30 Disember 2013

WELBECK 'MUNCUL' PADA WAKTU YANG TEPAT


Tanpa kelibat Robin Van Persie dan Wayne Rooney, kunjungan Manchester United ke Norfolk pada awalnya agak menggusarkan saya kerana sudah terbayang betapa tumpulnya jentera serangan pasukan tanpa kehadiran dua penggempur berbisa itu. Ketiadaan Van Persie sudah cukup meresahkan manakala khabar terbaru bahawa Rooney pula mengalami kecederaan pangkal paha bagaikan satu bencana buat pasukan. Sebelum sepak mula di Carrow Road, tidak sukar untuk membayangkan bagaimana barisan The Red Devils akan bergelut untuk meneruskan rentetan lima kemenangan (dalam semua kejohanan) sekaligus memperbaiki kedudukan mereka di carta liga tanpa khidmat Van Persie dan Rooney dalam memburu jaringan. Pada mulanya saya berharap satu mata ketika menentang The Canaries sudah memadai tetapi selepas 57 minit aksi berlangsung, jaringan tunggal perlawanan hasil sentuhan pemusnah Danny Welbeck akhirnya memberikan United mata ke-34 dari 19 perlawanan liga setakat ini. Kemenangan yang dicatatkan kelmarin satu petanda bagus buat skuad kendalian David Moyes menjelang permulaan tahun baharu terutama dalam mengejar misi berada di kelompok empat teratas. Chris Hughton (pengurus Norwich) selepas perlawanan mengatakan jaringan Welbeck itu tidak lebih sekadar nasib tetapi saya lebih suka melihat bahawa gol tersebut sebenarnya berpunca dari sikap optimis penyerang itu sendiri dalam menyempurnakan peluang. Welbeck menggunakan sepenuhnya kegagalan Ryan Bennet mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kemudiannya tenang memperdayakan John Ruddy untuk mudah menolak bola masuk ke gawang terbuka.

Sudah tentu selepas 45 minit pertama melihat barisan pemainnya buntu dalam mencari jaringan, kehadiran Welbeck yang masuk menggantikan Ryan Giggs di separuh masa kedua diharap mampu memberikan suntikan tambahan kepada barisan hadapan tetapi dia sebenarnya melakukan lebih dari itu. Selepas perlawanan Moyes tanpa ragu mengatakan bahawa kehadiran Welbeck mengubah arus permainan hinggalah terhasilnya gol kemenangan itu. Jaringan minit ke-57 di Carrow Road itu merupakan gol ke-6 Welbeck dalam saingan liga setakat ini dan sudah tentulah prestasi bagus yang dipamerkan pemain antarabangsa England itu melegakan sedikit kebimbangan kita selepas kelab gagal menggunakan khidmat Van Persie sejak 7 Disember, manakala Rooney pula muncul nama terbaharu yang terpaksa berada di bilik rawatan. Sekadar menjaringkan satu gol dari 27 perlawanan liga musim lalu, Welbeck bukanlah nama popular di kalangan penyokong-penyokong United tetapi prestasi terkini yang dipamerkannya menyebabkan tumpuan tiba-tiba beralih ke arahnya. Sudah tentu juga ketiadaan Van Persie dan Rooney menyebabkan Welbeck kini terpaksa memikul watak penting dalam memburu jaringan, sesuatu yang pasti kita tidak pernah bayangkan akan berlaku musim lalu. Prestasi bagus Welbeck hadir tepat pada masanya ketika kelab memang memerlukan pemain yang mampu memacu jentera serangan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Van Persie dan Rooney. Jadi tidak hairanlah jika  Moyes sendiri meletakkan sasaran 20 gol yang perlu dijaringkan Welbeck musim ini.

Tanpa ragu, ketika kelab sedang berjuang menempatkan diri ke kedudukan lebih baik dalam carta liga, Welbeck tiba-tiba muncul antara watak penting dalam membantu kebangkitan semula United sejak tewas kepada Everton dan Newcastle. Kelab besar seperti United sepatutnya tidak terlalu bergantung kepada hanya dua penyerang dalam memburu jaringan dan prestasi terkini yang dipamerkan Welbeck menambahkan lagi pilihan di barisan serangan, selain Moyes sendiri turut memiliki Javier Hernandez yang punya kualiti untuk menggegar gawang lawan. Empat gol dari lima penampilan terakhir saya anggap satu statistik yang cukup bagus buat Welbeck yang sering digunakan sebagai pengganti kepada Van Persie dan Rooney. Paling penting dua aksi terakhir di gelanggang lawan berkesudahan dengan enam mata yang berjaya dibawa pulang sekaligus meletakkan United kembali dalam persaingan. Perjalanan liga masih panjang dan saya berharap barisan The Red Devils di bawah kendalian Moyes sudah menemui kembali rentak mereka untuk memberikan cabaran lebih serius kepada pencabar-pencabar kejuaraan yang lain. Pemain-pemain sudah mula menunjukkan karakter sebenar mereka ketika bangkit di KC Stadium dan kemenangan di Carrow Road pula bukanlah sesuatu yang mudah kerana The Canaries sentiasa memberikan tentangan hebat setiapkali United berkunjung ke sini. Apa yang dipamerkan pemain-pemain di penghujung fasa pertama saingan (liga) penting sebelum saingan memasuki fasa kedua tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Moyes jika beliau mahu meletakkan semula United dalam jalur persaingan merebut kejuaraan liga. Dalam situasi sekarang prestasi cemerlang Welbeck hadir tepat pada waktunya dan saya berharap dia tidak akan berhenti dari menjaringkan gol selepas ini. Saya pasti kegembiraan Moyes selepas melihat prestasi cemerlang Welbeck turut dikongsi sama pengurus England, Roy Hodgson. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan