson dipecat, tibalah giliran lelaki kelima sejak Sir Matt bersara bernama Alex Ferguson mengisi jawatan pengurus Manchester United. Kejayaan tidak datang bergolek dan Ferguson terpaksa berhempas pulas mengemudi United pada musim pertamanya di Old Trafford. Daripada tangga ke-11 (musim 1986/87), Ferguson berjaya membawa United menduduki tangga kedua liga musim berikutnya (1987/88). Ferguson bagaimanapun berdepan cabaran getir dua musim selepas itu dengan kebanyakan pemain baru yang dibawanya tidak mencapai jangkaan peminat. Ferguson kerap kali dilaporkan hampir dipecat ketika awal tahun 1990, tetapi gol Mark Robins yang memberikan kemenangan tipis kepada United dalam pusingan ketiga Piala FA mengatasi Nottingham Forest dianggap ramai pihak sebagai penyelamat kepada karier Ferguson. United berjaya mara ke perlawanan akhir dan memenangi Piala FA selepas mengalahkan Crystal Palace pada final ulangan. Selepas kejayaan memenangi Piala FA 1990, Ferguson tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya membawa United menang 36 trofi utama sepanjang 26 tahunnya kariernya sebagai pengurus di Old Trafford. Ramai pihak mengatakan Ferguson adalah replika kepada Sir Matt Busby, mengambilkira pencapaiannya membawa United menang banyak kejuaraan dan juga keupayaan untuk kekal dikerusi pengurus United bagi tempoh yang panjang. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan atas apa yang telah dilakukan Sir Alexander Chapman Ferguson selama ini untuk Manchester United...TERIMA KASIH SIR! Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan