25 Disember 2009

`Drogba Baru' Jadi Rebutan United Dan Madrid

http://under21.files.wordpress.com/2009/01/baba.jpg
Manchester United dan Real Madrid diberitakan bersaing sengit mendapatkan khidmat pemain remaja Senegal, Khouma Babacar dari Fiorentina. Babacar dikatakan memiliki bakat dan karakter seperti penggempur berbisa Chelsea, Didier Drogba. Sejak menyertai Fiorentina pada tahun 2008, pemain berusia 16 tahun itu dilihat pemain muda paling berbakat di Itali ketika ini. Walaupun masih muda, Babacar telah mula menjalani latihan bersama skuad utama La Viola di bawah kendalian Cesare Prandelli dan jurulatih itu sendiri yakin bahawa Babacar bakal muncul sebagai pemain hebat satu hari nanti. Kelibatnya kini menjadi perhatian kelab-kelab besar Eropah lain dan menurut agennya, Denis Rondanini, Manchester United dan Real Madrid antara kelab-kelab yang sedang bersaing mendapatkan tandatangan Babacar. "Ya, bukan sahaja banyak kelab yang bertanyakan tentang Babacar malah banyak juga yang menawarkan kontrak untuknya", kata Rondanini.

"Kami memilih Fiorentina kerana merasakan kelab ini adalah tempat yang paling tepat dan sesuai untuknya. Di sini dia dilayan dengan begitu baik oleh pihak pengurusan kelab", tambah Rondanini lagi. Rondanini turut mengatakan, "Kelab tahu bila masa yang sesuai untuk dia diserapkan ke dalam skuad utama. Kemampuan Babacar kurang diberi perhatian sebelum ini, dia baru berusia 16 tahun dan banyak lagi yang harus dipelajarinya. Berlatih bersama skuad utama merupakan penghormatan buatnya". United dan Madrid memang menyedari kualiti yang ada pada anak muda ini dan atas sebab itulah kedua-dua kelab bersaing mendapatkannya, tetapi Itali yang sejak kebelakangan ini sering kehilangan bakat-bakat muda kepada kelab-kelab luar pasti membuatkan pasukan seperti Fiorentina berusaha mempertahankan bakat baru seperti Babacar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan