27 Disember 2013

BENARKAH GERGASI SUDAH KEMBALI BANGKIT?

Ron Atkinson
Beberapa minggu lalu Ron Atkinson memberi amaran kepada David Moyes supaya tidak menggunakan alasan peralihan era di sebalik kemerosotan ketara yang dialami kelab dalam saingan liga musim ini. Individu yang pernah mengendalikan United dari tahun 1981 hingga 1986 itu menjadikan Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona sebagai contoh terbaik apabila pertukaran pengurus tidak langsung menjejaskan prestasi mereka di pentas domestik mahupun Eropah. Munich yang kini di bawah kendalian Pep Guardiola unggul di carta Bundesliga dengan kelebihan tujuh mata mengatasi Bayer Leverkusen manakala Barca pula di bawah kendalian Gerardo Martino menguasai carta La Liga selepas mengumpul 46 mata dengan Real pula berada di tangga ketiga (lima mata di belakang Barca). Di England lain pula ceritanya apabila United selaku juara bertahan Liga Perdana sedang berjuang menempatkan diri mereka di kelompok empat teratas. Kemenangan yang diraih ke atas Hull City semalam merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga selepas The Red Devils dikejutkan dengan dua kekalahan di gelanggang sendiri (bertemu Everton dan Newcastle Utd). Lima kemenangan (dalam semua kejohanan) selepas tewas dua perlawanan berturut-turut (di gelanggang sendiri) adalah satu petanda yang bagus, tetapi saya masih tidak berani untuk mengatakan bahawa barisan The Red Devils sudah bangkit dari 'mimpi indah' mereka selepas bergelar juara liga buat kali ke-20 musim lalu. Tiga mata yang diraih di KC Stadium semalam melonjakkan United di tangga ke-7 carta liga (lapan mata di belakang pendahulu Arsenal), sekaligus menghidupkan kembali api perjuangan untuk sekurang-kurangnya memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagi penyokong-penyokong yang meletakkan harapan lebih tinggi, inilah masanya untuk mereka mula memasang kembali impian mahu melihat barisan bimbingan Moyes mempertahankan mahkota Liga Perdana selepas dikecewakan dengan dua kekalahan di gelanggang sendiri kepada Everton dan Newcastle.

Selepas Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya Mei lalu, maka berakhirlah era penuh gemilang pengendali itu di Old Trafford dan bermula pula era baru kelab di bawah teraju Moyes. Saya tertarik dengan kata-kata Atkinson itu, sekaligus timbul persoalan sama ada masih relevankah alasan 'peralihan era' digunakan dalam kamus bolasepak moden? Moyes diberikan kontrak selama enam tahun tetapi selepas menyaksikan aksi tidak konsisten yang dipamerkan anak-anak buahnya setakat ini, kita sudah tentu tertanya-tanya apakah jangka hayat bekas pengendali Everton itu di Old Trafford bakal berakhir dalam tempoh yang singkat? Mungkin satu-satunya penawar buat kita ialah apabila menyaksikan prestasi baik yang dipamerkan The Red Devils di pentas Liga Juara-Juara selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah sekaligus muncul juara Kumpulan A. Sebaik menyaksikan anak-anak buahnya tewas buat kali kedua berturut-turut di gelanggang sendiri (kepada Newcastle) dalam saingan liga 7 Disember lalu, Moyes merayu kepada penyokong-penyokong agar bersabar dengan memberikan alasan bahawa kelab sedang dalam proses peralihan. Tewas lima kali dari 18 perlawanan (termasuk tiga di gelanggang sendiri), adakah tempoh peralihan wajar dijadikan alasan untuk kelab sekelas United? Saya bukan mahu menghentam Moyes kerana sebagai peminat saya menyokong sesiapa sahaja yang dilantik mengendalikan kelab, apatah lagi beliau dipilih sendiri oleh Sir Alex untuk mengisi kerusi yang ditinggalkannya. Dalam artikel-artikel sebelum inipun saya kekal konsisten dengan mengatakan bahawa Moyes perlu diberikan peluang dan masa kerana bukan mudah buat beliau menguruskan kelab besar seperti United, tambahan pula tekanan di Old Trafford sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding ketika di Goodison Park. Bagaimanapun kesabaran penyokong-penyokong ada hadnya biarpun saya akui masih ramai yang berdiri teguh di belakang Moyes.

Saya tidak nafikan bahawa statistik permulaan yang dilakar Moyes ketika ini lebih baik berbanding apa yang pernah dilakukan Sir Alex kira-kira 27 tahun lalu. Namun dalam masa yang sama tidak adil rasanya untuk kita membandingkan pencapaian kedua-dua individu ini kerana Sir Alex membina semula United bermula dari bawah hinggalah trofi liga hadir buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun pada 1993. Moyes sebaliknya hanya perlu meneruskan kecemerlangan yang pernah dilakar Sir Alex kerana United adalah juara bertahan Liga Perdana di samping beliau sendiri mewarisi pemain-pemain berkualiti untuk dimanfaatkan. Apa yang perlu dilakukan Moyes hanyalah menambahbaik beberapa kepincangan dalam skuad yang diwarisinya terutama di bahagian tengah. Bermula pada hari pertama beliau memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus United, Moyes sepertimana yang kita lihat jauh ketinggalan di belakang Manuel Pellegrini, Andre Villas-Boas (kini sudah dipecat) dan Jose Mourinho dalam hal menguatkan pasukan (memburu pemain baharu). Anda tentu masih ingat kata-kata Moyes ketika itu bahawa beliau tidak perlu terburu-buru bagi mendapatkan pemain baharu kerana yakin dengan kualiti barisan pemain sedia ada yang dimilikinya. Selepas dihidangkan dengan pelbagai drama sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka, Moyes akhirnya hanya mampu mendapatkan bekas anak didiknya di Everton (Marouane Fellaini) untuk menguatkan jentera tengah. Akibatnya belum pun separuh musim diharungi, Moyes sudah mula merungut bahawa skuadnya kekurangan kreativiti sebaik tewas dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri (kepada Everton dan Newcastle). Persaraan Paul Scholes meninggalkan ruang besar di bahagian tengah yang perlu diisi, manakala kecederaan Michael Carrick pula menambah lagi masalah di posisi tersebut. Ketika berdepan Everton dan Newcastle, kelemahan bahagian tengah United dieksploitasi oleh lawan dengan begitu mudah dan hal yang sama juga sebenarnya berlaku ketika kita tewas kepada Liverpool, Manchester City dan West Bromwich Albion.

Moyes bukan hanya berdepan masalah kurangnya kreativiti di bahagian tengah tetapi kekebalan benteng pertahanan pasukannya juga kini mula diperkatakan ramai pihak. Gandingan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand sudah tidak sekebal ketika kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2008 akibat peningkatan usia. Kini sudah tibalah masanya untuk Moyes memberikan lebih banyak penampilan kepada pemain-pemain pertahanan lebih muda seperti Jonny Evans, Chis Smalling dan Phil Jones. Maaf jika saya katakan bahawa United di bawah kendalian Moyes seperti sudah hilang mental juara, faktor yang selama ini menjadi antara kekuatan utama kelab sepanjang era Sir Alex sebagai pengurus. Bagaimanapun di KC Stadium semalam, pemain-pemain seolah-olah kembali mempamerkan karakter yang pernah menyebabkan mereka digeruni lawan sedikit masa lalu apabila bangkit meraih kemenangan selepas ketinggalan dua gol kepada Hull City yang dibimbing bekas lagenda United sendiri iaitu Steve Bruce. Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu dibuai dengan keyakinan atas kejayaan semalam kerana masih ada baki 20 perlawanan lagi yang perlu diharungi musim ini. United sebelum ini pernah mengharungi tempoh yang agak menyakinkan apabila mereka tidak tewas sepuluh perlawanan dalam semua kejohanan, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri (pada saingan liga). Moyes mahukan supaya penyokong-penyokong bersabar atas alasan kelab dalam proses peralihan, tetapi mampukah kebanyakkan dari kita bersabar sekiranya beliau gagal membawa kelab ke kedudukan empat teratas liga, atau lebih buruk lagi jika kelab tidak layak beraksi di Liga Europa? Dalam hal ini, sudah tentu akan wujud satu lagi perbandingan kerana anda mungkin akan mengatakan bahawa Sir Alex gagal memberikan sebarang trofi sepanjang tiga musim pertama beliau mengendalikan kelab. Selain itu, beliau (Sir Alex) juga gagal membawa kelab ke kedudukan sepuluh terbaik selama tiga musim dari lima musim pertamanya sejak menggantikan tempat (Ron) Atkinson pada 1986.

Mungkin juga anda akan berkata, jika kelab boleh bersabar dengan memberikan tempoh kepada Sir Alex sehingga empat musim sebelum trofi pertama (Piala FA) hadir pada 1990 dan tiga tahun kemudiannya kejuaraan liga pula, mengapa Moyes tidak boleh diberikan peluang yang sama jika beliau gagal membawa kelab ke kedudukan empat teratas musim ini? Sudah tentu jawapan paling tepat kepada semua persoalan ini ialah betapa besarnya jurang era bolasepak moden jika mahu dibandingkan dengan tempoh 20 atau 30 tahun yang lalu. Sekarang bukan lagi zaman di mana pengurus boleh memberi berbagai alasan jika kelab gagal mencapai misi yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. Roberto Mancini dipecat selepas Manchester City sekadar menamatkan saingan liga musim lalu di tangga kedua selain gagal di pentas final Piala FA biarpun musim sebelumya beliau berjaya mengemudi The Citizens menang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun. Nasib lebih buruk menimpa Roberto Di Matteo walaupun beliau berjaya membawa Chelsea menang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab pada musim 2011-12 selain menang kejuaraan Piala FA musim tersebut. Selepas mengharungi tempoh lapan bulan dan berjaya mengemudi Chelsea meraih dua trofi major, karier pengurusan Di Matteo di Stamford Bridge akhirnya menemui titik noktah pada November tahun lalu sebaik The Blues tewas 0-3 kepada Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara. Paling mutakhir sudah tentu anda sendiri dapat melihat bagaimana Andre Villas-Boas akhirnya dipaksa meninggalkan White Hart Lane walaupun saingan liga belum memasuki separuh musim. Saya berharap nasib Moyes tidak seburuk rakan-rakan sejawatnya yang saya sebutkan di atas, tetapi mampukah keluarga Glazer bersabar jika The Red Devils hanya mampu menamatkan saingan liga di tangga ke-9, sekaligus pencapaian terburuk kelab sejak 1990? Beberapa kali pernah saya sebutkan sebelum ini bahawa penyokong-penyokong muda United sering 'dimanjakan' dengan kejuaraan demi kejuaraan yang dimenangi kelab sepanjang era Sir Alex hingga mereka terlupa bagaimana sakitnya ketika berdepan detik sukar seperti sekarang.

Kelab besar yang memiliki sejarah gemilang seperti Manchester United sudah tentu ada sasaran tinggi yang diletakkan pihak pengurusan pada setiap musim. Jadi tidak keterlaluan kalau saya katakan jika anak-anak buah Moyes menamatkan musim ini di luar zon empat teratas, ia adalah satu bencana buat kelab dan penyokong-penyokong mereka. Manchester United bukan sekadar kelab bolasepak tetapi jenama perniagaan yang menguntungkan, maka sudah tentulah sebarang keputusan buruk yang dicapai kelab di penghujung musim bakal menjejaskan nilai komersial jenama United itu sendiri. Kita tidak tahu di manakah silapnya hingga menyebabkan United kini ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal dan berada di kedudukan ke-7 ketika saingan liga bakal memasuki fasa kedua. Moyes mengatakan pasukannya kurang kreativiti, bekas pemain pula mengatakan bahawa barisan pemain yang ada sudah hilang semangat juang dalam diri mereka, dan paling popular sudah tentu pendapat yang mengatakan bahawa pengunduran Sir Alex memberikan kesan psikologi besar terhadap bekas anak-anak buahnya hingga menjejaskan prestasi mereka. Walau apapun alasannya, Moyes perlu mengemudi pasukannya mencapai kemenangan demi kemenangan selepas ini bagi memulihkan kembali keyakinan penyokong-penyokong, atau jika tidak United akan terperosok di kedudukan yang lebih bawah. Jendela perpindahan pemain yang akan dibuka Januari ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk mendapatkan tenaga-tenaga baharu bagi menguatkan pasukan. United ketika ini saya ibaratkan seperti sedang sakit dan penawar untuk penyakit itu adalah kemenangan. Lima kemenangan berturut-turut (dalam semua kejohanan) yang dicapai selepas tewas kepada Everton dan Newcastle adalah penawar paling mujarab ketika kebanyakkan penyokong-penyokong United sudah mula hilang kepercayaan terhadap kredibiliti Moyes selaku pengendali. Kemenangan cukup penting buat survival Moyes sebagai pengurus United, dan itulah yang perlu diilhamkan beliau sekarang. Saya gembira melihat aksi di KC Stadium semalam bukan kerana United berjaya meraih tiga mata penuh, tetapi kerana pemain-pemain mula menunjukkan karakter sebenar mereka. Bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol, tambahan pula selepas menyaksikan rekod baik Hull City ketika beraksi di gelanggang sendiri. Selepas lulus ujian pertama Boxing Day dengan cemerlang, kini saya menanti dua lagi aksi selepas ini (menentang Norwich City dan Tottenham) untuk melihat apa benarkah The Red Devils sudah kembali bangkit? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan