"Terima kasih PSG" kerana anda telah
memberikan pengajaran berguna buat barisan Louis Van Gaal pada perlawanan
terakhir pra musim tempohari. Selepas dibuai dengan kemenangan menyakinkan pada
aksi sebelumnya ketika berdepan Barcelona yang juga merupakan juara Eropah,
kita akhirnya terpaksa akur bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Van
Gaal sebelum skuadnya berdepan cabaran sebenar pada aksi saingan liga Sabtu ini.
Saya tidak khuatir dengan pemergian Angel Di
Maria dan siapa yang bakal menggantikan tempatnya, tetapi saya cukup khuatir
sekiranya tiada mana-mana pemain pertahanan tengah baharu di bawa masuk kerana
itulah posisi yang perlu dberikan perhatian oleh Van Gaal untuk diperkuatkan.
Barisan hadapan PSG berjaya mendedahkan
kepincangan benteng pertahanan United ketika Van Gaal bereksperimen dengan
menggandingkan Phil Jones dan Daley Blind sebagai bek tengah. Saya akui Jones
pemain serba boleh, mampu diletakkan sebagai bek kanan dan pemain tengah bertahan
manakala posisi sebagai bek tengah juga bukanlah terlalu asing buat beliau, begitu
juga dengan Blind.
Jones ditandatangani Sir Alex Ferguson dari
Blackburn Rovers pada 2011 sebagai prospek jangka panjang kepada Gary Neville
dan seperti yang kita tahu beliau bukanlah bek tengah tulen. Posisi azalinya
ialah bek kanan kerana disitulah Jones boleh
menggunakan kekuatan dan kepantasannya baik ketika melakukan serangan mahupun
ketika bertahan.
Lihat di mana kedudukan Jones ketika Blaisse Matuidi
menghasilkan gol pertama lawan dan kegagalannya menutup ruang hingga
membolehkan Zlatan Ibrahimovic menyusup dari belakang untuk gol kedua.
Kedua-dua gol yang dihasilkan PSG adalah menerusi gerakan-gerakan yang mudah,
sekaligus mendedahkan betapa perlunya Van Gaal menyuntik perubahan segera di
bahagian belakang skuadnya.
Memang benar keputusan perlawanan pra musim
bukanlah gambaran sebenar di mana kedudukan United penghujung musim nanti,
tetapi perlawanan pra musim juga sepatutnya dijadikan pentas terbaik untuk memperbaiki
sebarang kelemahan dan kepincangan dalam pasukan sebelum bermula saingan
kompetitif yang panjang nanti.
Saya yakin ramai daripada kita melihat United
ketika ini berdepan masalah di bahagian tengah benteng pertahanan mereka dan
jalan keluar kepada masalah tersebut ialah mendapatkan seorang bek tengah
baharu, bukannya meletakkan Jones atau Blind di posisi tersebut.
Sepertimana Jones, Blind juga saya akui
pemain serba boleh kerana kemampuannya beraksi sebagai bek kiri, pemain tengah
bertahan dan bek tengah. Blind sepatutnya bukanlah pilihan pertama atau kedua
tetapi lebih kepada alternatif terakhir di posisi bek tengah sekiranya Van Gaal
berdepan krisis kecederaan di posisi tersebut.
Kesimpulannya, peranan paling ideal buat
Blind ialah sebagai bek kiri ataupun pemain tengah bertahan sepertimana yang sering
dimainkan beliau musim lalu. Apa yang sangat diperlukan United sekarang ialah
seorang koordinator di benteng pertahanan, tugas yang dulunya dipikul Rio
Ferdinand ataupun Nemanja Vidic.
Selepas kedua-dua lagenda ini meninggalkan
kelab, kita kehilangan sosok pemimpin di benteng pertahanan dan pemain seperti
Rio atau Vidic lah yang perlu dicari Van Gaal. Musim lalu saya mengharapkan
agar Jonny Evans boleh menjadi inspirasi di bahagian belakang tetapi nampaknya
tahap beliau masih terlalu jauh berbanding Rio dan Vidic.
Kesilapan mudah yang dilakukan Evans ketika
aksi menentang MK Dons dalam saingan Piala Liga serta insiden membabitkan
beliau dengan Papiss Cisse hingga dihukum gantung enam perlawanan antara penyebab
mengapa saya mengatakan bahawa beliau tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai
`bos’ di benteng pertahanan.
Dengan kembalinya United ke pentas Liga
Juara-Juara (jika melepasi pusingan play
off), sudah tentu ada beban tambahan yang perlu dihadapi kelab berbanding
saingan musim lalu. Bagi berdepan jadual padat, Van Gaal perlu bijak melakukan
penggiliran pemain dan sudah tentu barisan belakang tidak terkecuali.
Musim lalu Van Gaal mengetengahkan bakat muda
di barisan belakang menerusi penampilan Tyler Blackett dan Paddy McNair. Secara
keseluruhannya, saya berpendapat Blackett dan McNair lulus ujian sulung mereka
di pentas domestik tetapi pesoalannya sekarang adakah mereka sudah bersedia
memikul cabaran lebih besar di pentas Eropah pula? Saya rasa tidak.
Di pentas lebih besar seperti Liga
Juara-Juara, United memerlukan seorang pemain pertahanan yang ada reputasi
serta lebih berpengalaman. Jika Van Gaal meletakkan misi untuk mara sejauh
mungkin pada saingan Liga Juara-Juara nanti, beliau tiada pilihan lain selain
memperkasakan lagi benteng pertahanan skuadnya.
Meletakkan Daley Blind, Marcos Rojo atau Phil
Jones selaku bek tengah bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Mereka adalah
opsyen sekiranya kelab berdepan krisis kecederaan pemain pertahanan tengah
sepertimana Sir Alex Ferguson pernah meletakkan Michael Carrick dan Patrice
Evra di posisi tersebut ketika beliau kehilangan khidmat Rio, Vidic, Evans dan
Smalling secara serentak.
Walaupun sudah membawa masuk lima muka baharu
setakat ini, saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian terakhir yang
bakal dilakukan Van Gaal sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup.
Jika itu berlaku, saya berharap biarlah salah seorang dari mereka merupakan
pemain pertahanan tengah yang mampu bertindak sebagai koordinator di bahagian
belakang.
Ketika saingan liga akan berlangsung hanya
beberapa hari lagi, saya mula berteka-teki siapakah pemain yang bakal mengisi
posisi bek tengah United jika formasi 4-3-3 menjadi pilihan Van Gaal nanti. Aksi
pra musim di Amerika Syarikat mungkin boleh memberikan kepada kita sedikit
gambaran tentang siapa yang bakal diletakkan di posisi bek tengah saat berdepan
Tottenham Hotspurs nanti.
Pada empat aksi pra musim United di Amerika
Syarikat, Blind serta Jones bukan sahaja digandingkan bersama sebagai bek
tengah, malah kedua-dua pemain ini turut diletakkan sebagai starter ketika berdepan Club America,
San Jose Earthquake, Barcelona dan PSG.
Melihat kepada perkembangan terkini, saya
yakin tiada bek tengah baharu bakal dibawa masuk dalam tempoh terdekat, jadi
saya berharap anda sudah boleh membayangkan dua pemain yang bakal mengisi
posisi di bahagian pertahanan tengah United pada aksi pertama liga menentang Spurs
nanti.
Jika Van Gaal memutuskan tidak menandatangani
mana-mana bek tengah baharu selepas Sergio Ramos terlepas dari jangkauan
manakala Nicolas Otamendi pula tampak akan terus kekal di Stadium Mestalla,
adakah gandingan Blind dan Jones mampu memikul tanggungjawab selaku bek tengah
United?
Meskipun saya sedikit kurang yakin, tetapi
dalam masa yang sama adalah tidak adil untuk penilaian dilakukan kepada
gandingan Blind dan Jones kerana saingan kompetitif masih belum bermula. PSG
berjaya mendedahkan kekurangan di benteng pertahanan tetapi ujian sebenar akan
hanya bermula Sabtu ini.
Menarik untuk kita saksikan bagaimanakah nanti
benteng pertahanan United menangani ancaman yang bakal diberikan Spurs
terutamanya menerusi barisan hadapan mereka yang diterajui Harry Kane. Bukan
sekadar tiga mata yang menjadi keutamaan, tetapi saya juga ingin melihat adakah
barisan belakang lulus ujian sulung mereka ini dengan cemerlang.
Sama ada Van Gaal akan terus menggunakan
gandingan Blind dan Jones atau beliau sudah memikirkan kombinasi lain, Spurs
menerusi Harry Kane bakal menjadi ujian sulung terbaik untuk menilai kemampuan
sebenar barisan pertahanan United dan semoga mereka mampu mengharungi ujian
pertama ini dengan cemerlang.
Van Gaal saat ini bukan sahaja perlukan idea bagaimana mahu meningkatkan kemampuan di benteng pertahanan, tetapi beliau juga sebenarnya perlukan seorang koordinator sebagai pemimpin di barisan belakang skuadnya. Seorang pemimpin seperti Rio atau Vidic amat diperlukan dan itulah jenis pemain yang perlu Van Gaal cari. Jika kelemahan ini berjaya diatasi, barulah perbahasan tentang prospek
memenangi trofi kejuaraan akan lebih menarik dan menyakinkan…Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
terbaik..harap terus update dri masa ke semasa
BalasPadamTerima kasih tuan...
Padam