Gregory van der Weil |
Perlawanan persahabatan antara Jerman dan Belanda semalam memang sudah diketahui keputusannya namun ada sesuatu yang menarik di sebalik perlawanan antara dua negara tersebut. Perlawanan yang diadakan di Imtech Arena, Hamburg itu rupa-rupanya turut ditonton oleh pemerhati dari Manchester United. Sir Alex Ferguson diberitakan menghantar wakil untuk memantau prestasi trio Belanda yang terdiri dari Klaas Jan Huntelaar, Wesley Sneijder dan Gregory van der Weil dalam perlawanan tersebut. Wesley Sneijder memang sudah lama dikaitkan akan berhijrah ke Old Trafford namun tuntutan gaji yang tinggi membuatkan proses perpindahannya tergendala. Impian United untuk mendapatkan Huntelaar yang telahpun menjaringkan sepuluh gol dari sebelas perlawanan di Bundesliga pastinya berdepan laluan sukar. Schalke awal-awal lagi telah menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali melepaskan penggempur mereka itu setidak-tidaknya sehingga musim panas nanti. Bagi Gregory van der Weil pula, United dikatakan akan berhadapan dengan saingan musuh domestik mereka iaitu Chelsea untuk mendapatkan tandatangan bek kanan Ajax Amsterdam itu. Sementara itu situasi tidak menentu tentang kontrak penyerang Arsenal, Robin van Persie ternyata menarik minat United dan Chelsea. Van Persie yang masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan bersama Arsenal belum memutuskan sama ada mahu terus kekal di Emirates Stadium ataupun tidak. Kem United dan Chelsea diberitakan menunggu dengan penuh minat tentang perkembangan kontrak penyerang antarabangsa Belanda itu bersama Arsenal. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan