30 November 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn CRYSTAL PALACE


Seperti biasa, Sir Alex Ferguson kemungkinan besar akan menurunkan skuad keduanya menjelang pertemuan suku akhir Piala Carling menentang Crystal Palace di Old Trafford awal pagi nanti.  Dengan Danny Welbeck dan Michael Owen yang masih belum pulih dari kecederaan kelibat Federico Macheda bersama Mame Biram Diouf bakal menjadi taruhan Ferguson sebagai penggempur dalam perlawanan ini.  Chris Smalling yang diturunkan di penghujung perlawanan ketika pertemuan dengan Newcastle United hujung minggu lalu dijangka mengisi semula tempatnya di benteng United manakala Darron Gibson, Paul Pogba dan Ezekiel Fryers juga bakal memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama.  Ferguson sendiri awal-awal lagi sudah memberi gambaran bahawa ada perubahan menyeluruh terhadap skuad yang akan berhadapan dengan Palace nanti.  "Chris Smalling sudah kembali dalam pasukan dan saya mungkin akan menurunkannya.  Dia masih muda dan akan menjadi sebahagian dari skuad muda yang akan diturunkan menghadapi Palace nanti.  Bahagian yang mendatangkan masalah kepada saya ialah bahagian tengah.  Mungkin saya akan meletakkan Pogba, yang pastinya saya mempunyai cukup pemain untuk dipilih", kata Ferguson.  Sementara itu pengurus Palace, Dougie Freedman menerima berita gembira kembalinya semula Darren Ambrose ke dalam pasukan.  Penyerang pinjaman, Chris Martin juga bakal diturunkan namun Jonathan Williams, Lee Hills dan Alex Marrow bakal diketepikan akibat kecederaan.  Freedman berharap dengan skuad yang ada, Palace akan memperolehi keputusan positif dalam perlawanan ini nanti sambil mengharap kemarau jaringan mereka berakhir di Old Trafford.  Untuk rekod, Palace gagal menjaringkan sebarang gol selama 485 minit dan kepulangan Ambrose yang pernah beraksi untuk Newcastle United diharapkan mampu membawa kesan kepada barisan serangan Palace.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

Ben Amos, Rafael da Silva, Chris Smalling, Ezekiel Fryers, Fabio da Silva, Luis Antonio Valencia, Paul Pogba, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Mame Biram Diouf & Federico Macheda

29 November 2011

BINTANG MUDA ATALANTA TARIK MINAT FERGIE


Manchester United diberitakan sedang bersaing dengan Juventus dan AC Milan  untuk mendapatkan bintang muda Itali berusia 19 tahun, Manolo Gabbiadini.  Gabbiadini yang juga merupakan penyerang kelab Atalanta dikatakan menarik minat Ferguson selepas dia membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan 10 gol dari 13 perlawanan bersama skuad U21 Itali. Nilai Gabbiadini dianggarkan sekitar 9 juta Pound dan Fergie dijangka melepaskan Dimitar Berbatov dan Michael Owen pada musim panas nanti untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda mencipta nama dalam skuadnnya.  Jika Gabbiadiani mengambil keputusan keluar dari Atalanta, United pastinya terpaksa bersaing dengan dua lagi gergasi Itali, Juventus dan AC Milan yang memang telah lama tertarik dengan potensi pemain muda itu.  Biarpun begitu produktif bersama skuad U21 Itali, Gabbiadini agak tumpul dalam liga domestik bersama Atalanta namun Fergie berpendapat gaya permainannya amat sesuai untuk Liga Perdana Inggeris. Glory Glory Manchester United!!!

28 November 2011

ROONEY: CITY TAK TAHU CARA JADI JUARA


Walaupun Manchester United ketinggalan lima mata di belakang pendahulu ketika ini Manchester City, Wayne Rooney tetap optimis peluang United untuk keluar sebagai juara sekaligus mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih besar berbanding jiran mereka itu.  Bagi Rooney, City sebenarnya tidak memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk sesebuah pasukan bergelar juara.  Sambil memberi amaran kepada mereka yang cuba mengenepikan peluang United mempertahankan kejuaraan mereka, Rooney berkata, "Adalah satu kesilapan besar sekiranya anda mengenepikan kami dari calon juara Liga Perdana. Perkara ini sudah berlaku beberapa kali apabila kami membuktikan ramalan mereka sebenarnya salah". Menurut Rooney, United memiliki barisan pemain yang bagus dan jika pasukannya berada di posisi yang baik dalam liga menjelang permulaan tahun baru, beliau yakin United akan melakukan apa yang biasanya mereka lakukan hingga ke akhir musim.  Bagi Rooney, skuad The Red Devils memiliki pengetahuan dan pengalaman yang perlukan untuk memenangi kejuaraan liga, sesuatu yang tidak dimiliki seteru setempat mereka itu.  Sekalipun mengakui City memulakan musim ini dengan cukup baik namun perjalanan liga yang masih panjang membuatkan Rooney tidak begitu khuatir dengan prestasi semasa City. "Sebagai pemain United, kami harus menunjukkan bahawa kami mampu memenangi kejuaraan liga sekali lagi".  Glory Glory Manchester United!!!

27 November 2011

UNITED SEKALI LAGI GAGAL RAIH TIGA MATA


Manchester sekali lagi gagal meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas terikat 1-1 dengan Newcastle United semalam.  Ini adalah keputusan seri kedua buat skuad The Red Devils dalam tempoh seminggu di Old Trafford selepas sebelumnya turut berkongsi mata dengan Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara.  Biarpun menguasai sepenuhnya perlawanan, United akhirnya terpaksa akur sekadar meraih satu mata selepas wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Phil Dowd. United mendahului pelawat diminit ke-50 hasil jaringan Javier Hernandez namun penalti kontroversi yang dihadiahkan Dowd berjaya disempurnakan Demba Ba diminit ke-64 sekaligus memadam kelebihan United.  Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney yang pada mulanya dilaporkan masih mengalami kecederaan dalam kesebelasan utama bersama Hernandez sebagai penggempur.  Tidak mahu skrip sama berulang ketika mereka bertemu Benfica, United memberi tekanan kepada pelawat sejak wisel permulaan ditiupkan namun dua peluang di awal perlawanan gagal disempurnakan Hernandez.  Penjaga gol lawan, Tim Krull nyata individu paling cemerlang apabila dia beberapa kali berjaya menyelamatkan gawang pasukannya dari ditembusi sepanjang babak pertama perlawanan.  Memasuki babak kedua, United terus memberi tekanan kepada pelawat dan hasilnya Hernandez berjaya meletakkan United didepan apabila bola percubaan Rooney yang cuba ditampan Steven Taylor terkena badannya dan gagal diselamatkan Krull.  Kelebihan United cuma bertahan selama 15 minit apabila Dowd kemudiannya menghadiahkan sepakan kontroversi buat pelawat selepas pembantu pengadil  mendapati ada kekasaran yang dilakukan Rio Ferdinand ke atas Hatem Ben Arfa di dalam kotak penalti.  Keputusan itu bagaimanapun dibantah keras pemain-pemain United namun Ba mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk kembali mengikat kedudukan. United yang cuba memburu gol kedua selepas itu mendapati tugas mereka tampak mudah apabila Jonas Gutierrez diperintah keluar padang selepas mengutip dua kad kuning diminit ke-79.  Bagaimanapun serangan bertali arus yang dilancarkan gagal menembusi gawang pelawat selepas Krull bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya United dan kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat ditiup. Glory Glory Manchester United!!!

26 November 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn NEWCASTLE UTD



Selepas mengalami kekalahan pertama mereka musim ini kepada Manchester City, Newcastle United kembali semula ke kota Manchester untuk berdepan pula dengan Manchester United.  Tewas 1-3 minggu lalu, anak-anak buah Alan Pardew pastinya tidak mahu skrip sama berulang semula malah bos The Magpies itu mengakui beliau telah menganalisis aksi United dalam dua perlawanan terakhir mereka.  Bagaimanapun Pardew bimbang keputusan seri yang dicatatkan United dalam kempen Eropah mereka bertemu Benfica pada aksi pertengahan minggu bakal menjadikan skuad The Red Devils tampil lebih garang dalam perlawanan ini.  Berita baik tentang kemungkinan besar Wayne Rooney boleh diturunkan dalam perlawanan ini pastinya menyuntik motivasi tambahan buat United selepas menyaksikan penyerang England itu tidak beraksi ketika United bertemu Swansea City dan Benfica.  Biarpun tanpa kelibat Tom Cleverley dan Anderson di bahagian tengah akibat kecederaan, Ferguson tidak terlalu bimbang memandangkan beliau mempunyai limpahan pemain untuk menjana bahagian itu.  Darren Fletcher dan Michael Carrick yang diturunkan ketika pertemuan dengan Benfica dijangka terus menjadi sandaran Ferguson untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Cleverley dan Anderson.  Bagi Newcastle pula, Pardew dijangka mampu menurunkan skuad terkuatnya malam ini dengan kembalinya Gabriel Obertan, Leon Best dan Cheik Tiote ke dalam pasukan.  Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam enam pertemuan terakhir di Old Trafford ternyata memihak kepada United.  United menang lima daripadanya dan terpaksa berkongsi mata selepas diikat Magpies 1-1 pada musim 2008-09.  Kali terakhir Newcastle United mencatat kemenangan ke atas United ialah pada September 2001. Selain itu, lawan juga mempunyai rekod buruk setiap kali bertandang ke Theatre of Dream yang menyaksikan mereka tidak pernah menang di gelanggang keramat United itu hampir 40 tahun.  Kemenangan terakhir yang dicatatkan Newcastle di Old Trafford ialah pada Februari 1972 manakala Pardew sendiri mempunyai rekod buruk setiap kali berdepan United dimana kelab-kelab yang dipimpinnya sebelum ini tewas kepada United.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Nani, Darren Fletcher, Michael Carrick, Park Ji-Sung, Javier Hernandez & Wayne Rooney

24 November 2011

FERGIE TAK RISAU BAKAL BERDEPAN KELAB BESAR


Walaupun menyedari pasukannya bakal berdepan gergasi Eropah di pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah nanti, Sir Alex Ferguson menegaskan perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu serius untuk difikirkannya.  United yang menduduki tangga kedua kumpulan C selepas terikat 2-2 dengan Benfica di Old Trafford kelmarin perlu membuat perhitungan dengan FC Basel pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk merebut satu slot ke pusingan kedua.  Benfica yang bakal berdepan kelab tangga tercorot, Otelul Galati di gelanggang sendiri dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip tiga mata penuh dan keluar sebagai juara kumpulan.  Biarpun berkongsi sembilan mata, United terpaksa melepaskan status pendahulu kumpulan C kepada Benfica atas perbezaan jaringan gol. Meskipun sedar kunjungan United ke St Jakob Park, Basel pada 8 Disember nanti bakal menentukan hidup mati perjuangan pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, Ferguson tetap tenang dan yakin anak-anak buahnya akan layak ke pusingan seterusnya.  "Tentu saja kedudukan di tangga kedua akan membuatkan situasi agak sukar.  Tapi jika anda mengambil kira dari sudut lain, berdepan berlawanan besar sebenarnya akan memudahkan lagi langkah kami.  Ada kemungkinan jika kami layak, kami akan berdepan Barcelona, Real Madrid atau Bayern Munich", kata Ferguson sejurus tamat perlawanan United/Benfica kelmarin.  Biarpun pada mulanya mensasarkan tiga mata penuh untuk memastikan pasukannya menempah tiket ke pusingan kedua, Ferguson tidak kecewa dengan keputusan seri yang diraih pasukannya dalam perlawanan ini. Ferguson yang kehilangan sebahagian besar pemain utama akibat masalah kecederaan memuji kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemainnya dalam perlawanan ini sambil berjanji yang skuadnya akan bermain habis-habisan pada perlawanan terakhir di Basel nanti.  Glory Glory Manchester United!!!

17 November 2011

UNITED RISIK TRIO BELANDA


Gregory van der Weil
Perlawanan persahabatan antara Jerman dan Belanda semalam memang sudah diketahui keputusannya namun ada sesuatu yang menarik di sebalik perlawanan antara dua negara tersebut.  Perlawanan yang diadakan di Imtech Arena, Hamburg itu rupa-rupanya turut ditonton oleh pemerhati dari Manchester United.  Sir Alex Ferguson diberitakan menghantar wakil untuk memantau prestasi trio Belanda yang terdiri dari Klaas Jan Huntelaar, Wesley Sneijder dan Gregory van der Weil dalam perlawanan tersebut.  Wesley Sneijder memang sudah lama dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford namun tuntutan gaji yang tinggi membuatkan proses perpindahannya tergendala.  Impian United untuk mendapatkan Huntelaar yang telahpun menjaringkan sepuluh gol dari sebelas perlawanan di Bundesliga pastinya berdepan laluan sukar.  Schalke awal-awal lagi telah menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali melepaskan penggempur mereka itu setidak-tidaknya sehingga musim panas nanti.  Bagi Gregory van der Weil pula, United dikatakan akan berhadapan dengan saingan musuh domestik mereka iaitu Chelsea  untuk mendapatkan tandatangan bek kanan Ajax Amsterdam itu.  Sementara itu situasi tidak menentu tentang kontrak penyerang Arsenal, Robin van Persie ternyata menarik minat United dan Chelsea.  Van Persie yang masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan bersama Arsenal  belum memutuskan sama ada mahu terus kekal di Emirates Stadium ataupun tidak.  Kem United dan Chelsea diberitakan menunggu dengan penuh minat tentang perkembangan kontrak penyerang antarabangsa Belanda itu bersama Arsenal. Glory Glory Manchester United!!!