31 Disember 2009

MENANG BESAR DI OLD TRAFFORD

Rafael da Silva celebrates after scoring Manchester United's third goal
Manchester United berpesta gol selepas membenam cabaran Wigan Athletic di Old Trafford awal pagi tadi. United meledak 5 gol menerusi pemain berbeza keatas skuad bimbingan Roberto Martinez itu yang sepanjang perlawanan berusaha mengelak gawang mereka dari dibocori dengan jaringan lebih besar. Kemenangan ini juga mengulangi kejayaan United menewaskan Wigan dengan jaringan yang sama pada bulan Ogos lalu di Stadium DW. Sejak diawal minit pertama lagi skuad Red Devils mula mendominasi permainan dan sering mengancam gawang The Latics yang dikawal Chris Kirkland malah Wayne Rooney hampir membuka tirai jaringan tetapi tandukannya hasil umpanan Patrice Evra sekadar mengenai palang gol. Selepas itu giliran Nemanja Vidic pula mencemaskan gawang lawan tetapi tendangannya hasil dari sepakan sudut Antonio Valencia ditampan Paul Scharner di atas garisan gol. Rooney sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan selepas berjaya memperdaya Titus Bramble, tetapi rembatannya kali ini sekadar singgah di tiang gol. Rooney akhirnya berjaya memecah kebuntuan diminit ke 28 selepas berjaya menyempurnakan hantaran Rafael da Silva untuk meletakkan United mendahului di hadapan. Selang empat minit kemudian giliran Michael Carrick pula menewaskan Kirkland selepas mudah menolak masuk bola hantaran Antonio Valencia dari sebelah kanan. Seminit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup, Rafael da Silva meletakkan United selesa mendahului dengan tiga gol di hadapan.
Jordi Gomez of Wigan Athletic tries to stop Manchester United striker Wayne Rooney
Melihat aksi goyah Kirkland, Martinez memasukkan penjaga gol kedua mereka, Mike Pollit di separuh masa kedua. Walau bagaimanapun Pollit hanya mampu bertahan selama lima minit sahaja apabila giliran Dimitar Berbatov pula merakamkan namanya sebagai pejaring gol. Gol berpunca dari hantaran lintang Antonio Valencia yang disudahkan Berbatov di hadapan gawang tanpa dapat diselamatkan Pollit. Selepas kerap melakukan umpanan-umpanan buat barisan penggempur, Valencia akhirnya menemui sasaran apabila bekas pemain Wigan itu menyempurnakan gerakan yang diilhamkan Rooney untuk menutup tirai jaringan buat United di minit ke 75. Kemenangan ini juga seolah-olah mengesahkan reputasi United yang mula menemui sentuhan terbaik mereka apabila saingan memasuki tahun baru. Dengan mata maksimum yang diraih, United menduduki tangga kedua liga, dua mata dibelakang pendahulu, Chelsea sambil diekori rapat Arsenal di tangga ketiga. Sir Alex Ferguson menilai ini merupakan penampilan terbaik anak-anak buahnya musim ini, apatah lagi lima gol yang dihasilkan United awal pagi tadi datang dari pemain berbeza. "Malam ini seluruh pasukan bermain dengan baik dan kemenangan ini adalah hasil kerja keras mereka. Kejayaan kami tidak hanya bergantung kepada seseorang individu sahaja tetapi ianya hasil dari kerja keras berpasukan dan kami telah menunjukkannya malam ini", kata Ferguson. "Saya fikir corak permainan kami di babak pertama merupakan penampilan terbaik musim ini. Gerakan-gerakan kami begitu lancar, tempo permainan yang bagus dan kami mencipta banyak peluang. Itu adalah saat yang mengangumkan", tambah Ferguson lagi.

30 Disember 2009

UNITED TERUS BERSEMANGAT KEJAR CHELSEA

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2009/07/10/article-0-048A7DAB000005DC-489_468x322.jpg
Manchester United akan menerima kunjungan Wigan Athletic awal pagi nanti dan skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu tampak sudah bersedia mengulangi kejayaan meraih mata maksimum selepas berjaya menundukkan Hull City dua hari lalu. Kemenangan akan membolehkan United terus memberi tekanan kepada pendahulu ketika ini, Chelsea dengan kelebihan hanya dua mata. Kemenangan ke atas Hull tempohari sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada barisan Red Devils dalam usaha mereka mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut. Keyakinan turut disuarakan penggempur dari Bulgaria, Dimitar Berbatov yang pasukannya di akhir musim nanti mampu mengenepikan saingan Chelsea dan Arsenal untuk keluar sebagai juara. United, Chelsea dan Arsenal sedang bersaing hebat dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tetapi Berbatov yakin musim ini tetap milik Red Devils. Benteng United yang diperkuatkan semula dengan kehadiran Wes Brown dan Nemanja Vidic ketika bertemu Hull tempohari akan sekali lagi menjadi sandaran Ferguson dalam perlawanan ini. Kehadiran kedua-duanya membolehkan Ferguson meletakkan kembali Michael Carrick dan Darren Fletcher ke posisi asal mereka di bahagian tengah.
http://images.teamtalk.com/09/11/800x600/Wes-Brown_2380472.jpg
"Kami berhadapan dengan tempoh kritikal ketika ini dan kembalinya kedua-dua pemain pertahanan itu akan membuatkan kami lebih mantap. Apa yang telah kami lalui ketika di Hull adalah sesuatu yang menakjubkan", kata Ferguson. Walau bagaimanapun Ferguson masih kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Jonny Evans, John O'Shea dan Gary Neville akibat kecederaan. Bagi Roberto Martinez, kebangkitan pasukannya ketika berhadapan dengan Bolton Wanderers kelmarin menjanjikan sesuatu yang positif buat skuad The Latics apabila berhadapan dengan United nanti. "Sememangnya sesuatu yang sukar apabila berhadapan dengan United terutamanya apabila melihat rekod kami ketika menentang pasukan itu, namun kami tetap teruja menentang United", kata Martinez. Wigan terlepas khidmat pemain pertahanan mereka, Mohammed Diame sehingga Februari dan itu merupakan suatu berita buruk buat Martinez, terutamanya selepas melihat ketajaman Wayne Rooney merobek gawang Hull kelmarin. Ferguson pastinya akan terus menyandarkan harapan kepada Tomasz Kuszczak di gawang serta mengekalkan empat pemain pertahanan yang beraksi di Hull kelmarin. Paul Scholes dan Anderson dijangka menggantikan tempat Carrick dan Fletcher manakala Rooney dan Berbatov terus berpasangan di bahagian serangan.

29 Disember 2009

NANI BAKAL KEMBALI SEMULA KE PORTUGAL?

http://www.goal.com/images/40226.jpg
Angel Di Maria

Pemain sayap Manchester United dan Portugal, Nani kemungkinan besar akan kembali semula beraksi di Portugal. Nani yang sejak kebelakangan ini tidak mendapat tempat dalam skuad utama Red Devils pernah meluahkan kekecewaannya secara terbuka terhadap Ferguson, kerana sering meletakannya di bangku simpanan United. Jika keadaan ini berterusan, peluang Nani untuk menyertai skuad kebangsaan Portugal ke Piala Dunia Afrika Selatan mungkin terjejas. The Guardian melaporkan bahawa Nani akan menyertai Benfica dan sebagai pertukaran, United mahu mendapatkan pemain sayap kelab itu yang sedang meningkat naik, Angel Di Maria. Walau bagaimanapun perpindahan Nani ke Benfica akan hanya menjadi kenyataan jika kelab itu bersetuju melepaskan Di Maria sebagai pertukaran. Karier Nani di Old Trafford tampak semakin sampai di penghujung dan Sir Alex Ferguson diberitakan tidak meletakkan Nani dalam perancangan jangka panjangnya

Walaupun di awal musim dia disebut-sebut sebagai pemain yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo, tetapi prestasi dipamerkan Nani sehingga kini gagal menambat hati Ferguson. Menurut The Guardian, pihak pengurusan United kurang berpuashati dengan sumbangan Nani setakat ini dan atas sebab itulah United mensasarkan pemain remaja Argentina itu sebagai pertukaran. Walaupun sudah mempunyai Gabriel Obertan di sebelah kiri dan Luis Antonio Valencia di sebelah kanan, Ferguson mahukan pemain tambahan untuk memperkuatkan bahagian sayap United. Kelibat Di Maria bersama Benfica bukan saja menarik minat United, malah Manchester City juga diberitakan mahu mendapatkan Di Maria. Satu-satunya halangan buat United ialah tanda harga sebanyak 30 juta Pound yang diletakkan oleh Benfica ke atas pemain itu dilihat terlalu tinggi buat seorang pemain muda. Ferguson pastinya berfikir dua kali sebelum sanggup ke bank dan mengeluarkan wang sebanyak itu semata-mata untuk khidmat seorang pemain remaja.

28 Disember 2009

ROONEY CEMERLANG, UNITED HAMPIRI CHELSEA

Wayne Rooney of Manchester United fires in a shot past Hull City's George Boateng
Manchester United menghampiri peneraju Liga Perdana Inggeris ketika ini, Chelsea dengan perbezaan dua mata selepas berjaya menewaskan Hull City, 3-1 di Stadium Kingston Comm lewat malam tadi. Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Phil Brown terperosok di tangga kedua terbawah dan berdepan prospek tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. Walaupun berdepan tentangan bersemangat barisan tuan rumah terutamanya di separuh masa pertama, anak-anak buah Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya meraih mata maksimum sekaligus menghadirkan tekanan kepada skuad kendalian Carlo Ancelotti itu. Kejayaan United itu turut dibantu prestasi hebat Wayne Rooney yang menyaksikan penyerang antarabangsa England itu terlibat dalam ketiga-tiga gol skuad The Red Devils. Buat pertama kali dalam empat perlawanan, Sir Alex Ferguson akhirnya dapat menurunkan kesemua empat pemain pertahanannya di benteng selepas Nemanja Vidic dan Wes Brown kembali menyertai pasukan. Ini membolehkan Ferguson menolak kembali Michael Carrick dan Darren Fletcher bagi mengemudi bahagian tengah. United memperolehi peluang terbaik seawal minit ke 5 tetapi rembatan Luis Antonio Valencia sekadar melewati palang gol. Di minit ke 16, United sekali lagi menguji benteng lawan menerusi sepakan percuma Ryan Giggs tetapi sedikit tersasar di sebelah kanan gawang. Gawang tuan rumah akhirnya bocor di minit ke 45 selepas Rooney yang menerima hantaran silang Fletcher dari sebelah kanan, mudah menolak masuk untuk menewaskan Boaz Myhill.
Bernard Mendy of Hull City tussles with Manchester United striker Wayne Rooney
Tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan di minit ke 59 melalui sepakan penalti yang disempurnakan Craig Fagan. Penalti itu berpunca dari kesilapan Rooney yang melakukan hantaran kebelakang dan berjaya dihidu Fagan sebelum pemain itu melakukan hantaran lambung kepada Jozy Altidore. Penyerang antarabangsa Amerika Syarikat itu dikasari Rafael da Silva dalam usahanya menyelamatkan keadaan. Tuan rumah seolah-olah memperolehi suntikan semangat selepas berjaya memperolehi gol penyamaan itu dan kerap kali mengancam kubu United melalui gerakan-gerakan dari Stephen Hunt, Altidore dan Fagan tetapi gagal menembusi gawang United yang dikawal Tomasz Kuszczak. Rooney akhirnya berjaya menebus kesilapan yang dilakukannya sebelum ini apabila dia yang menerima hantaran Ryan Giggs berjaya melarikan bola hingga ke sebelah kanan pintu gol sebelum hantaran lintangnya tertampan kegawang sendiri oleh Andy Dawson di minit ke 73. Sekalipun ketinggalan, anak-anak buah Phil Brown dilihat tidak patah semangat dan terus memberikan ancaman ke kubu United. Walau bagaimanapun Dimitar Berbatov akhirnya berjaya melenyapkan kebangkitan kali kedua yang cuba dicipta tuan rumah melalui gol ketiga di minit ke 81. Gol berpunca dari hantaran bijak Rooney dicelah-celah pertahanan lawan yang menuju tepat untuk mudah disempurnakan Berbatov.

27 Disember 2009

BENTENG UNITED RISAUKAN FERGUSON

http://images.mirror.co.uk/upl/m4/nov2008/2/1/AFCCFFE7-ECAC-A454-8ACD5B93BB281CA3.jpg
Manchester United masih menghadapi krisis kecederaan di barisan pertahanan ketika berkunjung ke Stadium Kingston Comms bagi perlawanan menentang Hull City malam ini. Menurut Sir Alex Ferguson, biarpun Nemanja Vidic dan Wes Brown sudah mula turun menjalani latihan tetapi adalah tidak ideal untuk meletakkan mereka dalam kesebelasan utama ketika berhadapan dengan kelab di zon penyingkiran itu. Menurut Ferguson, dia berharap Vidic, Brown dan Jonny Evans mampu beraksi kembali semasa United melayan kunjungan Leeds United di pentas Piala FA minggu hadapan. "Jonny sudah melakukan latihan ringan tetapi dia masih merasa sakit dan kami cuba mengatasi masalah itu. Apabila tahap kecederaannya telah menunjukkan kemajuan saya berharap boleh menurunkannya dengan segera dan kami akan memiliki kembali tiga pemain pertahanan ketika menentang Leeds nanti", kata Ferguson. Lebih merisaukan Ferguson ialah tahap kecederaan yang dialami Rio Ferdinand dimana tempoh pemulihannya masih belum dapat dipastikan. Ferguson berharap tonggak pertahanan antarabangsa England itu terus tabah menghadapi situasi sulit ini. "Sukar untuk menentukan tempoh pemulihannya. Kami telah memberikannya suntikan dua minggu lalu dan membiarkan ubat bertindakbalas selama seminggu. Selepas itu Rio akan berlatih di pusat kecergasan dan kami berharap rasa sakitnya akan hilang", tambah Ferguson lagi.

Sementara itu Ryan Giggs begitu bersemangat menghadapi perlawanan dengan Hull nanti dan pemain tengah itu percaya rehat sempena Hari Natal yang diberikan Ferguson mampu memberikan suntikan tambahan buat pasukan. Giggs percaya kemenangan ke atas anak-anak buah Phil Brown akan melenyapkan kekecewaaan seluruh pasukan akibat kekalahan kepada Fulham minggu lalu. Musim ini, United tidak terlibat dengan jadual ketat perlawanan Boxing Day selepas perayaan Krismas dan tempoh itu digunakan sepenuhnya oleh pemain veteran itu untuk bersama-sama keluarga. "Sebelum ini saya tidak punya kesempatan untuk meraikan Krismas bersama keluarga, bukannya saya tidak mahu tetapi tiada kesempatan. Saya terpaksa memberikan tumpuan kepada perlawanan United keesokan harinya dan biasanya saya dalam perjalanan ketika Hari Natal. Bagaimanapun tahun ini kami tidak terlibat dengan perlawanan Boxing Day dan itu amat menggembirakan", kata Giggs. Dengan keputusan seri yang dicatatkan Chelsea di St Andrews semalam, United mampu merapatkan kedudukan dengan pendahulu itu kepada 2 mata jika menang malam ini. Ferguson tampak akan bergantung sekali lagi kepada Michael Carrick di benteng tengah United biarpun dia menyedari meletakkan pemain tengah di benteng bukannya sesuatu yang mudah sambil berharap barisan serangannya akan lebih kreatif berbanding ketika bertemu Fulham.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (0) lwn Chelsea (0)
Fulham (0) lwn Tottenham Hotspurs (0)
West Ham (2) lwn Portsmouth (0)
Burnley (1) lwn Bolton Wanderers (1)
Manchester City (2) lwn Stoke City (0)
Sunderland (1) lwn Everton (1)
Wigan Athletic (1) lwn Blackburn Rovers (1)
Liverpool (2) lwn Wolverhampton (0)

26 Disember 2009

Giggs: Bola Sepak Kini Semakin Kejam

http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2007/08_01/RyanGiggsPA_468x664.jpg
Bintang tengah Manchester United, Ryan Giggs mengatakan bola sepak kini semakin kejam dan pemecatan Mark Hughes oleh Manchester City merupakan salah satu contoh terbaik. Giggs yang hanya bermain di bawah seorang pengurus (Sir Alex Ferguson) sepanjang kariernya di peringkat kelab mengaku terkejut dengan pemecatan Hughes namun dia menyedari bahawa bola sepak moden semakin hilang nilai kesabaran. Ramai jurulatih ketika ini tidak diberi waktu yang lama untuk membangunkan sesebuah pasukan dan jika gagal menghasilkan kejayaan segera mereka berdepan kemungkinan dipecat. "Inilah bola sepak di mana dunia yang kita semua hidup di dalamnya. Tidak banyak kesabaran lagi ketika ini dan jurulatih tahu jika pasukan tidak menghasilkan keputusan yang baik sesuatu yang buruk menanti mereka. Media dan penyokong akan sentiasa menekan mereka", kata Giggs.

"Anda tidak memiliki banyak waktu seperti 10 atau 15 tahun yang lalu. Perkara ini akan menyukarkan anda ketika anda sedang dalam proses membangunkan pasukan tetapi semua jurulatih zaman ini berada dalam situasi itu", ujar Giggs lagi. Giggs menambah, "Mark Hughes telah melakukan tugasnya dengan baik di Manchester City, tetapi malangnya dia seperti pengurus-pengurus lain, tidak diberi waktu mencukupi untuk membangunkan pasukan. Giggs merasakan apa yang dilakukan oleh Manchester United 23 tahun lalu adalah sesuatu yang cukup tepat. Selepas menggantikan Ron Atkinson dengan Alex Ferguson pada tahun 1986, pihak pengurusan di Old Trafford terpaksa bersabar dan menanti hampir 4 tahun sebelum Ferguson menghadiahkan trofi pertamanya buat United. Hasilnya sehingga kini Ferguson telah membawa United muncul antara kelab terbesar di dunia dan telah menjuarai berbagai trofi kejuaraan.

25 Disember 2009

`Drogba Baru' Jadi Rebutan United Dan Madrid

http://under21.files.wordpress.com/2009/01/baba.jpg
Manchester United dan Real Madrid diberitakan bersaing sengit mendapatkan khidmat pemain remaja Senegal, Khouma Babacar dari Fiorentina. Babacar dikatakan memiliki bakat dan karakter seperti penggempur berbisa Chelsea, Didier Drogba. Sejak menyertai Fiorentina pada tahun 2008, pemain berusia 16 tahun itu dilihat pemain muda paling berbakat di Itali ketika ini. Walaupun masih muda, Babacar telah mula menjalani latihan bersama skuad utama La Viola di bawah kendalian Cesare Prandelli dan jurulatih itu sendiri yakin bahawa Babacar bakal muncul sebagai pemain hebat satu hari nanti. Kelibatnya kini menjadi perhatian kelab-kelab besar Eropah lain dan menurut agennya, Denis Rondanini, Manchester United dan Real Madrid antara kelab-kelab yang sedang bersaing mendapatkan tandatangan Babacar. "Ya, bukan sahaja banyak kelab yang bertanyakan tentang Babacar malah banyak juga yang menawarkan kontrak untuknya", kata Rondanini.

"Kami memilih Fiorentina kerana merasakan kelab ini adalah tempat yang paling tepat dan sesuai untuknya. Di sini dia dilayan dengan begitu baik oleh pihak pengurusan kelab", tambah Rondanini lagi. Rondanini turut mengatakan, "Kelab tahu bila masa yang sesuai untuk dia diserapkan ke dalam skuad utama. Kemampuan Babacar kurang diberi perhatian sebelum ini, dia baru berusia 16 tahun dan banyak lagi yang harus dipelajarinya. Berlatih bersama skuad utama merupakan penghormatan buatnya". United dan Madrid memang menyedari kualiti yang ada pada anak muda ini dan atas sebab itulah kedua-dua kelab bersaing mendapatkannya, tetapi Itali yang sejak kebelakangan ini sering kehilangan bakat-bakat muda kepada kelab-kelab luar pasti membuatkan pasukan seperti Fiorentina berusaha mempertahankan bakat baru seperti Babacar.