“Tidak bernasib baik”, itulah alasan yang
diberikan David Moyes ketika Manchester United tumbang di gelanggang sendiri
kepada Everton Khamis lalu, dan semalam
giliran Yohan Cabaye pula membuktikan bahawa Old Trafford kini bukan
lagi kubu kebal buat The Red Devils.
Kita (penyokong-penyokong United) bukan tidak pernah menyaksikan kelab tewas
ketika beraksi di gelanggang sendiri musim-musim sebelumnya, tetapi tewas dua
perlawanan berturut-turut di Theatre of
Dreams bukanlah satu perkara yang bagus dan sudah tentu menimbulkan
persoalan besar tentang nasib kelab dalam saingan liga musim ini. Moyes tidak
perlu menunggu terlalu lama untuk mencipta 'sejarah' tersendiri selaku
pengendali United apabila kekalahan kepada The
Magpies semalam menyaksikan kelab tewas dua perlawanan berturut-turut (di
gelanggang sendiri) buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun. Usai kekalahan
semalam, kredibiliti Moyes selaku pengendali semakin hebat dibahaskan malah laman
Twitter rasmi milik kelab dihujani dengan luahan-luahan dari penyokong yang
meminta agar bekas pengendali Everton itu segera dipecat. Selepas menyaksikan
Newcastle meraih tiga mata penuh di Old Trafford buat pertama kali dalam tempoh
41 tahun dan memberikan kekalahan ketiga kepada United di gelanggang sendiri
musim ini, apa lagi yang mampu kita harapkan pada baki 23 perlawanan selepas
ini selain dari keajaiban. Kekalahan semalam sudah tentu menyebabkan Moyes
berada di bawah tekanan apatah lagi selepas melihat kelab kini terperosok di
tangga kesembilan liga, ketinggalan 12 mata di belakang Arsenal selaku
pendahulu ketika ini. Saya pernah mengatakan sebelum ini bahawa sasaran paling
realistik yang perlu Moyes capai di penghujung musim bukannya mengekalkan trofi
Liga Perdana di Old Trafford tetapi cukuplah sekadar membawa kelab ke saingan
Liga Juara-Juara musim hadapan.
Bagaimanapun selepas menyaksikan siri
kekalahan terbaharu semalam, timbul persoalan apakah sasaran itu mampu dicapai
beliau (itupun jika jodoh Moyes bersama United panjang hingga ke penghujung
musim). Paul Ince (bekas pemain tengah United) mengatakan bahawa Moyes sudah
tewas sejak hari pertama beliau menggalas tugasnya selaku pengendali apabila
membiarkan individu-individu berpengalaman yang pernah membantu Sir Alex
Ferguson seperti Rene Meulensteen dan Mike Phelan meninggalkan kelab. Kata-kata
Ince itu pada pandangan saya ada benarnya kerana sebagai 'orang baharu', Moyes
sebenarnya amat memerlukan pendapat dan petua dari kakitangan yang sudah lama berbakti
bersama kelab seperti Meulensteen dan Phelan, bukannya membiarkan mereka berdua
pergi dengan begitu mudah. Sudah tentu melepaskan Meulensteen yang sudah
bersama kelab sejak 2001 dan Phelan yang merupakan bekas pemain dan kemudiannya
menggalas tugas sebagai pembantu Sir Alex sejak 2008 bukanlah satu keputusan yang
bijak jika diambilkira pengalaman yang ada pada kedua-dua individu ini sebagai
pembantu Sir Alex. Bagi penyokong-penyokong muda United, mereka mungkin sudah
mula hilang sabar dengan prestasi terumbang-ambing yang dipamerkan kelab ketika
ini, apatah lagi jika difikirkan bahawa Moyes mewarisi skuad juara yang
ditinggalkan Sir Alex. Bagaimanapun selepas empat bulan musim kompetitif
bermula, skuad juara ini sudah tewas sebanyak lima kali termasuk tiga kekalahan
di gelanggang sendiri. “Krisis” adalah perkataan yang sering digunakan dalam
dunia bolasepak bagi menggambarkan situasi yang sedang dialami United ketika
ini, tetapi adakah perkataan itu sudah boleh ditujukan kepada kelab selepas
mereka tidak menang pada aksi saingan liga dalam tempoh sebulan? Sebagai
penyokong yang memerhati dari luar, kita sudah tentu tidak tahu apa masalah
sebenar yang melanda kelab sekarang hingga menjejaskan prestasi pemain-pemain
di atas padang.
Sebagai pengendali, Moyes sudah tentu
terpaksa memikul sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan terbaharu yang dialami
anak-anak buahnya. Bagaimanapun saya kira adalah tidak adil untuk kita
menyalahkan Moyes 100% atas prestasi lesu yang dipamerkan pemain-pemainnya. Sebagai
pengendali, beliau hanya berada di luar padang memberikan arahan sepanjang 90
minit permainan, dan selebihnya terpulang kepada barisan yang beliau turunkan.
Ketika pengadil meniup wisel pada detik pertama perlawanan, tidak banyak lagi
perkara yang mampu dilakukan Moyes untuk mengubah nasib pasukannya. Untung
nasib pasukan dan keputusan perlawanan kini dipikul pemain-pemain di atas
padang dan itulah sebenarnya yang berlaku pada dua perlawanan terakhir United.
Selepas menyaksikan penguasaan pada perlawanan menentang Everton Khamis lalu,
nasib pasukan tiba-tiba berubah hasil kesilapan individu yang dilakukan Antonio
Valencia hingga membolehkan Bryan Oveido menyelinap masuk dan menjaringkan gol
tunggal perlawanan. Kesilapan individu sekali lagi menghukum United semalam
apabila kealpaan Patrice Evra pula membolehkan Moussa Sissoko meloloskan diri
dan melakukan hantaran yang berjaya disudahkan Cabaye. Akibat hilang
konsentrasi, dua kesilapan ini berlaku dan hasilnya United tewas dua perlawanan
berturut-turut di gelanggang sendiri. Selaku individu yang berada di garisan
tepi padang, Moyes tidak dapat melakukan apa-apa selain hanya mampu melihat
kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya sendiri. Andai kesilapan mudah seperti
itu berjaya dielakkan, United jika tidak menang sekalipun akan mencatat
keputusan seri sekaligus menyaksikan mereka tidak tewas 14 perlawanan terakhir
(dalam semua kejohanan). Kedudukan keseluruhan kelab dalam carta liga tidak
banyak berubah andai berjaya meraih dua mata minima pada aksi menentang Everton
dan Newcastle, tetapi itu sudah tentu jauh lebih bagus berbanding dua kekalahan
berturut-turut yang dialami mereka di gelanggang sendiri.
Kesilapan Valencia dan Evra menjadi penyebab
United tewas dua perlawanan terakhir mereka, tetapi dalam masa yang sama kita
juga tidak boleh menafikan bahawa terdapat kepincangan di bahagian tengah dan
juga serangan. Agak malang ketika kelab berdepan detik sukar, kita hilang
khidmat Michael Carrick akibat kecederaan, Wayne Rooney menjalani penggantungan
perlawanan manakala semalam pula Robin Van Persie terpaksa bermain dalam keadaan
dirinya tidak cergas 100%. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ketika
ini kelab terlalu bergantung kepada kelibat Carrick bagi menjana jentera tengah
manakala beban dalam memburu jaringan pula terpaksa dipikul hampir sepenuhnya
oleh Van Persie dan Rooney. Pada aksi semalam, Chieck Tiote dan Vurnon Anita
berjaya mendedahkan kelemahan bahagian tengah United manakala Javier Hernandez
pula pada pandangan saya lebih tajam jika diturunkan sebagai pemain gantian,
bukannya dalam kesebelasan permulaan. Untuk itu, jika Moyes mahu melihat jangka
hayatnya sebagai pengurus United lebih panjang, beliau perlu mencari jalan bagi
menambah kekuatan di bahagian tengah sambil berharap Van Persie atau Rooney
tidak ditimpa musibah kecederaan jangka panjang. Keputusan dua perlawanan
terkini yang diraih United sudah tentu menyukarkan lagi tugas Moyes di Old
Trafford. Bagaimanapun selepas apa yang saya sebutkan tadi, kita juga tidak
sepatutnya meletakkan segala kesalahan di bahu beliau. Mungkin juga ada
benarnya kata-kata beliau selepas tamat perlawanan menentang Everton Khamis
lalu bahawa United hanya dipisahkan dengan nasib dari meraih sebarang mata,
tetapi saya lebih berminat untuk melihat apa yang bakal dilakukan beliau ketika
jendela perpindahan pemain dibuka Januari ini. Moyes pada pandangan saya agak
beruntung berada di Old Trafford kerana pemilik kelab dan pihak pengurusan di
sini memiliki kesabaran lebih tinggi ketika berdepan situasi getir seperti ini.
Cuba anda bayangkan bagaimanakah agaknya nasib Moyes jika beliau berada di
Stamford Bridge? Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan