18 November 2009

United Tak Gusar Tanpa Fergie

http://images.teamtalk.com/09/10/800x600/Nemanja-Vidic_2375918.jpg
Tonggak pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic mengakui bahawa pasukannya kecewa dengan penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas pengurus mereka, Sir Alex Ferguson. Ferguson tidak dibenarkan berada di tempat duduk pemain kerana mengkritik kecergasan Alan Wiley yang mengadili perlawanan antara United dan Sunderland pada 3 Oktober lalu. Akibatnya selain dari digantung empat perlawanan, Ferguson juga dikenakan denda sebanyak 20 ribu Pound oleh Jawatankuasa Tatatertib FA Inggeris. Ferguson tidak akan bersama pemain-pemainnya ketika United menerima kunjungan Everton minggu ini dan Portsmouth di Fratton Park minggu hadapan manakala baki penggantungan dua lagi perlawanan masih belum diputuskan. Walau bagaimanapun Vidic menegaskan ketiadaan Ferguson tidak akan melemahkan kekuatan United dalam misi mereka mengejar pendahulu liga ketika ini, Chelsea.

Ramai pihak meramalkan ketiadaan Ferguson dibangku pemain akan menjejaskan rentak permainan United tetapi perkara itu disanggah Vidic. Pertahanan antarabangsa Serbia itu beranggapan hukuman yang dikenakan ke atas Ferguson tidak akan menjejaskan prestasi pasukannya dan dia optimis United mampu meraih kemenangan biarpun tanpa bimbingan Ferguson di tepi padang. "Kami akan berhadapan dengan perlawanan yang besar terutama selepas kami ketinggalan lima mata di belakang Chelsea. Tiga atau empat perlawanan selepas ini sangat penting buat kami dan saya berharap pasukan akan mempamerkan karekter sebenar biarpun tanpa Ferguson", tegas Vidic. United harus menjadikan kunjungan Everton ke Old Trafford minggu ini sebagai misi meraih tiga mata penuh selepas tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge sembilan hari lalu. Kemenangan juga akan membolehkan United terus memberi tekanan kepada pendahulu carta liga itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan