Manchester United kembali mengekori kedudukan Chelsea di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Everton awal pagi tadi. Dengan kekalahan mengejut Arsenal kepada Sunderland sebelumnya, United kembali memintas kedudukan skuad The Gunners itu ditangga kedua dengan 28 mata. Ini adalah kali pertama dalam masa dua bulan United berjaya menjaringkan lebih dari dua gol sejak menewaskan musuh setempat mereka, Manchester City 4-3 pada 20 September lalu. United mendominasi perlawanan sejak awal lagi tetapi mendapati mereka sukar mengancam kubu gawang yang dikawal Tim Howard hasil corak permainan bertahan yang diamalkan pelawat. Selepas kerap melakukan percubaan jarak jauh, Darren Fletcher akhirnya meletakkan United di depan diminit ke 35 melalui sepakan voli menarik yang akhirnya berjaya memerangkap Tim Howard. Peluang terbaik pelawat ialah melalui Tim Cahill tetapi pemain antarabangsa Australia itu gagal menewaskan Edwin Van Der Sar biarpun mendapat lorongan cantik dari Louis Saha. United kekal mendahului sehingga tamat separuh masa pertama dengan statistik penguasaan bola sebanyak 69 peratus selain melakukan tiga percubaan tepat ke gawang lawan.
Bersambung di babak kedua, United masih terus mendominasi permainan dengan memaksa pelawat berkumpul di kawasan sendiri. Walaupun gerakan-gerakan mereka sering dipatahkan pelawat, skuad Red Devils dilihat cukup berdisiplin dan fokus dalam mengekalkan tempo permainan bagi mencari gol kedua. Wayne Rooney hampir meletakkan dirinya dalam senarai penjaring tetapi rembatannya dari jarak 25 meter sedikit tersasar di atas palang gol. Kesabaran mereka akhirnya berhasil apabila Michael Carrick menjaringkan gol kedua United diminit ke 67. Carrick yang menerima hantaran Ryan Giggs dari sebelah kanan berjaya melepaskan rembetan leret yang mengelirukan Howard. Selepas ketinggalan dua gol barulah pelawat kembali membuka permainan dengan melancarkan gerakan-gerakan kekubu lawan melalui Cahill, Ayegbeni Yakubu dan Marouane Fellaini. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya United untuk menghukum lawan melalui gol ketiga yang dijaringkan oleh Luis Antonio Valencia diminit ke 76. Rembatan Valencia dari sebelah kiri pintu gol terkena Leighton Baines sekaligus mengelirukan Howard yang sekadar melihat gawangnya dibolosi buat kali ketiga. Kemenangan ini juga meletakkan United kembali ke landasan untuk mengejar Chelsea dalam perlumbaan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.Lain-Lain Keputusan Perlawanan:
Liverpool (2) lwn Manchester City (2)
Sunderland (1) lwn Arsenal (0)
Chelsea (4) lwn Wolverhampton Wanderers (0)
Hull City (3) lwn West Ham (3)
Burnley (1) lwn Aston Villa (1)
Birmingham City (1) lwn Fulam (0)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan