29 Jun 2012

JENDELA PERPINDAHAN: PEMAIN YANG SUDAH DITANDATANGANI DAN YANG BERPOTENSI SERTAI UNITED


Selepas menelan kepahitan kerana terpaksa melepaskan gelaran Liga Perdana England kepada musuh setempat, Manchester City, Manchester United nampaknya mula mengorak langkah awal dengan menjadikan jendela perpindahan musim panas ini sebagai antara masa paling sibuk buat mereka dalam tempoh beberapa musim terakhir. United dilihat antara pasukan paling aktif dalam memburu pemain yang menjadi sasaran mereka sebaik musim 2011/12 berakhir bagi menebus semula kegagalan mereka memenangi sebarang gelaran utama. Dengan Euro 2012 yang semakin berada di penghujung saingan, David Gill dijangka menjadi individu paling sibuk di Old Trafford terutamanya apabila terdapat banyak spekulasi yang mengaitkan minat United dengan beberapa pemain sepertiman yang dilaporkan oleh media. Bagi penyokong-penyokong setia United pula, mereka tentunya berharap akan ada beberapa lagi pemain ternama menyertai Shinji Kagawa di Old Trafford semasa jendela perpindahan di buka mulai Julai ini hingga Ogos nanti. Berikut adalah pemain yang sudahpun secara rasmi berjaya ditandatangani dan pemain-pemain yang dikatakan berpotensi menyertai United musim hadapan:

Sudah Ditandatangani:

Pemain pertama yang ditandatangani United ialah pemain muda Crewe Alexandra, Nick Powell. Pemain muda berusia 18 tahun itu dilihat memiliki potensi untuk muncul sebagai bintang besar satu hari nanti. Jadi tidak hairanlah mengapa Ferguson beberapa kali menghantar pasukan peninjaunya untuk memerhatikan perkembangan Powell ketika dia beraksi bersama Crewe disaingan League Two (liga divisyen 4). Powell membuktikan keupayaan sebagai pemain muda berpotensi apabila berjaya membantu Crewe melonjak ke League One. Jaringan cantiknya ketika menentang Cheltenham dalam perlawanan play-off di Wembley menjadi hadiah perpisahan Powel buat penyokong-penyokong Crewe. Powel bagaimanapun dijangka menganggotai skuad simpanan United terlebih dahulu bagi menimba pengalaman sebelum diberi peluang beraksi bersama skuad utama. Selepas Powell, United mengorak langkah seterusnya apabila mengumumkan secara rasmi minggu lalu bahawa bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa menyertai mereka dengan perjanjian kontrak selama empat tahun. Kehadiran Kagawa diharap menambahkan lagi sengat di bahagian tengah United yang dilihat agak lesu selepas mereka kehilangan khidmat Anderson, Darren Fletcher dan Tom Cleverley hampir keseluruhan musim, hingga memaksa Ferguson memujuk Paul Scholes kembali semula dari persaraan. Meskipun terdapat suara-suara sinis yang mengatakan pembelian Kagawa lebih kepada tujuan komersil, bekas playmaker Cerezo Osaka dan Borussia Dortmund itu dilihat pemain yang tepat dan mampu menghubungkan bahagian tengah dengan serangan United. Jika diambilkira dengan sumbangan yang diberikan bersama Dortmund selama dua musim, Kagawa diyakini bakal muncul pemain utama United musim hadapan dan meskipun terlepas Edin Hazard kepada Chelsea, kehadiran Kagawa pastinya mengubat kekecewaan penyokong-penyokong United.

Berpotensi Sertai United:

Bahagian tengah nampaknya menjadi fokus utama Sir Alex Ferguson untuk diperkuatkan bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Selepas Kagawa, Ferguson meneruskan usaha memburu pemain-pemain di posisi tersebut sebagai pengganti jangka panjang kepada Paul Scholes. Nama Luka Modric masih terus dikaitkan dengan United sejak kebelakangan ini biarpun dalam masa yang sama spekulasi turut mengaitkan tentang minat perancang Croatia itu menyertai Real Madrid. Selepas Tottenham Hotspurs terlepas slot di Liga Juara-Juara musim hadapan dan isu pemecatan Harry Redknapp, usaha mereka untuk mengekalkan Modric di White Hart Lane bakal menemui jalan buntu. Spurs dikatakan sudah bersedia melepaskan bintang tengah itu pergi dan dijangka meletakkan tanda harga sebanyak 30 juta Pound ke atas Modric. Bukan sekadar United serta Madrid sahaja yang berminat memburu khidmat Modric, malah Barcelona dan Chelsea juga dikaitkan akan menyertai perlumbaan mendapatkan tandatangannya. James Rodriguez sejak beberapa hari lalu menjadi pemain paling kerap disebut-sebut bakal menyertai United dengan gergasi England itu dikatakan sudahpun mengadakan perbincangan dengan kelab pemain itu, FC Porto. United diberitakan sudah menyediakan tawaran lumayan ke atas Rodriguez yang mungkin sukar untuk ditolak oleh Porto. Ferguson dikatakan tertarik untuk menandatangani Rodriguez kerana kebolehannya bermain sebagai pemain sayap dan juga sebagai penyerang. Dengan masa depan Nani yang masih mencetuskan tandatanya, Rodriguez adalah jawapan kepada United sekiranya Nani mengambil keputusan mahu berhijrah ke pasukan lain. Akhir sekali tentunya agenda mencari pengganti kepada Patrice Evra di sebelah kiri pertahanan akan diberikan keutamaan oleh Ferguson. Untuk itu, nama Leighton Baines muncul dan dikaitkan dengan minat United sebelum skuad kebangsaan England bergerak ke Ukraine bagi kempen Euro 2012 mereka. Masalah kewangan yang melanda The Toffees selain keinginan pemain itu beraksi di saingan Liga Juara-Juara, bererti perjanjian mendapatkan Baines boleh diselesaikan sebelum sepak mula liga dilangsungkan pada 18 Ogos ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

27 Jun 2012

DUO MANCHESTER UNITED, GANDINGAN MASA HADAPAN SKUAD ENGLAND?


Keegan/Johnson, Owen/Heskey, Sheringham/Cole, Wright/Smith dan Crouch/Defoe adalah pasangan penyerang yang berjaya membentuk kombinasi mantap di peringkat kelab ketika zaman kegemilangan mereka sebagai pemain. Selepas berjaya membentuk keserasian bersama kelab masing-masing, pasangan ini kemudiannya diberi kepercayaan untuk membentuk gandingan penggempur bersama skuad kebangsaan England pula. Apakah selepas ini pasangan Rooney/Welbeck pula akan menambah senarai dalam `kelab eksklusif' ini sebagai gandingan penggempur untuk skuad England pada masa akan datang? Sepertimana pasangan-pasangan di atas, Wayne Rooney dan Danny Welbeck  kini dianggap sebagai kombinasi pilihan pertama bagi kedua-duanya, kelab dan negara. Selepas bermain majoriti perlawanan  musim ini bersama-sama di Old Trafford, gandingan Rooney dan Welbeck akhirnya diberi kesempatan untuk membentuk barisan hadapan skuad England di Euro 2012 pula. Ada kemungkinan jika Rooney dan Welbeck terus diberi kepercayaan membentuk gandingan utama bersama United musim hadapan, Roy Hodgson tentunya tidak perlu bersusah payah  memikirkan untuk mencari kombinasi penyerang di England paling sesuai bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2014 nanti. Walau bagaimanapun dengan tekanan dan sasaran tinggi yang diletakkan setiap kali menyarung jersi kebangsaan, apatah lagi apabila anda beraksi baik di peringkat kelab, kedua-duanya (Rooney dan Welbeck) mungkin boleh saja mendominasi posisi mereka dalam skuad kebangsaan di tahun-tahun akan datang atau juga muncul satu lagi pasangan penyerang yang digeruni di atas kertas tetapi gagal beraksi dengan baik di atas padang. Selepas menghabiskan tempoh hampir tiga tahun dengan status pemain pinjaman, Welbeck dipanggil kembali semula ke Old Trafford musim panas lalu. Kepulangan semula ke Old Trafford selepas mempamerkan aksi baik bersama Sunderland nyata tidak sia-sia, apabila Welbeck diberi kepercayaan dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Rooney hingga membuatkan penyerang berpengalaman seperti Dimitar Berbatov sekadar memanaskan bangku simpanan. Welbeck dan Rooney berkomunikasi dengan baik ketika di atas padang, mungkin juga faktor kedua-duanya dari England membantu dalam hal ini. Kombinasi Rooney/Welbeck juga melengkapkan permainan masing-masing dengan Rooney biasanya bermain di belakang dan Welbeck pula akan membuat larian memecah benteng pertahanan lawan. Ia seperti kelihatan kedua-dua pemain ini berada di kelab yang betul untuk membina hubungan baik antara satu sama lain, sekaligus memudahkan lagi tugas pengurus baik di kelab ataupun skuad kebangsaan untuk kewujudkan gandingan penyerang yang mantap.


Perkara paling utama yang menjadi tugas berat buat pengurus England ialah bagaimana untuk `mengalihkan' prestasi baik pasangan ini ketika bersama United ke skuad kebangsaan England. Sistem permainan yang digunakan Hodgson membolehkan Rooney dan Welbeck bermain dalam posisi mereka dengan selesa walaupun kadangkala mereka lebih banyak turun membantu pasukan ketika bertahan berbanding ketika bermain di peringkat kelab. Rooney/Welbeck bukan satu-satunya gandingan yang bergelut dengan prestasi mereka ketika bersama skuad kebangsaan kerana kombinasi-kombinasi yang disebutkan di atas turut berdepan masalah yang sama biarpun beraksi cemerlang ketika mewakili kelab masing-masing. Sumpahan ini perlu diatasi segera oleh Hodgson jika mahu melihat Rooney/Welbeck muncul sebagai gandingan penyerang digeruni di peringkat antarabangsa satu hari nanti. Jika mereka berjaya memberikan prestasi yang baik untuk England, sama ketika mereka mewakili kelab, The Three Lions bakal memiliki kombinasi penyerang paling berjaya dalam sejarah mereka dan juga di masa hadapan. Ketika di era 80'an gandingan Ruud Gullit dan Marco van Basten yang bermain dengan cemerlang untuk AC Milan berjaya meneruskan rentak mereka ketika menyarung jersi kebangsaan Belanda dengan memenangi Kejohanan Eropah pada tahun 1988. Gandingan Gerd Muller dan Uli Hoeness pula adalah rakan sepasukan di Bayern Munich, berjaya membantu Jerman Barat memenangi Piala Dunia pada tahun 1974. Mungkin tidak adil untuk membandingkan gandingan Rooney/Welbeck dengan mereka-mereka yang disebutkan tadi, apatah lagi mereka-mereka ini adalah pemain yang bertaraf lagenda, tetapi harus diingat, Rooney/Welbeck juga mempunyai persamaan dengan mereka (Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness). Sepertimana Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness, Rooney dan Welbeck juga mengetuai barisan hadapan bagi salah satu kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak. Sudah tentulah kita (terutamanya penyokong-penyokong United) berharap agar satu hari nanti Rooney dan Welbeck akan muncul gandingan yang paling digeruni di peringkat antarabangsa sepertimana gandingan Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness. Musim depan, ujian lebih getir menanti gandingan Rooney/Welbeck di Old Trafford terutamanya apabila Javier Hernandez pulih dari kecederaan tumit dan dijangka kembali mencabar kedudukan dalam skuad utama. Welbeck terutamanya perlu memastikan pretasinya lebih baik dari musim ini jika tidak mahu kehilangan tempat di sebelah Rooney kepada Hernandez. Dengan pengalaman antarabangsa yang diraih bersama skuad kebangsaan di Euro 2012, Welbeck diharapkan akan muncul pemain yang lebih matang untuk United khasnya sekaligus memastikan pasangan ini (Rooney/Welbeck) layak bermain bersama-sama untuk kelab dan negara mereka dalam tempoh 6 hingga 8 tahun akan datang. Jika Hodgson atau pengurus England selepas ini bijak menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada Rooney dan Welbeck, kedua-dua bintang Manchester United ini diyakini tidak akan menyertai barisan bekas pemain-pemain England yang menyerlah ketika mewakili kelab tetapi gagal ketika menyarung jersi putih The Three Lions. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

BERITA-BERITA LAIN:

UNITED TERUS KEJAR LEWANDOWSKI

Manchester United nampaknya terus bernafsu memburu beberapa pemain lain selepas berjaya mendapatkan Shinji Kagawa dan Nick Powell. Selepas Kagawa diumumkan secara rasmi sebagai bintang terbaru yang berjaya ditandatangani mereka, United nampaknya terus  menjadikan Borussia Dortmund sebagai sasaran. Robert Lewandowski yang beberapa minggu lalu dikaitkan dengan minat Ferguson untuk mendapatkan tandatangannya terus mencetuskan potensi untuk menyertai Kagawa di Old Trafford. Pemain berusia 23 tahun itu masih membisu tentang masa depannya selepas gagal membantu Poland melepasi saingan peringkat kumpulan di Euro 2012. Khabar paling mengejutkan hadir dari jurulatih skuad kebangsaan Poland sendiri, Franciszek Smuda yang mendedahkan bahawa Lewandowski dalam perjalanan menuju ke Old Trafford. Kehadiran Lewandowski (jika berlaku) bakal memanaskan lagi perebutan slot di bahagian hadapan The Red Devils yang ketika ini sudahpun diisi Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez. Apa yang lebih penting, kehadiran Lewandowski diharapkan mampu menjadikan barisan serangan United lebih tajam dan digeruni musim hadapan.

BIDAAN TERBARU UNTUK RODRIGUEZ

Minat yang ditunjukkan Manchester United terhadap bintang muda FC Porto semakin tinggi selepas mereka didedahkan sedia meningkatkan tawaran untuk mendapatkan pemain sayap Colombia berusia 21 tahun itu. Sebelumnya United dikatakan sudah menawarkan sebanyak 30 juta Pound namun tawaran itu dianggap terlalu rendah dan ditolak Porto. Berita terbaru yang dipetik dari Daily Mail mendedahkan bahawa United akan kembali `menggoda' Porto dengan tawaran yang lebih lumayan untuk khidmat Rodriguez. Ketika ini masih belum dipastikan berapa tawaran yang akan dibuat oleh United tetapi media-media di Portugal menyebut Porto meletakkan tanda harga sebanyak 40 juta Pound ke atas bintang muda mereka itu. Rodriguez beberapa hari lalu disebut-sebut bakal menggantikan Nani yang dikatakan akan menuju pintu keluar musim panas ini selepas kecewa gajinya tidak dinaikkan oleh pihak pengurusan kelab. Peninjau bakat United sebenarnya sudah memantau perkembangan Rodriguez sejak dia menyertai kelab Argentina, Banfield empat tahun lalu namun tidak memajukan sebarang tawaran memandangkan usianya yang masih terlalu muda.

25 Jun 2012

18 OGOS, VIDIC SEDIA DITURUNKAN?


Kapten Manchester United, Nemanja Vidic akan kembali ke kem latihan seminggu lebih awal dari yang dijadualkan. Tonggak pertahanan tengah itu diketepikan sejak Disember lalu akibat kecederaan serius pada ligamen lututnya ketika pertembungan Liga Juara-Juara menentang FC Basel. Menurut pasukan perubatan United, Vidic pulih lebih pantas dari yang dijangkakan dan akan memulakan plan latihan kecergasan yang telah disediakan untuknya munggu depan, sebelum pemain-pemain United yang lain pulang semula ke Carrington untuk latihan pra musim. Vidic pada mulanya berada tiga minggu terkebelakang dari jadual pemulihannya tetapi pihak kelab gembira dengan kemajuan pemulihan yang ditunjukkan sejak akhir musim ini dan yakin kapten berpengaruh itu akan cergas untuk perlawanan pembukaan liga musim 2012/13 menentang Everton di Goodison Park, pada 18 Ogos ini. Vidic diberitakan tidak menghadapi sebarang masalah menjalani program yang disusun khas untuknya bagi meningkatkan kekuatan  lututnya. Walaupun sudah sedia menjalani latihan kecergasan, pasukan perubatan United akan menilai sama ada Vidic bersedia kembali menyertai rakan-rakan yang lain di padang latihan. Perkembangan terbaru ini nyata memberikan harapan kepada Sir Alex Ferguson yang berharap agar kaptennya itu akan dapat menyertai sesi latihan pra musim pertama bersama skuad utamanya. Glory Glory Manchester United!!!

BERITA-BERITA LAIN:

KAGAWA TOLAK NO. 7

Bintang yang baru ditandatangani Manchester United, Shinji Kagawa mendedahkan bahawa dia menolak peluang untuk menyarung jersi nombor 7 yang cukup terkenal itu musim hadapan. Kagawa melengkapkan perpindahannya dari Borussia Dortmund, Jumaat lalu selepas lulus ujian perubatan dengan menandatangani kontrak selama empat tahun bersama United. Bintang antarabangsa Jepun itu melahirkan rasa gembira impiannya menyertai The Red Devils akhirnya tercapai dan mula memasang sasaran untuk menjaringkan gol pertamanya di Theatre of Dreams. Kagawa memberitahu pemberita sebelum berlepas pulang ke Jepun, bahawa dia mahu mengukir kejayaan tersendiri bersama United, sebelum menimbangkan kemungkinan menyarung jersi keramat nombor 7 yang pernah digunakan pemain-pemain lagenda United yang lain seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo. Menurut Kagawa, dia baru sahaja menyertai United dan masih belum mencapai apa-apa lagi bersama skuad The Red Devils, jadi adalah lebih baik dia menumpukan apa yang mampu diberikannya kepada kelab berbanding memikirkan mahu menyarung jersi nombor 7 yang penuh dengan sejarah, tradisi dan kegemilangan itu.

SELEPAS KAGAWA, FERGUSON SEDIAKAN TAWARAN UNTUK BAINES 

Selepas berjaya mendapatkan Shinji Kagawa secara rasmi Jumaat lalu, Sir Alex Ferguson diberitakan bersiap sedia membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat pertahanan Everton, Leighton Baines pula. Selepas skuad England disingkir Itali dari Euro 2012 melalui penentuan sepakan penalti awal pagi tadi, Ferguson sedia menguji The Toffees, dengan tawaran permulaan sebanyak 8 juta Pound untuk pertahanan kiri itu. Meskipun David Moyes dan Ferguson memang diketahui mempunyai hubungan yanhg baik, namun Everton dijangka akan meletakkan tanda harga bermula 15 juta Pound untuk Baines yang masih mempunyai baki kontrak selama 3 tahun. Baines, 27, muncul antara tonggak Everton untuk tempoh lima tahun sejak menyertai kelab Merseyside itu dari Wigan Athletic pada 2007. Perpindahan Baines ke Old Trafford bakal merealisasikan impian pemain itu yang mahu menikmati saingan Liga Juara-Juara Eropah.

UNITED BERUSAHA KEKALKAN NANI

Manchester United memberikan jaminan kepada pemain sayap Portugal, Luis Nani yang beliau akan ditawarkan kontrak baru sebaik kempen Euro 2012 berakhir, sekaligus meredakan kebimbangan kemungkinan Nani akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Kebelakangan ini timbul keraguan tentang masa hadapan Nani di Old Trafford selepas tiada sebarang perbincangan kontrak baru diadakan antara kedua-dua belah pihak biarpun kontrak pemain itu berbaki cuma dua tahun lagi. Kebimbangan tentang masa depan pemain sayap itu di Old Trafford timbul selepas Nani menyuarakan kepada media bahawa dia berkemungkinan tidak akan berada lagi di Old Trafford musim hadapan selepas mendapati tiada sebarang tawaran kontrak baru yang diberikan kepadanya. Situasi masa depan pemain itu yang mencetuskan tandatanya telah meningkatkan lagi spekulasi tentang minat United mahu mendapatkan bintang muda Colombia, James Rodriguez sebagai pengganti Nani sejak beberapa hari lalu.

22 Jun 2012

SHINJI KAGAWA BERLEPAS KE MANCHESTER UNTUK UJIAN PERUBATAN


Shinji Kagawa menaiki penerbangan dari Tokyo ke Manchester yang mengambil masa kira-kira 11 jam penerbangan untuk menjalani ujian perubatan bagi melengkapkan perpindahannya ke Manchester United. Akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun melaporkan bahawa Kagawa sudah berlepas dari Tokyo tengah malam tadi, dan dijangka tiba di Manchester hari ini. Bintang antarabangsa Jepun itu bagaimanapun tidak akan berkesempatan melawat Old Trafford kerana dijangka pulang semula ke Tokyo sebaik selesai menjalani ujian (perubatan) tersebut. Kagawa yang ditemui pemberita sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Narita, Tokyo, memberitahu beliau berharap ujian perubatan yang akan dijalaninya nanti akan berakhir tanpa sebarang masalah. Ini merupakan langkah awal bagi merealisasikan perpindahan bernilai 17 juta Pound Kagawa ke United dari Borussia Dortmund dan juga prosedur terakhir sebelum beliau diberikan permit kerja. Pada peringkat awal, permohonan permit kerja Kagawa ditolak kerana beliau tidak bermain melebihi 75 peratus bersama skuad kebangsaan Jepun sepanjang tempoh tiga tahun terakhir, tetapi permohonan akhirnya diterima selepas United mengemukakan rayuan. Kagawa yang turut menjadi sasaran Arsenal, Chelsea dan AC Milan mendedahkan bahawa ketika pertemuannya dengan Sir Alex Ferguson sebelum ini, beliau telah dijanjikan akan memainkan peranan utama dalam skuad The Red Devils musim hadapan. Selain itu, Kagawa turut mendedahkan bahawa dia memilih menyertai United berbanding Arsenal, Chelsea dan Milan kerana Old Trafford adalah destinasi yang tepat untuk mengembangkan lagi kariernya. Glory Glory Manchester United!!!

EURO 2012 AKAN MENJADIKAN WELBECK LEBIH MATANG


Euro 2012 adalah penyertaan pertama Danny Welbeck dalam kejohanan besar bersama skuad kebangsaan England. Pusingan akhir Euro 2012 juga bolehlah dianggap sebagai platform terbaik buat Welbeck memperolehi pengalaman berguna buat mematangkan lagi permainannya, terutamanya apabila pulang semula ke Old Trafford nanti. Welbeck adalah salah seorang penyerang muda dari akademi United yang berjaya diketengahkan Sir Alex Ferguson, dan dianggap sebagai penyerang masa depan buat skuad The Three Lions amnya dan United sendiri khasnya. Sir Matt Busby ketika mengambilalih jawatan pengurus dari Stan Pearson pasca perang dunia pertama memulakan langkah membangunkan semula pasukan berteraskan bakat-bakat muda dan beliau mula menandatangani pemain-pemain amatur untuk diserapkan ke dalam pasukan. Busby berjaya mengesan bakat muda seperti Dennis Viollet, yang kemudiannya muncul sebagai seorang penyerang cukup produktif dengan 159 gol dari 259 penampilan bersama United. Alan Gowling  memiliki kerjaya singkat bersama United untuk tempoh 5 tahun (1057-62) dengan 71 penampilan dan menjaringkan 18 gol. Phil Chisnall pula tampil sebanyak 35 perlawanan bersama United untuk tempoh selama 5 tahun (1959-64). Kemudian muncul pula Brian Kidd pada 1967, penyerang kelahiran Collyhurst yang juga merupakan salah seorang anggota dari skuad yang berjaya menjulang Piala Eropah pertama pada 1968 selain muncul antara penjaring gol ketika menewaskan Benfica 4-1 di perlawanan akhir tersebut.  Di era 70'an pula muncul Andy Ritchie (1077-80) dan kemudiannya Mark Robins pula di era pertengahan 80'an hingga awal 90'an. Robins pada awalnya diharapkan mampu menjelmakan semula kehebatan Dennis Law di era sebelumnya tetapi menghabiskan tempoh selama enam tahun (1986-92) dengan hanya 11 gol dari 48 penampilan. Meskipun kesemua penyerang yang disenaraikan di atas adalah dari generasi berbeza, tetapi mereka semua mempunyai satu persamaan, iaitu mereka adalah warga England dan tampil dalam skuad utama United pada usia 17 tahun. Wayne Rooney adalah bakat muda yang berjaya diketengah dalam skuad United pada 2004, namun Rooney bukanlah penyerang yang dilahirkan dari akademi United sendiri, tetapi sebaliknya Ferguson terpaksa mengeluarkan dana sebesar 25.5 juta Pound untuk membawa Wazza dari Goodison Park ketika penyerang itu berusia 19 tahun. Akhirnya selepas sekian lama, Danny Welbeck, penyerang kelahiran Longsight yang bakatnya dipupuk dari akademi United sendiri berjaya diketengahkan Ferguson. Musim lalu, Welbeck menjaringkan 12 gol dari 27 penampilan bersama United hingga menarik perhatian pengurus England, Roy Hodgson menyenaraikannya dalam skuad The Three Lions di Euro 2012. Welbeck tampil buat pertama kali dalam skuad utama United pada usia 18 tahun (2008) tetapi kemudiannya menghabiskan tempoh selama 2 tahun dipinjamkan ke Preston North End dan Sunderland untuk menimba pengalaman. Welbeck dipanggil semula pulang ke Old Trafford musim lalu selepas dia cemerlang bersama Sunderland hinggakan Steve Bruce (pengurus Sunderland ketika itu) mahu mendapatkan khidmatnya secara tetap.

Dengan Michael Owen yang sudahpun melangkah keluar dan Dimitar Berbatov pula bakal menyusul, United dipercayai mahu membawa masuk sekurang-kurangnya satu nama besar di pasaran perpindahan musim panas nanti untuk menguatkan jentera serangan mereka bagi mencukupkan kuota 4 penyerang (ketika ini United sudahpun mempunyai Rooney, Chicharito dan Welbeck). Borussia Dortmund sudahpun meletakkan tanda harga sebanyak 30 juta Pound ke atas Robert Lewandowski, penyerang yang dikatakan menjadi sasaran United. United sebenarnya tidak perlu membayar untuk angka `tidak masuk akal' ke atas Lewandowski jika mereka percaya, Welbeck mampu memikul tanggungjawab berada di samping Rooney selaku penggempur utama musim hadapan. Welbeck sepatutnya tidak mengulangi nasib buruk yang menimpa perantis seperti Andy Ritchie kira-kira 32 tahun lalu, apabila Dave Sexton membeli Joe Jordan dari Leeds United dengan harga 350,000 Pound (rekod perpindahan England ketika itu), sekaligus memaksa Ritchie memilih jalan keluar. Kehadiran penyerang berpengalaman seperti Jordan menyebabkan pemain muda seperti Ritchie sekadar memanaskan bangku simpanan dan akhirnya beliau  memilih jalan keluar dengan menyertai Brighton (1980) pada usia 20 tahun. Apa yang perlu ketika ini ialah agar Ferguson bersabar dan memberikan lebih banyak peluang buat Welbeck beraksi di peringkat tertinggi supaya penyerang muda sepertinya mampu menggilap ketajaman ketika berada di kawasan gol lawan. Sebagai bekas pemain yang pernah menyertai United, Ritchie menasihatkan Welbeck agar menggunakan segala peluang yang diperolehi ketika diberi kesempatan bermain oleh Ferguson dengan sebaik-baiknya. Kesempatan untuk seorang anak tempatan memperolehi peluang di kelab besar seperti United sukar diperolehi dalam era bolasepak moden, melainkan pemain itu memang benar-benar bagus seperti yang telah dibuktikan oleh Rooney. Welbeck bermain dengan baik ketika menentang Perancis pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di Euro 2012 dan menjaringkan gol kemenangan menarik buat England dengan menggunakan tumit ketika menentang Sweden pada perlawanan kedua. Kejohanan besar seperti Euro adalah pentas yang sukar untuk pemain muda seperti Welbeck tetapi ia juga tempat terbaik untuknya menimba pengalaman berguna. Euro 2012 akan menguji sejauh mana kemampuan Welbeck bila berdepan pemain-pemain pertahanan terbaik di seluruh Eropah dan pastinya akan menjadikan Welbeck sebagai pemain yang lebih dewasa. Welbeck merupakan penyerang yang pantas serta gemar menggelecek di celah-celah pertahanan lawan dan bagi Ritchie, itu  membuktikan bahawa Welbeck adalah pemain yang berkeyakinan tinggi ketika memegang bola dan perkara itu bagus buat pemain muda sepertinya. Ketika ini penyokong-penyokong United tampak seperti mahu melihat seorang penyerang bertaraf antarabangsa di bawa masuk musim panas ini, namun kebolehan penyerang muda yang dilahirkan dari akademi United sendiri seperti Welbeck tidak harus diketepikan. Ritchie percaya nasib Welbeck tidaklah seburuknya dan yakin penyerang muda itu akan terus bertahan di Old Trafford sambil mengingatkan bahawa inilah penyerang masa depan United. Glory Glory Manchester United!!!

20 Jun 2012

JOSE MOURINHO ATAU PEP GUARDIOLA, SATU KEPUTUSAN BESAR BUAT UNITED


Sir Matt Busby adalah pengurus lagenda buat United yang akan terus kekal dalam ingatan penyokong-penyokong The Red Devils, tidak kira sama ada mereka dari generasi mana sekalipun. Salah satu momen paling menarik ialah ketika Busby memerhati dengan wajah berseri-seri saat Steve Bruce dan Bryan Robson menjulang trofi Liga Perdana pada tahun 1993, setahun sebelum kematiannya. Busby adalah individu yang bertanggungjawab mengemudi United menjulang kejuaraan Eropah pertama mereka pada tahun 1968 serta dianggap sebagai pemimpin sejati dan ayah kepada pemain-pemain era itu seperti Sir Bobby Charlton, George Best, Denis Law, Duncan Edwards, Alex Stepney dan ramai lagi, hinggakan skuadnya diberi gelaran Busby Babes. Selepas bersara pada tahun 1971, terdapat beberapa pengurus yang menggantikan Busby seperti Frank O'Farrell, Tommy Docherty dan Ron Atkinson, namun semuanya gagal mengembalikan era kegemilangan United di bawah kendalian Busby dan bermulalah era kejatuhan United sebagai kuasa besar bolasepak England dan Eropah. Kemuncaknya, United terpaksa bermain di Divisyen 2 pada musim 1974/75 dan mujurlah mereka hanya memerlukan satu musim sahaja untuk kembali semula ke liga utama (Divisyen 1). Selepas empat orang pengurus silih berganti menerajui United sejak persaraan Busby (Frank O'Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson), tibalah giliran individu bernama Alex Ferguson ke Old Trafford menggantikan Atkinson pada tahun 1986. Perkataan pertama yang muncul dari Ferguson ketika mengambilalih jawatan pengurus ialah, "Saya mahu menamatkan penguasaan Liverpool". Walaupun bermula perlahan dan hampir dipecat, Ferguson akhirnya menghadiahkan United kejuaraan pertama sebagai pengurus apabila berjaya membawa The Red Devils menjulang Piala FA pada tahun 1990. Ramai yang mengatakan jaringan kemenangan Mark Robins ke atas Oldham Athletics di peringkat separuh akhir menyelamatkan Ferguson dari dipecat selepas prestasi hambar United sebelum ini. Ferguson akhirnya membuktikan kewibawaannya sebagai pengurus apabila berjaya mengemudi kemenangan United di pentas final selepas menundukkan Crystal Palace dalam perlawanan ulangan hasil jaringan tunggal Lee Martin. Selepas kejayaan membawa United menang Piala FA 1990, Ferguson tidak menoleh ke belakang lagi apabila warga Scotland itu terus menghadiahkan satu demi satu kejuaraan utama ke dalam kabinet trofi di Old Trafford. Dua belas kejuaraan liga, lima Piala FA, dua Liga Juara-Juara, satu Piala Pemenang Piala, satu Piala Super Eropah dan satu Kejuaraan Kelab Dunia menjadi saksi kehebatan Ferguson sebagai pengurus lagenda selepas era Sir Matt Busby. Soalan-soalan yang sering muncul selepas Ferguson memasuki tahun ke-26 sebagai pengurus di Old Trafford ialah siapakah yang bakal menggantikannya jika individu yang pernah digelar sebagai `hair dryer treatment' itu bersara. Nama David Moyes sering disebut-sebut sebagai pengganti apatah lagi pengurus Everton itu adalah rakan baik Ferguson sendiri dan mereka juga adalah warga Scotland. Walaupun Moyes dikatakan layak mengambilalih tempat Ferguson berdasarkan pencapaiannya di Goodison Park, namun hanya dua nama sahaja yang sering bermain dibibir pemerhati dan penyokong-penyokong United, iaitu Jose Mourinho dan Pep Guardiola.

Jose Mourinho atau The Special One memang diketahui sudah lama mengimpikan jawatan Ferguson di Old Trafford dan pencapaian pengurus dari Portugal itu sudah terbukti apabila berjaya meraih kejuaraan liga di Portugal, England, Itali dan Sepanyol. Selain itu, Mourinho juga berjaya membawa dua pasukan berbeza (Porto dan Inter Milan) menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah. Seorang lagi yang bakal menjadi saingan Mourinho untuk kerusi panas di Old Trafford ialah bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola. Statistik Guardiola di Nou Camp cukup menggerunkan apabila Barcelona mencatat 72 peratus kemenangan di bawah kendalian Guardiola. Selain itu, Guardiola sudah menghadiahkan tiga kejuaraan La Liga, dua Copa del Rey, tiga Piala Super Sepanyol, dua Piala Super Eropah, dua Kejohanan Kelab Dunia dan dua Liga Juara-Juara Eropah sepanjang tempoh empat tahunnya di Nou Camp. Mourinho memang seorang pengurus yang berkarisma ketika memimpin Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid namun beliau gagal meninggalkan `dinasti'nya sendiri ketika memimpin kelab-kelab tersebut. Boleh dikatakan tiada langsung pemain-pemain muda dari akademi yang berjaya diketengahkan Mourinho melainkan menggunakan kekuatan kewangan milik kelab untuk mendapatkan kejayaan (contoh terbaik ialah ketika beliau bersama Chelsea dan Real Madrid). Kejayaan Mourinho dibina berasaskan permainan bertahan dan ini bukanlah jenis permainan bolasepak yang digemari penyokong-penyokong di Old Trafford. Wilf McGuiness pernah menerapkan corak permainan seperti ini ketika menggantikan Busby hingga menyaksikan dia hanya bertahan selama semusim sahaja di Old Trafford (1969-70). Untuk itu, Guardiola adalah individu yang lebih tepat menggantikan Ferguson berdasarkan apa yang dilakukannya ketika bersama Barca. Falsafah, pemikiran dan gaya bolasepak menyerang yang diterapkan Guardiola mirip kepada Ferguson, menjadikan beliau individu paling sesuai mengemudi Manchester United jika Ferguson bersara kelak. Di bawah Guardiola, Barca membina pasukan berteraskan pemain-pemain dari akademi mereka sendiri (La Masia). Sekali lagi falsafah yang digunakan Guardiola ini (membina pasukan dengan pemain-pemain muda) selaras dengan apa yang ada dalam diri Ferguson hingga menyaksikan United tampil konsisten di peringkat Eropah mahupun domestik. Kini apa yang penting bukanlah tentang individu bernama David Moyes, Jose Mourinho atau Pep Guardiola tetapi perkara paling utama ialah pengganti Ferguson nanti perlu memahamai bahawa Manchester United adalah lebih besar berbanding mana-mana individu di dalamnya dan penyokong-penyokong United hanya inginkan pilihan yang tepat bagi memudahkan peralihan kuasa sejak kali pertama Ferguson menyuarakan hasrat ingin bersara pada tahun 2002. Ferguson memang tiada duanya apatah lagi dengan pencapaian luarbiasa yang telah diberikannya bersama United selama 26 tahun di Old Trafford. Tetapi harus diingat, masih terdapat beberapa individu di luar sana yang cukup ideal untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus Manchester United jika Ferguson bersara kelak. Mourinho atau Guardiola? Siapapun yang dipilih menggantikan Ferguson nanti, pastinya ia satu keputusan besar buat Manchester United. Glory Glory Manchester United!!!

19 Jun 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: JAMES RODRIGUEZ PENGGANTI NANI?


Manchester United sedang bergerak bagi menandatangani bintang sayap Porto, James Rodriguez selepas Nani mengumumkan bahawa dia mungkin akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Gergasi Itali, Inter Milan dikatakan antara kelab yang serius mengikuti perkembangan Nani selepas sayap Portugal itu mengumumkan kepada media bahawa dia mungkin tidak akan berada lagi di Old Trafford musim hadapan. Sebagai persediaan, United mengorak langkah segera dengan menjadikan pemain sayap Porto, James Rodriguez sebagai pengganti jika Nani benar-benar mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain. Porto meletakkan tanda harga sebanyak 25 juta Pound ke atas bintang dari Colombia berusia 20 tahun itu yang sebelumnya pernah mengakui bahawa berhijrah ke Old Trafford adalah impiannya. United telah mengikuti perkembangan Rodriguez sepanjang musim ini dan Ferguson dikatakan telah beberapa kali menghantar pemerhati menilai aksi pemain itu bersama Porto dan juga ketika mewakili pasukan kebangsaan. Walau bagaimanapun usaha United mendapatkan tandatangan Rodriguez bakal berdepan saingan dari Bayern Munich yang turut berminat membawa pemain itu ke Allianz Arena. Kehadiran Shinji Kagawa dan prestasi cemerlang yang dipamerkan Ashley Young serta Luis Antonio Valencia menyebabkan timbul keraguan tentang masa depan Nani bersama United. Glory Glory Manchester United!!!