Selepas semusim berehat panjang, saingan Liga
Juara-Juara akhirnya menggamit kembali barisan The Red Devils. Aksi play off
menentang wakil Belgium, Club Brugge awal pagi esok adalah langkah
permulaan sebelum United berdepan saingan sebenar di pentas tertinggi
kelab-kelab Eropah itu. Jika berjaya melepasi halangan Brugge di Old Trafford
dan Jan Breydel Stadium (pada perlawanan kedua), Unted akan kembali beraksi di
pentas sebenar Liga Juara-Juara sejak kali terakhir melakukannya pada musim
2013/14.
Saya yakin ramai di kalangan kita lega
selepas undian babak play off yang
dilangsungkan pada 7 Ogos lalu menemukan United dengan Brugge. Apakah benar undian
menentang Brugge satu laluan mudah buat United untuk menempah salah satu tempat
di peringkat kumpulan nanti? Ya, jika diambilkira rekod wakil Belgium itu dalam
tempoh sepuluh tahun terakhir, saya kira ini adalah undian yang ideal buat
anak-anak buah Louis Van Gaal.
Jujur saya katakan bahawa peluang United layak
ke peringkat kumpulan lebih cerah berbanding jika mereka ditemukan dengan
Lazio, Valencia atau AS Monaco. Walau bagaimanapun dengan prestasi United pada
dua perlawanan liga setakat ini belum begitu menyakinkan, saya berharap barisan
Van Gaal tidak memandang remeh ancaman yang bakal dihadirkan pelawat. Wajib
untuk mereka membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Jan Breydel Stadium
pada 27 Ogos nanti.
Peluang telah terhidang, jadi terpulang
kepada United untuk menggunakan kesempatan ini meletakkan diri mereka di
saingan sebenar kancah elit Liga Juara-Juara. Sebagai catatan, United memiliki
rekod yang bagus pada aksi play off
dimana mereka berjaya mencatat empat kemenangan dan menjaringkan 13 gol. Kali
terakhir United bermain dibabak play off ialah
pada musim 2005/06 di mana ketika itu mereka menyingkirkan Debrecen dengan
agregat 6-0.
Jika United memiliki rekod bagus pada aksi
mereka di peringkat play off, lain
pula halnya dengan Brugge. Barisan pimpinan Michel Preud’homme tidak pernah layak
ke peringkat kumpulan dalam tempoh sepuluh tahun terakhir. Bukan itu sahaja, rekod
mereka ketika berdepan kelab-kelab Inggeris di pentas Eropah juga buruk. Kali
terakhir Brugge menewaskan kelab Inggeris ialah pada Februari 1995 saat mereka menang
1-0 ke atas Chelsea.
Musim lalu, Brugge tewas kepada KAA Gent
dalam perebutan kejuaraan liga, sekaligus menyaksikan kemarau kejuaraan liga
mereka berpanjangan sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2004/05. Jika
dilihat pada rekod lampau Brugge, secara kasarnya United tampak seperti tidak
berdepan masalah untuk merebut slot kesaingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara selepas semusim hanya beraksi di pentas domestik.
Kedatangan Brugge ke Old Trafford buat kali pertama
dibayangi dengan krisis kecederaan paling buruk dialami mereka dalam tempoh
lima tahun. Sekurang-kurangnya sepuluh pemain mereka masih berada dibilik
rawatan termasuklah Jose Izquierdo yang juga merupakan penjaring terbanyak
mereka musim lalu dan Oscar Duerte, tonggak di benteng pertahanan. Melihat
kepada situasi terkini, saya yakin ini bukanlah kunjungan yang diharapkan Preud’homme.
Ketiadaan Duarte mungkin berita baik buat
Rooney yang masih bergelut memburu gol sejak ketiadaan Robin Van Persie dan
Radamel Falcao. Jika anda penyokong skuad Three
Lions, anda mungkin masih mengingati bagaimana berkesannya strategi Jorge
Pinto yang menggunakan Duarte untuk merantai pergerakan Rooney ketika pertembungan
England dan Costa Rica di peringkat kumpulan pusingan akhir Piala Dunia 2014.
Bagaimanapun jangan sesekali memandang rendah
kemampuan lawan ketika aksi United sendiri masih lagi jauh daripada sempurna. Saya yakin akan ada sedikit rombakan di
bahagian tengah dengan kemungkinan Van Gaal meletakkan Bastian Schweinsteiger dalam
senarai kesebelasan permulaannya di samping Morgan Schneiderlin. Di belakang
Wayne Rooney pula, saya memilih Ashley Young, Juan Mata dan Memphis Depay dalam
formasi 4-2-3-1 Van Gaal.
Di benteng pertahanan pula, tiada sebab untuk
Van Gaal memecahkan kombinasi Daley Blind, Chris Smalling, Matteo Darmian dan
Luke Shaw selepas mereka berjaya mengekalkan rekod bersih dari dibolosi dalam
dua aksi liga setakat ini. Meskipun David De Gea diberitakan sudah mula
menjalani latihan, saya yakin sepasang tangan milik Sergio Romero akan terus diberikan
kepercayaan untuk mengawal gawang United.
Menentang Brugge adalah langkah permulaan
United dalam misi mereka di pentas Eropah musim ini. Selepas berbelanja besar,
sudah tentu ada tekanan tinggi yang terpaksa dipikul bukan sahaja oleh Van
Gaal, tetapi juga para pemainnya. Selepas berusaha keras sepanjang musim lalu
untuk berada di kelompok empat teratas, inilah masanya buat pemain-pemain dan
penyokong-penyokong menikmati apa yang sudah mereka terlepas selama semusim.
Sedar atau tidak, sudah semusim kita tidak
mendengar lagu tema Liga Juara-Juara dimainkan di Old Trafford. Awal pagi esok,
buat pertama kalinya selepas semusim, kita akan kembali mendengar lagu gubahan
George Frederic Handel itu dimainkan sebelum United memulakan aksinya di pentas
Liga Juara-Juara. Saya berharap ini bukanlah kali terakhir saya mendengar irama
ini dimainkan di Old Trafford musim ini, dan jika boleh saya mahu mendengar
irama ini dimainkan di San Siro Mei nanti ketika barisan The Red Devils berada di sana…Glory Glory Manchester United!!! – AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan