13 Julai 2016

£100 JUTA...BERBALOIKAH DIBELANJAKAN UNTUK POGBA?

Berakhir sudah kejohanan Euro 2016 dan ini juga bermakna tumpuan peminat-peminat bolasepak seluruh dunia kembali terarah kepada persiapan pra musim kelab kesayangan masing-masing sebelum bermulanya musim kompetitif 2016-17. Perpindahan pemain tentunya menjadi topik paling panas yang dibincangkan peminat-peminat bolasepak baik di media sosial mahupun di kedai kopi setiap kali mereka berkumpul.

Bagi penyokong-penyokong United, isu kemungkinan kembalinya Paul Pogba ke Old Trafford menjadi pilihan utama untuk mereka bincangkan dan sama ada benar atau tidak kelab sanggup membelanjakan hingga £100 juta bagi memaksa Juventus mengembalikan semula pemain antarabangsa Perancis itu mungkin bakal terjawab tidak lama lagi. Dengan reputasi yang sudah dibinanya sejak meninggalkan Old Trafford pada 2012, tidak hairanlah mengapa ramai penyokong United mengharapkan agar Pogba kembali menyarung jersi The Red Devils.

Pogba kini bukan lagi pemain yang sama ketika beliau dijual ke Juventus empat tahun lalu kerana beliau kini antara nama besar yang menjadi buruan kelab-kelab besar Eropah. Tentunya berita tentang kelab mana yang bakal beliau sertai antara berita yang paling diikuti dan pastinya jika Juventus setuju menjual beliau, perpindahan Pogba ke mana-mana kelab akan menjadi perpindahan saga musim panas ini.

Semuanya bermula selepas Beppe Marotta (CEO Juventus) mengeluarkan kenyataan bahawa kelabnya terpaksa menolak tawaran beberapa kelab yang berminat mendapatkan tandatangan Pogba dengan harga £60 juta. Spekulasi perpindahan Pogba bertambah menarik apabila Barcelona diberitakan sanggup membayar £68 juta untuk mendapatkan khidmatnya namun segera dinafikan pemain itu yang mengatakan bahawa beliau mahu kekal bersama Juve.

Selepas Barca dan Manchester City, Real Madrid pula muncul menyertai perlumbaan mendapatkan khidmat Pogba namun juara Eropah itu diberitakan terpaksa menarik diri atas alasan kekurangan dana. Benar atau tidak Real menarik diri atas alasan kewangan itu soal kedua, kerana bagi saya agak pelik bila memikirkan kelab yang sering memecah rekod perpindahan dunia membatalkan hasrat mereka mendapatkan pemain yang dihajati atas alasan kekurangan dana.

Jika Pogaba sendiri menolak kemungkinan perpindahan ke Barcelona dan Manchester City manakala Real pula terpaksa menarik diri (atas alasan kewangan), United kini muncul satu-satunya kelab yang paling berkemungkinan untuk disertai Pogba jika beliau mahu meninggalkan Juve. Jika benar bahawa United sanggup berbelanja hingga £100 juta hanya untuk seorang pemain bernama Paul Pogba, peluang kita mahu melihat kembali kelibat pemain ini menyarung jersi kelab agak cerah.

Nilai sebanyak £100 juta untuk hanya seorang pemain memang jumlah yang besar untuk dibelanjakan, ditambah pula dengan kemungkinan United meletakkan Juan Mata serta Memphis Depay sebagai sebahagian perjanjian pertukaran saya kira bakal menggiurkan Juve. Wang bukan sekadar faktor yang memainkan peranan jika United serius mahukan Pogba kerana peluang kelab mendapatkan kembali pemain ini sebenarnya turut bergantung kepada Mino Raiola (agen Pogba).

Hubungan baik antara Raiola dan pihak pengurusan kelab menyaksikan perpindahan Zlatan Ibrahimovic serta Henrikh Mkhitaryan berjaya direalisasikan dan saya percaya faktor Raiola bakal memainkan peranannya sekali lagi dalam hal perpindahan Pogba. Selepas sukses menghantar dua klien ke Old Trafford, tentunya ramai penyokong-penyokong United sedang menanti akan adakah pemain ketiga di bawah kendalian Raiola yang bakal menyertai Ibra dan Miki selepas ini?

Saya akui Pogba pemain yang berbakat, punya reputasi dan paling penting usianya yang masih muda. Pogba memang antara nama yang wajar United tandatangani namun tetap timbul persoalan adakah wang sebanyak £100 juta berbaloi dibelanjakan untuk mendapatkan kembali khidmatnya? Prestasi Pogba sepanjang kejohanan Euro boleh dikategorikan sebagai bagus. Beliau antara pemain muda yang agak menonjol dalam kejohanan kali ini selain Joshua Kimmich dan Renato Sanches.

Bersama Blaise Matuidi, Pogba dominan menguasai bahagian tengah Perancis, hal yang saya kira sangat bagus bila mengingatkan fakta bahawa beliau baru berusia 23 tahun. Malangnya Pogba gagal membantu Perancis menjulang trofi Euro di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Portugal di pentas final. Penampilan Pogba di Stade de France tempohari juga kurang meninggalkan kesan kepada Perancis berbanding aksinya pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Di pihak lawan, kelibat William Carvalho dan Renato Sanches jauh lebih menonjol berbanding Pogba. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Carvalho dan Sanches berjaya meneutralkan segala kreativiti serta visi permainan Pogba di bahagian tengah Perancis hingga menyebabkan beliau `tenggelam’ hampir sepanjang perlawanan. Dan kegagalan Pogba menyerlah di final kali ini juga dikatakan antara penyebab mengapa Perancis gagal mengulangi pencapaian skuad kendalian Roger Lemerre pada edisi 16 tahun lalu.

Selain medal sebagai naib juara Euro, sumbangan satu assist dan satu gol antara catatan yang boleh kita ingat jika mahu bercakap tentang penampilan sulung Pogba di kejohanan kali ini. Prestasi Pogba di Stade de France tempohari tentunya menimbulkan persoalan adakah wang £100 juta layak dibayar kepada Juventus jika United mahukan tandatangan beliau? Apatah lagi nilai ini juga bakal meletakkan Pogba sebagai pemain termahal dunia, mengatasi jumlah yang pernah dibayar Real Madrid ketika mereka menandatangani Gareth Bale tiga tahun lalu.

Agak tidak adil untuk Pogba dihakimi hanya bersandarkan pada aksi beliau di final Euro kali ini. Sudah tentu juga hanya satu perlawanan di pentas final bukanlah kayu ukur yang sesuai untuk kualiti seorang pemain bernama Paul Pogba ini dinilai. Sejak `dibuang’ Sir Alex Ferguson empat tahun lalu, Pogba berkembang dari seorang pemain muda yang kecewa kerana gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan United kepada pemain dengan kualiti kelas dunia.

Pengalaman bermain bersama pemain tengah kelas dunia seperti Andrea Pirlo dan Arturo Vidal menjadikan Pogba pemain yang lebih matang berbanding usianya. Maaf jika saya katakan, sekiranya beliau tidak meninggalkan Old Trafford empat tahun lalu, Pogba tidak akan berada di kedudukan di mana beliau berada sekarang. Meskipun ditinggalkan Pirlo dan Vidal serentak, kehilangan dua pemain terbaik mereka itu tidak begitu dirasai Juve bila Pogba pula mengambilalih penguasaan di bahagian tengah skuad Old Lady.

Pogba secara purata melakukan 1,129.5 ketepatan hantaran (passes completed), 34.7 key passes dan 5.75 assist semusim, manakala musim lalu pula beliau muncul pemain paling banyak melakukan assist di Serie A dengan (12 assist).  Jika fakta itu masih belum cukup untuk Pogba dinilai bagaimana pula dengan 28 gol yang beliau jaringkan sepanjang empat musim bersama Juve, iaitu jumlah jaringan paling banyak yang dihasilkan oleh seorang pemain tengah bertahan.

Pada usia yang masih muda, Pogba sudah menjadi antara anggota penting dalam skuad juara Serie A itu di mana sejak ketibaannya di Turin, beliau berjaya membantu Juve menjulang empat kejuaraan Scudetto berturut-turut. Jangan lupakan juga peranan yang dimainkan Pogba hingga Juve berjaya melangkah ke pentas akhir saingan Liga Juara-Juara edisi 2014-15 yang juga merupakan final pertama mereka dalam tempoh 12 tahun.

Sebelum bermulanya Euro 2016, prestasi Pogba di peringkat kelab bolehlah dianggap cukup luarbiasa dan pada usia yang masih muda, masih banyak ruang dan masa untuk beliau meningkat sebelum muncul pemain yang lebih hebat. Jadi dalam erti kata lainnya tidak adil penilaian dilakukan ke atas Pogba hanya menerusi satu kejohanan yang cuma berlangsung dalam tempoh empat tahun sekali itu.

Saya pernah sebutkan tadi bahawa bakat serta reputasi yang dimiliki Pogba menyebabkan beliau antara pemain yang perlu United tandatangani. Bagaimanapun dari segi jumlah wang sebanyak £100 juta yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmatnya, saya agak berbelah bahagi. Kehadiran pemain yang punya kualiti serta reputasi seperti Pogba memang diperlukan jika United mahu kembali memenangi kejuaraan liga dan untuk mendapatkan seorang pemain kelas dunia seperti beliau kelab perlu berbelanja besar.

Mungkin ada pendapat yang mengatakan wang £100 juta sepadan untuk seorang pemain yang memiliki potensi besar, berkeperibadian baik, tonggak kepada skuad kebangsaan negaranya dan ada masa depan yang fantastis setidak-tidaknya untuk tempoh sepuluh tahun lagi. Namun di sisi lain pula saya beranggapan bahawa wang sebanyak £100 juta hanya untuk seorang pemain terlalu tinggi untuk dibelanjakan.

Pada pandangan saya, adalah lebih bagus wang sebanyak itu dibelanjakan United untuk mendapatkan dua atau tiga pemain yang hampir sebagus Pogba dan sudah tentu ada pemain di luar sana yang boleh dijadikan alternatif sekiranya United mengambil keputusan berpaling dari beliau. Dalam hal ini saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan Stan Collymore (bekas penyerang Liverpool) bahawa United tidak perlu memecahkan rekod dunia hanya kerana mahu membawa kembali Pogba ke Old Trafford.

Jika bukan Pogba siapa pemain yang sepatutnya United tandatangani? Menurut Collymore, United tidak perlu meneropong terlalu jauh hingga ke Serie A kerana pilihan terbaik sudah ada di depan mata dan pemain yang beliau maksudkan ialah N’Golo Kante dan Dimitri Payet. Kante saya anggap pembelian paling berbaloi yang dilakukan oleh mana-mana kelab Liga Perdana musim lalu manakala Payet pula sudah membuktikan kualitinya sebagai pemain tengah dalam aspek mencipta peluang.

Paling penting kedua-dua pemain ini (Kante dan Payet) sudah membuktikan keberkesanan peranan mereka di Liga Perdana untuk kelab masing-masing. Meskipun Pogba sudah diiktiraf antara pemain tengah terbaik dunia, Kante dan Payet pula saya yakini mampu memberikan impak segera kepada penampilan United musim depan. Kombinasi Kante dan Payet merupakan pakej lengkap buat United dan dengan anggaran nilai terkini kedua-dua mereka, wang £100 juta sebenarnya masih lagi berbaki andainya dua pemain ini berjaya ditandatangani. Jadi masih berbaloikan nilai £100 juta untuk seorang bernama Paul Pogba??? Terserah pada pendapat masing-masing…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan