09 Ogos 2015

TIDAK CEMERLANG TAPI MEMADAI UNTUK LULUS UJIAN PERTAMA

Jujur saya katakan bahawa ini bukanlah perlawanan pembukaan yang ingin saya saksikan tetapi selepas 90 minit permainan saya tetap boleh menarik nafas lega hasil dari tiga mata yang diperolehi semalam. Saya bersetuju dengan pendapat Mauricio Pochettino bahawa pasukannya tidak bernasib baik selepas jaringan sendiri Kyle Walker di babak pertama menyebabkan Spurs pulang ke kota London dengan tangan kosong.

Secara keseluruhannya, permainan United sendiri sebenarnya kurang lancar walaupun Van Gaal menurunkan empat dari lima pemain baharu yang beliau tandatangani dalam kesebelasan permulaannya. Matteo Darmian, Morgan Schneiderlin dan Sergio Romero lulus ujian pertama mereka dengan cemerlang tetapi Memphis Depay sedikit bergelut di barisan hadapan.

Jika anda mengimpikan ada gol demi gol atau kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang 90 minit permainan, saya yakin anda pasti kecewa kerana perlawanan semalam bukanlah aksi yang anda harapkan. Perlawanan yang agak `ketat’ serta tempo permainan yang perlahan adalah perkara biasa pada aksi pertama dalam mana-mana kejohanan dan itulah yang dipamerkan kedua-dua pasukan di Old Trafford.

Walaupun saya mengakui bahawa United bernasib baik menang perlawanan ini, namun saya juga tidak boleh menolak ada sisi positif yang dipamerkan barisan The Red Devils sepanjang 90 minit permainan. Paling ketara ialah perubahan di benteng pertahanan terutamanya dengan kehadiran Chris Smalling yang diletakkan bersama Daley Blind selaku bek tengah.

Semasa kempen pra musim, Van Gaal lebih memilih kombinasi Phil Jones/Daley Blind selaku bek tengah tetapi ketiadaan Jones yang dilaporkan mengalami kecederaan membuka peluang buat Smalling diletakkan sebagai starter. Nyata Smalling tidak menghampakan menerusi persembahan menyakinkan yang beliau pamerkan sepanjang permainan.

Saya agak terkejut melihat ketenangan beliau mengawal barisan belakang selain bijak membaca arah gerakan-gerakan serangan yang dilancarkan lawan terutamanya menerusi Harry Kane, Nacer Chadli dan Moussa Dembele. Kombinasi beliau bersama Blind lulus ujian pertama tetapi saya tetap ingin melihat Van Gaal mendapatkan seorang bek tengah baharu sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup.

Jika Smalling saya anggap watak penting di benteng pertahanan, saya juga tidak akan sekali-kali menafikan sumbangan Matteo Darmian, Luke Shaw dan Sergio Romero. Darmian cukup solid memainkan peranannya di sebelah kanan, baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang, jadi tidak hairanlah mengapa beliau diberikan tepukan gemuruh ketika dikeluarkan di penghujung permainan.

Di sebelah kiri pula, Luke Shaw nampaknya sudah berjaya mengatasi masalah kecergasan yang sering menghantui penampilannya sepanjang musim lalu. Walaupun ini bukanlah persembahan terbaiknya, Shaw tampak semakin yakin mengawal sektornya ketika bertahan dan pantas naik ke atas ketika menyerang. Jika segalanya berjalan lancar buat beliau, saya yakin Shaw sudah bersedia mempertahankan posisinya selaku bek kiri.

Atas alasan apa sekalipun Van Gaal mengetepikan David De Gea semalam, Romero yang menikmati debut kompetitifnya bersama The Red Devils antara pemain United yang paling cemerlang. Beberapa penyelamatan yang dilakukan penjaga gol antarabangsa Argentina ini berjaya menafikan lawan untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.

Prestasi Romero semalam saya anggap satu isyarat buat De Gea bahawa posisinya selaku penjaga gol utama United kini sudah ada pencabarnya. Saya tidak tahu apa kesudahan masa depan De Gea bersama kelab, tetapi jika benar beliau ingin pulang semula ke kota Madrid, sepasang tangan milik Romero sudah boleh diharap untuk mengawal gawang The Red Devils.

Jika benteng pertahanan tampil menyakinkan, begitu juga dengan barisan tengah. Dengan adanya pemain-pemain seperti Michael Carrick, Juan Mata, Morgan Schneiderlin dan Memphis Depay selain kualiti yang ada di bangku simpanan, United tidak bermasalah menguasai sektor di tengah padang kerana itulah yang mereka perlihatkan semalam.

Bagaimanapun, menguasai bola sahaja tidak mencukupi kerana barisan hadapan perlukan umpanan-umpanan berkualiti dari tengah untuk disudahkan. Benarlah kata Van Gaal sebelum ini bahawa beliau perlukan seorang pemain yang memiliki kreativiti sepertimana peranan yang dimainkan Eden Hazard untuk Chelsea atau Neymar Jr di Nou Camp.

Saya masih menanti kesudahan rumour perpindahan Pedro Rodriguez, tetapi jika Van Gaal gagal mendapatkan seorang pemain yang beliau percaya mampu menambahkan kreativiti kepada skuadnya, saya berharap pemain baharu seperti Depay boleh diletakkan harapan untuk menambah variasi kepada gerakan-gerakan serangan United.

Sepanjang aksi semalam, United nampaknya masih terlalu bergantung kepada kelibat Wayne Rooney dalam misi memburu gol. Ketika tempo permainan Liga Perdana masih terlalu asing buat Depay, Rooney pula sering dibayangi Kyle Walker dan Jan Vertonghen hingga membataskan sumbangan keseluruhannya sepanjang 90 minit permainan.

Bagaimanapun sebagai pemain berpengalaman, saya percaya Rooney ada jawapan bagaimana mahu melepasi kekangan `pengawalnya’ selepas ini. Saya berharap pemain seperti Mata boleh memberikan lebih sokongan kepada beliau sambil berharap Depay tidak mengambil masa terlalu lama untuk beradaptasi dengan tempo permainan di Liga Perdana.

Meskipun di awal tadi saya katakan bahawa saya bersetuju dengan pendapat Mauricio Pochettino bahawa Spurs tidak bernasib baik tewas perlawanan ini, tetapi sebagai penyokong United saya juga perlu bersikap positif. Ya, memang benar kemenangan semalam dibantu dengan sedikit tuah tetapi jangan lupakan bahawa pasukan yang memiliki mental juara pada bila-bila masa mampu keluar sebagai pemenang walaupun tidak beraksi dengan baik.

Itulah yang berlaku semalam dan itulah juga yang sering berlaku ketika United di bawah era kendalian Sir Alex Ferguson. Bukan tidak pernah United bermain buruk tetapi kemudiannya muncul sebagai pemenang. Jadi anggap sahajalah bolasepak bukan sekadar tentang pasukan mana yang bermain cantik dan menguasai perlawanan, tetapi elemen tuah adakalanya turut memainkan peranan yang besar.

Bagaimanapun Van Gaal tidak boleh mengharapkan elemen tuah terus menyebelahi skuadnya jika berhasrat membawa pulang trofi Liga Perdana ke Old Trafford. Untuk keluar sebagai juara, United perlu jauh lebih bagus di atas padang berbanding Chelsea, Manchester City, Arsenal, Liverpool ataupun Tottenham Hotspurs kerana tuah tidak akan sentiasa menyebelahi mereka. Ini mungkin bukan permulaan yang sempurna, tetapi penting untuk tidak sumbang pada langkah pertama…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan