14 November 2010

FERGUSON AKUI UNITED BERNASIB BAIK


Aston Villa defender Richard Dunne moves in on Javier Hernandez of Manchester United

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bernasib baik berjaya mengikat Aston Villa selepas menyaksikan mereka ketinggalan dua gol dengan permainan berbaki 14 minit untuk ditamatkan. United ketinggalan dua melalui hasil jaringan penalti Ashley Young diminit ke-72 dan selang empat minit kemudian giliran Marc Albrighton pula menembusi gawang United untuk memberi kelebihan selesa buat pasukan tuan rumah. Tuan rumah yang seakan-akan bakal meraih mata penuh sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah pelawat musim ini dikejutkan dengan kebangkitan lewat United. Federico Macheda menghidupkan peluang United apabila rembatan kencangnya diminit ke-81 gagal diselamatkan Brad Friedl manakala Nemanja Vidic pula menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian hasil tandukan jarak dekat. Ini adalah keputusan seri yang ketujuh dicatatkan oleh United dari 12 perlawanan mereka musim ini.

"Kami boleh dibolosi enam gol di babak kedua. Mereka sering melakukan percubaan dengan Albrighton memiliki dua peluang keemasan. Secara jujurnya, kami memang bernasib baik", ujar Ferguson sambil memuji penampilan anak-anak buah Gerard Houllier. "Kami menunggu terlalu lama untuk menunjukkan tahap permainan sebenar kami, sehinggalah kami ketinggalan dua gol. Macheda dan Obertan mengubah arus perlawanan selepas mereka dimasukkan", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Houllier memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh barisan Red Devils selepas menyaksikan mereka dinafikan dari meraih tiga mata di gelanggang sendiri. Houllier yang sudah berkira-kira akan memungut tiga mata penuh terpaksa akur dengan kebangkitan lewat United. "United?, Mereka memiliki semangat tidak kenal menyerah. Mereka memang kelab yang berkualiti sehingga masih belum tewas setakat ini. Mereka bangkit dan menyamakan kedudukan di saat kami semakin keletihan dan hilang tumpuan", ujar Houllier.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan