31 Disember 2009

MENANG BESAR DI OLD TRAFFORD

Rafael da Silva celebrates after scoring Manchester United's third goal
Manchester United berpesta gol selepas membenam cabaran Wigan Athletic di Old Trafford awal pagi tadi. United meledak 5 gol menerusi pemain berbeza keatas skuad bimbingan Roberto Martinez itu yang sepanjang perlawanan berusaha mengelak gawang mereka dari dibocori dengan jaringan lebih besar. Kemenangan ini juga mengulangi kejayaan United menewaskan Wigan dengan jaringan yang sama pada bulan Ogos lalu di Stadium DW. Sejak diawal minit pertama lagi skuad Red Devils mula mendominasi permainan dan sering mengancam gawang The Latics yang dikawal Chris Kirkland malah Wayne Rooney hampir membuka tirai jaringan tetapi tandukannya hasil umpanan Patrice Evra sekadar mengenai palang gol. Selepas itu giliran Nemanja Vidic pula mencemaskan gawang lawan tetapi tendangannya hasil dari sepakan sudut Antonio Valencia ditampan Paul Scharner di atas garisan gol. Rooney sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan selepas berjaya memperdaya Titus Bramble, tetapi rembatannya kali ini sekadar singgah di tiang gol. Rooney akhirnya berjaya memecah kebuntuan diminit ke 28 selepas berjaya menyempurnakan hantaran Rafael da Silva untuk meletakkan United mendahului di hadapan. Selang empat minit kemudian giliran Michael Carrick pula menewaskan Kirkland selepas mudah menolak masuk bola hantaran Antonio Valencia dari sebelah kanan. Seminit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup, Rafael da Silva meletakkan United selesa mendahului dengan tiga gol di hadapan.
Jordi Gomez of Wigan Athletic tries to stop Manchester United striker Wayne Rooney
Melihat aksi goyah Kirkland, Martinez memasukkan penjaga gol kedua mereka, Mike Pollit di separuh masa kedua. Walau bagaimanapun Pollit hanya mampu bertahan selama lima minit sahaja apabila giliran Dimitar Berbatov pula merakamkan namanya sebagai pejaring gol. Gol berpunca dari hantaran lintang Antonio Valencia yang disudahkan Berbatov di hadapan gawang tanpa dapat diselamatkan Pollit. Selepas kerap melakukan umpanan-umpanan buat barisan penggempur, Valencia akhirnya menemui sasaran apabila bekas pemain Wigan itu menyempurnakan gerakan yang diilhamkan Rooney untuk menutup tirai jaringan buat United di minit ke 75. Kemenangan ini juga seolah-olah mengesahkan reputasi United yang mula menemui sentuhan terbaik mereka apabila saingan memasuki tahun baru. Dengan mata maksimum yang diraih, United menduduki tangga kedua liga, dua mata dibelakang pendahulu, Chelsea sambil diekori rapat Arsenal di tangga ketiga. Sir Alex Ferguson menilai ini merupakan penampilan terbaik anak-anak buahnya musim ini, apatah lagi lima gol yang dihasilkan United awal pagi tadi datang dari pemain berbeza. "Malam ini seluruh pasukan bermain dengan baik dan kemenangan ini adalah hasil kerja keras mereka. Kejayaan kami tidak hanya bergantung kepada seseorang individu sahaja tetapi ianya hasil dari kerja keras berpasukan dan kami telah menunjukkannya malam ini", kata Ferguson. "Saya fikir corak permainan kami di babak pertama merupakan penampilan terbaik musim ini. Gerakan-gerakan kami begitu lancar, tempo permainan yang bagus dan kami mencipta banyak peluang. Itu adalah saat yang mengangumkan", tambah Ferguson lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan