28 Disember 2009

ROONEY CEMERLANG, UNITED HAMPIRI CHELSEA

Wayne Rooney of Manchester United fires in a shot past Hull City's George Boateng
Manchester United menghampiri peneraju Liga Perdana Inggeris ketika ini, Chelsea dengan perbezaan dua mata selepas berjaya menewaskan Hull City, 3-1 di Stadium Kingston Comm lewat malam tadi. Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Phil Brown terperosok di tangga kedua terbawah dan berdepan prospek tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. Walaupun berdepan tentangan bersemangat barisan tuan rumah terutamanya di separuh masa pertama, anak-anak buah Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya meraih mata maksimum sekaligus menghadirkan tekanan kepada skuad kendalian Carlo Ancelotti itu. Kejayaan United itu turut dibantu prestasi hebat Wayne Rooney yang menyaksikan penyerang antarabangsa England itu terlibat dalam ketiga-tiga gol skuad The Red Devils. Buat pertama kali dalam empat perlawanan, Sir Alex Ferguson akhirnya dapat menurunkan kesemua empat pemain pertahanannya di benteng selepas Nemanja Vidic dan Wes Brown kembali menyertai pasukan. Ini membolehkan Ferguson menolak kembali Michael Carrick dan Darren Fletcher bagi mengemudi bahagian tengah. United memperolehi peluang terbaik seawal minit ke 5 tetapi rembatan Luis Antonio Valencia sekadar melewati palang gol. Di minit ke 16, United sekali lagi menguji benteng lawan menerusi sepakan percuma Ryan Giggs tetapi sedikit tersasar di sebelah kanan gawang. Gawang tuan rumah akhirnya bocor di minit ke 45 selepas Rooney yang menerima hantaran silang Fletcher dari sebelah kanan, mudah menolak masuk untuk menewaskan Boaz Myhill.
Bernard Mendy of Hull City tussles with Manchester United striker Wayne Rooney
Tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan di minit ke 59 melalui sepakan penalti yang disempurnakan Craig Fagan. Penalti itu berpunca dari kesilapan Rooney yang melakukan hantaran kebelakang dan berjaya dihidu Fagan sebelum pemain itu melakukan hantaran lambung kepada Jozy Altidore. Penyerang antarabangsa Amerika Syarikat itu dikasari Rafael da Silva dalam usahanya menyelamatkan keadaan. Tuan rumah seolah-olah memperolehi suntikan semangat selepas berjaya memperolehi gol penyamaan itu dan kerap kali mengancam kubu United melalui gerakan-gerakan dari Stephen Hunt, Altidore dan Fagan tetapi gagal menembusi gawang United yang dikawal Tomasz Kuszczak. Rooney akhirnya berjaya menebus kesilapan yang dilakukannya sebelum ini apabila dia yang menerima hantaran Ryan Giggs berjaya melarikan bola hingga ke sebelah kanan pintu gol sebelum hantaran lintangnya tertampan kegawang sendiri oleh Andy Dawson di minit ke 73. Sekalipun ketinggalan, anak-anak buah Phil Brown dilihat tidak patah semangat dan terus memberikan ancaman ke kubu United. Walau bagaimanapun Dimitar Berbatov akhirnya berjaya melenyapkan kebangkitan kali kedua yang cuba dicipta tuan rumah melalui gol ketiga di minit ke 81. Gol berpunca dari hantaran bijak Rooney dicelah-celah pertahanan lawan yang menuju tepat untuk mudah disempurnakan Berbatov.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan