Menyedari minat yang begitu mendalam ditunjukkan oleh kelab-kelab dari Serie A terhadap bintang sayapnya, Sir Alex Ferguson akhirnya melaungkan amaran bahawa Nani tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan pada sebarang harga. Pemain antarabangsa Portugal itu diberitakan cukup diminati gergasi-gergasi Serie A seperti Inter Milan, AC Milan dan Juventus, juga tidak terkecuali Real Madrid di Sepanyol. Ferguson secara lantang menegaskan bahawa United akan menggunakan segala usaha untuk mengekalkan Nani di Old Trafford dan meminta agar kelab-kelab terbabit melupakan hasrat mereka untuk memancing bintang sayapnya itu. Kontrak Nani bersama United yang akan berakhir pada 2014 nyata menarik minat kelab-kelab besar di Itali dan media negara tersebut begitu yakin Inter Milan bakal membawa Nani ke Guiseppe Meazza dengan tawaran sebanyak 30 juta Euro. Menyedari hakikat bahawa bintang mereka sedang diintai kelab-kelab besar, pihak pengurusan United dikatakan bakal menawarkan kontrak baru buat Nani dengan tawaran gaji yang lebih lumayan. Kenaikan gaji yang ditawarkan kepada Nani nanti bakal menyaksikan dia menerima imbuhan yang sama seperti apa yang diterima oleh Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Nani yang kontraknya bersama United cuma berbaki 18 bulan saja lagi diberitakan akan ditawarkan lanjutan kontrak selama 4 tahun lagi. Pemain sayap antarabangsa Portugal itu menyertai United sejak tahun 2007 dari Sporting Lisbon dan muncul antara tonggak utama United terutamanya di bahagian sayap sejak penghijrahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Musim ini Nani sudah bermain sebanyak 16 perlawanan untuk United dalam pelbagai kejohanan dan menjaringkan 5 gol. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan