Gol tunggal Wayne Rooney berjaya memastikan Manchester United layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas mereka menewaskan Glasgow Rangers di Ibrox, awal pagi tadi. Meskipun tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Darren Fletcher dan Patrice Evra, United tampil agresif sejak permulaan permainan dengan mempertaruhkan gandingan Rooney dan Dimitar Berbatov di barisan hadapan. Tuan rumah hanya memperolehi kesempatan terbaik mereka diminit ke-16 tetapi percubaan Kenny Miller tidak menepati sasaran. Gandingan Nani dan Ryan Giggs di bahagian sayap kerap mencemaskan benteng Rangers yang diterajui kapten mereka David Weir namun Rooney dan Berbatov kerap mensia-siakan hantaran-hantaran yang ditujukan kepada mereka. Peluang terbaik United hadir diminit ke-40 namun tandukan Rooney yang menerima hantaran lintang Fabio da Silva sekadar singgah di palang gol. Kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat babak pertama permainan.
Memasuki babak kedua, United terus melancarkan serangan ke kubu Rangers namun tetap gagal menemui sasaran. Gol yang dicari akhirnya tiba selepas Fabio dikasari Steven Naismith di dalam kawasan penalti. Pengadil perlawanan, Massimo Bussaca pantas menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-87. Sementara itu, Rooney jelas begitu gembira selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh buat United. "Saya tahu apa yang harus saya lakukan dan di mana saya patut melakukannya. Saya bertuah kerana penjaga gol gagal menyelamatkan tendangan penalti itu", ujar Rooney. "Saya lega kerana berjaya menjaringkan gol dan semoga selepas ini saya mampu melakukannya lagi", tambah Rooney. Dengan kemenangan itu, United berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan C dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menanti kunjungan Valencia di Old Trafford, 8 Disember ini untuk keluar sebagai juara kumpulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan