Sir Alex Ferguson mahukan pasukannya menjadikan pertemuan dengan Everton awal pagi nanti sebagai landasan untuk kembali memberi tekanan kepada pendahulu liga ketika ini, Chelsea. United ketika ini ketinggalan lima mata dibelakang pasukan Carlo Ancelotti itu dan sebarang keputusan selain kemenangan akan mengakibatkan United semakin jauh ketinggalan. Skuad The Blues pastinya tidak akan menghadapi masalah memungut tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge nanti. Tempoh rehat seminggu kerana memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa pastinya memberi ruang kepada Ferguson merancang strategi dan mempersiapkan pasukannya, tetapi dia juga akan kehilangan khidmat John O'Shea dan Jonny Evans yang mengalami kecederaan. Ferguson juga akan kehilangan sentuhan Rio Ferdinand akibat kecederaan belakang yang mengakibatkan tonggak pertahanan itu akan direhatkan sekurang-kurangnya untuk lima belas perlawanan. Ferguson dijangka memberikan penampilan penuh buat Gabriel Obertan disebelah kiri dan Fabio da Silva pula akan menggantikan O'Shea disebelah kanan benteng.
Walau bagaimanapun, Ferguson mendapat khabar gembira dari pasukan perubatannya apabila Nemanja Vidic dan Park Ji Sung disahkan cergas untuk kembali menyertai skuad. Ferguson mengatakan bahawa dia tidak perlu risau dengan kedudukan pasukannya sekarang dan percaya United punya cukup kewibawaan untuk kembali mengejar Chelsea. "Saya tidak perlu risau dengan perbezaan mata ketika ini kerana perjalanan liga masih panjang. Kami mampu mengejar dan pasukan di hadapan pastinya akan mengalami kekalahan", kata Ferguson. "Menjelang tahun baru kami mungkin ketinggalan hanya satu mata. Sama seperti musim-musim lalu di mana kami menjadi pasukan yang lebih baik menjelang permulaan tahun baru dan kami punya cukup pengalaman untuk menanganinya", tambah Ferguson lagi. Perlawanan awal pagi nanti juga akan menyaksikan Ferguson memulakan penggantungan empat perlawanannya selepas didapati bersalah mengkritik tahap kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan United dan Sunderland. Ferguson dilarang berada dibangku pemainnya dan sekadar menyaksikan skuadnya beraksi dari tempat duduk penonton.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan