11 Februari 2014

MOYES...PILIHAN TEPAT ATAU SATU KESILAPAN?




Berdepan Fulham, United hanya mampu seri di Old Trafford. Jika anda berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dicapai ketika berdepan Fulham semalam terutamanya selepas melihat statistik menarik yang dicipta United, saya pula berpendapat sebaliknya. Anda boleh berikan alasan bahawa United bermain cukup baik walaupun sekadar memungut satu mata dengan menjadikan statistik selepas perlawanan sebagai rujukan. Ya memang benar United menguasai segenap penjuru padang cuma di akhir perlawanan mereka tidak bernasib baik apabila Darren Bent menyamakan kedudukan pada saat akhir perlawanan. Dalam situasi di mana pemain sendiri meletakkan sasaran untuk berada di kelompok empat teratas penghujung musim nanti, satu mata yang diraih semalam adalah keputusan yang cukup mengecewakan apatah lagi United bermain di gelanggang sendiri. Tolak ketepi segala statistik perlawanan yang menyebelahi United kerana yang penting buat kelab ialah meraih tiga mata demi mengejar slot beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa Liga Europa bukanlah pentas sebenar buat kelab besar seperti United dan kedudukan tangga ke-7 seolah-olah jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Fulham sebelum kunjungan mereka ke Old Trafford tidak pernah menang dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka termasuk tewas 0-3 kepada Southampton di gelanggang sendiri minggu lalu. Jadi sekali lagi saya katakan bahawa kita tidak sepatutnya sekadar berpuashati melihat statistik perlawanan sedangkan peluang beraksi di gelanggang sendiri sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk meraih tiga mata penuh. Melihat statistik memang menggerunkan di mana kubu The Cottagers dihujani dengan 81 hantaran lintang dari kedua-dua sayap kanan dan kiri United sepanjang 90 minit permainan sedangkan lawan hanya mampu mencipta 4 hantaran dari sebelah tepi. Jadi mengapa United masih gagal meraih kemenangan sedangkan mereka menguasai perlawanan secara total?

Pengurus Fulham, Rene Meulensteen sudahpun memberikan jawapan kepada soalan ini ketika diwawancara selepas tamat perlawanan. Permainan United mudah dibaca, tiada kelainan ketika menyerang dengan terlalu bersandar kepada hantaran-hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri. Untuk mematahkan gerakan-gerakan United dari sebelah tepi, Meulensteen hanya perlu meletakkan barisan pemainnya di kawasan petak penalti manakala Martin Stekelenburg pula perlu memastikan dia tidak terkeluar dari posisinya. Mudah bukan taktikal yang digunakan Meulensteen? Jangan salahkah corak bertahan yang diamalkan Fulham kerana mana-mana pasukan pun akan melakukan perkara yang sama jika beraksi di gelanggang lawan, apatah lagi jika mereka sedang mendahului. Moyes menggunakan formasi tradisi 4-4-1-1, meletakkan Michael Carrick dan Darren Fletcher di tengah manakala pembelian bernilai £37 juta (Juan Mata) bergerak di sebelah kanan serta Ashley Young di sebelah kiri. Memang jelas bahawa Moyes sejak mula lagi mahu United menggunakan kedua-dua bahagian sayap ketika menyerang sambil meletakkan Robin Van Persie dan Wayne Rooney selaku penggempur. Tiada salahnya dengan formasi ini cuma keputusan Moyes menggunakan Mata sebagai sayap kanan agak mengecewakan sedangkan kita tahu bekas pemain Chelsea itu lebih berkesan sebagai perancang di bahagian tengah. Formasi sama (4-4-1-1) juga digunakan Moyes ketika United tewas kepada Stoke City minggu lalu (meletakkan Mata di sebelah kanan dan Young di sebelah kiri), jadi tidak hairanlah mengapa ada pihak melabelkan Moyes sebagai terlalu konservatif.

Selepas kegagalan di Stadium Britannia, saya dan mungkin anda juga tertanya-tanya mengapakan Moyes begitu cenderung untuk terus menggunakan formasi tradisi ini sedangkan Meulensteen dan barisan pemain-pemainnya sepatutnya diberikan kejutan menerusi perubahan taktikal dan formasi permainan. Meulensteen kenal benar dengan karakter dan keupayaan sebahagian besar pemain-pemain United kecuali Mata, jadi agak merugikan apabila Moyes tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pemain itu sebagai elemen kejutan. Pemilihan pemain seperti biasa sudah boleh dijangka kerana sepertimana minggu lalu, Moyes nampaknya lebih gemar memberikan peluang buat Ashley Young terus beraksi di sebelah kiri. Selepas melihat anak-anak buahnya bergelut memecah benteng pelawat, barulah beliau melakukan perubahan dengan membawa masuk Adnan Januzaj dan Antonio Valencia manakala Mata pula 'ditolak' ke bahagian tengah. Perubahan taktikal yang dilakukan Moyes akhirnya memberikan hasil apabila gol penyamaan berjaya dijaringkan Van Persie (minit ke-78) sebelum dua minit kemudian Carrick pula meletakkan United di hadapan. Dengan adanya Mata manakala Van Persie dan Rooney pula kembali cergas, sudah tibalah saatnya di mana Moyes sepatutnya lebih berani melakukan perubahan kepada formasi pemain serta mempelbagaikan taktikal permainan. Saya ingin benar melihat Rooney, Januzaj dan Mata diletakkan sebaris di belakang Van Persie manakala Carrick serta Fletcher bergerak di belakang trio ini dalam formasi 4-2-3-1. Bagaimanapun dalam masa yang sama saya juga kurang pasti adakah Moyes memiliki cukup keberanian untuk melakukan perubahan ini daripada terus cenderung menggunakan formasi tradisi 4-4-1-1. Dalam situasi sekarang Moyes harus berani melakukan perjudian dengan meletakkan prinsip di tempat kedua kerana sebarang keputusan buruk yang dicapai kelab pada perlawanan-perlawanan berikutnya akan hanya menyebabkan jawatannya berada dalam kedudukan bahaya.

Saya tidak yakin pihak pengurusan masih mampu bersabar jika kedudukan United terus terperosok ke tangga lebih bawah, manakala kebanyakkan penyokong-penyokong pula sudah lama hilang sabar. Sudah kerap kali dilaungkan bahawa Moyes perlu diberikan masa dan peluang untuk membentuk permainan United mengikut acuannya sendiri tetapi prestasi barisan pemain-pemainnya di Stadium Britannia minggu lalu dan di gelanggang sendiri semalam sukar untuk saya terima. Satu mata dari dua perlawanan terakhir menentang kelab kelas pertengahan seperti Stoke City dan Fulham yang kini berada di dasar liga pada pandangan saya adalah satu kegagalan serius. Jika anda mengatakan Moyes mewarisi skuad pincang dengan kebanyakkan pemain sudah berada di penghujung karier saya berpendapat sebaliknya. Barisan United musim ini saya yakini bukanlah terlalu teruk untuk kita labelkan sebagai pincang kerana saya masih percaya dengan senarai pemain yang ada di tangan Moyes, United sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik berbanding sekarang. Moyes bukan saja perlu berani melakukan perubahan pada formasi dan taktikal permainan United tetapi beliau juga perlu berani melakukan perubahan pada kesebelasan utama dalam satu-satu perlawanan. Saya tidak nafikan Patrice Evra masih lagi bek kiri terbaik yang dimiliki kelab tetapi prestasinya semalam jelas agak mengecewakan. Kedua-dua gol pelawat yang dijaringkan Steve Sidwell dan Darren Bent berpunca dari kealpaan dan kelewataan Evra menutup ruang hingga menyebabkan dua gol itu terhasil. Dengan usia yang sudah menjangkau 32 tahun Evra sudah hilang kepantasan dan saya fikir mungkin sudah tiba masanya untuk Evra tidak lagi dibebani dengan aksi setiap minggu.

Jika perlawanan semalam dijadikan kayu ukur, Moyes sepatutnya sudah punya senarai pemain mana yang patut di letakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Evra pada perlawanan menentang Arsenal nanti. Jika diambilkira situasi semasa, tiada apa yang saya harapkan ketika Moyes membawa barisan pemainnya ke Stadium Emirates Khamis ini. Jika anda beranggapan inilah masa terbaik untuk berdepan Arsenal hanya disebabkan mereka mengalami kejutan besar akibat tragedi Anfield (tewas 1-5 kepada Liverpool), anda sebenarnya silap. Arsenal bersama tiga lagi pasukan (Chelsea, Man City dan Liverpool) sedang bersaing merebut kejuaraan liga, jadi Arsene Wenger tidak boleh melihat skuadnya tewas buat kali kedua dalam tempoh lima hari ataupun sekadar mencatat keputusan seri ketika berdepan United. Mereka sebolehnya akan berusaha mencari kemenangan, maka atas sebab itulah saya katakan bahawa ini bukan waktu terbaik untuk berdepan The Gunners. Menang, seri atau tewas Khamis nanti tidak akan mengubah kedudukan United dalam carta liga. Jika kejutan berlaku dan Arsenal berjaya ditewaskan, saya sekurang-kurangnya masih boleh memasang impian untuk melihat United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Jika seri atau tewas pula, saya sepatutnya sudah boleh melupakan terus segala impian ingin menyaksikan United berada di kelompok empat teratas sebaik musim 2013-14 berakhir. Artikel kali ini bukan bertujuan mahu menghentam Moyes kerana saya bukanlah anti individu yang menggantikan Sir Alex Ferguson itu. Sir Alex memilih Moyes sebagai penggantinya tetapi itu bukan bermakna bekas pengurus Everton itu individu yang sempurna.

Sir Alex walaupun sudah menghadiahkan deretan kejuaraan untuk kelab tetap bukan seorang individu yang sempurna. Mungkin juga pemilihan Moyes satu kesilapan, mungkin juga tidak, tetapi sejak tiba di Old Trafford Jun lalu sudah banyak kesilapan yang dilakukan Moyes ketika mengendalikan kelab. Saya meminati United bukan disebabkan Sir Alex atau deretan trofi yang dihadiahkan beliau sepanjang mengendalikan kelab kerana saya sudah mula jatuh cinta kepada United ketika Liverpool masih lagi kuasa dominan bolasepak England. Tiada masalah buat saya menerima hakikat jika United gagal memenangi sebarang trofi selama empat atau lima musim sekalipun, cuma apa yang saya mahukan ialah kelab seperti Manchester United lebih dihormati pesaing-pesaing mereka, bukan seperti sekarang. Saya tidak ambil peduli jika pengurus kelab-belab besar seperti Jose Mourinho, Arsene Wenger atau Manuel Pellegrini memperlekehkan kemampuan United, tetapi jika pengurus seperti Gustavo Poyet sudah berani buka mulut itu tandanya kelab bawahan seperti Sunderland pun sudah tidak lagi menghormati The Red Devils. Seperti yang saya katakan tadi pemilihan Moyes mungkin satu kesilapan, mungkin juga tidak. Jika pemilihan Moyes satu kesilapan saya berharap pihak pengurusan tidak perlu menunggu masa terlalu lama untuk mencari pengganti lebih berkaliber dan membiarkan 'kerosakan' lebih besar berlaku. Jika memang benar Moyes pengganti paling tepat untuk jawatan pengurus United, masa dan peluang patut diberikan kepada beliau sepertimana yang pernah diberikan kepada Sir Alex walaupun kita mungkin terpaksa melihat United tidak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Saya amat tertarik dengan kata-kata Shebby Singh dalam rancangan Formasi Ekstra beberapa hari lalu bahawa kesilapan paling besar dilakukan Moyes ialah menerima jawatan pengurus Manchester United. Benarkah begitu? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

09 Februari 2014

BERAKHIRNYA SEBUAH ERA


Teka teki tentang masa depan Nemanja Vidic akhirnya terjawab apabila pemain itu mengumumkan bahawa musim 2013-14 adalah musim terakhirnya di Old Trafford. Tiadanya sebarang pertemuan bagi membincangkan lanjutan kontrak yang dilakukan kedua-dua pihak (pihak pengurusan United dan agen Vidic) menyebabkan spekulasi tentang masa depan bintang antarabangsa Serbia itu di Old Trafford mula dibahaskan sejak penghujung tahun lalu lagi. Seperti yang anda tahu, kontrak Vidic akan berakhir Jun nanti, jadi pengumuman Vidic bahawa ini adalah musim terakhirnya di Old Trafford yang disiarkan menerusi laman rasmi kelab (manutd.com) menamatkan segala teka-teki berhubung masa depan bintang pertahanan itu. Bagi penyokong-penyokong yang meminati gaya permainan keras Vidic, anda bolehlah menggunakan baki saingan musim ini untuk menikmati sepuas-puasnya aksi pemain ini dengan jersi merah The Red Devils kerana mulai musim depan tiada lagi kelibat sang kapten mengetuai benteng pertahanan United di atas padang. Selama lapan musim di Old Trafford, Vidic dan Rio Ferdinand membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan United hingga pernah diiktiraf antara pasangan pertahanan tengah terbaik di dunia. Lapan musim, 15 trofi kejuaraan, 284 penampilan dan 19 gol yang dijaringkannya sudah cukup menggambar betapa besarnya sumbangan Vidic kepada kelab. Dan selepas lapan musim menyaksikan Vidic mengetuai benteng pertahanan dengan gaya permainan kerasnya, kita akhirnya terpaksa mengakui bahawa zaman kegemilangan 'Penyembelih Balkan' itu di Old Trafford sudahpun berakhir.

Mungkin juga selepas menyedari bahawa rombakan besar-besaran bakal dilakukan David Moyes musim depan, Vidic mengambil keputusan mencari haluan dan cabaran baru dengan Itali disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya yang bakal dituju Vidic. Vidic ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Spartak Moscow pada Januari 2006 melibatkan nilai perpindahan berjumlah £7 juta, melakukan penampilan sulung pada 25 Januari selaku pemain gantian pada perlawanan menentang Blackburn Rovers dalam saingan Piala Liga 2006. Kelibat Vidic bersama Spartak Moscow menarik minat Sir Alex yang ketika itu sedang mencari pasangan sesuai buat Rio Ferdinand di benteng pertahanan tengah dan biarpun Fiorentina turut cuba bersaing mendapatkan khidmatnya, Vidic akhirnya tidak mampu menolak tarikan yang ada pada United selaku kelab besar dengan memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya. Selepas lapan musim menabur bakti bersama kelab, perkhabaran bahawa musim ini adalah musim terakhir Vidic di Old Trafford merupakan satu berita yang menyedihkan. Sepanjang lapan musim mana mungkin kita boleh melupakan terjahan-terjahan kerasnya ke atas penyerang lawan, kelantangannya memberikan arahan kepada rakan ketika menyusun benteng pertahanan, aksi-aksinya di udara bagi menyambut hantaran rakan dalam situasi bola mati dan sudah tentu perseteruan epiknya dengan Didier Drogba akan dikenang sampai bila-bila. Pada usia 32 tahun, Vidic sebenarnya pada pandangan saya masih mampu memberikan sumbangan besar kepada benteng pertahanan biarpun dalam tempoh dua musim terakhir beliau terpaksa berjuang dengan kecederaan lutut yang berulang-ulang.

Saya sebenarnya masih menaruh harapan agar Vidic mampu mengembalikan semula prestasi terbaiknya tetapi berita ini (Vidic akan meninggalkan kelab) menamatkan segala impian saya yang mahu melihat beliau menamatkan kariernya di Old Trafford. Keputusan Vidic mahu meninggalkan kelab menyebabkan timbul persoalan tentang masa depan dua lagi pemain yang pernah memberikan pengaruh besar di bahagian belakang. Dua pemain yang saya maksudkan ialah Patrice Evra dan Rio Ferdinand. Ferdinand di bawah kendalian Moyes sudah jarang mendapat peluang tampil dalam kesebelasan utama malah ada khabar mengatakan hubungan mereka berdua kini semakin tegang. Ferdinand sepertimana beberapa musim terakhir sering dihantui dengan masalah kecederaan hingga membataskan penampilannya bersama skuad utama dan saya yakin sama seperti Vidic, musim  ini juga akan menjadi musim terakhir beliau menyarung jersi United. Evra pula meskipun sudah menjangkau usia 32 tahun, tetapi masih lagi terus dibebani dengan tugas mengawal bahagian sebelah kiri benteng pertahanan dan antara pemain senior United yang hampir setiap minggu dikerah beraksi. United ketika di bawah kendalian Sir Alex sudah beberapa kali cuba merekrut pemain-pemain muda sebagai pengganti jangka panjang Evra namun sehingga kini baik Fabio da Silva mahupun Alexander Buttner nampaknya belum sedia mengisi kekosongan di bahagian kiri pertahanan jika warga Perancis itu meninggalkan Old Trafford. Vidic, Ferdinand dan Evra sudah membentuk gandingan di bahagian belakang kelab selama lapan musim dengan kemuncak kegemilangan trio ini ialah pada musim 2007-08 di mana mereka berjaya membantu kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara. Penghijrahan, pengunduran atau persaraan salah seorang dari mereka bolehlah saya anggap sebagai berakhirnya era penuh gemilang trio ini di Old Trafford.

Pengumuman Vidic mungkin satu tamparan buat Moyes kerana ramai pihak menjangkakan bintang Serbia itu akan kekal di Old Trafford sekurang-kurang untuk tempoh semusim lagi. Perginya Vidic akan meninggalkan ruang besar di benteng pertahanan ketika masa depan Ferdinand dan Evra juga sudah mula dibahaskan pemerhati bolasepak dan penyokong-penyokong United sendiri. Jika pengunduran Vidic dituruti kemudiannya oleh Ferdinand dan Evra, ini bermakna sudah tibalah masanya buat generasi baru diketuai Jonny Evans, Chris Smalling, Phil Jones, Michael Keane, kembar Rafa dan Fabio serta mungkin juga Tom Thorpe mengisi kekosongan yang ditinggalkan trio lagenda ini. Pemergian Vidic juga saya yakin akan memaksa Moyes membabitkan diri dengan lebih serius sepanjang pasaran perpindahan musim panas nanti dengan keutamaan harus diberikan bagi mencari pemain yang mampu menggantikan tempat Vidic dan Ferdinand selaku pemimpin di benteng pertahanan. Bukan mudah menggantikan seorang pemain yang memiliki kualiti seperti Vidic dan Ferdinand kerana kelab sebenarnya bukan sahaja kehilangan khidmat mereka tetapi dalam masa yang sama hilang sentuhan seorang pemimpin di atas padang. Jadi sudah pasti juga bukan tugas mudah buat Moyes mencari pengganti kedua-dua mereka sepanjang musim panas nanti kerana hanya Evans satu-satunya pertahanan tengah berpengalaman yang dimiliki Moyes, manakala Jones dan Smalling pula memerlukan beberapa musim lagi sebelum muncul pemain yang lebih matang.

Sejak ditandatangani dari Spartak Moscow lapan tahun lalu, Vidic adalah jantung pertahanan United dan masih lagi saya anggap pemain tonggak kelab serta antara pertahanan tengah terbaik dunia, jadi tidak hairanlah mengapa kelab besar seperti Inter Milan diberitakan paling serius memburu khidmatnya. Selepas berakhirnya era Steve Bruce/Gary Pallister, kita terpaksa menunggu beberapa tahun hinggalah munculnya gandingan Vidic/Ferdinand. Saya akui bahawa Jaap Stam antara pertahanan tengah terbaik pernah beraksi untuk United namun agak malang beliau hanya sempat menyarung jersi kelab selama tiga musim sebelum konfrontasi dengan Sir Alex mengakibatkan pertahanan Belanda itu 'dipaksa' meninggalkan Old Trafford pada 2001. Dalam tempoh tiga musim Stam juga sering bertukar-tukar pasangan di benteng tengah bersama Ronny Johnsen, Mikel Silvestre (Silvestre juga boleh bermain sebagai bek kiri), Henning Berg dan juga Wes Brown. Penantian sejak sekian lama untuk melihat kembali bayangan gandingan Bruce/Pallister berakhir apabila Sir Alex akhirnya berjaya menemui pasangan sesuai buat Ferdinand dengan kehadiran Vidic pada Januari 2006. Walaupun pada mulanya ramai meragui keputusan Sir Alex menandatangani Vidic, pengkritik akhirnya terpaksa menelan semula segala kritikan mereka apabila pertahanan itu pantas menyesuaikan diri dengan kehidupan dan corak bolasepak Inggeris untuk membentuk kombinasi ampuh bersama Ferdinand di benteng tengah United selama lapan musim. Sudah tentu kita tidak akan dapat menyaksikan lagi gandingan Vidic/Ferdinand mengawal benteng pertahanan United musim depan sebaik sahaja beliau (Vidic) mengesahkan bahawa ini adalah musim terakhirnya bersama kelab.

Ketika Vidic sudah mengesahkan masa depannya, Ferdinand pula masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi saya yakin beliau juga akan mengikut jejak Vidic. Cuma apa yang menjadi tandatanya sekarang ialah sama ada Ferdinand memilih persaraan sebagai jalan keluar atau kembali semula ke pangkuan bekas kelab yang pernah mencungkil bakatnya iaitu West Ham. Pengumuman yang dilakukan Vidic turut menandakan bahawa berakhirlah era lapan musim beliau membentuk gandingan kebalnya bersama Ferdinand di barisan belakang United. Persoalannya sekarang mampukah pemain generasi baru seperti Evans, Jones dan Smalling mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Vidic dan (kemungkinan besar juga Ferdinand)? Jika anda tanyakan soalan ini kepada saya, sudah tentu jawapan saya ialah “Ya” tetapi dengan syarat musim panas nanti Moyes perlu mendapatkan seorang pertahanan kelas dunia sebgai pemimpin dan pengganti kekosongan yang ditinggalkan Vidic. Evans pemain pertahanan yang bagus tetapi tiada jaminan beliau mampu memberikan aksi konsisten setiap minggu, tambahan pula dengan masalah kecederaan yang sering membelenggu kariernya. Jones dan Smalling pula seperti yang saya sebutkan tadi perlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk mencapai tempoh matang sebagai seorang pemain sebelum benar-benar bersedia diletakkan tanggungjawab sepenuhnya mengemudi benteng pertahanan United. Jadi siapakah pemain pertahanan tengah yang bakal diletakkan dalam radar kelab untuk diburu musim panas nanti? Anda mungkin sudah mencongak nama-nama yang bakal diburu Moyes dan saya juga ada beberapa calon difikirkan sesuai yang saya jangkakan akan cuba ditandatangani kelab musim panas nanti (akan menyusul pada artikel akan datang). Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 Januari 2014

£37 JUTA...SEMOGA MENJADI PELABURAN YANG BERBALOI


Selepas dihidangkan dengan spekulasi demi spekulasi, perpindahan Juan Mata dari Stamford Bridge ke Old Trafford akhirnya disahkan secara rasmi semalam. £37 juta nilai perpindahan Mata adalah satu rekod baru bagi kelab dan sudah tentu saya berharap kehadiran pemain tengah Sepanyol ini akan memberikan inspirasi kepada barisan The Red Devils untuk bangkit memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga selepas ini. David Moyes sering mengeluh tentang kurangnya kreativiti di bahagian tengah United setiap kali anak-anak buahnya berdepan kekalahan, jadi kehadiran Mata diharapkan mampu menyelesaikan masalah utama yang dihadapi beliau selama ini. Saya mengagumi Mata sejak dia masih menyarung jersi Valencia lagi dan kekaguman saya terhadapnya semakin bertambah ketika melihat sumbangan dan peranan yang dimainkannya di bahagian tengah Chelsea selepas menyertai kelab London itu pada 2011. Tidak syak lagi Mata antara playmaker kelas atas bolasepak moden dan sudah tentu 28 assist serta 32 gol yang dijaringkannya ketika bersama Chelsea adalah bukti terbaik menilai kemampuannya. Mata antara pemain yang saya harap tidak diturunkan setiap kali United berdepan Chelsea, maka atas sebab itulah saya agak teruja mendengar berita bahawa pemain yang paling saya 'takuti' itu kini sah menjadi milik United. The Red Devils di bawah kendalian Moyes sedang berjuang mengembalikan semula maruah mereka selepas terperosok di tangga ketujuh liga, tetapi satu hakikat yang perlu diakui ialah bahawa United masih lagi antara kelab terbesar di dunia. Walau apapun yang berlaku ke atas kelab ketika ini, saya masih percaya bahawa Old Trafford tetap destinasi impian yang ingin dituju mana-mana pemain ternama dunia dan Mata tidak terkecuali. Mata bukan pemain buangan cuma nasibnya agak kurang baik kerana gaya permainannya tidak sesuai dengan perancangan taktikal Jose Mourinho. Meninggalkan Chelsea bukanlah langkah ke belakang kerana United sendiri adalah kelab yang besar dan saya percaya dengan bakat serta kebolehan yang ada pada dirinya, Mata mampu menjadi pemain yang lebih besar di Old Trafford. Keperluan untuk mendapatkan seorang midfielder baru bukanlah isu yang dibangkitkan sehari dua, malah sejak Paul Scholes bermain buat kali terakhir di final Liga Juara-Juara 2011 (Scholes kemudiannya kembali dari persaraan pada Januari 2012).

Kembalinya Scholes selepas enam bulan beliau mengumumkan persaraannya jelas menunjukkan bahawa United memang ketandusan seorang pemain tengah berwibawa dan situasi bertambah buruk apabila pemain yang diharapkan mampu mengisi kekosongan lagenda itu seperti Tom Cleverley dan Anderson (kini menyertai Fiorentina secara pinjaman) terus bergelut dengan prestasi semasa. Pembelian musim panas yang dilakukan Moyes ke atas Marouane Fellaini pula masih belum menampakkan hasil dan sehingga kini bekas pemain Everton itu masih cuba menyesuaikan diri bersama kelab baru disamping bergelut dengan masalah kecederaan. Dalam tempoh lima bulan, United sudah berdepan tujuh kekalahan dalam saingan liga dan sepanjang tempoh itu jugalah penyokong serta penganalisa menjadikan kelemahan di bahagian tengah sebagai fokus utama untuk dibahaskan. Kehadiran Fellaini masih belum mampu memberikan kesan maksimum di bahagian tengah jadi tidak hairanlah sepanjang Disember hingga sekarang ada beberapa nama yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford. Selain Mata, antara paling disebut-sebut ialah Ander Herrera dan Koke, dua bakat muda dari Sepanyol yang dikatakan turut menarik minat Moyes. Dari sekadar berita spekulasi kini perpindahan Mata menjadi kenyataan dan dalam masa yang sama sudah tentu kita berharap pemain itu akan membuktikan bahawa Jose Mourinho melakukan kesilapan besar dengan membenarkan dia menyertai United. Selepas kekalahan kepada Chelsea, dan kemudiannya disingkir Sunderland dari slot final Piala Liga, kita jangkakan suasana 'kurang baik' sedang melanda kem United ketika ini. Jadi tindakan pantas Moyes dalam pasaran perpindahan pemain kali ini (berbanding musim panas lalu) dilihat sesetengah pihak sebagai tindakan terdesak. Benarkah Mata satu pembelian panik yang dilakukan Moyes terutamanya selepas beliau melihat dirinya kian dihimpit tekanan berterusan akibat dua kekalahan terbaru yang dialami skuad kendaliannya? Saya boleh katakan “ya”, tetapi keputusan menandatangani Mata adalah 'pembelian panik yang berkualiti'. United seperti kata Moyes memang memerlukan suntikan dari seorang midfielder berkualiti bagi menghidupkan kembali kreativiti di bahagian tengah dan Mata adalah pilihan tepat jika dinilai sumbangannya ketika bersama Valencia dan Chelsea. Sebagai perbandingan dalam dua musim terakhir, Mata mencipta peluang jaringan lebih banyak berbanding mana-mana pemain United yang ada sekarang.

Sepanjang dua musim Mata adalah pemain terbaik Chelsea tetapi sejak kembalinya semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge, pemain itu mula kehilangan tempat dalam kesebelasan utama The Blues. Chelsea di bawah kendalian Mourinho lebih cenderung menggunakan Oscar sebagai pilihan utama memainkan peranan 'nombor 10' berbanding Mata, dan sudah tentu selepas dua musim diangkat sebagai pemain terbaik kelab, sukar buat dirinya menerima hakikat bahawa dia kini sekadar pilihan kedua. Mata mahukan aksi menentang United, City, Arsenal, Liverpool atau Spurs dalam perlawanan liga bukannya sekadar digunakan ketika menentang Stoke City dalam saingan Piala FA. Ketika United begitu memerlukan suntikan tenaga baru di bahagian tengah, Mata pula melihat United adalah destinasi terbaik yang mampu menawarkan peluang buat dirinya beraksi setiap minggu disamping kembali memperagakan kualiti sebenarnya. Mungkin akan timbul sedikit persoalan di posisi manakah Mata akan diletakkan selepas menyaksikan sejak beberapa musim terakhir ini Wayne Rooney beroperasi dengan baik di belakang penyerang. Lupakan dulu tentang teori penjualan Mata adalah satu rancangan licik Mourinho, tetapi saya lebih gemar melihat kejayaan menandatangani pemain dengan kualiti seperti Mata merupakan satu amaran bahawa United masih sebuah kelab besar yang mampu mendapatkan mana-mana pemain ternama. Andre Villas-Boas adalah individu yang bertanggungjawab membawa Mata ke England dan di bawah kendalian beliau, fungsi Mata bukan hanya terbatas selaku perancang tengah malah kerap kali digunakan di sebelah kiri. Dua musim diangkat sebagai pemain terbaik Chelsea, itu sudah cukup membuktikan kualiti yang ada pada diri Mata dan saya berharap dia mampu terus cemerlang di Old Trafford pula selepas ini. Cuma apa yang kita harapkan agar Moyes bijak mengeksploitasi segala kualiti dan potensi yang ada pada diri Mata dengan meletakkan dia di posisi yang betul, jika tidak nilai yang dibelanjakan ke atas pemain itu akan menjadi pelaburan yang sia-sia. Nilai £37 juta yang terpaksa dibelanjakan mungkin sedikit mahal jika diambil kira kelab tidak boleh menggunakan khidmatnya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini (kerana sudah terlebih dahulu didaftarkan Chelsea). Dengan hampir semua kejuaraan yang yang ditawarkan musim ini sudah terlepas dari jangkauan, slot Liga Juara-Juara musim depan adalah ganjaran terbaik sebaik musim 2013-14 berakhir. Jika kehadiran Mata mampu memberikan impak kepada kekuatan United sekaligus membantu kelab layak ke kelompok empat teratas, itulah (£37 juta) nilai yang terpaksa dibayar untuk satu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. Saya tidak pernah ragu tentang kualiti milik Mata, cuma saya agak bimbang kesilapan yang dilakukan Moyes ke atas Shinji Kagawa turut menimpa Mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

22 Januari 2014

DI LUAR ZON '4 BESAR'...SATU KEGAGALAN BUAT MOYES



Berbekalkan prestasi turun naik setakat ini, tidak banyak harapan yang saya letakkan  ketika The Red Devils berkunjung ke Stamford Bridge tempohari. Jika menang ia merupakan satu keajaiban, seri bonus buat penyokong-penyokong dan akhirnya seperti yang dijangkakan kita terpaksa akur walaupun pahit untuk mengakui bahawa Chelsea pasukan yang lebih bagus berbanding United. Kekalahan ketujuh dari 22 perlawanan meletakkan United di tangga ketujuh, 14 mata di belakang Arsenal selaku pendahulu liga dan enam mata di belakang Liverpool yang berada di tangga keempat. Masih ada baki 16 perlawanan lagi untuk diharungi musim ini, jadi bagaimanakah peluang anak-anak buah Moyes untuk sekurang-kurangnya meletakkan diri mereka di tangga keempat sebaik musim berakhir sekaligus layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Moyes selaku pengendali sudah tentu menjadi sasaran cemuhan dan kecaman pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi kelab sejak beliau dipilih menggantikan Sir Alex Ferguson. Lumrah juga sebagai manusia biasa, Moyes akan sedaya upaya mencari alasan atas kegagalan barisan bimbingannya memberikan cabaran bermakna kepada kepada pencabar-pencabar lain musim ini. Memang benar bahawa tuah seperti yang selalu disebutkan Moyes adakalanya tidak menyebelahi United, contoh terbaik ialah kecederaan serentak yang dialami Robin Van Persie dan Wayne Rooney ketika beliau begitu memerlukan khidmat dua penggempur itu. Dengan keadaan kedudukan kelab yang terumbang-ambing dalam carta liga, kehilangan dua penjaring utama itu bolehlah kita anggap bencana buat Moyes. Bagaimanapun Moyes juga tidak boleh lari dari kesilapan di mana tindakan 'kurang serius' beliau sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka antara penyebab utama mengapa beliau terpaksa berdepan masalah seperti sekarang.

Pemilihan pemain yang beliau lakukan dalam satu-satu perlawanan juga boleh dipertikaikan dan sekali lagi perkara yang sama berlaku di Stamford Bridge. Saya bukanlah pakar taktikal dan siapalah saya yang mahu mempertikaikan taktik digunakan beliau ketika berdepan Chelsea kelmarin. Agak menghairankan selepas menyaksikan Shinji Kagawa memainkan peranan dengan berkesan selaku attacking midfielder ketika berdepan Swansea City minggu lalu manakala Adnan Januzaj pula selesa bergerak dari sebelah kiri, Moyes sebaliknya memilih taktik berbeza di Stamford Bridge. Moyes menurunkan Ashley Young (pemain yang sering dipertikaikan prestasinya musim ini) di sebelah kiri dan meletakkan Januzaj di belakang Danny Welbeck, manakala Kagawa antara pemain paling cemerlang minggu lalu tidak diberikan peluang langsung untuk bermain. Bukan sahaja pemilihan pemain yang dilakukan beliau sering dipertikaikan tetapi tindakan beliau yang terus menyisihkan Wilfried Zaha dari senarai pemain juga mengundang persoalan besar kepada kita. Semasa pra musim, Moyes yakin dengan kemampuan barisan dimilikinya untuk bersaing namun realitinya sekarang ialah banyak rombakan perlu dilakukan beliau jika kita mahu melihat United terus kompetitif di peringkat domestik mahupun Eropah. Ketika United sendiri berdepan kemungkinan gagal layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan, kredibiliti Moyes selaku pengendali terus dipertikaikan selepas kekalahan terbaru di Stamford Bridge. Jika United di bawah kendalian Moyes terus gagal menghasilkan keputusan baik dalam baki saingan musim ini, saya percaya kedudukan beliau selaku pengendali berada dalam bahaya. Khabarnya pihak lembaga pengarah sudah ada beberapa nama dalam senarai mereka yang pada bila-bila masa boleh mengisi kekosongan jawatan pengurus sekiranya Moyes dipecat.

Alan Hansen
Kumpulan pro Moyes selalu mengatakan jika pihak pengurusan kelab mampu bersabar dengan memberikan peluang kepada Sir Alex Ferguson selama empat tahun sebelum trofi pertama hadir, mengapa perkara yang sama tidak diberikan kepada Moyes? Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa bolasepak kini sudah jauh berubah di mana kesabaran pemilik kelab dan penyokong tidak setebal 10 atau 20 tahun yang lalu, jadi Moyes tidak sepatutnya mengharapkan agar layanan yang diterima Sir Alex 27 tahun lalu turut diberikan kepadanya. Saya yakin kumpulan yang mengecam Moyes tidak berdepan masalah untuk menerima hakikat bahawa peluang mempertahankan trofi liga kian mustahil, tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak mungkin boleh menerima hakikat jika kelab gagal merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Seperti yang disebutkan Alan Hansen (lagenda Liverpool), kegagalan layak ke saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu satu bencana buat kelab besar seperti United dan sudah tentu saya juga tidak mahu apa yang dialami Liverpool (kali terakhir layak ke Liga Juara-Juara 2009-10) turut menimpa The Red Devils. “Liverpool merosot dari kedudukan kedua pada 2009 kepada kedudukan ketujuh pada 2010. Selepas itu kelab terpaksa melepaskan Fernando Torres yang ingin bermain di Liga Juara-Juara, empat kali bertukar pengurus dan menghabiskan £100 juta bagi membeli pemain baru. Hingga sekarang mereka masih lagi bergelut merebut semula tempat ke Liga Juara-Juara”, kata Hansen ketika ditemubual Dailymail. Kegagalan merebut slot ke Liga Juara-Juara bukan sekadar memberi kesan kepada pendapatan tahunan kelab tetapi turut menjejaskan kemampuan mereka menarik minat pemain kelas dunia dari berpindah ke Old Trafford.  Apa yang dialami Liverpol selama beberapa musim terakhir sepatutnya dijadikan pengajaran.

Selaku kelab yang memiliki sejarah dan tradisi gemilang, mereka gagal menarik minat pemain-pemain ternama malah hampir saja kehilangan khidmat pemain paling bernilai mereka (Luis Suarez) musim panas lalu. Saya percaya situasi hampir sama sudah mula dirasai kelab ketika ini terutamanya melibatkan masa depan Wayne Rooney, di mana pemain itu khabarnya meletakkan syarat aksi di Liga Juara-Juara musim depan sebelum bersetuju menandantangani kontrak baru. Penganalisa dan penyokong sependapat mengatakan kelab memerlukan tenaga baru di bahagian tengah dan pertahanan jika Moyes mahu menyelamatkan musim pertamanya di Old Trafford. Bagaimanapun bukan mudah sebenarnya mahu memancing nama besar pada bulan Januari terutamanya selepas melihat prestasi kelab ketika ini disamping ketidaktentuan peluang beraksi di Liga Juara-Juara musim depan. Perkhabaran bahawa kelab semakin hampir mendapatkan khidmat Juan Mata memberikan sedikit kegembiraan kepada kita, tetapi kebimbangan tetap ada apakah pemain itu jawapan kepada kelemahan di bahagian tengah United ketika ini. Bekas pemain Chelsea, Tony Cascarino mengatakan Mata bukanlah pemain yang United perlukan saat ini meskipun pemain tengah itu memiliki teknik dan kemampuan hebat ketika mengatur gerakan. Kelemahan ketara United menurut Cascarino ialah tiadanya pemain yang mampu merampas dan menguasai bola di bahagian tengah. “Keutamaan yang perlu diberikan United sekarang ialah mencari pemain yang mampu merampas bola dari kaki lawan. Mata gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama Chelsea kerana Mourinho memiliki Oscar dan Willian yang lebih bagus dalam hal itu”, kata Cascarino. Lebih menarik apabila membaca komen dari bekas kapten United, Gary Neville. Menurut Neville, kehadiran Mata tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi United kerana kelab terpaksa mengubah corak permainan mereka untuk disesuaikan dengan peranan Mata.

Bagaimanapun Neville tidak menolak secara total kehadiran Mata kerana beliau melihat kejayaan mendapatkan pemain tengah itu bakal membuka jalan kepada Moyes mendapatkan pemain-pemain ternama lain. Walaupun secara matematiknya harapan untuk mempertahankan trofi Liga Perdana tetap ada tetapi impian tersebut sepatutnya sudah boleh dilupakan selepas kekalahan di Stamford Bridge Ahad lalu. Awal pagi esok The Red Devils akan berdepan Sunderland pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga, satu-satunya trofi paling realistik untuk dijulang musim ini. Banyak perkara yang menyebabkan majoriti penyokong bangkit meluahkan kekecewaan mereka sejak akhir-akhir ini, jadi sudah tentulah kejayaan di Piala Liga sedikit sebanyak mampu meredakan kemarahan mereka terhadap Moyes. Selepas disingkirkan Swansea City dari saingan Piala FA di gelanggang sendiri, sukar untuk membayangkan bagaimana reaksi penyokong-penyokong sekiranya anak-anak buah Moyes gagal layak ke pentas final Piala Liga. Tugas utama Moyes dan barisan pemain-pemainnya ialah cuba memadam 'sumpahan' di gelanggang sendiri bermula dengan menjadikan The Black Cats sebagai permulaan langkah mereka. Dengan kejuaraan Liga Perdana semakin jauh dari jangkauan, slot pusingan keempat Piala FA pula sudah terlepas dan trofi Liga Juara-Juara hampir mustahil untuk dimenangi, Piala Liga adalah pengubat segala kekecewaan yang dialami selama tempoh enam bulan terakhir ini. Misi bermain di Wembley hanyalah permulaan kerana tugas paling besar buat Moyes ialah membawa kelab ke kedudukan empat teratas di akhir musim. Gelanggang sebenar buat kelab besar seperti United ialah Liga Juara-Juara bukannya Liga Europa. Jika gagal bermain di sana (Liga Juara-Juara) musim depan itu adalah kegagalan paling besar Moyes pada musim pertamanya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J