Hari demi hari saya masih menanti apa penamat
kepada cerita tentang masa depan Pedro Rodriguez bersama Bercelona. Jika
diambil kira berita-berita yang dilaporkan media, Pedro nampaknya semakin
menghampiri pintu keluar Nou Camp, manakala Old Trafford pula dikatakan destinasi
paling hampir jika pemain berusia 27 tahun ini memutuskan ikatannya bersama
juara Eropah itu.
Selepas lama berdiam diri, membiarkan kita
terus berteka teki, manakala media pula saban hari melaporkan bahawa United
semakin hampir mendapatkan khidmat beliau, Pedro akhirnya buka mulut
menjelaskan tentang situasi terkininya. Jelas bahawa Pedro memang tidak gembira
dengan apa yang sedang beliau hadapi sekarang.
Puncanya bukan kerana wang, tetapi kerana
kurangnya peluang tampil dalam kesebelasan Blaugrana
menyebabkan beliau mula memikirkan untuk mencari jalan keluar. Menariknya,
walaupun masa depan beliau kian hebat diperdebatkan, Pedro seolah-olah tidak
langsung terganggu apabila jaringan kemenangannya diminit ke-115 membantu Barca
menjulang trofi Super Cup buat kali
kelima.
Jaringan kemenangan yang dihasilkan Pedro di
Boris Paichadze Dinamo Arena pada awal pagi kelmarin bukanlah yang pertama
beliau lakukan pada aksi Super Cup.
Pada 2009, di Stade Louis II, Monaco, beliau melakukan perkara yang sama, juga
diminit yang sama (115) selepas kedudukan terikat 0-0 sepanjang 90 minit masa
sebenar permainan.
Ketika itu corak permainan bertahan yang
diamalkan Shakhtar Donetsk pimpinan Mircea Lucescu menyukarkan Barca menembusi
pintu gol mereka, ditambah pula dengan aksi longlai yang dipamerkan Zlatan
Ibrahimovic hingga beliau akhirnya dikeluarkan diminit ke-81. Keputusan Pep
Guardiola mengeluarkan Ibrahimovic dan menggantikannya dengan Pedro nyata
membawa hasil.
Ketika Lucescu mula mencongak pemain mana
yang bakal beliau gunakan untuk penentuan sepakan penalti, Pedro akhirnya
berjaya juga menembusi gawang Andriy Pyatov, lima minit sebelum masa tambahan
ditamatkan. Kemenangan itu memberikan Barca kejuaraan ketiga Super Cup mereka manakala Pedro yang ketika
itu baru berusia 22 tahun dianggap bintang muda paling menyerlah dalam skuad
pimpinan Guardiola.
Walaupun dirinya diangkat sebagai wira
selepas aksi di Monaco, Pedro sebaliknya memilih untuk merendah diri dengan
mengucapkan terima kasih kepada Lionel Messi yang menyumbangkan assist hingga gol kemenangan itu
terhasil. “Saya mengucapkan terima kasih kepada Leo Messi kerana umpanannya
membolehkan saya menjaringkan gol tersebut. Kami semua tahu apa yang mampu
dilakukan Messi. Dia pemain terbaik dunia”, kata Pedro.
Seperti yang saya sebutkan tadi, episod Super Cup edisi 2009 berulang lagi di
Tbilisi, di mana Pedro sekali lagi meletakkan dirinya sebagai wira. Selepas
hanya bertindak sebagai pemerhati dari bangku simpanan sepanjang 90 minit
permainan, Pedro akhirnya dibawa masuk diminit ke-93 (masa tambahan) untuk
menambah variasi kepada gerakan-gerakan serangan Barca.
Sama ada benar atau tidak bahawa keputusan
Luis Enrique (membawa masuk Pedro) hasil inspirasi dari tindakan yang sama
pernah dilakukan Guardiola pada 2009 bukan persoalan utama, kerana saya lebih
tertarik dengan reaksi balas dan sumbangan pemain ini di atas padang. Kehadiran
Pedro menambah nafas kepada bahagian hadapan Barca dan hasilnya seperti yang
anda dapat saksikan.
Percaturan Luis Enrique nyata satu keputusan
yang tepat apabila Pedro sekali lagi meledak pada penampilan ketiganya di Super
Cup sekaligus menafikan kebangkitan menakjubkan yang cuba dicipta anak-anak
buah Unai Emery. Lepas geram, marah atau apa sahaja perkataan yang sesuai,
tetapi reaksi beliau selepas jaringan tersebut seolah-olah menggambarkan apa
yang terbuku dihatinya.
Sepertimana warga Sepanyol yang lain,
meninggalkan Barcelona atau Real Madrid bukanlah satu keputusan yang mudah dan
pastinya Pedro tidak terkecuali apatah lagi beliau sudah berada di Nou Camp
sejak zaman remajanya. Bagaimanapun, Pedro harus melihat semula peranan dan
fungsinya dalam skuad Barca terutamanya sejak ketibaan Enrique pada Mei tahun
lalu.
Ini hanyalah dua contoh bagaimana Pedro kerap
menjadi penyelamat buat Barca ketika pemain-pemain sandaran yang lain buntu
dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan lawan. Selain dari itu, Pedro
juga sering menghasilkan gol-gol cantik buat Barca. Sepakan guntingnya ke
gawang Real Sociedad pada aksi liga 10 Mei lalu selepas tiga minit beliau
dimasukkan adalah contoh terdekat.
Menurut Enrique, gol seperti itu bukanlah
asing buatnya kerana beliau sering melihat Pedro melakukannya ketika sesi
latihan. Walaupun sering menghasilkan gol-gol penting buat Barca, Pedro tetap
gagal meletakkan dirinya sebagai pemain tonggak kelab Catalan itu. Musim ini
kesuraman kekal menyelubungi karier Pedro dan saya percaya kedatangan Arda
Turan bakal menyebabkan beliau kian tersisih.
Apa yang diperlukan Pedro bukanlah kontrak
lumayan tetapi peluang bermain dengan lebih kerap berbanding sekarang. Dengan
adanya nama-nama seperti Neymar, Suarez, Messi dan Turan, Barca tidak mampu
memberikan apa yang Pedro inginkan. Jadi langkah terbaik demi menyelamatkan
karier beliau ialah dengan mencari kelab lain yang mampu memberikan peluang
buat beliau bermain setiap minggu.
Melihat kepada situasi terkini, saya yakin
99.9% yang Pedro akan meninggalkan Barca musim panas ini. Bagaimanapun dalam
masa yang sama, saya juga tidak berani menyebut bahawa 99.9% Pedro akan
menyertai United sehinggalah beliau diumumkan secara rasmi sebagai pemain keenam
yang ditandatangani Louis Van Gaal musim ini.
Van Gaal sudah mengeluarkan kenyataan bahawa
Pedro merupakan jenis pemain yang beliau perlukan dalam skuadnya dan itu saya
anggap satu isyarat kuat bahawa United memang serius mahu mendapatkan khidmat
pemain ini. Jika ada perbincangan sedang dijalankan untuk membawa Pedro ke Old
Trafford, saya berharap biarlah ianya berakhir dengan pengumuman “Pedro sudah
ada di sini” dari Van Gaal. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan