20 Jun 2012

JOSE MOURINHO ATAU PEP GUARDIOLA, SATU KEPUTUSAN BESAR BUAT UNITED


Sir Matt Busby adalah pengurus lagenda buat United yang akan terus kekal dalam ingatan penyokong-penyokong The Red Devils, tidak kira sama ada mereka dari generasi mana sekalipun. Salah satu momen paling menarik ialah ketika Busby memerhati dengan wajah berseri-seri saat Steve Bruce dan Bryan Robson menjulang trofi Liga Perdana pada tahun 1993, setahun sebelum kematiannya. Busby adalah individu yang bertanggungjawab mengemudi United menjulang kejuaraan Eropah pertama mereka pada tahun 1968 serta dianggap sebagai pemimpin sejati dan ayah kepada pemain-pemain era itu seperti Sir Bobby Charlton, George Best, Denis Law, Duncan Edwards, Alex Stepney dan ramai lagi, hinggakan skuadnya diberi gelaran Busby Babes. Selepas bersara pada tahun 1971, terdapat beberapa pengurus yang menggantikan Busby seperti Frank O'Farrell, Tommy Docherty dan Ron Atkinson, namun semuanya gagal mengembalikan era kegemilangan United di bawah kendalian Busby dan bermulalah era kejatuhan United sebagai kuasa besar bolasepak England dan Eropah. Kemuncaknya, United terpaksa bermain di Divisyen 2 pada musim 1974/75 dan mujurlah mereka hanya memerlukan satu musim sahaja untuk kembali semula ke liga utama (Divisyen 1). Selepas empat orang pengurus silih berganti menerajui United sejak persaraan Busby (Frank O'Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson), tibalah giliran individu bernama Alex Ferguson ke Old Trafford menggantikan Atkinson pada tahun 1986. Perkataan pertama yang muncul dari Ferguson ketika mengambilalih jawatan pengurus ialah, "Saya mahu menamatkan penguasaan Liverpool". Walaupun bermula perlahan dan hampir dipecat, Ferguson akhirnya menghadiahkan United kejuaraan pertama sebagai pengurus apabila berjaya membawa The Red Devils menjulang Piala FA pada tahun 1990. Ramai yang mengatakan jaringan kemenangan Mark Robins ke atas Oldham Athletics di peringkat separuh akhir menyelamatkan Ferguson dari dipecat selepas prestasi hambar United sebelum ini. Ferguson akhirnya membuktikan kewibawaannya sebagai pengurus apabila berjaya mengemudi kemenangan United di pentas final selepas menundukkan Crystal Palace dalam perlawanan ulangan hasil jaringan tunggal Lee Martin. Selepas kejayaan membawa United menang Piala FA 1990, Ferguson tidak menoleh ke belakang lagi apabila warga Scotland itu terus menghadiahkan satu demi satu kejuaraan utama ke dalam kabinet trofi di Old Trafford. Dua belas kejuaraan liga, lima Piala FA, dua Liga Juara-Juara, satu Piala Pemenang Piala, satu Piala Super Eropah dan satu Kejuaraan Kelab Dunia menjadi saksi kehebatan Ferguson sebagai pengurus lagenda selepas era Sir Matt Busby. Soalan-soalan yang sering muncul selepas Ferguson memasuki tahun ke-26 sebagai pengurus di Old Trafford ialah siapakah yang bakal menggantikannya jika individu yang pernah digelar sebagai `hair dryer treatment' itu bersara. Nama David Moyes sering disebut-sebut sebagai pengganti apatah lagi pengurus Everton itu adalah rakan baik Ferguson sendiri dan mereka juga adalah warga Scotland. Walaupun Moyes dikatakan layak mengambilalih tempat Ferguson berdasarkan pencapaiannya di Goodison Park, namun hanya dua nama sahaja yang sering bermain dibibir pemerhati dan penyokong-penyokong United, iaitu Jose Mourinho dan Pep Guardiola.

Jose Mourinho atau The Special One memang diketahui sudah lama mengimpikan jawatan Ferguson di Old Trafford dan pencapaian pengurus dari Portugal itu sudah terbukti apabila berjaya meraih kejuaraan liga di Portugal, England, Itali dan Sepanyol. Selain itu, Mourinho juga berjaya membawa dua pasukan berbeza (Porto dan Inter Milan) menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah. Seorang lagi yang bakal menjadi saingan Mourinho untuk kerusi panas di Old Trafford ialah bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola. Statistik Guardiola di Nou Camp cukup menggerunkan apabila Barcelona mencatat 72 peratus kemenangan di bawah kendalian Guardiola. Selain itu, Guardiola sudah menghadiahkan tiga kejuaraan La Liga, dua Copa del Rey, tiga Piala Super Sepanyol, dua Piala Super Eropah, dua Kejohanan Kelab Dunia dan dua Liga Juara-Juara Eropah sepanjang tempoh empat tahunnya di Nou Camp. Mourinho memang seorang pengurus yang berkarisma ketika memimpin Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid namun beliau gagal meninggalkan `dinasti'nya sendiri ketika memimpin kelab-kelab tersebut. Boleh dikatakan tiada langsung pemain-pemain muda dari akademi yang berjaya diketengahkan Mourinho melainkan menggunakan kekuatan kewangan milik kelab untuk mendapatkan kejayaan (contoh terbaik ialah ketika beliau bersama Chelsea dan Real Madrid). Kejayaan Mourinho dibina berasaskan permainan bertahan dan ini bukanlah jenis permainan bolasepak yang digemari penyokong-penyokong di Old Trafford. Wilf McGuiness pernah menerapkan corak permainan seperti ini ketika menggantikan Busby hingga menyaksikan dia hanya bertahan selama semusim sahaja di Old Trafford (1969-70). Untuk itu, Guardiola adalah individu yang lebih tepat menggantikan Ferguson berdasarkan apa yang dilakukannya ketika bersama Barca. Falsafah, pemikiran dan gaya bolasepak menyerang yang diterapkan Guardiola mirip kepada Ferguson, menjadikan beliau individu paling sesuai mengemudi Manchester United jika Ferguson bersara kelak. Di bawah Guardiola, Barca membina pasukan berteraskan pemain-pemain dari akademi mereka sendiri (La Masia). Sekali lagi falsafah yang digunakan Guardiola ini (membina pasukan dengan pemain-pemain muda) selaras dengan apa yang ada dalam diri Ferguson hingga menyaksikan United tampil konsisten di peringkat Eropah mahupun domestik. Kini apa yang penting bukanlah tentang individu bernama David Moyes, Jose Mourinho atau Pep Guardiola tetapi perkara paling utama ialah pengganti Ferguson nanti perlu memahamai bahawa Manchester United adalah lebih besar berbanding mana-mana individu di dalamnya dan penyokong-penyokong United hanya inginkan pilihan yang tepat bagi memudahkan peralihan kuasa sejak kali pertama Ferguson menyuarakan hasrat ingin bersara pada tahun 2002. Ferguson memang tiada duanya apatah lagi dengan pencapaian luarbiasa yang telah diberikannya bersama United selama 26 tahun di Old Trafford. Tetapi harus diingat, masih terdapat beberapa individu di luar sana yang cukup ideal untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus Manchester United jika Ferguson bersara kelak. Mourinho atau Guardiola? Siapapun yang dipilih menggantikan Ferguson nanti, pastinya ia satu keputusan besar buat Manchester United. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan