Dua minggu lalu kita percaya bahawa Pedro
Rodriguez bakal muncul pemain keenam yang ditandatangani Louis Van Gaal musim
ini. Bagaimanapun kita kemudiannya terpaksa mengakui bahawa Pedro memang tidak
ditakdirkan untuk menyarung jersi merah The
Red Devils kerana beliau akhirnya memilih Chelsea sebagai destinasi
pilihannya sebaik meninggalkan Nou Camp. Agak mengejutkan tetapi bukanlah
sesuatu yang menghairankan bila Pedro memilih Stamford Bridge dan bukannya Old
Trafford walaupun pada awalnya beliau dilaporkan begitu hampir menyertai The Red Devils.
Selepas berhari-hari malah mungkin juga
berminggu-minggu mengikuti perkembangan Pedro melalui laporan-laporan media, kegagalan
kelab menandatangani pemain ini mungkin menyebabkan ramai diantara kita berasa
sedikit kecewa. Ketumpulan jentera serangan ketika berdepan tiga perlawanan
liga setakat ini menyebabkan topik tentang betapa perlunya Van Gaal mencari
penyerang baharu sebagai rakan gandingan Wayne Rooney semakin hebat
diperdebatkan di kalangan penyokong-penyokong United.
Pedro membuktikan mengapa Jose Mourinho
begitu bersungguh-sungguh dalam usaha memujuk beliau menyertai Chelsea apabila
menyumbangkan satu gol dan satu assist
pada penampilan pertamanya bersama The
Blues. Saya bukan mahu `meratapi’ kegagalan kelab menandatangani Pedro,
cuma sedikit hairan mengapa secara tiba-tiba Van Gaal `mengalah’ dengan
membiarkan Chelsea menang dalam perlumbaan ini, sedangkan beliau sebelumnya mengatakan
bahawa Pedro adalah jenis pemain yang beliau inginkan.
Mungkin juga persembahan bagus yang
dipamerkan United pada perlawanan pertama play
off Liga Juara-Juara menentang Club Brugge mempengaruhi keputusan Van Gaal
dalam persaingan mendapatkan tandatangan Pedro. Selepas barisannya dikritik
hebat pada dua aksi liga sebelum itu (menentang Spurs dan Villa), United memilih
waktu dan masa yang tepat untuk bangkit menjawab kritikan para pengritik
mereka. Meskipun mereka menang (perlawanan menentang Spurs dan Villa), kita juga
terpaksa mengakui bahawa persembahan United sebenarnya jauh daripada
menyakinkan.
Ketika barisan belakang berjaya menepis
keraguan awal tentang keupayaan mereka menangani asakan lawan, bahagian tengah
dan serangan pula hilang kreativiti dan tumpul dalam usaha memburu gol. Rooney
yang keseorangan selepas Robin Van Persie dan Radamel Falcao meninggalkan kelab
masih tercari-cari cara bagaimana mahu mengatasi pertahanan dan penjaga gol
lawan. Atas sebab itulah mengapa Chris Waddle yang juga merupakan lagenda
England senada dengan penyokong-penyokong United yang lain bahawa Van Gaal
perlu menandatangani seorang penyerang baharu bagi mendampingi Rooney.
Bagaimanapun Van Gaal mungkin ada perancangan
dan pendapat lain kerana sehingga kini tiada langsung tanda-tanda bahawa beliau
bakal mendapatkan seorang penyerang baharu bagi menajamkan barisan serangannya.
Yang kita dengar cumalah rumour
sensasi tentang kemungkinan United memecahkan rekod dunia dengan menjadikan
Neymar Jr sebagai sasaran seterusnya atau membawa keluar Alexandre Pato dari
Sao Paolo untuk diletakkan sebagai rakan gandingan Rooney.
Awal pagi kelmarin, United sekali lagi
memperagakan aksi terpuji di pentas Eropah apabila mudah membenam cabaran Club
Brugge untuk menempah tempat ke saingan sebenar (peringkat kumpulan) Liga
Juara-Juara. Siapa sangka bahawa empat hari sebelum itu, Rooney dan
rakan-rakannya bergelut dalam usaha mereka menembusi pertahanan Newcastle
United, namun wajah berbeza dipamerkan skuad kendalian Van Gaal menerusi empat
gol yang mereka ledakkan ke gawang Brugge.
Paling penting, Rooney yang dikritik hebat
sebelum ini kerana masih kemarau jaringan berjaya merakamkan hatrik di Jan
Breydelstadion. Mengapa watak berbeza dipamerkan United di pentas Eropah
berbanding aksi mereka di pentas domestik? Jawapannya mudah, kerana kelab-kelab
yang bermain di pentas Eropah sebenarnya lebih cenderung mengamalkan corak
permainan terbuka berbanding aksi di Liga Perdana.
Di pentas Eropah bukan sesuatu yang
mengejutkan jika kelab underdog
seperti Brugge masih mampu bermain secara offensive
ketika mereka bertandang ke Old Trafford berbanding Spurs atau Newcastle yang
meletakkan lapan atau sembilan pemain mereka di kawasan sendiri ketika berdepan
kelab-kelab pencabar gelaran seperti United. Bagaimanapun jangan salah taktik (defensive) yang diamalkan mereka kerana
jika mahu menjulang kejuaraan, Van Gaal perlu mencari jawapan terbaik ketika
berdepan pasukan yang mengamalkan taktik bertahan seperti itu.
Jika Van Gaal kekal dengan keputusannya untuk
tidak membawa mana-mana penyerang baharu sebelum jendela perpindahan pemain
musim panas ditutup, saya berharap beliau sudah memiliki calon pemain sesuai yang
beliau ada untuk diletakkan di posisi sepatutnya bagi meningkatkan lagi daya
serangan United. Dua aksi timbal balik menentang Brugge adalah contoh terbaik
apa yang saya maksudkan tentang perlunya meletakkan pemain yang sesuai di
posisi yang sepatutnya mereka bermain.
Tidak semua pemain dianugerahkan dengan
kebolehan seperti Daley Blind atau Michael Carrick yang boleh bermain lebih
dari satu posisi. Dan tidak semua juga pemain yang mampu menyerlah apabila
diletakkan di luar dari posisi kegemaran mereka. Van Gaal pernah meletakkan
Memphis Depay di belakang Rooney dan hasilnya lihatlah bagaimana prestasi
pemain itu bila `dipaksa’ bermain di luar posisi kegemarannya. Kemudian bandingkan
pula bagaimana prestasi Depay saat berdepan Brugge di Old Trafford selepas
beliau kembali bermain di sebelah kiri.
Depay antara pemain United paling menyerlah
ketika aksi di Old Trafford 19 Ogos lalu menerusi gerakan-gerakan liciknya dari
sebelah kiri berbanding aksi kaku ketika beliau diletakkan selaku penyerang
kedua di belakang Rooney. Depay nampaknya menikmati tugas `azalinya’ dalam
perlawanan itu menerusi sumbangan dua jaringan dan satu assist. Awal pagi kelmarin di Jan Breydelstadion, Depay sekali lagi
membuktikan mengapa Van Gaal sepatutnya terus kekal meletakkan beliau di
sebelah kiri.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol,
Depay menyumbang assist untuk gol
pertama jaringan Rooney serta terlibat dengan gol kedua. Satu-satunya kelemahan
yang perlu beliau perbaiki ialah tidak terlalu mudah kehilangan bola
sepertimana yang berlaku ketika aksi menentang Newcastle United hujung minggu
lalu. Dalam hal ini Depay mungkin boleh mendapatkan sedikit tip dari
senior-senior beliau dalam skuad United seperti Carrick ataupun Schweinsteiger.
Melihat sumbangan dan keberkesanan Depay pada
dua aksi menentang Brugge, saya percaya Van Gaal tidak akan melakukan perjudian
lagi dengan meletakkan pemain ini di luar posisi kegemarannya pada
perlawanan-perlawanan akan datang. Jika Depay secara perlahan-lahan sudah mula
menemui rentak permainannya selepas diletakkan kembali di sebelah kiri,
bagaimana pula dengan nasib Adnan Januzaj?
Penghujung musim lalu nama Januzaj antara
yang disebut-sebut bakal meninggalkan kelab selepas kegagalan beliau merebut
tempat dalam kesebelasan utama United. Meskipun antara pemain United paling
cemerlang semasa era David Moyes, Januzaj nampaknya berdepan kesukaran
menyesuaikan diri dalam formasi 3-5-2 yang sering digunakan Van Gaal musim
lalu. Keputusan Van Gaal menandatangani Depay juga seolah-olah satu isyarat
bahawa masa depan Januzaj bersama kelab kian kelam.
Saya sendiri pada mulanya percaya bahawa
Januzaj jika tidak dijual sekalipun mungkin dipinjamkan kepada mana-mana kelab
untuk memberikan beliau peluang tampil lebih kerap berbanding jika beliau terus
kekal di Old Trafford. Tidak tersenarai pada perlawanan pertama liga menentang
Spurs, Januzaj kemudiannya memberikan isyarat bahawa masih ada tempat untuknya
dalam kesebelasan Van Gaal apabila gol jaringannya ke gawang Brad Guzan
menyaksikan United membawa pulang tiga mata dari Villa Park.
Aksi di Villa Park menyaksikan Januzaj
diletakkan selaku penyerang tengah di belakang Rooney dan meskipun beliau
menjaringkan gol, itu bukanlah prestasi terbaik yang pernah saya lihat dari
beliau. Satu-satunya aksi terbaik yang dipamerkan Januzaj dari empat
penampilannya dalam kesebelasan utama United ialah ketika berdepan Club Brugge
di Old Trafford 19 Ogos lalu. Penampilannya ketika United membenam wakil
Belgium itu dalam perlawanan pertama play
off Liga Juara-Juara itu menepati keinginan Van Gaal untuk peranan sebagai
pemain nombor 10.
Van Gaal sebenarnya lebih gemar meletakkan
seorang penyerang di posisi nombor 10 berbanding pemain tengah, jadi atas sebab
itulah mengapa anda masih melihat kedudukan Juan Mata masih kekal di sebelah
kanan meskipun ramai diantara kita berpendapat bahawa posisi paling ideal buat
beliau ialah berada di belakang Rooney. Bagi Van Gaal, pemain tengah paling
ideal pernah memikul peranan sebagai penyerang kedua atau pemain nombor 10
sepanjang karier kejurulatihannya ialah Jari Litmanen dan United tidak memiliki
pemain seperti itu. Bersama Ajax, Litmanen menjaringkan banyak gol walaupun fungsinya sekadar penyerang kedua di belakang Dennis Bergkamp ataupun Stefan Pettersson.
Selain dari gol jaringannya di Villa Park dan
prestasi bagusnya ketika berdepan Brugge 19 Ogos lalu, Januzaj nampaknya masih
belum memberikan impak selaku penyerang kedua di belakang Rooney. Dengan adanya
Depay di sebelah kiri dan Mata di sebelah kanan, tiada pilihan lain buat
Januzaj selain cuba memenuhi potensi selaku penyerang kedua kerana itulah
satu-satunya peluang yang ada jika beliau mahukan peluang bermain dengan lebih
kerap.
Lumrah buat seorang pemain muda seperti
Januzaj yang sering berdepan masalah konsistensi dalam permainan mereka dan
jika perkara itu berjaya diatasi, saya percaya beliau adalah calon paling
sesuai untuk diletakkan di belakang Rooney. Peranan selaku pemain nombor 10
sepatutnya dijadikan motivasi kerana itulah posisi yang beliau impikan selama
ini. Peluang sudah diberikan oleh Van Gaal jadi terpulang kepada Januzaj untuk
menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada.
Sejarah silam adalah bukti terbaik untuk
menceritakan kejayaan Van Gaal dalam mengetengahkan bakat-bakat muda serta
tindakan berani beliau meletakkan pemain di luar posisi sebenar mereka. Siapa
sangka bintang muda yang beliau ketengahkan 13 tahun lalu sebagai pengganti Pep
Guardiola akhirnya muncul nama besar di Nou Camp selama bertahun-tahun dan
diiktiraf sebagai antara playmaker
terbaik dunia. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Xavi Hernandez.
Di Bayern Munich pula, beliau menukar peranan
Bastian Schweinsteiger daripada winger
kepada seorang midfielder, meletakkan
Holger Badstuber sebagai bek tengah dan memberikan peluang kepada Thomas Muller
tampil dalam skuad regular Bayern biarpun pada awalnya pemain ini hampir sahaja
mahu meninggalkan FC Hollywood. Muller menurut Van Gaal seorang pemain yang hampir
menepati gaya permainan Litmanen, jadi anda usah hairan mengapa Muller antara
pemain yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak
kebelakangan ini.
Dengan jendela perpindahan pemain musim panas
bakal ditutup dalam tempoh empat hari lagi, masa sebenarnya kian suntuk buat
Van Gaal jika beliau berhasrat menandantangani pemain baharu terutamanya di
bahagian hadapan bagi menambah sengat kepada jentera serangan United. Selepas misi
mendapatkan Pedro dipintas Chelsea, United secara tiba-tiba dikaitkan dengan
perpindahan saga Neymar Jr manakala Gareth Bale serta Thomas Muller kekal
sebagai tajuk utama untuk melariskan jualan akhbar. Buat masa ini saya percaya bahawa kelibat Neymar, Bale atau Muller dengan jersi merah United cuma fantasi tetapi tidak mustahil boleh bertukar kepada realiti.
Jika tiada mana-mana pemain baharu yang
ditandatangani Van Gaal sebaik jendela perpindahan musim panas ditutup, saya
berharap beliau mampu memaksimakan sepenuhnya potensi yang dimiliki Januzaj
untuk diletakkan selaku penyerang kedua di belakang Rooney. Atau adakah kali ini kita akan menyaksikan satu lagi `tindakan gila’ dari Van Gaal dengan menyerahkan peranan pemain nombor 10 kepada Marouane Fellaini sepertimana yang pernah
beliau sebutkan sebelum ini? Segalanya berkemungkinan kerana mungkin juga kali ini kita bakal menyaksikan lahirnya seorang `Litmanen' baharu di sini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ