Baik kawan mahupun lawan, semuanya pasti mengakui individu bernama Sir Alex Ferguson sudahpun mencatatkan namanya dalam tinta emas sebagai pengurus paling berjaya Manchester United dan mungkin juga di dunia. Karier Ferguson sebagai pengurus United genap 25 tahun, 6 November lalu namun kejayaan yang dikecapinya sekarang bukanlah melalui jalan yang mudah. Ferguson sudahpun menghadiahkan 37 trofi untuk United sepanjang kariernya 25 tahunnya di Old Trafford namun kejayaan itu memerlukan usaha keras dan juga kesabaran untuk muncul pengurus terbaik sepanjang zaman. Ferguson tiba di Old Trafford 25 tahun lalu dengan reputasi sebagai antara jurulatih terbaik di Scotland pada ketika itu namun itu semuanya tidak menjanjikan laluan mudah dimusim pertamanya bersama United. United hampir saja tersingkir ke divisyen 2 musim 1989-90 namun jaringan kemenangan Mark Robins membantu United meraih kejuaraan Piala FA sekaligus menyelamatkan Ferguson dari dipecat.
Kejayaan United meraih kejuaraan Piala FA pada tahun 1990 juga menjadi titiktolak kebangkitan Ferguson bersama United untuk meraih lebih banyak trofi selepas itu. Musim 1991-92, Ferguson hampir-hampir menamatkan kemarau 25 tahun United memenangi kejuaraan liga namun mereka akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Leeds United yang pada ketika itu dikemudi Eric Cantona untuk sekadar berpuashati di tangga kedua. Kemarau kejuaraan liga United berakhir musim berikutnya apabila Ferguson berjaya memimpin The Red Devils muncul juara Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Ironinya, kejayaan United ini dibantu oleh kecemerlangan si genius dari Perancis, Eric Cantona yang pada musim sebelumnya memimpin Leeds United memenangi kejuaraan liga. Selepas kejayaan musim 1992-93, Ferguson kemudiannya menghadiahkan 11 lagi kejuaraan liga buat United dan keseluruhan 19 kejuaraan dalam sejarah kelab sekaligus mengenepikan Liverpool sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga di England.
Walaupun berjaya mengemudi United sebagai kuasa besar di England, Ferguson hanya berjaya menghadiahkan dua trofi Liga Juara-Juara buat United sepanjang kerjaya 25 tahunnya. Paling membanggakan adalah kejayaan treble 1999 di mana United memenangi tiga kejuaraan besar (Piala FA, Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah). Trofi Liga Juara-Juara yang juga merupakan saingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini adalah merupakan yang pertama buat Ferguson sejak bersama United biarpun sebelumnya sudah memenangi trofi Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) dan Piala Super UEFA pada tahun 1991. Ferguson berjaya membantu United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua pada tahun 2008 selepas mereka menewaskan musuh domestik, Chelsea dalam penentuan sepakan penalti di Moscow. Ferguson membawa United layak keperlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun 2009 dan 2011 namun terpaksa akur dengan kehebatan Barcelona. Kejayaan menghadiahkan dua trofi Liga Juara-Juara dan layak dua kali keperlawanan akhir bukanlah sesuatu yang buruk, tambahan pula kali terakhir United muncul juara Piala Eropah ialah pada tahun 1968 iaitu semasa era Busby Babes.
Bagi meneruskan kegemilangan United, Ferguson adalah seorang pengurus yang gemar melakukan `regenerasi' dalam skuadnya. Pemain bertaraf bintang sekalipun tidak akan terselamat jika dimata Ferguson beliau menganggap mereka sudah tidak lagi produktif untuk pasukan. Paul Ince, Andre Kanchelskis, Karel Poborsky, Mark Hughes, Andy Cole dan Dwight Yorke adalah antara nama-nama besar yang pernah ditunjukkan jalan keluar oleh Ferguson akibat prestasi yang semakin menurun. Ferguson kemudiannya membawa masuk nama-nama baru secara berperingkat seperti David Beckham, Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes, Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo. Proses itu tidak terhenti malah Ferguson terus bernafsu melakukan perubahan dalam skuadnya apabila membawa masuk barisan pemain muda yang baru seperti Chris Smalling, Phil Jones dan Javier Hernandez dalam tempoh dua tahun terakhir selain memiliki bakat muda-muda dari akademi seperti Danny Welbeck dan Tom Cleverley. Di sebalik kejayaan Ferguson menghadiahkan trofi demi trofi dalam almari kelab, Ferguson juga tidak sunyi dari konfrantasi dengan barisan pemain bintangnya. Sebagaimana deretan pemain baru yang dibawa masuk, begitulah juga dengan deretan pemain yang terpaksa melangkah keluar akibat konfrantasi mereka dengan sang pengurus. Nama-nama besar seperti Jaap Stam, David Beckham, Ruud van Nistelrooy, Diego Forlan dan Roy Keane terpaksa `dikorbankan' Ferguson dari skuad. Keputusan menyingkirkan pemain-pemain tersebut pada mulanya memang menimbulkan tandatanya dan kontroversi namun kejayaan Ferguson yang terus berjaya mengemudi United meraih kejuaraan demi kejuaraan akhirnya berjaya menutup mulut para pengkritiknya. Para pencabarnya datang dan pergi, daripada Howard Wilkinson, Kenny Dalglish, Kevin Keegan, Arsene Wenger, Jose Mourinho hinggalah Roberto Mancini, begitu juga generasi pemain yang ada di bawah bimbingannya, namun Ferguson terus sukses memimpin Manchester United meraih trofi demi trofi sepanjang kerjaya panjang 25 tahunnya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!