28 Ogos 2015

SIAPAKAH PALING SESUAI UNTUK TUGAS SEBAGAI PENYERANG KEDUA?

Dua minggu lalu kita percaya bahawa Pedro Rodriguez bakal muncul pemain keenam yang ditandatangani Louis Van Gaal musim ini. Bagaimanapun kita kemudiannya terpaksa mengakui bahawa Pedro memang tidak ditakdirkan untuk menyarung jersi merah The Red Devils kerana beliau akhirnya memilih Chelsea sebagai destinasi pilihannya sebaik meninggalkan Nou Camp. Agak mengejutkan tetapi bukanlah sesuatu yang menghairankan bila Pedro memilih Stamford Bridge dan bukannya Old Trafford walaupun pada awalnya beliau dilaporkan begitu hampir menyertai The Red Devils.

Selepas berhari-hari malah mungkin juga berminggu-minggu mengikuti perkembangan Pedro melalui laporan-laporan media, kegagalan kelab menandatangani pemain ini mungkin menyebabkan ramai diantara kita berasa sedikit kecewa. Ketumpulan jentera serangan ketika berdepan tiga perlawanan liga setakat ini menyebabkan topik tentang betapa perlunya Van Gaal mencari penyerang baharu sebagai rakan gandingan Wayne Rooney semakin hebat diperdebatkan di kalangan penyokong-penyokong United.

Pedro membuktikan mengapa Jose Mourinho begitu bersungguh-sungguh dalam usaha memujuk beliau menyertai Chelsea apabila menyumbangkan satu gol dan satu assist pada penampilan pertamanya bersama The Blues. Saya bukan mahu `meratapi’ kegagalan kelab menandatangani Pedro, cuma sedikit hairan mengapa secara tiba-tiba Van Gaal `mengalah’ dengan membiarkan Chelsea menang dalam perlumbaan ini, sedangkan beliau sebelumnya mengatakan bahawa Pedro adalah jenis pemain yang beliau inginkan.

Mungkin juga persembahan bagus yang dipamerkan United pada perlawanan pertama play off Liga Juara-Juara menentang Club Brugge mempengaruhi keputusan Van Gaal dalam persaingan mendapatkan tandatangan Pedro. Selepas barisannya dikritik hebat pada dua aksi liga sebelum itu (menentang Spurs dan Villa), United memilih waktu dan masa yang tepat untuk bangkit menjawab kritikan para pengritik mereka. Meskipun mereka menang (perlawanan menentang Spurs dan Villa), kita juga terpaksa mengakui bahawa persembahan United sebenarnya jauh daripada menyakinkan.

Ketika barisan belakang berjaya menepis keraguan awal tentang keupayaan mereka menangani asakan lawan, bahagian tengah dan serangan pula hilang kreativiti dan tumpul dalam usaha memburu gol. Rooney yang keseorangan selepas Robin Van Persie dan Radamel Falcao meninggalkan kelab masih tercari-cari cara bagaimana mahu mengatasi pertahanan dan penjaga gol lawan. Atas sebab itulah mengapa Chris Waddle yang juga merupakan lagenda England senada dengan penyokong-penyokong United yang lain bahawa Van Gaal perlu menandatangani seorang penyerang baharu bagi mendampingi Rooney.

Bagaimanapun Van Gaal mungkin ada perancangan dan pendapat lain kerana sehingga kini tiada langsung tanda-tanda bahawa beliau bakal mendapatkan seorang penyerang baharu bagi menajamkan barisan serangannya. Yang kita dengar cumalah rumour sensasi tentang kemungkinan United memecahkan rekod dunia dengan menjadikan Neymar Jr sebagai sasaran seterusnya atau membawa keluar Alexandre Pato dari Sao Paolo untuk diletakkan sebagai rakan gandingan Rooney.

Awal pagi kelmarin, United sekali lagi memperagakan aksi terpuji di pentas Eropah apabila mudah membenam cabaran Club Brugge untuk menempah tempat ke saingan sebenar (peringkat kumpulan) Liga Juara-Juara. Siapa sangka bahawa empat hari sebelum itu, Rooney dan rakan-rakannya bergelut dalam usaha mereka menembusi pertahanan Newcastle United, namun wajah berbeza dipamerkan skuad kendalian Van Gaal menerusi empat gol yang mereka ledakkan ke gawang Brugge.

Paling penting, Rooney yang dikritik hebat sebelum ini kerana masih kemarau jaringan berjaya merakamkan hatrik di Jan Breydelstadion. Mengapa watak berbeza dipamerkan United di pentas Eropah berbanding aksi mereka di pentas domestik? Jawapannya mudah, kerana kelab-kelab yang bermain di pentas Eropah sebenarnya lebih cenderung mengamalkan corak permainan terbuka berbanding aksi di Liga Perdana.

Di pentas Eropah bukan sesuatu yang mengejutkan jika kelab underdog seperti Brugge masih mampu bermain secara offensive ketika mereka bertandang ke Old Trafford berbanding Spurs atau Newcastle yang meletakkan lapan atau sembilan pemain mereka di kawasan sendiri ketika berdepan kelab-kelab pencabar gelaran seperti United. Bagaimanapun jangan salah taktik (defensive) yang diamalkan mereka kerana jika mahu menjulang kejuaraan, Van Gaal perlu mencari jawapan terbaik ketika berdepan pasukan yang mengamalkan taktik bertahan seperti itu.

Jika Van Gaal kekal dengan keputusannya untuk tidak membawa mana-mana penyerang baharu sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, saya berharap beliau sudah memiliki calon pemain sesuai yang beliau ada untuk diletakkan di posisi sepatutnya bagi meningkatkan lagi daya serangan United. Dua aksi timbal balik menentang Brugge adalah contoh terbaik apa yang saya maksudkan tentang perlunya meletakkan pemain yang sesuai di posisi yang sepatutnya mereka bermain.

Tidak semua pemain dianugerahkan dengan kebolehan seperti Daley Blind atau Michael Carrick yang boleh bermain lebih dari satu posisi. Dan tidak semua juga pemain yang mampu menyerlah apabila diletakkan di luar dari posisi kegemaran mereka. Van Gaal pernah meletakkan Memphis Depay di belakang Rooney dan hasilnya lihatlah bagaimana prestasi pemain itu bila `dipaksa’ bermain di luar posisi kegemarannya. Kemudian bandingkan pula bagaimana prestasi Depay saat berdepan Brugge di Old Trafford selepas beliau kembali bermain di sebelah kiri.

Depay antara pemain United paling menyerlah ketika aksi di Old Trafford 19 Ogos lalu menerusi gerakan-gerakan liciknya dari sebelah kiri berbanding aksi kaku ketika beliau diletakkan selaku penyerang kedua di belakang Rooney. Depay nampaknya menikmati tugas `azalinya’ dalam perlawanan itu menerusi sumbangan dua jaringan dan satu assist. Awal pagi kelmarin di Jan Breydelstadion, Depay sekali lagi membuktikan mengapa Van Gaal sepatutnya terus kekal meletakkan beliau di sebelah kiri.

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, Depay menyumbang assist untuk gol pertama jaringan Rooney serta terlibat dengan gol kedua. Satu-satunya kelemahan yang perlu beliau perbaiki ialah tidak terlalu mudah kehilangan bola sepertimana yang berlaku ketika aksi menentang Newcastle United hujung minggu lalu. Dalam hal ini Depay mungkin boleh mendapatkan sedikit tip dari senior-senior beliau dalam skuad United seperti Carrick ataupun Schweinsteiger.

Melihat sumbangan dan keberkesanan Depay pada dua aksi menentang Brugge, saya percaya Van Gaal tidak akan melakukan perjudian lagi dengan meletakkan pemain ini di luar posisi kegemarannya pada perlawanan-perlawanan akan datang. Jika Depay secara perlahan-lahan sudah mula menemui rentak permainannya selepas diletakkan kembali di sebelah kiri, bagaimana pula dengan nasib Adnan Januzaj?

Penghujung musim lalu nama Januzaj antara yang disebut-sebut bakal meninggalkan kelab selepas kegagalan beliau merebut tempat dalam kesebelasan utama United. Meskipun antara pemain United paling cemerlang semasa era David Moyes, Januzaj nampaknya berdepan kesukaran menyesuaikan diri dalam formasi 3-5-2 yang sering digunakan Van Gaal musim lalu. Keputusan Van Gaal menandatangani Depay juga seolah-olah satu isyarat bahawa masa depan Januzaj bersama kelab kian kelam.

Saya sendiri pada mulanya percaya bahawa Januzaj jika tidak dijual sekalipun mungkin dipinjamkan kepada mana-mana kelab untuk memberikan beliau peluang tampil lebih kerap berbanding jika beliau terus kekal di Old Trafford. Tidak tersenarai pada perlawanan pertama liga menentang Spurs, Januzaj kemudiannya memberikan isyarat bahawa masih ada tempat untuknya dalam kesebelasan Van Gaal apabila gol jaringannya ke gawang Brad Guzan menyaksikan United membawa pulang tiga mata dari Villa Park.

Aksi di Villa Park menyaksikan Januzaj diletakkan selaku penyerang tengah di belakang Rooney dan meskipun beliau menjaringkan gol, itu bukanlah prestasi terbaik yang pernah saya lihat dari beliau. Satu-satunya aksi terbaik yang dipamerkan Januzaj dari empat penampilannya dalam kesebelasan utama United ialah ketika berdepan Club Brugge di Old Trafford 19 Ogos lalu. Penampilannya ketika United membenam wakil Belgium itu dalam perlawanan pertama play off Liga Juara-Juara itu menepati keinginan Van Gaal untuk peranan sebagai pemain nombor 10.

Van Gaal sebenarnya lebih gemar meletakkan seorang penyerang di posisi nombor 10 berbanding pemain tengah, jadi atas sebab itulah mengapa anda masih melihat kedudukan Juan Mata masih kekal di sebelah kanan meskipun ramai diantara kita berpendapat bahawa posisi paling ideal buat beliau ialah berada di belakang Rooney. Bagi Van Gaal, pemain tengah paling ideal pernah memikul peranan sebagai penyerang kedua atau pemain nombor 10 sepanjang karier kejurulatihannya ialah Jari Litmanen dan United tidak memiliki pemain seperti itu. Bersama Ajax, Litmanen menjaringkan banyak gol walaupun fungsinya sekadar penyerang kedua di belakang Dennis Bergkamp ataupun Stefan Pettersson.

Selain dari gol jaringannya di Villa Park dan prestasi bagusnya ketika berdepan Brugge 19 Ogos lalu, Januzaj nampaknya masih belum memberikan impak selaku penyerang kedua di belakang Rooney. Dengan adanya Depay di sebelah kiri dan Mata di sebelah kanan, tiada pilihan lain buat Januzaj selain cuba memenuhi potensi selaku penyerang kedua kerana itulah satu-satunya peluang yang ada jika beliau mahukan peluang bermain dengan lebih kerap.

Lumrah buat seorang pemain muda seperti Januzaj yang sering berdepan masalah konsistensi dalam permainan mereka dan jika perkara itu berjaya diatasi, saya percaya beliau adalah calon paling sesuai untuk diletakkan di belakang Rooney. Peranan selaku pemain nombor 10 sepatutnya dijadikan motivasi kerana itulah posisi yang beliau impikan selama ini. Peluang sudah diberikan oleh Van Gaal jadi terpulang kepada Januzaj untuk menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada.

Sejarah silam adalah bukti terbaik untuk menceritakan kejayaan Van Gaal dalam mengetengahkan bakat-bakat muda serta tindakan berani beliau meletakkan pemain di luar posisi sebenar mereka. Siapa sangka bintang muda yang beliau ketengahkan 13 tahun lalu sebagai pengganti Pep Guardiola akhirnya muncul nama besar di Nou Camp selama bertahun-tahun dan diiktiraf sebagai antara playmaker terbaik dunia. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Xavi Hernandez.

Di Bayern Munich pula, beliau menukar peranan Bastian Schweinsteiger daripada winger kepada seorang midfielder, meletakkan Holger Badstuber sebagai bek tengah dan memberikan peluang kepada Thomas Muller tampil dalam skuad regular Bayern biarpun pada awalnya pemain ini hampir sahaja mahu meninggalkan FC Hollywood. Muller menurut Van Gaal seorang pemain yang hampir menepati gaya permainan Litmanen, jadi anda usah hairan mengapa Muller antara pemain yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak kebelakangan ini.

Dengan jendela perpindahan pemain musim panas bakal ditutup dalam tempoh empat hari lagi, masa sebenarnya kian suntuk buat Van Gaal jika beliau berhasrat menandantangani pemain baharu terutamanya di bahagian hadapan bagi menambah sengat kepada jentera serangan United. Selepas misi mendapatkan Pedro dipintas Chelsea, United secara tiba-tiba dikaitkan dengan perpindahan saga Neymar Jr manakala Gareth Bale serta Thomas Muller kekal sebagai tajuk utama untuk melariskan jualan akhbar. Buat masa ini saya percaya bahawa kelibat Neymar, Bale atau Muller dengan jersi merah United cuma fantasi tetapi tidak mustahil boleh bertukar kepada realiti.

Jika tiada mana-mana pemain baharu yang ditandatangani Van Gaal sebaik jendela perpindahan musim panas ditutup, saya berharap beliau mampu memaksimakan sepenuhnya potensi yang dimiliki Januzaj untuk diletakkan selaku penyerang kedua di belakang Rooney. Atau adakah kali ini kita akan menyaksikan satu lagi `tindakan gila’ dari Van Gaal dengan menyerahkan peranan pemain nombor 10 kepada Marouane Fellaini sepertimana yang pernah beliau sebutkan sebelum ini? Segalanya berkemungkinan kerana mungkin juga kali ini kita  bakal menyaksikan lahirnya seorang `Litmanen' baharu di sini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan