Wayne Rooney bakal muncul pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam Liga Perdana Inggeris. Diberitakan Manchester United akan menaikkan gajinya daripada 120,000 Pound kepada 170,000 Pound seminggu. Gaji yang diterima Rooney akan mengatasi bayaran yang diterima oleh Steven Gerrard dan John Terry. Kedua-dua kapten Liverpool dan Chelsea itu menerima gaji sekitar 150,000 Pound seminggu. Kenaikan gaji ini merupakan salah satu dari klausa dalam kontrak baru yang ditawarkan oleh United dan Rooney dijangka akan menandatangani lanjutan kontrak barunya pada bulan Februari tahun hadapan. United memang serius mahu mengekalkan penyerang antarabangsa England untuk jangkamasa lama di Old Trafford dan pihak pengurusan United berharap dengan tawaran lumayan itu mereka akan dapat mengekalkan Rooney di sini. United juga mahukan agar urusan ini diselesaikan sebelum berlangsungnya kejohanan Piala Dunia 2010 bagi mengelakkan kelab-kelab besar Eropah lain cuba memancing pemain yang kini menjadi ikon di Old Trafford itu. Pastinya United tiada masalah untuk mengekalkan Rooney kerana pemain itu sendiri sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia ingin terus kekal di Old Trafford dan menamatkan kariernya di sini.
23 November 2009
22 November 2009
United Kembali Ekori Chelsea
21 November 2009, Man Utd 3 - 0 Everton
Antonio Valenica scores Manchester United's third goal against Everton
21 November 2009, Man Utd 3 - 0 Everton
Everton's Joseph Yobo lunges in on Manchester United striker Wayne Rooney
21 November 2009, Man Utd 3 - 0 Everton
Everton's Leighton Baines battles for the ball with Antonio Valencia of Manchester United
21 November 2009, Man Utd 3 - 0 Everton
Michael Carrick celebrates after scoring Manchester United's second goal against Everton
Manchester United kembali mengekori kedudukan Chelsea di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Everton awal pagi tadi. Dengan kekalahan mengejut Arsenal kepada Sunderland sebelumnya, United kembali memintas kedudukan skuad The Gunners itu ditangga kedua dengan 28 mata. Ini adalah kali pertama dalam masa dua bulan United berjaya menjaringkan lebih dari dua gol sejak menewaskan musuh setempat mereka, Manchester City 4-3 pada 20 September lalu. United mendominasi perlawanan sejak awal lagi tetapi mendapati mereka sukar mengancam kubu gawang yang dikawal Tim Howard hasil corak permainan bertahan yang diamalkan pelawat. Selepas kerap melakukan percubaan jarak jauh, Darren Fletcher akhirnya meletakkan United di depan diminit ke 35 melalui sepakan voli menarik yang akhirnya berjaya memerangkap Tim Howard. Peluang terbaik pelawat ialah melalui Tim Cahill tetapi pemain antarabangsa Australia itu gagal menewaskan Edwin Van Der Sar biarpun mendapat lorongan cantik dari Louis Saha. United kekal mendahului sehingga tamat separuh masa pertama dengan statistik penguasaan bola sebanyak 69 peratus selain melakukan tiga percubaan tepat ke gawang lawan.

Bersambung di babak kedua, United masih terus mendominasi permainan dengan memaksa pelawat berkumpul di kawasan sendiri. Walaupun gerakan-gerakan mereka sering dipatahkan pelawat, skuad Red Devils dilihat cukup berdisiplin dan fokus dalam mengekalkan tempo permainan bagi mencari gol kedua. Wayne Rooney hampir meletakkan dirinya dalam senarai penjaring tetapi rembatannya dari jarak 25 meter sedikit tersasar di atas palang gol. Kesabaran mereka akhirnya berhasil apabila Michael Carrick menjaringkan gol kedua United diminit ke 67. Carrick yang menerima hantaran Ryan Giggs dari sebelah kanan berjaya melepaskan rembetan leret yang mengelirukan Howard. Selepas ketinggalan dua gol barulah pelawat kembali membuka permainan dengan melancarkan gerakan-gerakan kekubu lawan melalui Cahill, Ayegbeni Yakubu dan Marouane Fellaini. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya United untuk menghukum lawan melalui gol ketiga yang dijaringkan oleh Luis Antonio Valencia diminit ke 76. Rembatan Valencia dari sebelah kiri pintu gol terkena Leighton Baines sekaligus mengelirukan Howard yang sekadar melihat gawangnya dibolosi buat kali ketiga. Kemenangan ini juga meletakkan United kembali ke landasan untuk mengejar Chelsea dalam perlumbaan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.Lain-Lain Keputusan Perlawanan:
Liverpool (2) lwn Manchester City (2)
Sunderland (1) lwn Arsenal (0)
Chelsea (4) lwn Wolverhampton Wanderers (0)
Hull City (3) lwn West Ham (3)
Burnley (1) lwn Aston Villa (1)
Birmingham City (1) lwn Fulam (0)
21 November 2009
Fergie Fokus Kunjungan Everton Ke Old Trafford
Sir Alex Ferguson mahukan pasukannya menjadikan pertemuan dengan Everton awal pagi nanti sebagai landasan untuk kembali memberi tekanan kepada pendahulu liga ketika ini, Chelsea. United ketika ini ketinggalan lima mata dibelakang pasukan Carlo Ancelotti itu dan sebarang keputusan selain kemenangan akan mengakibatkan United semakin jauh ketinggalan. Skuad The Blues pastinya tidak akan menghadapi masalah memungut tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge nanti. Tempoh rehat seminggu kerana memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa pastinya memberi ruang kepada Ferguson merancang strategi dan mempersiapkan pasukannya, tetapi dia juga akan kehilangan khidmat John O'Shea dan Jonny Evans yang mengalami kecederaan. Ferguson juga akan kehilangan sentuhan Rio Ferdinand akibat kecederaan belakang yang mengakibatkan tonggak pertahanan itu akan direhatkan sekurang-kurangnya untuk lima belas perlawanan. Ferguson dijangka memberikan penampilan penuh buat Gabriel Obertan disebelah kiri dan Fabio da Silva pula akan menggantikan O'Shea disebelah kanan benteng.

Walau bagaimanapun, Ferguson mendapat khabar gembira dari pasukan perubatannya apabila Nemanja Vidic dan Park Ji Sung disahkan cergas untuk kembali menyertai skuad. Ferguson mengatakan bahawa dia tidak perlu risau dengan kedudukan pasukannya sekarang dan percaya United punya cukup kewibawaan untuk kembali mengejar Chelsea. "Saya tidak perlu risau dengan perbezaan mata ketika ini kerana perjalanan liga masih panjang. Kami mampu mengejar dan pasukan di hadapan pastinya akan mengalami kekalahan", kata Ferguson. "Menjelang tahun baru kami mungkin ketinggalan hanya satu mata. Sama seperti musim-musim lalu di mana kami menjadi pasukan yang lebih baik menjelang permulaan tahun baru dan kami punya cukup pengalaman untuk menanganinya", tambah Ferguson lagi. Perlawanan awal pagi nanti juga akan menyaksikan Ferguson memulakan penggantungan empat perlawanannya selepas didapati bersalah mengkritik tahap kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan United dan Sunderland. Ferguson dilarang berada dibangku pemainnya dan sekadar menyaksikan skuadnya beraksi dari tempat duduk penonton.
20 November 2009
Neville: Tak Mungkin Ke City
Kapten Everton yang juga bekas pemain Manchester United, Phil Neville menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali berpindah ke Manchester City biarpun jika mempunyai peluang. Ternyata warna tradisi merah United masih mengalir kuat dalam diri Phil. Phil dilahirkan dari akademi bolasepak remaja Manchester United dan pernah beraksi bersama bintang-bintang United lain seperti Paul Scholes, Ryan Giggs, David Beckham dan kembarnya sendiri, Gary yang kini merupakan kapten United. Walau bagaimanapun pada tahun 2005 Phil akhirnya berhijrah ke Goodison Park selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama United. "Menyertai Manchester City adalah sesuatu yang tidak akan berlaku dalam hidup saya. Ketika darahmu sudah berwarna merah (warna tradisi United), maka kamu tidak akan boleh mengubahnya menjadi biru (warna tradisi City)", kata Phil kepada Sky Sports. "Saya tidak pernah menyukai City, ketika saya lahir dan membesar bersama United, saya amat membenci City", tambah Phil lagi. Hujung minggu ini, Phil akan mengetuai skuad The Tofees berkunjung ke Old Trafford dan akan berhadapan dengan bekas rakan-rakan sepasukannya di United dalam perlawanan ke 13 Liga Perdana Inggeris.
19 November 2009
Ferdinand Tidak Akan Beraksi Hingga Tahun Depan
Tonggak pertahanan Manchester United dan England, Rio Ferdinand tidak akan beraksi lagi sehingga tahun hadapan. Ferdinand akan direhatkan selama enam minggu kerana kecederaan belakang yang dialaminya tidak memungkinkan untuk dia beraksi dalam tempoh terdekat. Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu mengalami masalah kecederaan belakang sejak musim lalu dan persembahan kurang konsistennya musim ini dikaitkan dengan masalah kecederaan itu yang berulang kembali. Selepas mempamerkan aksi tidak menentu, Ferdinand mengambil keputusan untuk berehat dan memulihkan kembali kecederaannya. Ferdinand berharap akan dapat kembali beraksi semula pada bulan Disember hadapan. Walau bagaimanapun pegawai perubatan United mengesahkan bahawa pemain pertahanan itu akan terlepas sekurang-kurangnya 15 perlawanan bersama United. Kali terakhir Ferdinand beraksi buat United ketika skuad Red Devils tewas kepada Liverpool di Anfield pada 25 Oktober lalu. Ketiadaan Ferdinand pastinya akan membuka ruang buat Jonny Evans atau Wes Brown beraksi disamping Nemanja Vidic di bahagian pertahanan tengah United.
18 November 2009
United Tak Gusar Tanpa Fergie
Tonggak pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic mengakui bahawa pasukannya kecewa dengan penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas pengurus mereka, Sir Alex Ferguson. Ferguson tidak dibenarkan berada di tempat duduk pemain kerana mengkritik kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan antara United dan Sunderland pada 3 Oktober lalu. Akibatnya selain dari digantung empat perlawanan, Ferguson juga dikenakan denda sebanyak 20 ribu Pound oleh Jawatankuasa Tatatertib FA Inggeris. Ferguson tidak akan bersama pemain-pemainnya ketika United menerima kunjungan Everton minggu ini dan Portsmouth di Fratton Park minggu hadapan manakala baki penggantungan dua lagi perlawanan masih belum diputuskan. Walau bagaimanapun Vidic menegaskan ketiadaan Ferguson tidak akan melemahkan kekuatan United dalam misi mereka mengejar pendahulu liga ketika ini, Chelsea.
Ramai pihak meramalkan ketiadaan Ferguson dibangku pemain akan menjejaskan rentak permainan United tetapi perkara itu disanggah Vidic. Pertahanan antarabangsa Serbia itu beranggapan hukuman yang dikenakan ke atas Ferguson tidak akan menjejaskan prestasi pasukannya dan dia optimis United mampu meraih kemenangan biarpun tanpa bimbingan Ferguson di tepi padang. "Kami akan berhadapan dengan perlawanan yang besar terutama selepas kami ketinggalan lima mata di belakang Chelsea. Tiga atau empat perlawanan selepas ini sangat penting buat kami dan saya berharap pasukan akan mempamerkan karekter sebenar biarpun tanpa Ferguson", tegas Vidic. United harus menjadikan kunjungan Everton ke Old Trafford minggu ini sebagai misi meraih tiga mata penuh selepas tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge sembilan hari lalu. Kemenangan juga akan membolehkan United terus memberi tekanan kepada pendahulu carta liga itu.
17 November 2009
Blanc Pengganti Sesuai Jika Fergie Bersara
Tarikh persaraan Sir Alex Ferguson sebagai pengurus Manchester United masih menjadi tanda tanya dan setakat ini tiada tanda-tanda pengendali dari Scotland itu akan bersara dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang pihak pengurusan United menyenaraikan beberapa calon sesuai bagi mengisi jawatan yang menjadi rebutan setiap jurulatih bolasepak di planet ini jika Fergie mengambil keputusan bersara. Antara nama yang diletakkan dalam senarai teratas pengurusan United ialah bekas pemain mereka yang pernah menabur bakti di Old Trafford selama dua musim iaitu Laurent Blanc. Jurulatih Girondins Bordeaux itu dilihat individu paling berpotensi menggantikan tempat Ferguson kelak. Ferguson memang sudah lama mengagumi Blanc sebagai seorang pemain mahupun jurulatih dan dia merupakan pemain paling rapat dengan Ferguson sewaktu eranya sebagai pemain bersama United.
Sumber dalaman United melaporkan, "Mencari pengganti Ferguson merupakan tugas paling berat sejak Sir Matt Busby mengumumkan persaraannya. Ini bukan persoalan memenangi kejuaraan tetapi masalah utamanya ialah bagaimana mencari individu yang mampu membuatkan United bermain dengan cara yang sesuai dengan tradisinya". "Di Old Trafford, ramai yang mengagumi pencapaian Blanc sebagai jurulatih Bordeaux. Gaya permainan yang diterapkannya sesuai dengan corak permainan United. Bukan lagi rahsia bahawa Blanc sangat rapat dengan Ferguson ketika dia masih lagi menjadi pemain United dan apa yang penting kedua-duanya saling menghormati", tambah sumber itu lagi. Blanc baru berusia 44 tahun dan pada usia itu, Ferguson telah mengambilalih pengurusan United dari Ron Atkinson. Selain Blanc, individu paling hangat dikaitkan dengan United ialah bekas pengurus Chelsea yang kini melatih Inter Milan, Jose Mourinho.
Langgan:
Catatan (Atom)