27 Jun 2012

DUO MANCHESTER UNITED, GANDINGAN MASA HADAPAN SKUAD ENGLAND?


Keegan/Johnson, Owen/Heskey, Sheringham/Cole, Wright/Smith dan Crouch/Defoe adalah pasangan penyerang yang berjaya membentuk kombinasi mantap di peringkat kelab ketika zaman kegemilangan mereka sebagai pemain. Selepas berjaya membentuk keserasian bersama kelab masing-masing, pasangan ini kemudiannya diberi kepercayaan untuk membentuk gandingan penggempur bersama skuad kebangsaan England pula. Apakah selepas ini pasangan Rooney/Welbeck pula akan menambah senarai dalam `kelab eksklusif' ini sebagai gandingan penggempur untuk skuad England pada masa akan datang? Sepertimana pasangan-pasangan di atas, Wayne Rooney dan Danny Welbeck  kini dianggap sebagai kombinasi pilihan pertama bagi kedua-duanya, kelab dan negara. Selepas bermain majoriti perlawanan  musim ini bersama-sama di Old Trafford, gandingan Rooney dan Welbeck akhirnya diberi kesempatan untuk membentuk barisan hadapan skuad England di Euro 2012 pula. Ada kemungkinan jika Rooney dan Welbeck terus diberi kepercayaan membentuk gandingan utama bersama United musim hadapan, Roy Hodgson tentunya tidak perlu bersusah payah  memikirkan untuk mencari kombinasi penyerang di England paling sesuai bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2014 nanti. Walau bagaimanapun dengan tekanan dan sasaran tinggi yang diletakkan setiap kali menyarung jersi kebangsaan, apatah lagi apabila anda beraksi baik di peringkat kelab, kedua-duanya (Rooney dan Welbeck) mungkin boleh saja mendominasi posisi mereka dalam skuad kebangsaan di tahun-tahun akan datang atau juga muncul satu lagi pasangan penyerang yang digeruni di atas kertas tetapi gagal beraksi dengan baik di atas padang. Selepas menghabiskan tempoh hampir tiga tahun dengan status pemain pinjaman, Welbeck dipanggil kembali semula ke Old Trafford musim panas lalu. Kepulangan semula ke Old Trafford selepas mempamerkan aksi baik bersama Sunderland nyata tidak sia-sia, apabila Welbeck diberi kepercayaan dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Rooney hingga membuatkan penyerang berpengalaman seperti Dimitar Berbatov sekadar memanaskan bangku simpanan. Welbeck dan Rooney berkomunikasi dengan baik ketika di atas padang, mungkin juga faktor kedua-duanya dari England membantu dalam hal ini. Kombinasi Rooney/Welbeck juga melengkapkan permainan masing-masing dengan Rooney biasanya bermain di belakang dan Welbeck pula akan membuat larian memecah benteng pertahanan lawan. Ia seperti kelihatan kedua-dua pemain ini berada di kelab yang betul untuk membina hubungan baik antara satu sama lain, sekaligus memudahkan lagi tugas pengurus baik di kelab ataupun skuad kebangsaan untuk kewujudkan gandingan penyerang yang mantap.


Perkara paling utama yang menjadi tugas berat buat pengurus England ialah bagaimana untuk `mengalihkan' prestasi baik pasangan ini ketika bersama United ke skuad kebangsaan England. Sistem permainan yang digunakan Hodgson membolehkan Rooney dan Welbeck bermain dalam posisi mereka dengan selesa walaupun kadangkala mereka lebih banyak turun membantu pasukan ketika bertahan berbanding ketika bermain di peringkat kelab. Rooney/Welbeck bukan satu-satunya gandingan yang bergelut dengan prestasi mereka ketika bersama skuad kebangsaan kerana kombinasi-kombinasi yang disebutkan di atas turut berdepan masalah yang sama biarpun beraksi cemerlang ketika mewakili kelab masing-masing. Sumpahan ini perlu diatasi segera oleh Hodgson jika mahu melihat Rooney/Welbeck muncul sebagai gandingan penyerang digeruni di peringkat antarabangsa satu hari nanti. Jika mereka berjaya memberikan prestasi yang baik untuk England, sama ketika mereka mewakili kelab, The Three Lions bakal memiliki kombinasi penyerang paling berjaya dalam sejarah mereka dan juga di masa hadapan. Ketika di era 80'an gandingan Ruud Gullit dan Marco van Basten yang bermain dengan cemerlang untuk AC Milan berjaya meneruskan rentak mereka ketika menyarung jersi kebangsaan Belanda dengan memenangi Kejohanan Eropah pada tahun 1988. Gandingan Gerd Muller dan Uli Hoeness pula adalah rakan sepasukan di Bayern Munich, berjaya membantu Jerman Barat memenangi Piala Dunia pada tahun 1974. Mungkin tidak adil untuk membandingkan gandingan Rooney/Welbeck dengan mereka-mereka yang disebutkan tadi, apatah lagi mereka-mereka ini adalah pemain yang bertaraf lagenda, tetapi harus diingat, Rooney/Welbeck juga mempunyai persamaan dengan mereka (Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness). Sepertimana Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness, Rooney dan Welbeck juga mengetuai barisan hadapan bagi salah satu kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak. Sudah tentulah kita (terutamanya penyokong-penyokong United) berharap agar satu hari nanti Rooney dan Welbeck akan muncul gandingan yang paling digeruni di peringkat antarabangsa sepertimana gandingan Gullit/van Basten dan Muller/Hoeness. Musim depan, ujian lebih getir menanti gandingan Rooney/Welbeck di Old Trafford terutamanya apabila Javier Hernandez pulih dari kecederaan tumit dan dijangka kembali mencabar kedudukan dalam skuad utama. Welbeck terutamanya perlu memastikan pretasinya lebih baik dari musim ini jika tidak mahu kehilangan tempat di sebelah Rooney kepada Hernandez. Dengan pengalaman antarabangsa yang diraih bersama skuad kebangsaan di Euro 2012, Welbeck diharapkan akan muncul pemain yang lebih matang untuk United khasnya sekaligus memastikan pasangan ini (Rooney/Welbeck) layak bermain bersama-sama untuk kelab dan negara mereka dalam tempoh 6 hingga 8 tahun akan datang. Jika Hodgson atau pengurus England selepas ini bijak menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada Rooney dan Welbeck, kedua-dua bintang Manchester United ini diyakini tidak akan menyertai barisan bekas pemain-pemain England yang menyerlah ketika mewakili kelab tetapi gagal ketika menyarung jersi putih The Three Lions. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

BERITA-BERITA LAIN:

UNITED TERUS KEJAR LEWANDOWSKI

Manchester United nampaknya terus bernafsu memburu beberapa pemain lain selepas berjaya mendapatkan Shinji Kagawa dan Nick Powell. Selepas Kagawa diumumkan secara rasmi sebagai bintang terbaru yang berjaya ditandatangani mereka, United nampaknya terus  menjadikan Borussia Dortmund sebagai sasaran. Robert Lewandowski yang beberapa minggu lalu dikaitkan dengan minat Ferguson untuk mendapatkan tandatangannya terus mencetuskan potensi untuk menyertai Kagawa di Old Trafford. Pemain berusia 23 tahun itu masih membisu tentang masa depannya selepas gagal membantu Poland melepasi saingan peringkat kumpulan di Euro 2012. Khabar paling mengejutkan hadir dari jurulatih skuad kebangsaan Poland sendiri, Franciszek Smuda yang mendedahkan bahawa Lewandowski dalam perjalanan menuju ke Old Trafford. Kehadiran Lewandowski (jika berlaku) bakal memanaskan lagi perebutan slot di bahagian hadapan The Red Devils yang ketika ini sudahpun diisi Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez. Apa yang lebih penting, kehadiran Lewandowski diharapkan mampu menjadikan barisan serangan United lebih tajam dan digeruni musim hadapan.

BIDAAN TERBARU UNTUK RODRIGUEZ

Minat yang ditunjukkan Manchester United terhadap bintang muda FC Porto semakin tinggi selepas mereka didedahkan sedia meningkatkan tawaran untuk mendapatkan pemain sayap Colombia berusia 21 tahun itu. Sebelumnya United dikatakan sudah menawarkan sebanyak 30 juta Pound namun tawaran itu dianggap terlalu rendah dan ditolak Porto. Berita terbaru yang dipetik dari Daily Mail mendedahkan bahawa United akan kembali `menggoda' Porto dengan tawaran yang lebih lumayan untuk khidmat Rodriguez. Ketika ini masih belum dipastikan berapa tawaran yang akan dibuat oleh United tetapi media-media di Portugal menyebut Porto meletakkan tanda harga sebanyak 40 juta Pound ke atas bintang muda mereka itu. Rodriguez beberapa hari lalu disebut-sebut bakal menggantikan Nani yang dikatakan akan menuju pintu keluar musim panas ini selepas kecewa gajinya tidak dinaikkan oleh pihak pengurusan kelab. Peninjau bakat United sebenarnya sudah memantau perkembangan Rodriguez sejak dia menyertai kelab Argentina, Banfield empat tahun lalu namun tidak memajukan sebarang tawaran memandangkan usianya yang masih terlalu muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan