Tiga tahun lalu Javier Hernandez Balcazar
(Chicharito) muncul pemain Mexico pertama menyertai Manchester United selepas
Sir Alex Ferguson menandatangani bintang muda itu dari Chivas Guadalajara dengan
nilai £6 juta. Pembelian Chicharito pada awalnya dipandang sinis sesetengah
pihak kerana United ketika itu memerlukan penyerang kelas dunia untuk
digandingkan bersama Rooney dan bukannya 'budak mentah' berusia 22 tahun. Chicharito
tiba di Old Trafford pada musim panas 2010 bersama-sama pembelian baharu seperti
Chris Smalling, Marnick Vermijl, Anders Lindegaard dan Bebe. Kehadiran
Chicharito kurang diperkatakan penyokong-penyokong United walaupun dia
menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya di pentas Piala Dunia 2010 (Afrika
Selatan), mungkin disebabkan nama dan reputasinya jarang didengar sebelum itu.
Minat Sir Alex terhadap Chicharito sebenarnya sudah bermula sejak 2009 lagi di
mana beliau kerap menghantar pencari bakat United untuk memantau aksi pemain
itu secara dekat semasa dia beraksi di Primera
Division. Chicharito tidak menunggu lama untuk membuktikan nilai £6 juta
yang dilaburkan United ke atasnya lebih dari berbaloi apabila menjaringkan 13
gol dari 27 aksi liga untuk kelab pada musim pertamanya di England. Hingga
setakat ini Chicharito sudah menyumbangkan 54 gol dari 129 penampilan buat
United dalam semua kejohanan, satu statistik yang cukup mengagumkan buat
seorang pemain yang sering bermula dari bangku simpanan. Tidak salah rasanya
jika saya katakan bahawa Chicharito antara penyerang paling berbahaya di dunia
terutamanya ketika berada dalam petak penalti lawan.
Selepas melihat segala sumbangan dan
jaringan-jaringannya sepanjang tiga musim di Old Trafford, tiba-tiba timbul
perkhabaran bahawa masa depan penyerang itu bersama kelab bakal berakhir berikutan
peluangnya tampil dalam kesebelasan utama semakin terhad. Kenyataan Carlos Vela
yang juga rakan senegaranya kepada Sky
Sports menghangatkan lagi spekulasi masa depan Chicharito di Old Trafford.
“Jika dia bermain dengan kerap, dia akan menjaringkan gol. Jadi saya tidak
faham mengapa pemain dengan kualiti sepertinya kurang diberikan peluang
bermain. Jika dia tidak bermain dengan kerap, dia perlu memikirkan tentang
kemungkinan meninggalkan kelab. Anda sentiasa mahu berjaya di kelab besar,
tetapi jika anda tidak diberikan peluang ada pasukan lain di England atau
Eropah yang mahukannya”, kata Vela merujuk kepada situasi Chicharito ketika
ini. Tidak dinafikan bahawa Chicharito antara penyerang paling berbahaya di
Liga Perdana terutama ketajamannya menyempurnakan peluang dari jarak dekat dan
tiada keraguan juga bahawa permainannya semakin bertambah baik. Sepanjang tiga
musim bersama United, Chicharito tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan
Ole Gunnar Solskjaer kerana persamaan yang dimilikinya dengan lagenda kelab
itu. Sepertimana Solskjaer, Chicharito juga sering menjaringkan gol-gol penting
buat kelab ketika masuk sebagai pemain gantian, tetapi persoalan tetap timbul
sama ada dia cukup bagus untuk dibandingkan dengan Solskjaer, atau adakah
kualiti yang dimilikinya membolehkan dia kekal lama di Old Trafford?
Siapa boleh menafikan bahawa Chicharito
adalah seorang finisher hebat tetapi
dia bukanlah penyerang yang lengkap sepertimana Wayne Rooney atau Robin Van
Persie. Nisbah jaringannya (2.3 gol untuk satu perlawanan) mengatasi Thierry
Henry, Alan Shearer dan Didier Drogba tetapi itu bukanlah jaminan untuk namanya
menjadi pilihan utama dalam kesebelasan United. Dalam dunia bolasepak moden,
sesebuah pasukan memerlukan penyerang yang bukan sahaja tajam di hadapan gawang
lawan tetapi juga mampu membuka peluang jaringan buat rakan sepasukan. Dalam
hal ini, kelab memiliki Rooney dan Van Persie yang memenuhi kriteria itu sekaligus
menyebabkan Chicharito sekadar menjadi pilihan ketiga atau keempat pengurus
untuk diturunkan dalam satu-satu perlawanan. Musim lalu biarpun dia
menjaringkan 10 gol (dalam saingan liga), Sir Alex sebaliknya lebih gemar
memilih Danny Welbeck kerana kemampuan penyerang England itu 'menyimpan bola'
selain boleh berfungsi di sebelah kanan dalam formasi 4-2-3-1. Jika situasi ini
kekal, suka atau tidak Chicharito akan mendapati dirinya terus diberikan peranan
sebagai supersub sepertimana yang
pernah dimainkan Solskjaer dahulu. Solskjaer kekal bersama United selama 11
tahun (1996-2007), dan selama tempoh itu jugalah beliau mampu bersabar biarpun
sekadar menjadi pilihan ketiga di belakang gandingan penyerang-penyerang United
yang lain seperti Dwight Yorke/Andy Cole, Ruud Van Nistelrooy/Louis Saha dan
Louis Saha/Wayne Rooney. Walaupun sering memanaskan bangku simpanan, ketajaman
Solskjaer tidak pernah pudar dan sudah tentu gol jaringannya yang paling
diingati ialah ketika final Liga Juara-Juara 1999 menentang Bayern Munich.
Persoalan paling besar sekarang adakah
Chicharito memiliki kesabaran setinggi Solskjaer hinggakan beliau diangkat
sebagai antara lagenda United biarpun sekadar memainkan peranan selaku supersub? Saya rasa tidak. Pada usia 25
tahun, Chicharito bukan lagi dalam kategori pemain muda yang boleh mendengar alasan
pengurus bahawa dia perlu bersabar dan menimba lebih banyak pengalaman sebelum
bersedia diletakkan dalam lineup awal
pasukan. Sudah tentu Chicharito juga sedar akan hal itu. Apa yang diperlukannya
sekarang ialah bermain setiap minggu, kerana jika itu tidak berlaku peluangnya membarisi
kesebelasan utama skuad kebangsaan turut terjejas. Saya sentiasa berharap penyerang
sebagus Chicharito akan kekal lama bersama kelab, tetapi dalam masa yang sama
saya juga perlu mengakui bahawa tiada jaminan dia akan menandatangani lanjutan
kontrak baru dan terus menyarung jersi merah The Red Devils. Jika Chicharito mahukan tempat sebagai penyerang
utama, saya yakin dia tidak akan menikmati status itu jika terus kekal di Old
Trafford. Sejarah kelab yang panjang sudah menyaksikan ramai lagenda pernah beraksi
di sini (Old Trafford) dan sejarah kelab yang panjang juga pernah menyaksikan
bukan sedikit pemain-pemain yang gagal memenuhi jangkaan dan terpaksa
meninggalkan kelab. Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu melihat
Chicharito mengikut jejak langkah Solskjaer dengan kekal lama bersama kelab,
tetapi jika dia merasakan bahawa Old Trafford bakal menjadi tanah kubur buat
kariernya, menyertai pasukan lain adalah jalan terbaik. Adakah Chicharito berada di kelab yang salah? Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan