26 Januari 2014

£37 JUTA...SEMOGA MENJADI PELABURAN YANG BERBALOI


Selepas dihidangkan dengan spekulasi demi spekulasi, perpindahan Juan Mata dari Stamford Bridge ke Old Trafford akhirnya disahkan secara rasmi semalam. £37 juta nilai perpindahan Mata adalah satu rekod baru bagi kelab dan sudah tentu saya berharap kehadiran pemain tengah Sepanyol ini akan memberikan inspirasi kepada barisan The Red Devils untuk bangkit memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga selepas ini. David Moyes sering mengeluh tentang kurangnya kreativiti di bahagian tengah United setiap kali anak-anak buahnya berdepan kekalahan, jadi kehadiran Mata diharapkan mampu menyelesaikan masalah utama yang dihadapi beliau selama ini. Saya mengagumi Mata sejak dia masih menyarung jersi Valencia lagi dan kekaguman saya terhadapnya semakin bertambah ketika melihat sumbangan dan peranan yang dimainkannya di bahagian tengah Chelsea selepas menyertai kelab London itu pada 2011. Tidak syak lagi Mata antara playmaker kelas atas bolasepak moden dan sudah tentu 28 assist serta 32 gol yang dijaringkannya ketika bersama Chelsea adalah bukti terbaik menilai kemampuannya. Mata antara pemain yang saya harap tidak diturunkan setiap kali United berdepan Chelsea, maka atas sebab itulah saya agak teruja mendengar berita bahawa pemain yang paling saya 'takuti' itu kini sah menjadi milik United. The Red Devils di bawah kendalian Moyes sedang berjuang mengembalikan semula maruah mereka selepas terperosok di tangga ketujuh liga, tetapi satu hakikat yang perlu diakui ialah bahawa United masih lagi antara kelab terbesar di dunia. Walau apapun yang berlaku ke atas kelab ketika ini, saya masih percaya bahawa Old Trafford tetap destinasi impian yang ingin dituju mana-mana pemain ternama dunia dan Mata tidak terkecuali. Mata bukan pemain buangan cuma nasibnya agak kurang baik kerana gaya permainannya tidak sesuai dengan perancangan taktikal Jose Mourinho. Meninggalkan Chelsea bukanlah langkah ke belakang kerana United sendiri adalah kelab yang besar dan saya percaya dengan bakat serta kebolehan yang ada pada dirinya, Mata mampu menjadi pemain yang lebih besar di Old Trafford. Keperluan untuk mendapatkan seorang midfielder baru bukanlah isu yang dibangkitkan sehari dua, malah sejak Paul Scholes bermain buat kali terakhir di final Liga Juara-Juara 2011 (Scholes kemudiannya kembali dari persaraan pada Januari 2012).

Kembalinya Scholes selepas enam bulan beliau mengumumkan persaraannya jelas menunjukkan bahawa United memang ketandusan seorang pemain tengah berwibawa dan situasi bertambah buruk apabila pemain yang diharapkan mampu mengisi kekosongan lagenda itu seperti Tom Cleverley dan Anderson (kini menyertai Fiorentina secara pinjaman) terus bergelut dengan prestasi semasa. Pembelian musim panas yang dilakukan Moyes ke atas Marouane Fellaini pula masih belum menampakkan hasil dan sehingga kini bekas pemain Everton itu masih cuba menyesuaikan diri bersama kelab baru disamping bergelut dengan masalah kecederaan. Dalam tempoh lima bulan, United sudah berdepan tujuh kekalahan dalam saingan liga dan sepanjang tempoh itu jugalah penyokong serta penganalisa menjadikan kelemahan di bahagian tengah sebagai fokus utama untuk dibahaskan. Kehadiran Fellaini masih belum mampu memberikan kesan maksimum di bahagian tengah jadi tidak hairanlah sepanjang Disember hingga sekarang ada beberapa nama yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford. Selain Mata, antara paling disebut-sebut ialah Ander Herrera dan Koke, dua bakat muda dari Sepanyol yang dikatakan turut menarik minat Moyes. Dari sekadar berita spekulasi kini perpindahan Mata menjadi kenyataan dan dalam masa yang sama sudah tentu kita berharap pemain itu akan membuktikan bahawa Jose Mourinho melakukan kesilapan besar dengan membenarkan dia menyertai United. Selepas kekalahan kepada Chelsea, dan kemudiannya disingkir Sunderland dari slot final Piala Liga, kita jangkakan suasana 'kurang baik' sedang melanda kem United ketika ini. Jadi tindakan pantas Moyes dalam pasaran perpindahan pemain kali ini (berbanding musim panas lalu) dilihat sesetengah pihak sebagai tindakan terdesak. Benarkah Mata satu pembelian panik yang dilakukan Moyes terutamanya selepas beliau melihat dirinya kian dihimpit tekanan berterusan akibat dua kekalahan terbaru yang dialami skuad kendaliannya? Saya boleh katakan “ya”, tetapi keputusan menandatangani Mata adalah 'pembelian panik yang berkualiti'. United seperti kata Moyes memang memerlukan suntikan dari seorang midfielder berkualiti bagi menghidupkan kembali kreativiti di bahagian tengah dan Mata adalah pilihan tepat jika dinilai sumbangannya ketika bersama Valencia dan Chelsea. Sebagai perbandingan dalam dua musim terakhir, Mata mencipta peluang jaringan lebih banyak berbanding mana-mana pemain United yang ada sekarang.

Sepanjang dua musim Mata adalah pemain terbaik Chelsea tetapi sejak kembalinya semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge, pemain itu mula kehilangan tempat dalam kesebelasan utama The Blues. Chelsea di bawah kendalian Mourinho lebih cenderung menggunakan Oscar sebagai pilihan utama memainkan peranan 'nombor 10' berbanding Mata, dan sudah tentu selepas dua musim diangkat sebagai pemain terbaik kelab, sukar buat dirinya menerima hakikat bahawa dia kini sekadar pilihan kedua. Mata mahukan aksi menentang United, City, Arsenal, Liverpool atau Spurs dalam perlawanan liga bukannya sekadar digunakan ketika menentang Stoke City dalam saingan Piala FA. Ketika United begitu memerlukan suntikan tenaga baru di bahagian tengah, Mata pula melihat United adalah destinasi terbaik yang mampu menawarkan peluang buat dirinya beraksi setiap minggu disamping kembali memperagakan kualiti sebenarnya. Mungkin akan timbul sedikit persoalan di posisi manakah Mata akan diletakkan selepas menyaksikan sejak beberapa musim terakhir ini Wayne Rooney beroperasi dengan baik di belakang penyerang. Lupakan dulu tentang teori penjualan Mata adalah satu rancangan licik Mourinho, tetapi saya lebih gemar melihat kejayaan menandatangani pemain dengan kualiti seperti Mata merupakan satu amaran bahawa United masih sebuah kelab besar yang mampu mendapatkan mana-mana pemain ternama. Andre Villas-Boas adalah individu yang bertanggungjawab membawa Mata ke England dan di bawah kendalian beliau, fungsi Mata bukan hanya terbatas selaku perancang tengah malah kerap kali digunakan di sebelah kiri. Dua musim diangkat sebagai pemain terbaik Chelsea, itu sudah cukup membuktikan kualiti yang ada pada diri Mata dan saya berharap dia mampu terus cemerlang di Old Trafford pula selepas ini. Cuma apa yang kita harapkan agar Moyes bijak mengeksploitasi segala kualiti dan potensi yang ada pada diri Mata dengan meletakkan dia di posisi yang betul, jika tidak nilai yang dibelanjakan ke atas pemain itu akan menjadi pelaburan yang sia-sia. Nilai £37 juta yang terpaksa dibelanjakan mungkin sedikit mahal jika diambil kira kelab tidak boleh menggunakan khidmatnya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini (kerana sudah terlebih dahulu didaftarkan Chelsea). Dengan hampir semua kejuaraan yang yang ditawarkan musim ini sudah terlepas dari jangkauan, slot Liga Juara-Juara musim depan adalah ganjaran terbaik sebaik musim 2013-14 berakhir. Jika kehadiran Mata mampu memberikan impak kepada kekuatan United sekaligus membantu kelab layak ke kelompok empat teratas, itulah (£37 juta) nilai yang terpaksa dibayar untuk satu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. Saya tidak pernah ragu tentang kualiti milik Mata, cuma saya agak bimbang kesilapan yang dilakukan Moyes ke atas Shinji Kagawa turut menimpa Mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan