Walaupun menyedari pasukannya bakal berdepan gergasi Eropah di pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah nanti, Sir Alex Ferguson menegaskan perkara itu bukanlah sesuatu yang terlalu serius untuk difikirkannya. United yang menduduki tangga kedua kumpulan C selepas terikat 2-2 dengan Benfica di Old Trafford kelmarin perlu membuat perhitungan dengan FC Basel pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk merebut satu slot ke pusingan kedua. Benfica yang bakal berdepan kelab tangga tercorot, Otelul Galati di gelanggang sendiri dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengutip tiga mata penuh dan keluar sebagai juara kumpulan. Biarpun berkongsi sembilan mata, United terpaksa melepaskan status pendahulu kumpulan C kepada Benfica atas perbezaan jaringan gol. Meskipun sedar kunjungan United ke St Jakob Park, Basel pada 8 Disember nanti bakal menentukan hidup mati perjuangan pasukannya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, Ferguson tetap tenang dan yakin anak-anak buahnya akan layak ke pusingan seterusnya. "Tentu saja kedudukan di tangga kedua akan membuatkan situasi agak sukar. Tapi jika anda mengambil kira dari sudut lain, berdepan berlawanan besar sebenarnya akan memudahkan lagi langkah kami. Ada kemungkinan jika kami layak, kami akan berdepan Barcelona, Real Madrid atau Bayern Munich", kata Ferguson sejurus tamat perlawanan United/Benfica kelmarin. Biarpun pada mulanya mensasarkan tiga mata penuh untuk memastikan pasukannya menempah tiket ke pusingan kedua, Ferguson tidak kecewa dengan keputusan seri yang diraih pasukannya dalam perlawanan ini. Ferguson yang kehilangan sebahagian besar pemain utama akibat masalah kecederaan memuji kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemainnya dalam perlawanan ini sambil berjanji yang skuadnya akan bermain habis-habisan pada perlawanan terakhir di Basel nanti. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan